Sesungguhnya pengorbanan dan kasih seorang mak memang tanpa batasan.Demi kebahagiaan anak, seorang wanita sanggup mendermakan rahimnya sendiri kepada anak perempuannya yang memiliki rahim tidak berfungi agar turut berpeluang mengandung dan mampu melahirkan anak.
Kejadian yang berlaku di Beijing, China ini, Pembedahan pasangan anak beranak Liang Juan, 29, dan ibunya, 51, berlangsung selama 15 jam di Hospital Xijing, wilayah Xi’an, pada 23 Disember lalu, membabitkan sepasukan 20 pakar bedah dari 10 jabatan.
Pembedahan itu menggunakan kemajuan teknologi robotik bagi mengeluarkan rahim daripada ibu Liang sebelum dipindahkan kepadanya. Ketika proses permindahan rahim tersebut, jarak perbezaan umur dua beranak ini adalah 22 tahun.
Masalah Rahim Tidak Berfungsi
Menurut laporan Daily Mail, Liang Juan mengalami masalah rahim tidak subur dan sekaligus menjadikan rahimnya tidak berfungsi atau tiada.
Ads
Menurut laman web tentera China, 81.cn, antara 30,000 hingga 40,000 bayi perempuan dilahirkan tanpa rahim atau alat sulit setiap tahun.
Liang Juan ialah wanita kedua di China yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan rahim.Wanita pertama, Yang Hua, yang ketika itu berusia 22 tahun, juga menjalani pembedahan di hospital yang sama pada November 2015. Dia menerima rahim daripada ibunya yang berusia 41 tahun.
Ads
South China Morning Post melaporkan, Liang Juan berkata, harapannya untuk memiliki anak sebelum ini musnah kerana dilahirkan tanpa rahim.
“Saya amat berterima kasih kepada ibu dan doktor. Ini usaha mereka bersama untuk saya mencapai impian menjadi seorang ibu,” katanya yang sedang pulih daripada pembedahan.
Lakukan IVF Selepas Pembedahan
Liang akan menerima rawatan kesuburan persenyawaan (IVF) selepas pulih daripada pembedahan.
Ads
Sementara itu, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan, Dr Chen Biliang berkata, kes kedua itu agak rumit berbanding pembedahan pertama sebelum ini.
“Ibunya sudah menopaus menyebabkan saluran darah keras. Ia rumit kerana sebaik rahimnya dipindahkan kepada anaknya, darah perlu mengalir lancar,” katanya.
Pembedahan pemindahan rahim yang berjaya amat jarang kerana prosesnya kompleks serta rumit dan pembedahan kedua di China ini, ialah yang ke-31 di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, Brazil, Sweden, India, Jerman, Serbia, Republik Czech, Arab Saudi dan Turki. – Agensi
Lumrah manusia ada sahaja yang tidak berkenan di mata. Anak ramai salah, anak sikit salah, tiada anak apatah lagi. Anak ramai atau sedikit merupakan rezeki dan amanah daripada tuhan. Bersyukurlah, jaga sebaiknya dan usah pedulikan sangat dengan kata-kata nista oleh orang lain. Yang paling penting, kita sebagai mak ayah tahu menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan anak-anak tidak terabai.
Secebis perkongsian cerita oleh Lutfi Lokman yang memiliki anak ramai ini, mungkin boleh menjadi penenang hati, mak-mak yang selalu terasa hati bila ada anak ramai.
“Teruk sangat ke kita anak ramai?” soal isteri saya mengadu dalam kereta ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Eh. Kenapa cakap macam tu?” hati kecil saya berasa tidak sedap.
“Takdelah, tadi dekat shopping mall, orang berbunyi ‘Ee.. Ramainya anak dia’, ‘1,2,3,4,5 tu dia ramainya’, ‘Kahwin muda mak ni, anak berderet’, kenapa mereka bunyi macam tu?” soal si perempuan ini lagi.
Hatinya tidak tenteram mungkin dengan teguran-teguran seperti itu. Ditambah dengan pandangan masyarakat melihat beliau membawa sejumlah anak ke hulu ke hilir.
Saya berfikir sejenak untuk memberikan kata terbaik.
“Oh, mereka seronok tu. Seronok tengok kita dengan sejumlah penumpang yang ramai. Seronok melihat kemeriahan anak-anak. Tak apalah. Allah jadikan semua itu terbaik. Anak ramai ke, tak ada anak ke, anak sorang ke, itu semua aturan yang Allah dah tetapkan. Masing-masing ada kelebihan dan kebaikan. Jangan duk susah hatilah pasal anak berderet ke. Anak berlambak ke, Anak terborong ke. Semua itu rezeki. Ataupun lepas ni…” saya tidak meneruskan jawapan, kerana saya tahu jawapan itu tidak memuaskan hati beliau. Lantas, fikiran saya menerawang ke beberapa bulan yang lepas…
Saya teringat peristiwa ketika menunggu isteri di Klinik Kesihatan Semenyih.
Di hadapan saya ada seorang makcik. Sekejap-sekejap dia berpaling kepada saya di belakang. Saya diamkan sahaja. Akhirnya mungkin tidak tahan untuk bertanya beliau bersuara.
“Anak ke ni? kembar ya? berapa semua?” bertalu makcik tu tanyakan saya.
“Err, tak jual kak,” saya buat lawak sambil tersengih bodoh tapi kacak.
“Panggil acik dahlah. Saya dah tua,” beliau tersenyum.
Lalu kami meneruskan perbualan.
Beliau mempunyai 2 orang anak. Yang sulung perempuan telah berkahwin dan tinggal berasingan di Puchong. Manakala yang bongsu lelaki tingkatan 1 tinggal bersama beliau. Suaminya kerap outstation kerana menguruskan perniagaan. Tinggallah beliau bersama anak lelaki tunggalnya di rumah.
Diulit kebosanan, beliau mengambil upah menjaga anak jiran untuk tinggal bersama sebagai peneman.
“Acik sunyi sangat. Rindu betul pada anak. Rasa menyesal anak sikit. Walaupun rumah tu ada si adik tapi yerlah balik sekolah dia asyik dengan henponnya. Sibuk nak keluar dengan kawan. Tinggallah kita sorang-sorang. Kalau si kakak tu ada datang, cerialah sikit rumah ni. Tapi..” beliau memandang jauh ke hadapan. Dari raut wajahnya seolah-olah tersembunyi pelbagai rahsia hati.
“Dia pun kenalah ikut suami. Ada masa suami kata balik jenguk mak, dia ikutlah. Kalau suami sibuk, dia tak boleh kata apa,”
“Acik kalau call, acik tak tanya anak nak datang bila. Acik akan call menantu. Sembang dengan dia dan tanya kalau ada free nak makan di rumah bagitahulah, acik nak masak. Acik sebenarnya harap sangat diorang balik jenguk acik. Tapi yerlah masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Bukan salah mereka.”
“Emak acik dulu pun dah nasihat acik, nanti kalau anak engkau dah berumahtangga, jangan ganggu mereka. Biarlah mereka susah senang dan buat hal sendiri. Kalau mereka ingat, adalah rezeki engkau. Anak perempuan ni bila dah berkahwin dia milik suaminya. Untung kalau menantu tu baik dengan kau. Macam gitulah emak acik pesan. Acik pegang sampai sekarang. Tapi nak, hati ni tak kuat. Kadang-kadang nak sangat mereka ni semua ada di tepi. Nak tengok depan mata. Tu jer,” panjang lebar makcik tersebut bersyarah dan meluahkan perasaan kepada saya.
Saya dah menangis sambil kesat hingus. Terus teringat pada emak dan emak mertua. Itulah mungkin perasaan mereka dengan anak mereka.
“Untung kau nak, muda-muda anak dah ramai. Biarlah. Kau jagalah anak kau ni. Besarkan mereka. Nikmati saat ini. Waktu akan berlalu dengan cepat. Apabila sampai masanya, mereka akan pergi tinggalkan kau. Didik mereka betul-betul ya,” tambah makcik tersebut. Wajahnya kelihatan letih selepas mencurahkan perasaan dan isi hatinya.
Saya mengangguk. Isteri saya tiba dan bersalaman dengan makcik tersebut lalu kami berpisah setelah selesai urusan masing-masing.
Cerita yang akan saya simpan buat rujukan anak-anak dan kita semua.
Saya harap isteri tersayang membaca coretan ini dan bersyukur lalu usah pedulikan sangat kata orang. Paling teruk pun sakit hati jer. Ia tidak menjejaskan anggota badan kita yang lain. Kot-kotlah patah tangan ke, kaki terkoyak ke itu lainlah.
Lalu saya sambung dengan tenang, “… kita tak payah keluar pergi ke shopping mall dah ya. Kita duk rumah diam-diam je tak payah jumpa orang. Ok?”
Majlis pernikahan pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan bisu ini mendapat perhatian apabila Muhammad Hawari Hashim, 28, dapat memenuhi syarat nikah isterinya. Syarat nikah itu adalah menghafal lima surah iaitu Al Fatihah, tiga Qul dan Al-Asr dalam bahasa isyarat beserta terjemahan.
Sejak Sabtu lalu, video mereka telah tular di media sosial malah mendapat liputan umum yang meluas. Di sebalik usahanya itu, rupanya suami ini telah mengambil masa 3 bulan belajar al Quran sehingga mampu memenuhi permintaan isterinya, Safiyyah Tang Xie Li (OP Muallaf).
Bukan sekadar membaca, Muhammad Hawari juga dapat menjelaskan maksudnya dengan baik sebelum mereka diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.
Sesi itu dipersembahkan sebelum majlis akad nikah versi isyarat. Yang mana hafazan itu dinilai oleh Ustaz Mohd Zaid dari FAQEH Training Consultancy dan dibantu oleh Cikgu Meeze, Pensyarah UKM sebagai jurubahasa isyarat.
Dalam majlis berkenaan, pengantin lelaki ini dinikahkan oleh ayah angkat Safiyyah, Hj. Norakyairee Mohd Raus dan disaksikan bapa kandung isterinya, Tang Beng Tee sekeluarga.
Acara berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai.
Muhammad Hawari merupakan anak ketiga daripada 5 beradik. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang cukup istimewa. Akuinya, 4 orang daripada 5 beradiknya mempunyai kelainan upaya pendengaran.
“Saya bersekolah di Sekolah Rendah dan Menengah Pendidikan Khas Pulau Pinang dari tahun 1997 hingga 2008. Isteri saya pula berasal dari Selangor dan pernah bersekolah yang sama dengan saya.
“Perkenalan selama hampir 10 tahun sejak dari bangku sekolah telah membawa kami ke jinjang pelamin pada 17 Mac lalu.”
Safiyyah memeluk Islam kira-kira dua tahun lalu. Beliau telah diberi pendedahan mengenai selok belok agama Islam dan pengajian Al-Quran serta ibadah melalui usaha Yayasan FAQEH dan Kelab Sukarelawan Sahabat FAQEH USIM.
Terutamanya melalui keluarga angkat beliau sendiri (Hj Norakyairee Mohd Raus dan Zaharatul Sophia Mohamed Amir Abas).
“Jadi secara tak langsung, isteri saya yang telah mahir menghafal beberapa surah pilihan. Lalu dia menetapkan syarat nikah. Yang mana saya perlu menghafal 5 surah iaitu Al Fatihah, 3 Qul dan Al-Asr.”
“Sejak itu, saya mula belajar. Alhamdulillah mampu menguasai hafazan surah tersebut dan terjemahannya dalam masa 3 bulan melalui kaedah dan teknik khusus yang dibangunkan oleh Yayasan FAQEH.
“Keluarga angkat Safiyyah juga mengajarnya mendalami Islam dan Al Quran berasaskan kekuatan dan kelainan upaya belajar dalam komuniti OKU Pekak.”
Keluarga angkat Safiyyah ini juga mengusahakan dan terlibat dalam kerja-kerja NGO Islam iaitu Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) yang bertempat di Nilai Impian, Negeri Sembilan.
“Saya dikenalkan dengan Ustazah Fathiyah Zakaria, Alumni Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM yang juga mantan guru di Yayasan FAQEH.”
Beliau turut mengusahakan kelas pembelajaran Quran dan Ibadah bagi OKU Pekak di Akademi QurANIS al-Husni bertempat di Pusat Dakwah & Tarbiah Wadi an-Nasr (Penempatan sementara) beralamat, NO. 20, Kampung Sungai Seluang Bawah, 09600 Lunas, Kulim, Kedah.
“Di sini, saya dilatih untuk mengenal Quran, menghafaz menggunakan Kaedah Tahfiz Akhyar dan Penulis Wahyu, membaca Quran menggunakan Huruf Arab versi Isyarat dan menjelaskan maksud ayat menggunakan terjemahan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
“Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kesabaran, saya berjaya membuktikan bahawa Quran tidak pernah menolak hak OKU untuk mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.
“Cuma kadang-kadang masyarakat kita khilaf dan kurang meneroka keindahan Quran yang Allah janji pahalanya yang berganda dan memberi kelonggaran serta kemudahan untuk mempelajarinya. Sebagaimana jelas tuntutannya hingga diulang sebanyak 4 kali dalam Surah al-Qamar:54: 17, 22, 32 & 40.”
Yayasan FAQEH turut membangunkan kurikulum khas iaitu QurANIS bertujuan memberi ruang dan peluang OKU Pekak dan Pembelajaran dididik menerima tuntutan Islam.
Ia turut memodelkan kelas agama bagi OKU dan menawarkan khidmat latihan dan konsultasi ke arah melahirkan sukarelawan Dakwah OKU dan guru berkemahiran yang mendidik dengan hati.
Yayasan FAQEH turut berkolaborasi dengan Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR), Universiti Malaya dan Kluster Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia.
Kini, kurikulum QurANIS telah diaplikasi lebih 20 pusat pendidikan OKU di serata tanah air termasuk di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu Sabah sebagai rakan afiliasi.
“Justeru, mewakili komuniti senasib dengan saya, saya menyeru pihak berwajib khususnya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), untuk memainkan peranan aktif dalam membantu pusat-pusat pendidikan agama bagi OKU.
“Sama ada yang diusahakan secara sukarela dan menawarkan kelas atau sekolah agama bagi OKU sebagaimana wujudnya penawaran kelas KAFA dan Sekolah Agama Rakyat bagi golongan tipikal.
Wanita melakukan aktiviti riadah seperti keluar berjoging dan bersukan mungkin dianggap biasa di negara kita dan kebanyakan negara lain. Namun tidak bagi negara yang mempunyai undang-undang yang ketat seperti Arab Saudi.Larangan peraturan ini tidak lagi berlaku di negara tersebut.
Ini kerana baru-baru ini,sekumpulan wanita di bandar Jeddah kelmarin meraikan Hari Wanita Antarabangsa dengan melaksanakan kebebasan baru yang diberikan kepada mereka iaitu hak untuk keluar berjoging.
Dengan memakai jubah yang disesuaikan untuk bersukan, wanita berkenaan bersorak kegembiraan ketika berlari di sepanjang lorong sambil diperhatikan pemilik kedai yang kebingungan.
Walaupun kerajaan sudah memperkenalkan pendidikan jasmani kepada remaja perempuan tahun lalu dan mula memberikan lesen untuk mewujudkan kelab sukan wanita, tetapi masih ada juga yang kehairanan melihat wanita berkenaan berjoging di tempat awam.
“Ini adalah permulaan revolusi untuk wanita di Arab Saudi. Semuanya akan berubah untuk kami termasuk dalam pekerjaan, kehidupan dan masyarakat,” kata seorang peserta acara itu yang juga pelajar universiti, Sama Kinsara.
Wanita di negara ini mengalami perubahan besar selepas Putera Mahkota Mohammed bin Salman menarik beberapa sekatan utama ke atas hak mereka.
Wanita kini boleh menonton perlawanan bola sepak di stadium, mengambil bahagian dalam acara sukan dan akan dibenarkan memandu kereta menjelang Julai depan.
Namun, Arab Saudi masih antara negara yang mempunyai undang-undang paling ketat untuk wanita di dunia.
Ini kerana tiada wanita yang dilantik menjadi menteri dan masih mengekalkan sistem yang mengharuskan wanita mendapatkan kebenaran mahram untuk membuat keputusan penting.
Tahniah buat wanita Arab Saudi diatas kebebasan dan hak yang diberikan untuk melakukan aktiviti sihat ditempat terbuka seperti wanita dinegara-negara lain.
Opah Strawberi tampil memohon maaf selepas tular isu membalas komen netizen dengan perkataan kasar. Usahawan terkenal itu mengakui kesilapan dan berjanji lebih berhati-hati dalam komunikasi selepas ini.