Pasangan suami isteri yang pernah melalui detik pilu kehilangan anak sulung tahun lalu tidak menyangka akan menerima rezeki luar biasa apabila dikurniakan tiga cahaya mata perempuan sekali gus hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF Tunku Azizah) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pengubat Rindu Al-Fateh

Tiga bayi perempuan comel itu selamat dilahirkan secara pembedahan di Hospital Melaka pada jam 9.40 pagi semalam, selepas ibunya, Sabrina Hakiem, 40, yang juga seorang guru, dirawat selama 73 hari di wad bagi pemantauan rapi.

Pengubat Rindu Al Fateh – “Macam Tak Percaya Dapat Tiga Puteri Sekali Gus”
Mejar Mohd Fikry Amri dan isteri Sabrina dikurniakan kembar tiga selepas menjalani rawatan IVF tajaan TAFF. Foto Ihsan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri.

Suaminya, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri, 40, menyifatkan kelahiran itu sebagai anugerah terindah buat mereka selepas kehilangan anak sulung, Muhammad Al Fateh Amri, yang meninggal dunia di sebuah taska pada 6 September tahun lalu ketika berusia lapan bulan.

“Perasaan memang gembira dan teruja… macam tak percaya bila dapat tahu bukan dua, tapi tiga sekali gus,” katanya ketika dihubungi, sambil menyifatkan kelahiran tiga puteri itu sebagai pengubat rindu Al-Fateh yang tidak ternilai.

Tawaran IVF Dari Tunku Azizah

Menurut Mohd Fikry, segalanya bermula pada Februari lalu apabila mereka menerima panggilan daripada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri yang berkenan menaja rawatan IVF Tunku Azizah di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

“Masa itu memang terkejut dan terharu apabila Tuanku sendiri sudi membantu. Isteri pula ketika itu masih dalam kemurungan selepas kehilangan anak, kami akhirnya menerima tawaran itu dan rawatan bermula pada Mac,” ujarnya.

Rezeki Kembar Tiga Tidak Disangka

Beliau menambah, mereka menerima berita kehamilan pada 17 April tanpa mengetahui bahawa kandungan itu sebenarnya kembar tiga.

Ads

“Waktu rawatan, dua embrio dimasukkan dan berjaya disenyawakan, tetapi semasa pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Melaka pada 16 Mei, doktor terkejut apabila mendapati ada tiga janin dalam rahim isteri. Salah satu embrio pecah menjadi dua,” katanya.

Pengubat Rindu Al Fateh – “Macam Tak Percaya Dapat Tiga Puteri Sekali Gus”

Perjalanan Kehamilan Penuh Ujian

Sebelum dirawat di Hospital Melaka, Sabrina terlebih dahulu dimasukkan ke Hospital Putrajaya selama sebulan akibat pendarahan ketika berada di Southville City, Dengkil.

“Selepas 17 hari di Putrajaya, kami minta rawatan susulan dibuat di Hospital Melaka kerana saya bekerja di Terendak, Melaka. Sepanjang tempoh itu, saya ulang-alik menjaga isteri dan urusan kerja,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan berkala dilakukan setiap dua minggu di hospital kerajaan dan swasta bagi memastikan kesihatan ibu dan bayi sentiasa stabil. Disebabkan risiko tinggi, doktor menasihatkan agar proses kelahiran dibuat di Hospital Melaka.

Ads

Kelahiran Selamat Di Hospital Melaka

Selepas kandungan mencecah 31 minggu, doktor akhirnya memutuskan untuk melakukan pembedahan caesarean bagi mengelakkan komplikasi. Tiga bayi itu dilahirkan selang beberapa minit — bayi pertama seberat 1.8 kilogram (9.40 pagi), bayi kedua 1.78 kilogram (9.42 pagi) dan bayi ketiga 1.93 kilogram (9.46 pagi). Ketiga-tiganya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) untuk pemantauan selama sebulan.

“Yang lebih menyentuh hati, lima minit sebelum pembedahan, Tunku Azizah sempat menghubungi kami untuk memberi semangat kepada isteri serta berbual dengan doktor dan jururawat,” katanya.

Doa, Rezeki Dan Keikhlasan

Mengimbau kembali kehilangan anak sulungnya yang juga berlaku pada hari Jumaat, Mohd Fikry menyifatkan kelahiran tiga bayi itu sebagai bukti kebesaran Allah SWT dan pengubat luka yang amat mendalam.

Pengubat Rindu Al Fateh – “Macam Tak Percaya Dapat Tiga Puteri Sekali Gus”

Ads

“Isteri dan anak-anak kini dalam keadaan baik. Kami amat bersyukur dan menjunjung kasih atas keprihatinan serta bantuan Tunku Azizah yang menjadi asbab kepada kelahiran tiga puteri kami,” katanya lagi.

Kisah pasangan ini menjadi inspirasi ramai, membuktikan bahawa setiap kehilangan pasti digantikan dengan rezeki dan kebahagiaan yang tidak disangka. Rawatan IVF Tunku Azizah bukan sekadar usaha perubatan, tetapi juga simbol kasih dan keprihatinan terhadap mereka yang berjuang mendapatkan zuriat.

Sumber: Harian Metro 

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI