Berita Sosial

Paksa Anak Pumping 500 Kali Hingga Maut, Bekas Tentera Terlepas Hukuman Mati Diganti Penjara 40 Tahun

Share

Paksa anak pumping 500 kali. Itulah fakta yang mengejutkan ramai apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menggantikan hukuman mati terhadap seorang bekas anggota tentera kepada hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah membunuh anak perempuan kandungnya lapan tahun lalu.

Keputusan majoriti 2-1 itu diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Mahkamah mengekalkan sabitan terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 44, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hakim Datuk Nordin Hassan berkata mahkamah tidak menemui sebarang salah laksana keadilan dalam keputusan mahkamah terdahulu yang mensabitkan tertuduh bersalah.

Hukuman Mati Digantikan Penjara 40 Tahun

Mahkamah Tinggi Seremban pada 22 Ogos 2023 menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Abdullah selepas didapati bersalah membunuh anak perempuannya, Nur Aina Nabihah, 9, dalam kejadian di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson pada 31 Januari 2018. — Gambar Astro Awani

Walaupun sabitan dikekalkan, berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan panel hakim berhubung hukuman.

Datuk Nordin memaklumkan beliau berpendapat hukuman mati sepatutnya dikekalkan berdasarkan fakta kes yang serius. Namun begitu, dua lagi hakim memutuskan hukuman mati digantikan dengan penjara 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Januari 2018 serta dikenakan 12 sebatan.

Menurut beliau, tertuduh bernasib baik kerana keputusan majoriti panel memilih hukuman penjara berbanding hukuman mati.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seremban pada 22 Ogos 2023 menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Abdullah selepas didapati bersalah membunuh anaknya, Nur Aina Nabihah, di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson pada 31 Januari 2018.

Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Jun 2025.

Paksa Anak Pumping 500 Kali Jadi Antara Bukti Pendakwaan

Sepanjang prosiding rayuan, pihak pendakwaan mendedahkan fakta yang amat menyayat hati.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, abang mangsa yang tampil sebagai saksi pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa dia dan adiknya dihukum kerana tidak menunaikan solat.

Mereka diarahkan oleh bapa mereka melakukan paksa anak pumping 500 kali serta sit-up sebanyak 500 kali sebagai hukuman.

Apabila mangsa tidak lagi berdaya meneruskan hukuman tersebut, dia didakwa diterajang dan dipijak di bahagian perut sehingga menyebabkan pankreasnya terbelah.

Selain itu, hasil bedah siasat turut mendapati mangsa mengalami tulang rusuk patah, kesan cekikan pada leher, hentakan di kepala serta 23 kecederaan luaran pada tubuhnya.

Pendakwaan berhujah bahawa penderaan yang dialami mangsa amat serius dan tertuduh tidak layak diberikan peluang kedua.

“Dia Tak Pernah Tunjuk Kesal”

Dalam hujah pendakwaan, Wan Shaharuddin menegaskan tertuduh tidak pernah menunjukkan sebarang rasa kesal terhadap perbuatannya.

Menurut beliau, tahap kecederaan yang dialami mangsa serta keseluruhan fakta kes menunjukkan hukuman berat wajar dikenakan.

Bagaimanapun, peguam bela Afifuddin Ahmad Hafifi berhujah bahawa terdapat isu berkaitan penerimaan keterangan saksi pendakwaan dan memohon supaya anak guamnya diberikan peluang kedua.

Mahkamah akhirnya memilih untuk mengekalkan sabitan tetapi menggantikan hukuman mati kepada penjara.

Tempoh Penjara Jadi Ruang Muhasabah

Selepas prosiding selesai, Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan.

Menurut beliau, hukuman penjara 40 tahun memberi ruang kepada tertuduh untuk memikirkan setiap perbuatan yang telah dilakukan terhadap anaknya.

Katanya, dalam keadaan tertentu, menjalani hukuman penjara yang panjang juga merupakan satu bentuk hukuman yang berat kerana tertuduh perlu menanggung akibat perbuatannya sepanjang tempoh tersebut.

Kes paksa anak pumping 500 kali ini sekali lagi mengingatkan masyarakat bahawa penderaan terhadap kanak-kanak, walau atas apa juga alasan, boleh membawa akibat yang tragis. Didikan tidak seharusnya bertukar menjadi keganasan sehingga meragut nyawa insan yang sepatutnya dilindungi.

Baca artikel ini juga: “Kalau Nak Bawa Rocky, Saya Sendiri Akan Serahkan…” Roghinidevi Pertimbang Pilihan Undang-Undang

Sumber: Astro Awani

Published by
Farhana Syahirah