Kes tragis yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus mendapat perhatian seluruh negara.
Selepas beberapa minggu siasatan, seramai lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, pada Rabu ini berhubung insiden buli membabitkan arwah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan semua remaja terbabit berusia bawah 18 tahun akan dibawa ke mahkamah untuk proses pertuduhan. Semua remaja akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.
“Seramai lima orang akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu kerana kesalahan berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina. Mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan rasmi menyatakan pihaknya meneliti kertas siasatan polis dan memutuskan untuk menuduh beberapa individu terbabit berdasarkan keterangan yang diperoleh.
AGC turut menegaskan bahawa walaupun pertuduhan kesalahan buli dilakukan, siasatan berhubung punca kematian Zara Qairina tetap diteruskan termasuk prosiding inkues yang kini sedang berjalan di mahkamah.
Kes ini bukan sekadar angka di mahkamah, tetapi luka yang membekas di hati seorang ibu yang kehilangan anak. Arwah Zara Qairina pergi pada usia yang terlalu muda di kala sepatutnya sibuk mengejar pelajaran, membina persahabatan dan menikmati zaman remaja.
Sumber: https://www.bharian.com.my/
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE