Penuh Adat Istiadat. Persandingan Diraja Tengku Amir Shah, Afzaa Fadini Serlah Tradisi Kesultanan Selangor

Share

Suasana malam di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang diselubungi aura penuh adat dan keagungan warisan Melayu ketika berlangsungnya Istiadat Persandingan Diraja, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Upacara penuh istiadat itu bukan sekadar menyatukan dua hati, tetapi turut menyerlahkan keindahan tradisi Kesultanan Selangor yang kaya dengan nilai budaya dan simbolik kemuliaan.

Istiadat bersejarah yang sarat dengan tradisi Kesultanan Selangor itu bermula sekitar jam 7.45 malam, dengan keberangkatan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli menyaksikan persandingan putera kesayangan baginda.

Turut hadir memeriahkan istiadat ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kerabat diraja, pegawai kanan kerajaan serta tetamu kehormat lain.

Toh Puan Syamim Freida dan suami, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Al-Haj bertindak sebagai pengapit pasangan diraja yang sama cantik dan sama padan ini.

Mempelai Diraja

Perarakan masuk pasangan diraja ke Balairung Seri diiringi dua panglima perang dan kerabat diraja menambahkan seri keanggunan malam penuh sejarah itu. Kedua-dua mempelai tampil memukau dalam busana diraja berwarna kuning cair daripada tenunan songket halus, melambangkan keagungan dan kelembutan jiwa dua insan yang kini bersatu dalam ikatan suci.

Istiadat Merenjis disempurnakan oleh Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin, diikuti bonda Tengku Amir Shah, Puan Nurlisa Idris Abdullah, serta ibu bapa Afzaa Fadini, menandakan restu dan kasih mengiringi perjalanan baharu pasangan diraja ini.

Upacara kemudian diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, sebelum diteruskan dengan majlis santapan diraja di Balai Santapan Diraja, dalam suasana penuh adat, harmoni dan kasih.

Persandingan Diraja ini bukan sekadar sebuah upacara, ia adalah simbol penyatuan dua jiwa dalam lipatan sejarah Kesultanan Selangor, setelah Tengku Amir selamat diijabkabulkan dengan Afzaa Fadini dalam majlis akad nikah yang dilangsungkan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, sebelum ini.

Pasangan Diraja Bakal Santuni Rakyat Jelata

Sebagai tanda kasih kepada rakyat, pasangan pengantin diraja ini dijangka mencemar duli menyantuni rakyat jelata dalam Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat, yang akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 7 November ini, bermula jam 8 hingga 11 malam  di mana ia membuka lembaran baharu cinta diraja yang bukan sahaja diraikan di istana, tetapi juga di hati rakyat Selangor.

Sumber: https://www.instagram.com/selangorroyalofficial/

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu