Ayat keramat yang selalu keluar dari mulut seorang perempuan adalah, tak ada tudung nak pakai. Walau pun dalam almari dah tak muat nak sumbat tudung baru!
Itu sebenarnya double meaning yang menyatakan dia sudah bosan pakai tudung yang ada di rumah. Maka encik suami kenalah bagi peluang dia shopping, beli yang baru. Tetapi kalau nak jimat, kaum suami boleh ikut cara saudara Amir Syahir ini, bab rumah tangga kena bijak berbelanja!
Kalau Perempuan Sebut Tak Ada Tudung Nak Pakai
“Abang, esok nak pergi beli tudung la. Takde tudung nak pakai dengan baju yang warna pink ni.”
Senyum je kalau dengar kata-kata macam ni daripada mulut si isteri.
Tudung dia padahal boleh muat dua alamari baju. Kalau susun meninggi boleh lawan KLCC.
Perempuan ni kalau dia kata “takde tudung nak pakai”, “takde baju nak pakai” tu ertinya dia dah bosan pakai tudung dan baju tu.
Kena pulak kalau rakan sejawat ke atau kawan dia tegur,
“Minggu lepas dah pakai tudung ni kan?”
Ads
Siap tunjuk gambar lagi. Ciskek betul. Memang meruap-ruap la nak cari tudung baru.
Memang terus la nak cari baju ataupun tudung baru. Aku pun on je. Dia pun jarang-jarang beli tudung baru.
Tudung dia pun tak la mahal sampai kena ada batu Swarovski bagai tu. Takdela sampai dia nak pakai jenis Bawal Exclusive je.
Kalau lelaki ungu, ungu la..tapi perempuan, kalau ungu ada lavender la, violet la, dusty purple la, light purple la..**pening**
Ads
Kalau kau ada tunang, isteri yang suka mengumpul tudung atau baju ni, kau bagi nasihat macam ni :
1. Harga tudung, baju atau beg tangan jangan lebih 10% daripada gaji.
2. Beli masa ada promosi. Akhir tahun banyak promosi.
3. Halang jika bulan ni dia dah beli, bulan depan pun beli lagi. Tu dah ketagih sangat tu.
Ads
4. Kalau dia minat jenis tudung seperti Aidijuma, minta dia follow IG atau page berkenaan. Boleh tahu masa bila ada SALE.
5. Suruh dia susun tudung dia supaya senang lihat. Kalau simpan dalam kotak mesti tak sedar tudung dia dah banyak.
Kalau Nampak Isteri Membazir, Tegur
Tak salah tunaikan permintaan isteri untuk beli barang yang dia suka sekali-sekala. Apa salahnya buat dia happy. Jangan la kedekut sangat sampai suruh isteri guna je yang lama. Kalau dia nak beli duit dia pun kau tak bagi juga, kesian isteri tu.
Kalau kau nampak dia membazir sangat, nasihatkan. Janganlah kau nak marah-marah dia pulak.
Setakat ni isteri aku tak pernah mintak beli barang yang mahal-mahal pun. Kalau aku nak belikan pun dia selalu cakap tak payah, mahal sangat ni.
Bila dah ada anak, keperluan anak yang paling utama. Kalau pergi shopping kadang-kadang tu semua untuk anak. Tak ingat nak beli untuk diri sendiri.
Kalau dah menyimpan lepas tu baru boleh berbelanja. Kah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wahai mak-mak dan golongan para isteri jangan pandang ringan, sambil lewa dan mengabaikan Rukun Islam kedua ini.Mendirikan solat adalah suatu kewajipan dan meninggalkan dengan sengaja merupakan satu dosa besar. Ini kerana betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sehingga dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam.
Ia merupakan pengajaran kisah yang diambil ketika zaman Nabi Musa as.Pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar),
Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.
Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tetapi kalau zaman Nabi Musa, barangsiapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu.
Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya.Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam.
Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air itu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.
Menyentuh bab air tangan, sebaiknya sebagai seorang isteri dan ibu, peliharalah solat kita.Kita yang selalu menyediakan hidangan buat suami dan anak-anak.Jika lalai menunaikan solat, kesannya umpama menyediakan ‘air kencing anjing hitam’ buat keluarga seperti pengajaran kisah diatas.Ia juga boleh memberikan kesan yang sangat besar pada suami dan anak-anak, menjadi punca gelap hati, tidak mendengar kata dan sering bergaduh.
Jika sesekali ingin bawa keluarga makan di luar, berhati-hatilah dalam memilih makanan. Bukan sahaja pastikan pilih gerai yang bersih tapi perhatikan juga suasana kedai dan tukang masaknya.Gerak hati kita dalam ‘melihat’ dan ‘membaca’ jika seseorang itu menjaga solatnya.
Waspadalah apa yang kita makan. Betapa beratnya amalan solat ni hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra’ Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril as.
Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), “As-solah as Solah wamalakat aimanukum”.
Maknanya, “Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu”
Jadi, sama-samalah kita pelihara solat dari segi zahir & batinnya kerana amalan solatlah amalan yang mula-mula akan ditanya di neraca Mizan kelak.
Pasti ada sebab tertentu, kenapa mak ayah kena menggunakan ‘Eye Contact’ atau interaksi pandangan mata bila bercakap mahupun memberi arahan pada anak-anak. Jika tidak masa kan Kate Middleton,The Duchess of Cambridge dan suaminya Putera William, mengamalkan perkara ini tatkala bercakap dengan anak-anak mereka.
Sebenarnya, banyak kesan positif yang bakal diperolehi apabila mak ayah bercakap menggunakan ‘eye contact’ dengan anak-anak ni.
Kata orang cinta itu bermula dari mata turun ke hati.Ini bukan hanya madah percintaan antara teruna dan dara, kata-kata ini sangat releven dalam membina perhubungan yang positif dengan anak-anak.
‘Eye contact’ adalah ‘non verbal communication’ dan gerak tubuh yang paling penting dalam membina ‘connection’ dan komunikasi efektif dengan anak-anak.Salah satu sebab utama kenapa anak tidak mempedulikan permintaan, arahan dan peraturan yang ada adalah kerana ibubapa tiada ‘eye contact’ apabila meminta anak melakukan sesuatu.
Sama ada kita hanya memberi arahan dari jauh ataupun memberi arahan sambil membuat sesuatu pekerjaan seperti memasak, membaca, mengemas, menggunakan telefon bimbit – Whatsapp, Facebook, IG, menggunakan komputer, menjemur pakaian dan sebagainya.
Arahan yang diberikan ketika melakukan pekerjaan ini tidak melibatkan ‘eye contact’ yang boleh membina cinta ‘dari mata turun ke hati’ anak-anak.
Begitu juga dengan anak, apabila kita meminta anak melakukan sesuatu ketika anak sedang menonton televisyen, bermain ‘game’, membaca, khusyuk bermain, menggunakan telefon, menggunakan komputer dan sebagainya, anak juga tidak memberi tumpuan kepada kita kerana tiada ‘eye contact’. Anak tidak fokus dan tidak memberi perhatian.
Apabila mata tidak bertentang mata, itu menunjukkan kita tidak serius. Apabila kita tidak serius, anak juga tidak serius mendengar apatah lagi menurut apa yang dipinta. Apa yang anak lihat dalam mata kita adalah lebih ‘powerful’ berbanding kata-kata yang anak dengar keluar dari mulut kita.
‘Eye contact’ juga membina rasa percaya (trust) antara ibubapa dan anak. Dengan ini anak-anak yakin yang ibubapa memberi perhatian, peduli dan mengambil berat tentang anak. Bayangkan jika anak datang kepada kita untuk memberitahu atau menceritakan sesuatu dan kita tidak memandang anak kerana leka atau sibuk dengan sesuatu pekerjaan, maka ‘trust’ itu tidak wujud dalam diri anak terhadap kita kerana kita tidak langsung pandang ke arah anak.
Jadi jika anda seringkali perlu ulang-ulang arahan kepada anak dan anak tetap tidak mendengar kata, mungkin yang pertama sekali perlu diperiksa adalah ‘eye contact’ di antara anda dengan anak kerana eye contact membina ‘connection’ dan ‘trust’ yang amat penting dalam komunikasi yang efektif.
Apabila anak sudah terbiasa menunggu kita marah barulah menunjukkan yang kita serius, itu bukanlah tanda berlakunya komunikasi yang positif dan efektif.
Kesimpulannya, jika hendak memberi arahan kepada anak;
1. Pastikan kita meninggalkan sebarang pekerjaan yang sedang dilakukan.
2. Pastikan anak meninggalkan sebarang pekerjaan yang sedang dilakukan.
3. Pastikan ada ‘eye contact’.
Malah dengan anak-anak remaja, saya masih meminta mereka “look at me” apabila saya serius mahu mereka melakukan sesuatu.
Noor Afidah Abu Bakar Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
MW:Semoga bermanfaat dan dapat menambah ilmu keibubapaan kita dalam mendidik anak-anak.Jangan lupa kongsikan juga ilmu ini pada ibu bapa yang lain.
Kasih ibu tiada penghujungnya. Sanggup berkorban apa saja demi anak-anak. Seorang ibu mampu menahan apa juga rintangan dan dugaan yang melanda, asalkan anak tersayang dapat pulih sepenuhnya.
Ikmal Amiliah bt Mhd Isa, 38, sesungguhnya mampu menjadi inspirasi buat ibu-ibu lain. Ketabahan dan kecekalannya membuatkan hati tersentuh saat berbicara dengan wanita muda berjiwa kental ini. Malah kekentalan dan ketabahannya turut diwarisi oleh Adi Harris yang terus kuat melawan penyakitnya. Malah melihatkan penampilan Adi yang sentiasa ceria, pasti ramai tidak menyangka derita yang sedang ditanggung anak kecil itu.
Ikmal Amiliah atau mesra dipanggil Amie, diduga saat anak bongsunya, Adi Harris, didiagnosis dengan penyakit kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Hati ibu mana yang tak remuk tika menerima perkhabaran tersebut. Namun sebagai hamba-Nya, Amie sedar ini adalah ujian Allah untuknya.
“ Adi Harris bin Rosidin, lahir pada tanggal 31 Jan 2015. Dilahirkan sihat dan cukup bulan. Adi mempunyai empat orang abang iaitu Adam Harris,14 tahun, Aiman Harris, 12 tahun, Azha Harris, 10 tahun, Akmal Harris, 7 tahun.
“ Adi membesar dengan sihat sehinggalah pada usia 7 bulan, bahagian belakang tapak tangannya membengkak hingga ke siku. Risau dengan keadaan itu, saya dan suami bawa dia ke hospital. Setelah x-ray, doktor kata tiada yang merisaukan dan kami tunggu temu janji seterusnya.
“ Ketika umur Adi 1 tahun 2 bulan, dia batuk-batuk dan kami bawa ke klinik. Tapi doktor masih sama. Kali ketiga ke klinik baru doktor dapat kesan kelainan pada hatinya. Hati Adi telah membengkak dan terus dirujuk ke hospital.
“ Mac 2016, Adi disahkan menghidap kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Kanser saraf yang tumor utamanya di adrenal sebelah kanan dan telah merebak ke beberapa bahagian dalam tubuh badannya seperti hati, tulang, saraf utama.
” Adi menjalani rawatan di HKL. Dia telah menjalani beberapa fasa termasuk pemindahan sum-sum tulang. Kini telah memasuki fasa keenam: Ubat makan CisRetinoic Asid yang perlu dimakan selama setahun.
“ Tetapi setelah masuk bulan keenam, Adi tak mampu lagi meneruskan rawatan kerana badannya telah membengkak dan mengalami alahan terhadap ubat tersebut. Doktor telah mengarahkan pemberhentian serta merta segala ubatan bagi memberi peluang dirinya menerima rawatan penyembuhan alahan sahaja,” ujar Amie membuka bicara.
Demi memberikan sepenuh perhatian pada anak bongsunya, Amie telah mengambil cuti tanpa gaji.
“ Setelah doktor diagnosis Adi menghidap kanser, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dan sepanjang rawatan Adi lebih kurang dua tahun, saya sentiasa ada di sisinya. Keputusan itu saya ambil kerana ia membolehkan saya fokus dengan rawatan Adi manakala suami akan bekerja dan menjaga empat orang anak lain.
“ Memang rasa kasihan pada anak-anak yang terpaksa ditinggalkan namun terpaksa saya kuatkan hati demi melihat Adi sembuh. Saya berterima kasih pada anak-anak. Besar pengorbanan jiwa anak-anak yang ditinggalkan. Mengurus diri mereka sendiri tanpa ada pembantu rumah. Hanya ada ayah untuk memantau. Setiap hari hanya doa yang saya kirimkan buat suami dan anak-anak. Semoga mereka sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayang-Nya.
“ Saya kini telah mula kembali bertugas pada Feb 2018.Keadaan Adi juga nampak bertambah baik. Cuma Adi masih belum boleh pergi ke taska sebab masih belum menerima suntikan vaksin. Adi memerlukan pengulangan suntikan vaksin seperti bayi yang baru lahir kerana Adi telah menjalani pemindahan sum-sum tulang pada Jan 2017,” tambah Amie lagi.
Ketika ini, akui Amie, Adi sudah semakin kurang ulang alik ke wad dan tidak memerlukan peralatan sokongan. Maka kos rawatan tidak sebesar sewaktu masih dalam rawatan dulu.
“ Banyak duit simpanan yang dikeluarkan bagi menampung kos sara diri, kos ulang alik hospital, kos anak yang ditinggalkan, kos ubatan dan hospital dan kos-kos sampingan. Tapi itulah pengorbanan yang perlu dibayar demi melihat Adi sembuh.
“ Kini Adi masih dalam pemantauan pihak hospital. Cuma sudah tidak lagi menerima rawatan kansernya. Setiap tiga bulan Adi akan ke Klinik Pakar Onkologi di Institut Pediatrik HKL bagi melakukan ultrasound dan pemeriksaan yang berkaitan bagi tujuan pemantauan kesihatannya. Adi juga telah mula menerima vaksin pertama pada Oktober 2018,” kongsi ibu cekal ini.
“ Selain itu, anak kedua saya pula seorang Mild Autisme + Mild Disleksia. Diagnosis ketika umurnya 3 tahun dan memulakan rawatan di Hospital Putrajaya pada 2009 sehingga tahun 2013. Manakala suami saya pula seorang kanser survival (leukemia) tapi masih perlu menjalani pemeriksaan rutin kerana disahkan menghidapi Cronic Hepatitis B ketika masih dalam rawatan sebelum ini,” Kongsi Amie.
Amie juga mengakui, sebagai manusia biasa, pasti akan ada ketikanya jiwa rasa terlalu rapuh. ” Bila kita di dalam wad, memandang keadaan sekeliling yang mana anak-anak lain yang diuji kesakitan sebegini setiap hari berperang untuk hidup. Mereka sangat kental, kuat semangat.
” Sebagaimana mereka setiap hari berjuang untuk terus hidup, berusaha untuk terus melihat esok, begitu juga saya akan sokong Adi untuk terus melihat dunia. Adi sendiri memiliki semangat juang yang tinggi. Sentiasa tersenyum dan ceria walau diduga dengan penyakit kronik. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melihat dia sembuh sepenuhnya. Saya serap semangat juang Adi agar saya juga tidak sesekali mengalah.
“ Ketika anak sakit, suami jarang di sisi kerana hospital jauh dan perlu jaga anak-anak lain di rumah. Tapi Allah hadirkan sahabat-sahabat yang selalu datang membantu. Saya sangat berterima kasih pada kumpulan perubatan dan sokongan hospital, ibu bapa, kawan-kawan, jiran, guru-guru anak saya dan orang-orang sekeliling yang sangat baik. Walaupun sebenarnya ada ketika saya juga lemah, hampir tersungkur menyembah bumi, tapi saya pilih untuk kuat dan terus kuat menghadapi hari depan, demi orang-orang yang saya sayang,” akhiri Amie menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!