Terlalu obses nak kurus, wanita ini pernah amalkan makan 15 jenis minuman mahupun pil kurus. Selama 2 tahun dia hentikan pengambilan dan disahkan sihat selepas jalani pemeriksaan kesihatan.
Dalam tempoh 2 tahun itu, dia amalkan diet Atkins yang membuatkan berat badannya turun dari 83 kg ke 75 kg. Keinginan mahu kelihatan langsing ketika bersanding, membuatkan Nursyahidah Sukeri akhirnya terpaksa melalui pembedahan usus yang tidak dijangkakan. Semua disebabkan pil kurus ke-16 yang dibelinya.
“Nak kurus cepat. Tak fikir panjang, tak google dah. Harap orang jual je. Terbeli satu produk kurus ni.”
PRODUK X ( Maaf tak boleh boh nama ) / awal bulan 7/2018 ambil.
Pil bentuknya. Hijau memukau suasana. 1 st makan pening dan lapaq ayaq. Tapi pening dia sat ja. Hari kedua ambil rasa nak muntah.
“Orang share feedback tak lapar makan ubat ni. Yes tak lapar. Wah! impian nak gojes, kurus, cantik dok nampak depan mata dah.”
“Walaupun aku pengamal diet Atkins, masa makan pil ni aku tak buat Atkins. Aku tak campur dengan supplement lain. Aku ikut cara makan macam depa bagi. Tak berani nak DURHAKA.”
“Untuk produk yang ke-16 ni aku dah tak google. Pi terus beli je, tengok feedback terbaik. Geram la I. Yes memang aku pengamal diet Atkins. Tapi masa makan ubat ni aku tak pantang tau“.
√ Pagi menu aku roti
√ Tengah hari kadang mee sup, bihun sup, soto, nasi ayam, nasi tomyam. Erm sedapnya.
√ Malam pula kadang KFC, tortila wrap.
Nikmat makan bagaikan orang gila. Tapi tak boleh nak makan banyak. Semua makanan aku tak habis. Pembaziran di sini.
Sebaik Amal Pil Kurus Ke-16
Hari pertama aku makan, pening sat. Badan panas. Hari tu 3 liter air.
Hari kedua aku makan lagi. Yang ni buatkan aku bila tengok makanan, aku nak muntah. Bahagianya sebab dok nampak nak kurus nuh.
“Iyalah setelah 2 tahun tinggai ubat kurus akhirnya terjumpa ubat kurus bagi kesan terbaik dekat hang.”
Masuk hari ketiga, aku tak ambil sebab tak sedap badan. Rasa nak demam. Air minum banyak sebab dahaga. Punya KUAT ubat ni walaupun hang tak makan dia, still hang rasa kenyang. Bahan apa aku tak tau dia masukkan dalam ni.
Hari berikutnya aku teruskan makan tapi selang-selang, bukan tiap hari. Habis 13 biji juga.
Sejak aku ambil ubat ni aku sembelit. Minum air banyak sehari 3 kali ja kencing. “Woi! gila ar pi mana ayaq aku minum. Badan aku span ka qesap habih ayaq. Satu lagi aku tak beqak oi. Makan ubat kurus tapi tak beqak. Bila tak beqak ni toksin keluaq kot mana? Adududu..” (sorry lah tak reti nak buat ayat pekan)
Bayangkan 1 minggu 2 kali je berak berak. Stress.
Hari seterusnya tak sedap badan, rasa letih, pening, nak muntah. Ubat dah stop masa ni sebab takut sama.
Sakit Perut Sampai Rasa Nak Pengsan
Tiba-tiba malam Sabtu tu, 20/7 perut aku sakit tiba-tiba. Masa ni sakitnya tak kuat lagi. Ahad & Isnin pi kerja macam biasa. Dok ingat sebab angin dalam badan. Tapi bila urut makin hari makin sakit tempat tu. Ya Allah.. Hari Selasa pergi kerja lagi, tapi makin sakit rasa nak pengsan. Terpaksa balik dan terus ke klinik.
Dokter check tekanan darah, normal. Tapi jantung laju, nadi laju. Nurse tanya, “Ada makan supplement apa-apa tak. Nadi awak laju sangat ni.” Tak ngaku lagi sebab takut kena marah.
Pi jumpa doktor, dia tanya sakit dekat mana. Kira usus sebelah kanan aku ni sakit sampai ke pinggang.
“Kalau apendiks awak akan demam, awak akan muntah-muntah. Sebelum ni awak ada jadi macam ni?”
Dak pun tau. Doktor tambah air sebab ingat tak serius. Tapi nadi & jantung aku yang laju. Padahal dah lama berhenti ambil ubat kurus.
Akhirnya Dari Klinik, Kena Refer Ke Hospital
Doktor buat surat pi hospital. Dok kecemasan 1 hari setengah jugalah. 3 orang doktor check cakap bukan apendiks. Pagi tu bangun, kurang sakit. Bila doktor mai tekan-tekan, rasa sakit dan hari tu aku nak berjalan tak larat sangat.
Dokter ke-4 mai dekat aku dia cakap, “Kena bedah. Usus awak bengkak“. 2 orang doktor lagi dok pening sebab tak sure apendiks ke apa.
Habaq kata operate tuh, Ya Allah.. ketaq dik dik.
Malam tu aku masuk bilik pembedahan pukul 12.00 malam, siap pukul 4.30 pagi.
Pagi tu doktor follow up. Dia tak bagi aku makan lagi. Aku merayu-rayu sebab nak minum air. Doktor muda lagi, tak kahwin lagi dan la sweet-swet sikit. #melawakja.
Dia cakap, “Takut doktor nak bedah lagi. Sebab ada jumpa sesuatu melekat dekat usus. Usus awak dah hantar ke makmal.” Takut wey.. benda apa dok melekat.
Lepas operate kena bangun dari katil sendiri. Semua buat sendiri sebab dok sorang-sorang kat hospital. I jenis tak suka susahkan orang. “Sakit ni, Ya Allah.. hanya Dia yang tau.”
Lepas minum air, kesan ubat bius aku muntah. Muntah aku ni keluar warna hijau. Hijau sebiji ubat kurus yang aku makan. 3 kali aku muntah keluar macam tu.
Nasik keras keras tak boleh makan langsung.
Tahan Sakit 4 Hari, Nasib Usus Tak Pecah
Selepas melalui semua kepayahan itu, Nursyahidah maklumkan pada doktor yang dia makan ubat kurus.
“Doktor tanya nama. Nanti dia minta sample untuk hantar ke unit farmasi. Doktor beritahu usus dah nak pecah sebab dia membengkak. Tahniah juga sebab awak tahan sakit selama 4 hari. Gila lah! Nasib usus tak pecah. Tidak mati aku.”
Kenapa aku yakin sakit ini dari ubat kurusss ni :
1. Ubat ni panas. Aku sembelit. Macam mana ubat ni hadam aku tak berak. Mungkin gegetah luar dia tu melekat di usus.
2. Muntah aku warna hijau dan keluar macam lumpur. Aku makan apa warna hijau macam tu melainkan ubat kurus.
3. Jantung aku laju.Kalau jantung laju ni sangat bahaya dan anda WAJIB stop ambil ubat kurus. Bukan healing crisis tau tapi kalau jantung laju ni tandanya anda menempah MAUT. Tak ada istilah dia pam jantung ibarat hang joging lekong satu kolam mada. Sapa percaya STUPID!
Kena Ingat! Kemungkinan Ubat Kurus Ada Sejenis Dadah
Jika makan ubat kurus tak rasa lapar. Kemungkinan ada sejenis dadah. Tau dak nama apa?
SIBUTRAMINE yang berfungsi sebagai penahan lapar. Struktur molekul hampir sama dengan amphetamine. Bahan yang sama untuk dadah jenis syabu @ ais.
Sebab tu pil pelangsing susah nak tau sapa ponder, susah nak ada KKM. Sekali makan hampa rasa tak lapar tu maknanya kemungkinan ada benda ni.
Sebab tu juga nadi hampa laju.
Takpalah.. dalam hal ni orang masih salahkan aku. Mula-mula nak diam. Tapi kes jadi besar sampai melibatkan tempat kerja. Sampai cakap aku makan silap. Aku ikut hampa bagi ja.
Tunggu keputusan doktor. Kalau bahan selamat aku up sini. Kalau tak selamat pun aku nak up sini.
Tak salah share pengalaman, supaya orang lebih hati-hati.
Nak Cantik Berpada-pada
Aku share untuk orang semua hati-hati. Check dulu KKM ada tak. Kalau ada teruskan makan.
Kalau tiba-tiba makan ubat kurus hang pening, nak muntah, nak demam, jantung laju STOP je lah. Sebab boleh rosakkan organ dan bawa MAUT.
Usus memang tempat WIN dia nak jadi. Satu lagu buah pinggang.
Moga jadi pengajaran. 30/9 ni follow up pakar.
Harap usus aku okey dan tak ada penyakit lain.
Usus bengkak, hampir pecah sebab ubat kurus panas. Hang tak berak.. jantung laju.
Allah masih panjangkan usia. Tak salah nak share pengalaman.
Itu sahaja.
Sayangi nyawa dan tubuh badan. Bila dah sakit tak dapat apa dah.
Menjadi anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera antara cita-cita paling popular dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Ia sebaliknya dianggap tidak sinonim dengan wanita kerana memerlukan kelasakan dan ketangkasan.
Kini sebenarnya ramai wanita diangkat menduduki jawatan kanan dalam pasukan beruniform. Dek kerana sejak kecil melihat ibu dan arwah ayahnya segak mengenakan uniform, wanita perkasa, Siti Fazilah Mohd Redzuan, 32 telah menanam cita-cita untuk menyarung uniform yang sama.
Impiannya itu tercapai dan kini bergelar Kopral Penjara dan sekaligus mewarisi pekerjaan ibu dan arwah ayahnya yang merupakan anggota pegawai penjara. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga berkahwin dengan seorang anggota pegawai penjara dan kini merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Wanita yang kini bertugas di Penjara Tapah, Perak dari zaman sekolah telah terlibat dengan Kadet Polis dan Unit Trafik Sekolah. Akui memilih kerjaya lasak ini kerana minat yang mendalam dalam unit beruniform.
“Bak kata pepatah bapa borek anak rintik, begitu juga dengan saya. Sejak kecil saya melihat ibu dan juga arwah abah segak berpakaian baju seragam. Apatah lagi semasa zaman sekolah saya turut aktif dan terlibat dalam pakaian beruniform.
“Seleps tamat persekolahan saya terus memohon SPA untuk meminta beberapa jenis pekerjaan. Saya pernah pergi temuduga untuk memenuhi jawatan tentera laut dan polis tetapi tidak berjaya. Akhirnya mendapat tawaran sebagai Pegawai Penjara KA19. Saya melaporkan diri di Depot Pati Tahanan Lenggeng, Negeri Sembilan pada 6 Ogos 2007. Seterusnya menjalani latihan asas di Pusat Latihan Pegawai Penjara (PLPP) di Taiping, Perak dan berjaya menamatkan latihan selama tiga bulan.
“Apabila Depot Pati tahanan diserahkan pada pihak Imegresen saya di posting pula ke Penjara Tapah, Perak pada 31 Mac 2008 sehingga kini. Saya telah berkhidmat selama 12 tahun di Institusi Penjara Tapah dan kini bertugas di Unit Kawalan dan Pencegahan(UKP),” terang anak ketiga dari lima beradik ini.
Aktif & Cergas
Wanita yang mendapat pendidikan di SMK Tun Syarifah Rodziah sehingga tingkatan 6 ini, dahulunya memegang jawatan KA19 dan kini memangku jawatan KA20 sebagai Kopral Penjara. Ditanya tentang tugas dan tanggungjawabnya Siti Fazilah akui tugas pegawai penjara semenangnya cukup berat.
“Sebagai pegawai penjara kami bertanggungjawab membentuk satu pasukan yang berkemahiran untuk mengawal situasi yang menggugat keselamatan dan ketenteraman penjara dari dalam mahupun di luar tembok penjara. Selain itu melahirkan anggota yang aktif, cergas, bersatu sentiasa dan patuh pada arahan.
“Kami juga menjadi kekuatan tambahan jika berlaku sebarang insiden seperti rusuhan, mogok dan kelarian banduan. Kawalan pengiringan banduan berisiko seperti Banduan Akhir ke mahkamah atau rawatan di hospital. Melakukan pemeriksaan ke atas banduan baru masuk, melaksanakan pemeriksaan dan rondaan di setiap bangunan dan sel banduan supaya keselamatan terjamin. Kami juga membanteras segala artikel larangan yang di bawa mausk oleh banduan contohnya seperti tembakau, duit, telefon bimbit, dadah dan sebagainya,” ungkap Siti Fazilah.
Pernah Ikat Tali Pusat Bayi Yang Baru Lahir
Siti Fazilah yang peramah ini juga menerangkan untuk menjadi anggota badan beruniform seseorang itu perlu memiliki hati yang cekal.
“Syarat utama mesti punyai hati yang cekal, berani dan sanggup menerima kritikan dari pihak atasan mahupun masyarakat luar. Mental dan fizikal harus kuat dan tidak mudah putus asa. Pada masa yang sama harus ada sikap toleransi ke atas tahanan atau banduan yang ditahan.
“Antara pengalaman manis saya selama bekerja sebagai anggota pegawai penjara adalah pernah mengikat tali pusat bayi yang baru dilahirkan di sel penempatan banduan kerana tidak sempat membawa banduan tersebut ke hospital.
“Pengalaman sukar pula apabila melihat seorang ibu dan anak terpaksa dipisahkan atas sebab anak telah mencapai had umur yang ditetapkan yang membolehkan anak tersebut tidak boleh tinggal di dalam penjara,” kongsinya lagi.
Sentiasa Peka
Disentuh tentang cabaran sebagai anggota beruniform, Siti Fazilah akui banyak cabara yang perlu ditempuhi.
“Cabaran utama memerlukan kita sentiasa peka terhadap banduan supaya mereka mendengar arahan yang telah ditetapkan iaitu apabila mengiring banduan merbahaya ke hospital dan mahkamah.
“Cabaran paling sukar sebagai seorang wanita adalah membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Saya juga harus utamakan keluarga walau macam mana letih dengan tugasan harian. Saya juga bekerja mengikut syif pagi dan mainshift. Anak-anak akan diletakkan dalam jagaan pengasuh sementara saya dan suami keluar bekerja. Namun kini saya sudah lali dengan kerjaya ini dan anak-anak juga memahami kerjaya kami suami isteri,” kata Siti Fazilah.
Sebagai seorang srikandi Siti Fazilah juga sentiasa menjaga pakaiannya agar kelihatan kemas selalu.
“Sememangnya kami mementingkan penampilan dan sentiasa kelihatan kemas. Selain itu saya juga sering menjaga tingkah laku diri semasa melayan karenah pelawat atau orang awam dengan sistematik dan sopan supaya tidak mencalarkan imej kita.
“Malah saya juga memegang tegas prinsip di mana perlu displin, tegas,amanah dan berbakti kepada jabatan dan agama,” akurnya.
Aktif Bersukan
Siti Fazilah juga berkongsi kisahnya yang aktif bersukan kerana memerlukan stamina yang kuat sewaktu menjalankan tugas.
”Dalam mengekalkan stamina tiada masalah bagi saya kerana saya adalah seorang yang aktif bersukan semenjak sekolah lagi. Saya terlibat dalam sukan bola jaring ke peringkat mewakili Jabatan Penjara Malaysia (MAKSAK),” akhiri Siti Fazilah.
Tekanan darah tinggi bermakna darah anda telah menekan pembuluh darah dengan lebih kuat daripada sepatutnya. Wanita perlu tahu beberapa perkara berikut bagi memahami risiko tekanan darah tinggi dan bila perlu untuk mendapatkan rawatan. Ini kerana seiring dengan masa, risiko tekanan darah tinggi boleh membawa kepada kerosakan pada dinding pembuluh darah dan membenarkan pembentukan plak, menghalang arteri dan menghalang tubuh mendapat darah dan oksigen yang diperlukan.
1-Nombor tekanan darah lebih 130/80
Kebanyakan wanita tidak tahu nombor tekanan darah mereka. Sepatutnya wanita perlu melakukan sendiri ujian bagi mengetahui tekanan darah mereka. Anda boleh membeli mesin bacaan tekanan darah di farmasi atau melakukan ujian di klinik mahupun hospital bagi mengetahui sama ada mengalami tekanan darah tinggi atau tekanan darah rendah. Tekanan darah anda berubah setiap masa bagi menyesuaikan dengan tahap aktiviti, hidrasi, tidur, pengambilan makanan dan faktor-faktor lain. Oleh itu anda perlu melakukan ujian dalam masa berbeza. Pilih waktu anda berada dalam keadaan berehat dan cukup hidrat sebelum mengambil bacaan tekanan darah. Ulang ujian ini secara bulanan atau mingguan dalam keadaan yang sama. Tulis tarikh dan bacaan tekaan darah anda. Jika bacaan tekanan darah anda lebih 130/80 setelah tiga kali ujian dibuat, perlulah anda berjumpa doktor bagi melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan betulkah anda mengalami tekanan darah tinggi.
2-Ibu atau bapa ada tekanan darah tinggi.
Genetik turut memainkan peranan penting terhadap masalah kesihatan anda. Genetik adalah faktor utama apabila ia berkaitan dengan kesihatan jantung dan tekanan darah tinggi kerana ia boleh diwarisi. Oleh itu, anda perlu bertanya pada ahli keluarga berkaitan sejarah kesihatan tekanan darah tinggi atau penyakit jantung mereka. Ahli keluarga yang perlu anda tanya adalah ibu bapa, datuk nenek dan adik-beradik, terutamanya jika salah seorang daripada mereka telah mengalami serangan jantung ketika berusia kurang 45 tahun.
3-Anda berhadapan dengan masalah sakit kepala.
Sesetengah individu yang ada tekanan darah tinggi boleh mengalami sakit kepala ringan atau sakit kepala kronik. Namun simptom-simptom tekanan darah tinggi biasanya tidak disedari sehinggalah tekanan darah anda menjadi terlalu tinggi. Jika anda mengalami sakit kepala teruk yang tidak boleh hilang, tanpa atau dengan hidung berdarah, anda mungkin mengalami krisis hipertensif. Segeralah mendapatkan rawatan doktor.
4-Perut kembung, dan kurang buang air kecil.
Tekanan darah tinggi kerap dikaitkan dengan penyakit diabetes dan penyakit buah pinggang. Sesetengah wanita boleh mengalami perut kembung dan pengurangan air kencing sebagai kesan akibat tekanan darah tinggi. Malah kebanyakan penderita tekanan darah tinggi mula menyedari mereka ada tekanan darah tinggi kerana buah pinggang dan tabiat buang air kecil mereka mula bermasalah. Oleh itu beri perhatian pada tabiat buang air normal anda. Jika ada sebarang perubahan segeralah dapatkan pemeriksaan kesihatan.
5-Penglibatan jadi semakin buruk secara tiba-tiba.
Tekanan darah tinggi boleh memberi kesan pada pembuluh darah dalam mata sekaligus menyebabkannya membengkak. Kadangkala keadaan ini boleh dikesan semasa rutin pemeriksaan mata dibuat. Ini adalah simptom tekanan darah tinggi yang paling lambat dikesan. Oleh itu jika anda mengalami penglihatan yang semakin kabur atau perubahan secara tiba-tiba dalam penglihatan, segeralah mendapatkan pemeriksaan doktor.
6-Anda rasa pening atau mengalami masalah memastikan keseimbangan.
Jika anda tiba-tiba rasa pening atau hilang keseimbangan, ia boleh menjadi tanda amaran awal stroke yang disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Namun jika rasa pening itu disebabkan perkara biasa seperti tiba-tiba berdiri dengan cepat atau melihat wayang 3D, dan pening itu hilang dengan cepat, anda tidak perlu risau. Tetapi jika keadaan sama ini berterusan , anda perlu ambil perhatian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Saya diberitahu adik beli motosikal baharu, mereka berempat dalam perjalanan nak mengambil motosikal itu sebelum kemalangan terbabit berlaku,” kata Abdul Razaki Ab Rashid, 60, abang kepada remaja yang maut bersama dua rakannya dalam kemalangan maut Lebuhraya Senai-Desaru semalam.
Mangsa, Muhammad Abdul Khalid, 19, merupakan antara tiga yang terkorban dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 56, Lebuhraya Senai-Desaru kira-kira jam 11.25 pagi. Dua lagi mangsa ialah pemandu kereta Volkswagen Golf, Muhammad Hafizhan Hanafi Norhaizal, 21, dan penumpang, Fazrizal Izuan Zuhaimi, 20.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Fortuner disyaki membawa muatan rokok seludup telah memasuki laluan bertentangan. Sebuah Honda CR-V yang berada di laluan itu sempat mengelak, namun kereta Volkswagen Golf yang dinaiki keempat-empat mangsa gagal berbuat demikian dan bertembung secara berdepan dengan Toyota Fortuner.
Akibat pertembungan itu, tiga mangsa disahkan maut — dua di lokasi kejadian dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Qusyairi Muhammad Daniel, 19, parah dan kini dirawat di hospital sama.
Impian Miliki Motosikal Baharu Tidak Kesampaian
Abdul Razaki berkata, motosikal yang dibeli adiknya adalah hasil titik peluh sendiri setelah bekerja sebagai pembantu pasang besi perancah (scaffolder) di RAPID Pengerang, Kota Tinggi. “Petang semalam saya dapat panggilan daripada majikan adik, dia beritahu adik saya terbabit dalam kemalangan bersama tiga rakannya. Saya sangka kemalangan kecil, rupanya meragut tiga nyawa termasuk adik saya,” katanya.
Menurutnya, adik bongsu mereka baru sahaja menamatkan latihan praktikal sebagai pemasang perancah di syarikat sama sebelum diserap bekerja tetap. “Dia teruja sangat, baru merasa hasil titik peluh sendiri dan sempat beli motosikal baru. Sepatutnya tahun depan dia akan konvokesyen, tapi apakan daya, dia tak sempat merasa naik atas pentas,” katanya dengan nada sebak.
Jenazah Dibawa Pulang Ke Kelantan
Abdul Razaki memaklumkan, jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kampung halaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penambang, Kota Bharu, Kelantan. Katanya, keluarga masih terkejut dengan tragedi kemalangan maut Lebuhraya Senai-Desaru yang meragut nyawa tiga rakan akrab itu.
“Dia memang anak yang baik, hormat orang tua dan rajin bekerja. Dia beritahu saya mahu bantu keluarga lepas dapat kerja tetap. Tak sangka semuanya berakhir secepat ini,” katanya.
Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan sumber muatan rokok seludup yang dibawa oleh Toyota Fortuner terbabit. Menurut Superintenden Yusof, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian kemalangan maut Lebuhraya Senai-Desaru diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan keadilan buat keluarga semua mangsa.
Kesedihan Dan Pengajaran
Tragedi yang meragut tiga nyawa ini meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga masing-masing. Semua mangsa masih muda, baru memulakan kerjaya dan bersemangat untuk membantu keluarga. Keluarga berharap agar kejadian ini menjadi pengajaran kepada pemandu supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya, terutama di lebuh raya berisiko tinggi.
Semoga roh semua mangsa kemalangan maut Lebuhraya Senai-Desaru dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...