Ads

Peguam Syarie Dedah Isteri Zalim Itu Wujud, Adu Makan Ayam Busuk & Jual Air Mata Untuk Raih Simpati

Peguam syarie dedah isteri zalim itu wujud, adu makan ayam busuk & jual air mata untuk raih simpati. Kita sering berbicara tentang suami derhaka namun jarang berani mengakui bahawa dalam diam, isteri juga mampu menjadi zalim membuang suami seperti kain buruk selepas semua hajatnya tercapai.

Hakikat pahit ini dibongkar melalui satu kisah yang dikongsikan  seorang peguam syarie, Syuhada Zulkifli dari Tetuan Syuhada Zulkifli & Co, Wakaf Beruas, Kuala Terengganu yang berkongsi  bagaimana air mata dan kisah penderitaan menjadi “modal utama menipu” sehingga menutup kebenaran betapa kejamnya seorang isteri di sebalik air mata yang keluar.
Peguam Syarie Dedah Isteri Zalim Itu Wujud, Adu Makan Ayam Busuk & Jual Air Mata Untuk Raih Simpati
Sebuah kisah yang mengingatkan kita bahawa tidak semua yang datang merayu itu benar-benar teraniaya dan tidak semua yang diam itu bersalah.
Benar, kisahnya sangat menusuk jiwa dan peguam syarie yang mewakili isteri zalim ini secara pro bono akui menangis kerana membantu orang yang salah. Orang yang menjual air mata demi menutup semua kesalahannya.
AYAM BUSUK, TUDUNG BASAH DAN KAD PENCEN SUAMI
Pagi itu saya sampai awal di mahkamah. Mewakili seorang isteri dalam kes cerai takliq.

Isteri ini mencari saya beberapa bulan lalu minta pertolongan. Saya namakan Kak Ani.

“Dah lebih 6 bulan suami tinggalkan kami dan anak-anak. Suami duduk dengan keluarga dia. Tolong saya puan, saya dah cukup terseksa hidup gantung tak bertali macam ni. Mana nak cari duit makan lagi untuk anak-anak”.
Sambil bercerita, tudung Kak Ani basah lencun dengan air mata. Katanya lagi, suami tak pernah hirau dengan keluarga. Buat hal dia sahaja. Macam cakap dengan tunggul. Keluarga suami pula selalu cari gaduh, dia jadi terseksa mental. Sudah hilang keharmonian, tiada lagi tempat bergantung.

“Anak-anak sampai berhenti sekolah. Tangguh pengajian universiti kerana masalah kewangan yang meruncing,”kongsinya.

Saya tumpang simpati, cuma kesedihannya entah pada saya tak sampai. Bukan apa, kalau dah lama dalam bidang ni, kita ada keupayaan untuk bezakan air mata mana yang genuine perlukan pertolongan.

Astaghfirullah..mungkin sangkaan saya sahaja.

“Siapa tanggung makan minum puan dan anak-anak?” saya bertanya untuk kepastian.

“Saya ada pegang kad bank suami. Tapi berapalah sangat duit pencen suami ni puan..”
Ada sekali Kak Ani telefon saya tengah malam beritahu hari itu dia makan ayam busuk dengan anak-anak. Menangis dia sambil mengadu teresak-esak. Runtun naluri saya sebagai ibu.

Saya hulurkan sedikit pertolongan buat beli barang mentah keesokan hari. Tiba saja hari bicara, kes dipanggil untuk sebutan dahulu.

“Pemohon dan Responden sila masuk”. Saya berpaling dan alangkah terkejutnya saya melihat keadaan si suami. Berkerusi roda dan tangan terketar-ketar. Cakap pun dah merapu. Tidak sama apa yang digambarkan Kak Ani.

Saya minta untuk stand down. Datang dua orang wakil keluarga suami mendekati. Takut-takut nak bercakap dengan saya.

Ads
Mereka perkenalkan diri sebagai abang dan kakak kepada suami tadi, Pok Ali dan Kak Yah.
Kami ke tepi dewan. Minta ruang masa sedikit untuk bercakap. Tak semena-mena,

dihulurnya sebuah fail yang tebal.Saya belek meneliti kesemua dokumen.

Mereka mulakan cerita dengan keluarga ini dihalang jumpa adiknya hampir 5 tahun.

Kematian adik beradik pun tak dibenar pergi.Tahu-tahu dibuang begini. Luluh hati.

Hari ini, si isteri pulangkan adik mereka lunyai seperti kain buruk. Sudah tak berguna lagi.
Daripada seorang penjawat awam berpangkat tinggi sehinggalah sehelai sepinggang.

Isteri jual 25 keping hartanah suami dan pindahkan amaun hasil jualan ke akaunnya.

Peguam Syarie Dedah Isteri Zalim Itu Wujud, Adu Makan Ayam Busuk & Jual Air Mata Untuk Raih Simpati
Ada juga loan bisnes isteri buat atas nama suami sebanyak RM300,000 ditinggalkan.
Saya meneliti setiap transaksi, menyelak setiap helaian kertas macam nak pecah dada.

Transaksi terakhir dengan jumlah 5 angka adalah seminggu sebelum adik dihantar pulang ke pangkuan keluarga.

Masa hantar, sempat si isteri berpesan pada Pak Ali. “Nanti lepas cerai, saya akan tuntut nafkah anak-anak letak nama abang. Abang kena bertanggungjawab lah Din dah tak boleh kerja!” ujar dia yakin.

Ads

Adik ketika sihat, dikatakan selalu makan sepak terajang isteri. Daripada seorang ahli sukan gagah bertubuh sihat sehingga menghidap bipolar disorder yang kronik. Entah apa bentuk seksaan dilalui selama ini.

Dalam pada kesedihan yang amat, dua beradik ni tak pernah menyerang iparnya. Terlalu kecewa sehingga tak boleh nak buka mulut atau bertemu mata. Orang yang marah dalam kekecewaan, kecewa yang sebanyak-banyaknya, dia tidak mampu untuk bertengkar tetapi memilih untuk pergi.

Marah itu sudah pun berlalu. Marah itu dibenamkan dengan kesabaran yang disimpan selama ini. Dua beradik ini ada harta dan pangkat, bila-bila masa sahaja boleh kenakan si isteri yang riang menari atas penderitaan orang. Tetapi mereka memilih untuk berundur.
Ada adik yang perlu diselamatkan. Ada anak-anak yang sedang membesar. Mereka ambil amanah, bawa si adik ulang alik hospital untuk rawatan psikitari. Hutang nama adik juga dilangsaikan. Kadang, anak saudara (anak adik) di kampus minta duit, mereka tetap hulur.

“Kita ada Allah, kita ada akhirat, puan.  Kat dunia dia boleh bersenang-lenang hidup aniaya orang, dia lupa agaknya semua ni pinjaman sementara,” Kak Yah menutup perbualan. Tidak ada setitik air mata yang jatuh.

Saya undur diri, berjalan keluar terlihat Kak Ani yang sedang tersenyum riang.

Saya tak boleh nak bertentang mata.

Pandangan saya kabur. Bercakap pun dah tak betul, saya minta izin untuk gerak. Lemah lutut menapak. Terasa jauh sangat kereta.

Ads

Setiap langkah terbayang-bayang cerita Kak Ani. Cerita kad bank pencen suami, ayam busuk dan tudung yang basah dengan air mata datang bersilih ganti.

Masuk sahaja ke dalam kereta, saya hidupkan enjin. Saya dah tak boleh tahan. Lantas menekup muka, menangis semahu-mahunya. Dah lama saya tak menangis berat begini.

Berat rasanya perasaan bantu orang yang zalim. Memudahkan cerai takliq Kak Ani ibarat membuka satu pintu jalan yang lebih merosakkan. Tangisan semakin panjang.

Lebih berat, harini Allah pertemukan saya dengan dua mukmin berjiwa besar, barangkali sudah tidak lagi merasai dunia seisinya.

Hebat asuhan keluarga ini, tidak ada riak dendam. Siapalah ibu ayahnya, ya? Keikhlasan menjaga adik yang dibuang sambil tunaikan kewajipan ibarat menjahit luka sendiri yang masih mengalir pekatnya darah.

Akhlak mereka menggentarkan jiwa saya. Tidak ada sebutir kata nista. Yang meniti di bibir hanya Allah dan sabar. Mereka lihat ujian yang datang bukan pada sebatang tubuh tetapi dari Allah. Daripada meratapi ujian, meraka anggap ia peluang untuk mencari gedung pahala.

Bilang Pak Ali, sekujur jasad itu akan kembali ke tanah jua seperti mereka. Mereka redha dengan segala ketentuan serta yakin dengan pembalasan akhirat.

Di atas kesabaran yang luar biasa, saya mendoakan semoga Allah kurniakan Pak Ali, Kak Yah sekeluarga ganjaran syurga tertinggi tanpa hisab, bangkitkan mereka di sana nanti dengan wajah yang bercahaya.

Tahu apa yang lebih ironi? Ya, saya bawa kes ini secara pro bono. Moga Allah ampuni saya.
Begitulah tipu daya seorang wanita.
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Lain

Cara Bahagia Shila Amzah, Perlunya Usaha Dua Hala

Cara bahagia Shila Amzah, perlunya usaha dua hala. Bagi pelantun lagu Patah Seribu ini, hubungan suami isteri bukan hanya bertahan ketika senang.