Pasangan dulu-dulu sudah beranak 2,3 barulah merasa hidup stabil, zaman sekarang lain demandnya jika hendak menyunting anak orang untuk dijadikan pasangan hidup.
Seseorang lelaki seharusnya miliki sekurang-kurangnya kerja yang tetap sebagai bukti dirinya mampu memberi makan anak orang. Miliki juga sekurang-kurangnya sebuah kenderaan agar mudah untuk ke mana, mana.
Dulu dan sekarang lain caranya, namun sebelum berumahtangga pilih dan carilah pasangan yang boleh hidup susah dan senang.
Pasangan Dulu-Dulu
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Ada yang selepas lima tahun berkawin, baru merasa naik kereta baru… Malah, ada juga yang lepas 10 tahun perkahwinan, barulah merasa masuk rumah baru…
Tak ramai yang kahwin, sudah siap serba-serbi, sempurna keperluan. Dan tak ramai yang berumah tangga, terus ada macam-macam harta…
Sudah Beranak 2,3 Barulah Merasa Hidup Stabil
Pasangan dulu-dulu, begitulah kebanyakannya.. Sudah beranak 2, anak 3 barulah kehidupan makin stabil dan semakin baik…
Sempurna itu tidaklah, tapi cukup dengan apa yang ada. Ada makanan untuk makan, ada tempat untuk berteduh dan ada keluarga untuk dibahagiakan semampunya…
Kena buktikan dahulu berharta ke tidak, kena tunjuk dulu mampu ke tidak, kena beritahu dulu kerja apa, gaji berapa, pakai kereta apa…
Jika tidak, macam mana hendak bela anak orang kan…
Betul, memang lelaki patut tunjuk… Lelaki sewajarnya perlu ada usaha ke arah kehidupan yang lebih baik. Malahan, lelaki juga perlu mampu sebelum jadi suami…
Ads
Cuma tak perlu try hard hendak meyakinkan si dia dengan berhutang keliling pinggang… Tak perlu nak nampak hebat dan nampak mewah semata-mata hendak dapatkan cinta seseorang itu untuk jadikan dia teman hidup…
Carilah Pasangan Yang Sepadan
Pasangan kita nanti adalah seseorang yang mampu terima kita seadanya diri kita… Tak lebih, tak kurang, macam mana diri kita itu, apa yang kita ada, itulah yang dia suka…
Perempuan macam ini, insyallah mampu bersabar, mampu tunggu sehingga kita betul-betul stabil untuk beli kereta baru, rumah baru dan letak dia dalam keadaan yang selesa…
Nawaitu berkahwin itu mestilah untuk menyara isteri, menggembirakan isteri dan membahagiakan isteri walau dengan apa cara sekalipun, sekadar kemampuan yang ada… Jangan berkahwin kalau tidak ada nawaitu ni…
Hidup tak mudah, rezeki tak murah kalau nawaitu berkahwin itu adalah sebab nafsu…
Mingguan Wanita : Sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga, carilah pasangan yang memahami dan mampu menerima anda seadanya. Jangan kerana cinta, sanggup berhutang untuk memuaskan hati si dia.
Semalam tular kisah penjaga taska di Melaka yang memukul anak lelaki tanpa sebab sehingga tercampak dari kerusi. Malah dalam video yang lain, ada juga anak perempuan yang digoncang-goncang tubuhnya dengan kasar.
Video kes penderaan itu sampai juga ke tangan ibu kanak-kanak perempuan yang digoncang tubuhnya. Ibu itu, Nur Hasriha Mohamad masih belum mampu menerima penderaan yang dilakukan terhadap anaknya, Dina Hanania Binti Shahrulzaman.
Luahan di laman facebook miliknya sememangnya tidak menyangka penjaga tersebut sanggup memperlakukan anaknya sedemikian rupa.
“Berkenaan dengan kes dera anak saya itu. Terus terang saya katakan, saya langsung tak boleh terima apa yang dia dah buat pada anak saya.
“Saya tak sangka, orang yang saya percaya boleh jaga anak saya sebenarnya berhati binatang (maaf bahasa kasar).
Cikgu-cikgu Semua Nampak Baik Sangat Depan Saya
Tambahnya, setiap bulan dia akan membayar yuran bulanan yang mahal untuk menghantar anaknya ke taska tersebut.
“Kami bukan dari keluarga orang senang. Yuran bulanan yang mahal iaitu sebanyak RM380 mengharapkan penjagaan yang setimpal dengan harga.
“Bukan dengan cara macam ini. Terus terang saya cakap, sepanjang menghantar anak ke situ, cikgu-cikgu semua nampak baik sangat depan saya.”
Sikap guru-guru itulah membuatnya sentiasa berfikiran positif apabila anaknya tidak mahu ke sekolah itu. “Rupanya inilah sebabnya anak saya tak nak ke sekolah. Dan dia ada juga cerita teacher pukul Dina.”
“Tapi cerita tu sebelum-sebelum kejadian. Saya tak percaya cakap anak. Dia siap tunjukkan teacher pukul macam mana.”
“Saya suami isteri masih berfikiran positif. Biarkan je apa yang Dina cakap. Setiap kali bukak fb penuh cerita pasal Dina dan video tu sentiasa menghantui fikiran saya. Hati masih belum boleh terima apa yang terjadi sekarang ini.”
Mungkin Si Kecil Ini Rasa Syurga Bila Dah Tak Sekolah Situ
Cerita ibu ini lagi, genap 14 Ogos 2018 adalah hari jadi anaknya yang ke-3 tahun. Malah dia membuat perancangan mahu menyambutnya di sekolah berkenaan.
“Perancangan awal nak sambut birthday dia kat sekolah dengan kawan-kawan. Bila dah jadi macam ni. Memang tak buatlah.”
“Ni tahun pertama dia sekolah dan tahun pertama dia dah merasai benda macam ini. Tadi sebelum dia tidur, saya ada cakap dengan dia. Dian nak sekolah baru tak? Seronok dia bila dengar Ummi dia nak carikan sekolah baru.
“Mungkin dia rasa syurga bila dah tak sekolah situ. Tapi saya harap sangat-sangat, sekolah baru nanti tolonglah jaga anak saya betul-betul. Janganlah benda ini berulang lagi. Kasihanlah budak-budak yang tak berdosa dianiaya sebegini rupa.”
Dan ketika menyaksikan rakaman video anaknya yang didera pada 11 Ogos lalu, Nur Hasriha terkejut dan menulis di status facebooknya, “What happen ni. Tu anak aku. Nape buat macam tu. Sampai hati awak.”
Terima Kasih Tuan Perakam Dan Pengurus Sekolah
Apa pun saya berterima kasih kepada tuan yang merakam dan Pengurus Sekolah kerana bertindak cepat. Puan dah melakukan yang terbaik untuk anak-anak yang teraniaya ini. Terima kasih sangat-sangat.
“Akhir sekali saya nak wish pada anak saya, Dina Hanania Binti Shahrulzaman ‘SELAMAT HARI JADI’ yang ke-3 tahun.”
“Semoga kamu jadi anak yang solehah, berbakti pada ibu bapa, cemerlang dalam hidup dan semoga kamu di bawah lindungan tuhan ya nak.”
Sebelum mengakhiri kata, Nur Hasriha menitipkan kata-kata ini untuk penjaga anaknya, “Kepada si pelaku, saya tak kan maafkan awak sampai bila-bila. Dan saya harap nasih anak saya dan lain-lain akan terbela nanti. Tak lupa juga terima kasih sarjan dari IPK kerana bersungguh-sungguh untuk membela nasib anak-anak kami.”
Bertuahnya seorang isteri, apabila mempunyai suami yang benar-benar faham dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mencukupkan urusan nafkah dan duit belanja untuk isteri serta perbelanjaan keluarga.
Duit belanja juga merupakan satu keperluan dan nilainya mengikut kemampuan namun sering dipandang remeh oleh pihak suami. Apatah lagi, sekiranya isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
Pesanan buat para suami, berusahalah beri duit belanja kepada isteri dan keluarga.Jemput baca perkongsian mengenai duit belanja daripada Dr Ahmad Zakimi Abdullah ini sebagai panduan;
“Nanti Ita check atas meja. Kot ada apa-apa rezeki ya. Love you.”
Biasanya aku akan menghantar whatsapp begitu jika aku siap dulu ke tempat kerja setiap pagi. Jika isteri pergi dulu, biasanya dia akan periksa sendiri atas meja apa yang ada sambil-sambil dia sediakan sarapan pagi untuk kami.
Jika sempat, aku kongsikan sepotong ayat Alquran atau hadis pada nota. Kalau tak sempat aku hanya tinggalkan nota ringkas atau hanya duit saja.
Tanggungjawab Suami
Setiap hari aku akan bagi duit belanja makan minum untuk kami sekeluarga. Bermula dari 18 tahun lepas lagi. Ya, itu nafkah suami kepada keluarga. Itu tanggungjawab seorang suami selaku ketua keluarga.
Sejak dari awal perkahwinan kami, aku mulakan dengan sedikit. Dari tahun ke tahun, gaji aku naik maka aku tambah sikit demi sedikit. Almaklumlah, keluarga pun semakin besar. Belanja pun semakin tinggi.
“Abang, takyah lah bagi duit belanja banyak sangat. Ita pun kerja. Ada gaji,” ujar isteri.
“Eh mana boleh. Belanja makan dan pakai keluarga mesti abang. Itu kan nafkah. Tanggungjawab abang. Jangan sesekali guna duit ita,” balas aku.
Duit Isteri Belanja Diri Sendiri
Duit isteri adalah untuk belanja diri dia sendiri. Bukan untuk keluarga.
Setiap kali aku memberi, isteri akan tanya,“Eh abang! Banyak sangat ni. Nanti abang tak cukup duit lak.”
“Alah tak banyak mana pun. Abang ada lagi ni,”balasku. Itu selalu akan aku jawab.
Tak ternilai dengan wang ringgit pun pengorbanan seorang isteri kepada kita dan keluarga.
Walaupun kadang kala aku ‘kekeringan’, aku tetap berusaha untuk beri belanja kepada keluarga. Itu tanggungjawab suami dan bapa kepada anak-anak. Muka mesti buat tenang. Takut dia terperasan.
“Alah, takde duit. Benda boleh settle lah. Kita kan anak jantan”– aku bermonolog kadang-kadang.
Beri Ikut Kemampuan
Rezeki sikit, sikit lah. Jika banyak maka banyak lah. Ikut kemampuan. Alhamdulillah, masih cukup untuk kami sekeluarga.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” (Surah Al-Israa’ : Ayat 31)
Segala makan minum, pakaian, rumah, kereta, pendidikan anak-anak dan lain-lain keperluan rumahtangga aku yang bertanggungjawab. Itu kewajipan. Itu juga prinsip aku.
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
(Surah al-Nisa’ ayat 34)
Membelanjakan harta untuk isteri dan keluarga bukan sekadar kewajipan malah ia satu amalan yang disukai Allah.
Walaupun si isteri bekerja dan makan gaji, tak kiralah gaji si isteri lagi besar dari si suami, kewajipan itu harus diletakkan kepada ketua keluarga iaitu si suami.
Semoga si suami seluruhnya dimurahkan rezeki. Amin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan dan rujukan. Pesanan buat para suami, jika ingin rezeki melimpah ruah, berusahalah tunaikan nafkah dan keperluan buat isteri serta anak-anak. Jangan abaikan kepentingan beri duit belanja, tak kiralah berapa pun jumlahnya mengikut kemampuan diri.
Ketika keluarga lain sedang kalut membuat persiapan akhir menyambut Aidil Adha pada 10 Ogos 2019 lalu, siapa menduga keluarga kecil ini dikejutkan dengan insiden yang mengubah seluruh kehidupan mereka sekeluarga. Sehari sebelum kejadian, sekitar jam 2 pagi masih terbayang lagi susuk tubuh lelaki yang dipanggil papa; Muhammad Khairul Abdullah (38) tiba-tiba muncul di depan pintu bilik. Dia mengadu mulutnya sukar bergerak dan badannya kebas.
“Tak sampai seminit dia mengongoi, dia rebah dan tidak boleh bergerak. Sebaik mengiringkan dia ke sisi, suami terus memuntahkan segala isi perut. Tanpa berlengah saya terus hubungi ambulan dan maklumkan adik ipar. Dalam situasi mencemaskan itu, saya sempat menyambar beberapa dokumen penting walaupun ketika itu kaki dan tangan menggigil mencari kekuatan.
“Anak kedua kami, meraung ketakutan melihat situasi panik itu. Setibanya ambulan di hospital, suami terus dihantar ke zon merah. Doktor mengesahkan suami diserang strok akibat tekanan darah tinggi. Dalam keadaan kritikal itu, doktor terpaksa komakan suami bagi mengelakkan keadaan lebih serius.
Setelah melalui pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ditemukan ketulan darah besar di dalam teras otak, letaknya betul-betul di belakang tengkuk (tempat suami selalu mengadu sakit),”cerita Norashikin Md Nor ketika dihubungi menerusi emel tempoh hari.
Keputusan terbesar pernah dibuat dalam hidup
Bukan mudah untuk kita membuat satu keputusan besar yang impaknya meninggalkan kesan yang bukan kecil. Doktor memaklumkan tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat bagi meredakan kondisi si suami. Jika perpisahan itu, lebih baik…meskipun nyawa terpaksa berpisah dari jasad, Norashikin nekad melepaskan sang suami ‘pergi’ dari terus melihatnya terseksa.
“Tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat. Boleh on-tube untuk dua minggu tetapi pengakhirannya tetap sama. Ketika menandatangani surat keizinan untuk membuka mesin pernafasan itu, fikiran ketika itu kosong sambil mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Kemudian suami dimasukkan ke dalam wad dan menggunakan bantuan pernafasan manual yang dipam oleh jururawat bergilir-gilir. Kami kemudian menghubungi ambulan persendirian untuk menguruskan membawa pulang suami ke rumah. Ketika di dalam ambulan itu, air mata saya tidak lagi mengalir. Ketika itu macam-macam perkara berkenaan kehidupan saya dan anak-anak selepas ini bermain di fikiran.
“Setibanya di rumah ibu mertua, saya sempat bisikan ke telinga suami, “abang pergilah…saya redha. Saya akan jaga anak-anak kita sebaik mungkin, abang jangan risau”. Selepas selesai mengajar dia mengucap, suami terus ‘pergi’ dengan linangan air matanya membasahi di pipinya, petanda dia faham pesanan terakhir yang didengari.
Air mata bukan lagi pilihan, kerana ia tidak lagi menenangkan
Seperti yang pernah dikongsikan dalam laman muka buku (facebook) peribadinya, wanita ini menjelaskan air mata bukan lagi pilihan kerana ia tidak lagi menenangkan. Demi meredakan emosi dua puterinya; Khayla (5) dan Keisha (1), Norashikin berjanji dengan dirinya jangan sesekali menumpahkan air matanya di hadapan mereka.
“Saya tekadkan hati dan berjanji untuk tidak lagi menangis di depan anak-anak kerana bimbang mereka ketakutan. Sebaik melihat jenazah papa mereka, kedua-duanya trauma dan tidak mahu mendekati arwah. Khayla masih keliru dan hingga kini memaklumkan yang papanya sakit, papa tidur, papa tak bangun tidur lagi. Ada ketikanya dia minta saya buat video call untuk dia bercakap dengan papanya…katanya rindu nak tengok papa.
“Paling sayu apabila melihat hasil lakarannya yang pastinya berkaitan dengan momen akhirnya bersama papanya. Sebagai contoh lakaran stetoskop yang dilihat digunakan oleh doktor ketika membuat pemeriksaan ke atas papanya. Ada juga lakaran yang berkisar mengenai ambulan, kereta jenazah dan pusara papanya. Saya biarkan dia melakar apa saja yang terlintas di kepalanya, dengan harapan medium itu mampu merawat emosinya.
“Keisha pula masih terlalu kecil untuk memahami. Ada ketikanya dia menangis tak keruan, menunggu waktu petang waktu lazim papanya pulang dari kerja. Kadang deruan enjin motosikal yang melepasi hadapan pagar rumah kami, membuatkan anak-anak ini bertempiaran lari menuju ke pintu rumah… menunggu kemunculan papanya. Sebagai ibu, saya tahu mereka terlalu rindukan arwah papanya. Mereka juga perlu masa untuk membiasakan diri dengan kehidupan baru tanpa papa yang begitu memanjakan mereka,”kongsinya yang dalam proses berpindah ke Melaka, memandangkan sekarang mereka kini masih menetap di Johor.
Kehilangan yang tiada galang gantinya
Mengenang kembali memori tentang suaminya. Menurut Norashikin lagi, arwah merupakan lelaki yang mendahulukan keluarga dalam kehidupannya. Ibunya adalah sosok yang paling dia sayangi. Bekerja menguruskan pemasangan jalur lebar, menjadikan gaji yang diterimanya tidaklah sebesar mana bagi menampung keluarga kecil kami.
“Dia seorang lelaki yang ‘family man’. Apa-apa saja dia buat, keluarga akan diutamakan dahulu. Paling dia sayang ibu dia. Nak pergi ke mana-mana atau nak buat apa-apa aktiviti dia mesti pelawa ibu n adik-beradik join sekali. Pesan arwah lagi, dia bimbang nanti ada yang kecil hati kalau tak diajak.
“Bab menjaga hati orang sekeliling juga salah satu sikap murninya. Kehilangannya yang mengejut membuatkan ramai kenalan, pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya dan ahli keluarga jauh dan dekat masih terkejut mendengar perkhabaran pemergiannya. Itu sebabnya ramai yang terasa dengan kehilangannya secara tiba-tiba.
“Hingga ke hari ini, masih ada lagi client yang hubungi atau mesej nombor telefonnya bagi mendapatkan khidmat nasihatnya. Paling menyentuh hati sempena raya haji baru-baru ini dia dah ambil cuti panjang sebab nak bawa kami holiday, tapi hajatnya tak kesampaian. Gaji dia pun bukannya banyak, tetapi dia tak pernah lokek dengan keluarga dan sedaya upaya nak happykan anak-anak. Kadang-kadang sekadar keluar makan-makan ataupun keluar ambil angin luar sebab dia tau kami asyik terperap kat rumah bila dia keluar kerja. Sejak berhenti kerja beberapa tahun lalu, saya tidak lagi bekerja dan fokus pada keluarga dan anak-anak.
“Seperkara lagi yang pastinya saya rindukan, adalah penilaiannya bak juri profesional terutamanya ketika saya memasak menu baru. Apa saja yang saya masak dia akan makan tanpa banyak soal. Kalau sedap nanti dia minta kita masakkan lagi. Sejujurnya, ketika baru berumah tangga dulu… saya tak pandai memasak. Goreng nugget pun hangus, tetapi sikapnya yang pandai ambil hati isteri membuatkan kita teruja nak masak untuk dia dan anak-anak. Secara tak langsung kita jadi minat untuk memasak. Saya juga bercadang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan memanfaatkan skill memasak yang ada bagi menampung keperluan anak-anak,”ceritanya optimis.
Sebelum menutup bicara Norashikin juga menitipkan luahan bagaimana mengharungi saat perpisahan tak di duga ini.
“Tak menangis bukan bererti tak sayang. Meraung dan meratap bukan menyelesaikan masalah tapi cuma akan membebankan jiwa. Jangan biarkan diri terlalu lama dibalut emosi kesedihan. Pepatah ada juga berkata…ikut hati mati, ikut rasa binasa. Positifkan diri adalah pegangan saya kini. Pastinya rasa sedih itu akan datang dan pergi. Tanpa adanya Khayla dan Keisha, saya tak akan sekuat ini. Sesukar mana pun hari yang mendatang nanti, saya berjanji akan mendidik kedua amanah terbesar Allah ini sebaik mungkin. Doakan kami kuat mengharunginya,”kongsinya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Duit tak pernah cukup pun! Nak belanja pun tersekat-sekat. Nak makan pun berkira sebab gaji kecil. Di sebalik merungut, kita masih mampu beli air viral...