Bagi membantu semua pihak termasuklah mereka yang tidak mempunyai kenderaan dan masih terkandas di kampung, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan kajian tentang operasi pengangkutan awam.
Setakat ini, operasi bas ekspres belum dibenarkan walaupun pihak kerajaan telah memberi kelonggaran untuk merentas negeri dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sekiranya langkah ini diambil sudah tentu akan membantu ramai pihak.
PDRM Laksana Kajian
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan kajian terperinci berkaitan operasi pengangkutan awam seperti bas ekspres untuk membolehkan mereka yang tidak mempunyai kenderaan persendirian bergerak pulang ke kediaman masing-masing di bandar.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa sekarang operasi bas ekspres belum dibenarkan walaupun kerajaan telah memberikan kelonggaran kepada hampir semua sektor di negara ini.
“Kajian yang dilaksanakan oleh PDRM ini turut meliputi soal berapa jumlah bas yang dibenarkan untuk bergerak pada 7 hingga 10 Mei nanti jika ia dibenarkan beroperasi.
Ads
“Saya percaya polis akan melihat perkara ini secara terperinci dan menyelesaikan permasalahan mereka yang terkandas di kampung,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Ditanya adakah pergerakan rentas daerah dan masa orang awam berada di atas jalan raya masih dihadkan, beliau berkata, pergerakan antara daerah dibenarkan dan tiada masa dihadkan untuk keluar.
“Dalam peraturan baharu tidak ada had dan sekatan perjalanan antara daerah. Cuma buat masa sekarang ada sekatan pergerakan antara negeri,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
MW: Sekiranya perkhidmatan atau operasi bas ekspres dibenarkan maka bukan sahaja membantu mak, ayah yang masih terkandas di kampung halaman untuk pulang ke rumah masing-masing. Tidak ketinggalan membantu syarikat bas dalam menjana pendapatan kembali setelah terjejas sepanjang PKP dijalankan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Masih ramai yang terpisah daripada keluarga tercinta apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Biar pun kerajaan baru-baru ini telah memberi peluang kepada rakyat untuk merentas negeri bagi yang terkandas, tetapi wanita ini gagal berbuat demikian ketika tempoh itu dilaksanakan.
Disebabkan Rohayu Ariffin hanya bergantung kepada pengangkutan awam membuatkan harapannya untuk pulang ke pangkuan suami dan anak-anak hanya tinggal angan-angan apabila bas tidak dibenarkan beroperasi buat masa ini.
Sudah tentu perasaan ibu ini resah mengenangkan anak-anaknya yang lain bersama suami berpuasa dan tidak lama lagi menyambut hari raya tanpa kehadirannya. Hendak pulang ke Johor, bas ekspres tiada, sudahnya dua beranak ini terkandas dengan wang simpanan yang berbaki RM50.
Seorang wanita bersama bayinya berusia 11 bulan ditemui dalam kesusahan di kawasan Panchor, Pengkalan Chepa, Kelantan apabila terkandas akibat ketiadaan bas ekspres untuk pulang ke Skudai, Johor.
Suri rumah berkenaan, Rohayu Ariffin, 40, ditemui berjalan kaki sambil mendukung bayi lelakinya pada jam 1 tengah hari.
Dia pada mulanya menaiki teksi dengan tambang RM60 dari Kampung Rantau Panjang ke Balai Polis Rantau Panjang kemudian menuju Stesen Bas Mutiara di Panji di sini untuk membeli tiket pulang.
“Saya mendapat surat kebenaran pulang daripada pihak polis dan pergi untuk membeli tiket bas tetapi kerani di kaunter memberitahu tidak ada tiket yang dijual dan tiada perjalanan bas ekspres serta meminta saya datang semula pada Isnin depan.
“Saya kemudian naik semula teksi yang sama tanpa arah tuju dan meminta pemandu menurunkan saya, ketika itu di kawasan berhampiran lampu isyarat Panchor,” katanya ketika ditemui di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ar-Arshadi Panchor, Pengkalan Chepa.
Dia kemudiannya pergi ke Pasti berkenaan untuk menumpang tandas bagi menukar lampin bayinya yang membuang air besar sebelum sekumpulan guru yang berada di pusat asuhan itu menawarkan bantuan.
“Saya ceritakan keadaan saya sebelum guru itu membenarkan saya bersama anak untuk tinggal sementara di Pasti itu selama lima hari sehingga 11 Mei ini.
“Selepas tarikh itu nanti saya sendiri buntu memikirkannya sebab tiket bas pun belum tentu ada dan saya belum pasti boleh balik ke Johor atau tidak,” katanya.
Wanita empat anak itu berkata, pada 15 Mac lalu, dia bersama bayinya itu pulang ke kampung halaman di Rantau Panjang menaiki bas ekspres bagi menghadiri kenduri perkahwinan adik tirinya pada 25 Mac lalu.
“Saya pulang tiga hari sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu menyebabkan saya terkandas sudah lebih sebulan di kampung.
“Empat lagi anak berusia 20 hingga 7 tahun ada bersama suami di Johor dan saya tidak boleh balik semula ke Rantau Panjang kerana keadaan keluarga di sana juga susah selain memerlukan lebih belanja,” katanya.
Tambahnya, duit di dalam simpanan hanya tinggal RM50 untuk makan dan minuman sepanjang tempoh terkandas ini.
Katanya, suaminya, Mohd Faizal Ismail, 50, yang bekerja sebagai pemandu lori sudah dimaklumkan tentang perkara itu dan akan segera mencari penyelesaian kerana bimbang keadaannya.
“RM60 sudah disimpan siap-siap untuk membeli tiket. Mujurlah ada guru Pasti yang membantu menumpangkan sementara kelas murid untuk saya berehat dan tidur bersama anak kecil ini,” katanya.
Sementara itu, guru Pasti Ar-Arshadi Panchor, Siti Muriyani Ibrahim berkata, pihaknya membenarkan Rohayu tinggal sementara di pusat asuhan itu.
“Hari ini pejabat sebenarnya dibuka kepada ibu bapa untuk mengambil buku sekolah anak masing-masing dan kebetulan wanita ini datang untuk menumpang tandas.
“Dia boleh tinggal di sini buat seketika kerana sekolah pun belum dibuka kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
MW: Semoga dua beranak ini dapat kembali ke pangkuan keluarga tercinta dan Allah mempermudahkan urusannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siapa sangka perkongsian video-video masakan yang dimuat naik ke laman youTube berjaya menambat hati ramai, malah kini mampu memberi pendapatan tambahan. Walaupun hanya menggunakan perkakasan dan peralatan masakan yang asas. Bahkan telefon pintar yang digunakan untuk merakam video masakan tersebut juga di beli secara hutang. Bukan mudah untuk berjaya, yang penting berusaha.
Itulah kisah di sebalik kejayaan Pavithra dan suami, M Sugu, 29, yang viral di media sosial beberapa hari kebelakangan ini selepas video-video masakan yang dikongsikan menerusi saluran Youtube mereka mendapat perhatian penonton.
Selain kepelbagaian menu yang disediakan termasuk masakan India, penggunaan bahasa Melayu oleh Pavithra dalam semua video nyata berjaya menambat hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat umur untuk terus melanggan saluran pasangan suami isteri itu yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana secara tiba-tiba begitu ramai pengguna melanggan saluran Youtube kami sedangkan kami sangat baru, masih banyak kekurangan dalam kandungan video yang perlu kami perbaiki,” kata S Pavithra, 28.
Pavithra berkata, dia dan suami mula berjinak-jinak sebagai Youtuber sejak Januari lalu selepas mendapat saranan daripada rakan baik yang juga seorang YouTuber untuk menghasilkan serta memuat naik video masakan di laman berkenaan.
Menu pertama yang dikongsi mereka adalah ikan talapia bakar dan Pavithra berkata, dia dan suami menunjukkan tutorial memasak menggunakan Bahasa Melayu.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, mereka sendiri terkejut apabila jumlah pelanggan saluran mereka meningkat sehingga 10,000 dalam tempoh sebulan saluran berkenaan diwujudkan.
Susulan itu, pasangan ini menerima emel daripada YouTube untuk menjadi Rakan Youtube sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut dolar Amerika Syarikat (AS).
“Saya dan suami memang gemar memasak jadi kami tiada idea yang lebih baik untuk dijadikan kandungan utama saluran YouTube kami selain berkongsi resipi dan tutorial masakan.
“Pada peringkat awal, rakan baik saya turut mempromosikan saluran kami di salurannya jadi mungkin juga itu antara faktor video kami ditonton lebih ramai pelayar sehingga jumlah pelanggan juga naik mendadak.
“Walaupun saya berbangsa India, saya ambil inisiatif untuk hasilkan video dalam bahasa Melayu berbanding Tamil supaya ia dapat difahami lebih ramai penonton di negara ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Pavithra menjelaskan, jika orang lain mempunyai perkakasan dapur yang canggih, tidak pula bagi mereka yang hanya mempunyai perkakasan asas di dapur. Berbekalkan dua periuk termasuk periuk untuk memasak nasi selain kuali dan sudip, kandungan video dihasilkan menggunakan telefon pintar yang dibeli secara hutang untuk tujuan perkongsian video terbabit.
Rakaman juga menurutnya dibuat selepas suami pulang dari kerja atau pada hari cuti.
“Sejujurnya, kami bukanlah orang senang. Saya hanya suri rumah sepenuh masa manakala suami pekerja ladang kelapa sawit dan kami tinggal di kuarters yang disediakan majikan suami.
“Sebab itu, perkakasan yang digunakan untuk kandungan video hanyalah periuk, kuali dan sudip biasa, barang sedia ada di rumah yang kami gunakan setiap hari, tiada pun peralatan canggih.
“Kami juga tiada tripod (kaki tiga) jadi untuk menstabilkan telefon ketika rakaman, kami hanya letakkan telefon di atas cawan di tempat yang kukuh.
“Memandangkan suami agak pemalu, saya lebih banyak bercakap khususnya ketika kenalkan bahan-bahan dan cara-cara namun proses suntingan klip video dilakukan bersama selepas makan,” katanya.
Dalam pada itu, Pavithra turut menzahirkan terima kasih kepada pelanggan salurannya yang menghadiahkan mereka dengan pelbagai peralatan dapur.
“Saya menerima pelbagai perkakasan seperti pressure cooker (periuk tekanan), hand mixer (pengadun tangan) dan ketuhar yang tidak pernah saya gunakan apa lagi miliki seumur hidup saya.
“Tidak kurang juga pengikut yang menghantar bahan mentah serta rempah ratus untuk saya gunakan dalam penghasilan video.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada keluarga, jiran, rakan dan pelanggan yang sentiasa memberikan idea mengenai menu masakan seterusnya untuk saya hasilkan dalam video,” katanya.
Ketika ini, jumlah pelanggan saluran Sugu Pavithra di laman Youtube sudah mencecah 275,000 orang.
MW: Tahniah buat pasangan suami isteri ini. Siapa sangka perkongsian video di youtube menjadi punca pendapatan tambahan buat keluarga kecil ini. Semoga terus maju jaya, kekal merendah diri dan bersikap jujur dalam menghasilkan ‘content’ video yang menarik.
Alam sekolah menengah gadis ini, dipenuhi dengan memori berkaitan struktur giginya yang tidak teratur. Kadang-kadang walaupun sekadar lalu nak buang sampah di belakang kelas, ada yang sengaja memanggil dirinya dengan panggilan ‘gigi salah parking’. Menurut Farah Natasya Abd Rahman, 23 waktu remajanya dia tak pernah kisah pun hal giginya. Sebaliknya orang disekelilingnya menjadikan ketidaksempurnaan gigi beliau, bahan untuk diejek dan diketawakan.
“Masa zaman sekolah, saya tak peduli sangat dengan penampilan diri. Mungkin masih belum matang dan tak terfikir pun pasal penampilan diri. Waktu itu saya dikelilingi ramai kawan-kawan sekolah yang cantik dan Alhamdulillah mereka menerima saya seadanya. Di sekolah, tak ramai yang kenal saya dengan nama sebenar, sebaliknya mereka kenal saya dengan nama panggilan ‘gigi salah parking’.
“Lima tahun di sekolah menengah saya langsung tak tahu, gigi saya ini masih boleh dibaiki. Hanya ketika pihak klinik kesihatan datang membuat pemeriksaan gigi disekolah (sewaktu di tingkatan lima), doktor yang merawat saya memaklumkan, struktur gigi saya boleh dibaiki. Saya dinasihatkan untuk merujuk pakar untuk membetulkan gigi.
“Doktor sarankan saya ke klinik kerajaan, atas faktor masa menunggu yang lama dan juga perlu melalui proses saringan. Saya kemudian membuat survey di klinik swasta yang menawarkan khidmat membaiki struktur gigi. Setelah survey, akhirnya saya jumpa sebuah klinik yang menawarkan kos rawatan berjumlah RM6000 keseluruhannya,”kongsi Farah yang mula memakai pendakap gigi pada Ogos 2017 dan membukanya dua tahun kemudian iaitu pada Mac 2020 baru-baru ini.
Kalis keji
Menurut Farah, dia tak pernah ambil peduli kecaman orang yang mengejeknya dengan panggilan nama sebegitu. Baginya jika itu satu kekurangan kurniaan Allah, kenapa dia tak merenung kelebihan Allah berikan padanya yang ada pada dirinya tetapi tidak ada pada orang lain. Sisi positif Farah membuatkan dia mengambil pendekatan tak ambil peduli apa jua kecaman yang dilemparkan orang lain kepada dirinya satu masa dulu.
“Masalah gigi tidak teratur ini, juga dialami oleh tiga adik-beradik saya. Cuma keadaan gigi saya lebih serius dan perlu dirawat jika mahukan ia lebih teratur. Saya sudah menanggung hampir lima tahun lamanya dan memori zaman sekolah menengah saya rata-ratanya tersimpan mengenai panggilan ‘gigi salah parking’
“Bagi saya biarlah orang mengata. Saya mengambil pendekatan untuk tak ambil pusing dan tak perlu melawan kata-kata mereka. Biarkan. Bila mereka dah penat, mereka akan berhenti. Saya yakin setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jika kekurangan saya terletak di gigi, saya juga ada kelebihan disudut lain yang boleh dibanggakan. Itulah cara saya memujuk diri dan mengembalikan keyakinan diri.
“Setelah buka pendakap gigi, yang pastinya saya lebih yakin. Struktur muka saya juga berubah. Saya juga tak ambil peduli komen netizen mengenai gambar saya yang sebelum dan yang selepas. Manusia tidak dilahirkan serba sempurna. Mungkin memori diejek satu masa dulu, menjadikan saya hari ini lebih kental dan berkeyakinan,”kongsi Farah mengenai transformasi dirinya yang dikongsi bersama MW.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!