Orang lain tak boleh rosakkan bahagia kita! Pernah dengar tak, orang lain tak boleh rosakkan bahagia kita selagi kita tak benarkan mereka ‘kacau’ bahagia kita. Mereka buat macam-macam, cakap itu ini, kita tak ambil hati kita rasa tenang saja.
Pakar Motivasi Datuk Dr Fadzilah Kamsah atau lebih mesra dengan panggilan Tok Abah berkongsi pandangan tentang ketenangan dalam kehidupan kita. Paling penting jangan beri orang lain kuasai diri dan mengawal kehidupan kita.
“Orang Lain Tak Boleh Rosakkan Bahagia Kita”
“Jangan biarkan tindakan dan sikap orang lain merosakkan ketenangan dan mood kita. Entah-entah, tindakan dia itu kita saja yang terasa. Dia tak rasa apa-apa pun, rasa bersalah pun tak.
Kadang-kadang orang sengaja buat kita sakit hati. Kalau betul kita rasa terganggu dengan tindakan dia, maksudnya dia berjaya untuk kacau ketenangan kita. Takkan kita nak beri ‘kuasa’ orang lain untuk kawal hidup kita?
Tak Ada Orang Normal Sakitkan Hati Kita Dengan Sengaja
Profesor yang mengajar Tok Abah dulu pesan tahun 1984, “tak ada orang normal akan sakitkan hati kita dengan sengaja.” Jadi kalau kita sakit hati, anggaplah dia tak sengaja. Kalau dia buat dengan sengaja, maksudnya dia tak normal haha
Kenapa kita nak seksa diri sebab tindakan orang lain? Maafkan dan anggap dia tak sengaja. Kita senang hati, hubungan kita dengan orang pun tak rosak,” kongsi Fadzilah Kamsah.
Pelakon popular Kamal Adli menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya wujud orang ketiga yang menjadi punca kemelut rumah tangganya bersama isteri tercinta, Uqasha Senrose.
Menurut Kamal, 39, dia menolak sebarang tuduhan berlaku kekerasan dalam perkahwinan mereka dan menegaskan cintanya hanya tertumpah kepada isteri serta anak mereka.
“Paling penting, saya nak beritahu di sini, saya tak curang. Saya tak ada orang lain. Saya tak ada sesiapa saja. Saya hanya ada dia (isteri) dan anak saya sahaja. Itu kes dalam kain, apa-apa semua, janganlah buat itu. Saya sayang dia. Okay, itu sahaja yang paling penting,” katanya.
Kamal berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri prosiding kedua tuntutan perceraian difailkan oleh Uqasha di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Pelakon filem Abang Long Fadil itu turut meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap isterinya selepas hampir sebulan tidak berhubung antara satu sama lain.
“Kami dah lama tak berjumpa. Terus-terang saya sangat merindui isteri saya. Agak lama jugalah iaitu sejak dia menyekat saya di telefon dan media sosial,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, prosiding pertama perceraian pasangan berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 22 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan kerana Kamal tidak dapat hadir berikutan komitmen penggambaran.
Difahamkan, rumah tangga pasangan selebriti itu mula berdepan ujian sejak April lalu. Namun, sumber rapat menegaskan ia bukan berpunca daripada kehadiran pihak ketiga seperti yang didakwa segelintir pihak.
Kini, Uqasha dilaporkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan memilih untuk menetap bersama ibunya. Beberapa hantaran berunsur luahan perasaan yang dimuat naik oleh pelakon drama Hati Perempuan itu di media sosial turut menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai status hubungan mereka.
Sebagai rekod, pasangan selebriti Kamal Adli dan Uqasha Senrose mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan ini dikurniakan seorang puteri comel, Hawra Uqaira.
Walau berdepan ujian, Kamal tetap berharap agar rumah tangga mereka dapat diselamatkan. “Saya masih sayangkan dia. Saya hanya ada dia dan anak saya,” katanya mengakhiri perbualan dengan penuh sebak.
Aktivis GSF dilayan ‘buruk,’ Greta Thunberg dihina, dipamer seperti trofi. Wartawan Itali Lorenzo Agostino pada Sabtu berkata beliau merasakan dirinya berada ‘di tempat yang benar-benar kejam’ ketika ditahan secara tidak sah oleh Israel di perairan antarabangsa selepas serangan ke atas kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza minggu ini.
Bercakap kepada Anadolu Ajansi selepas tiba di Istanbul dengan penerbangan khas, Agostino berkata beliau dan penumpang lain telah ‘diculik’ serta dilayan dalam keadaan yang ‘menghina’.
“Kemudian mereka membawa kami ke darat, dan sebaik tiba, mereka berkelakuan seperti kumpulan pengganas.
“Ada antara kami yang ditendang. Kami dibiarkan tanpa air bersih selama lebih dua hari.
“Secara keseluruhan, mereka menggunakan setiap kesempatan untuk menghina kami,” katanya.
Beliau turut menekankan layanan terhadap aktivis iklim Sweden Greta Thunberg yang turut berada di atas flotila sama.
“Greta Thunberg, seorang wanita yang berani, baru berusia 22 tahun.
“Beliau dihina, dibalut dengan bendera Israel dan dipamerkan seperti trofi,” katanya.
“Saya berasa seperti berada di tempat yang benar-benar kejam dan saya amat berharap kekejaman ini akan segera berakhir,” tambahnya.
Agostino menyifatkan ketibaan di Pelabuhan Ashdod sebagai penuh permusuhan, dengan kehadiran Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir.
“Ben-Gvir berada di luar tempat ketibaan di Pelabuhan Ashdod ketika kami tiba. Beliau seolah-olah memastikan kami dilayan seperti pengganas kerana beliau menganggap kami pengganas,” katanya.
“Jadi saya bernasib baik kerana dapat keluar sejurus sebelum Ben-Gvir tiba,” tambah Agostino.
Beliau berkata, mereka turut dilayan dengan mata ditutup, digari dengan ketat, pakaian tidak mencukupi serta dibiarkan dalam keadaan suhu sejuk beku di dalam van berhawa dingin selama berjam-jam.
GSF yang dalam pelayaran untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin itu, menghampiri perairan Gaza pada petang 1 Oktober.
Tentera Israel menyerang flotila berkenaan, merampas secara tidak sah puluhan kapal dan bot serta menahan ratusan penumpangnya.
Rencana ALLAH tiada siapa yang tahu apabila dua rakan sekolah yang terpisah lebih 40 tahun bertemu jodoh selepas kedua-duanya kematian pasangan dua tahun lalu. Kisah jodoh tak diduga ini membuktikan bahawa takdir Allah itu indah dan penuh kejutan.
Lebih menarik lagi, Zul A’ini Ariffin, 58, telah dilamar suaminya Alias Yahaya, 58, di tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa iaitu di Jabal Rahmah dan kemudian mengikat tali pertunangan di hadapan Kaabah di Makkah.
Mereka kini sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan pada 11 Oktober lalu di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat, Seremban.
Menceritakan pertemuan semula dengan suaminya, Zul A’ini berkata, mereka bertemu semula pada tahun 2019 di Baling, Kedah ketika menghadiri majlis kenduri seorang kawan lama.
“Saya dan suami sebenarnya pernah sekelas dari Tingkatan Satu hingga Tiga, tapi terputus hubungan selepas suami berpindah ke sekolah Sains.
“Kawan-kawan sekolah mula berhubung semula selepas menubuhkan kumpulan WhatsApp pada tahun 2016 dan saya terserempak dengan suami tiga tahun kemudian dalam satu majlis kenduri kawan kami di Kedah, ketika itu dia datang bersama isterinya yang berkerusi roda,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu berlalu begitu sahaja kerana ketika itu dia masih berstatus isteri orang sehinggalah arwah suaminya meninggal dunia dua tahun lalu akibat kencing manis.
Menurut Zul A’ini, dia terdetik untuk menghubungi Alias selepas diberitahu seorang rakan bahawa isteri lelaki terbabit telah meninggal dunia akibat penyakit yang sama.
“Memandangkan kami saling mengenali, saya mesej dia di aplikasi TikTok, ucap takziah dan menasihatinya supaya tidak berterusan bersedih.
“Saya juga baru kehilangan suami dan sejak itu kami mula berkawan,” katanya.
Jelasnya, ketika itu tidak terlintas dalam fikirannya untuk membawa hubungan itu ke fasa seterusnya, tambahan pula dengan usianya yang sudah lebih 50 tahun. Namun selepas beberapa hari berhubung, Alias tiba-tiba bergurau mengajaknya berkahwin.
“Saya anggap gurauan saja, tapi setiap hari dia tak pernah lupa hubungi saya bertanya khabar,” ujarnya.
Dari situ hubungan mereka menjadi lebih rapat. Zul A’ini memaklumkan kepada Alias bahawa dia merancang menunaikan umrah pada bulan Ogos. Alias pula menyatakan hasrat untuk turut serta dan melamarnya di sana.
“Dari situ saya nampak dia memang serius dan telah maklum kepada anak-anak serta adik mengenai perkara itu,” jelasnya.
Pada awalnya, kata ibu kepada empat anak dan enam cucu ini, ada anak-anaknya yang kurang bersetuju kerana bimbang dia dipermainkan. Namun selepas melihat keikhlasan Alias, mereka memberi restu dan kali pertama berjumpa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Sebelum pergi umrah pun kami dah hantar borang nikah dan tetapkan tarikh untuk diijabkabulkan selepas keluarga masing-masing bersetuju.
“Sepanjang di sana, saya banyak berdoa kepada ALLAH agar jika Alias ini baik untuk saya, dekatkanlah kami. Di hadapan Kaabah kami bertunang dengan bersaksikan adik perempuan, sepupu, anak saudara dan mutawif,” katanya.
Selepas 40 hari pulang dari umrah, mereka akhirnya disatukan di Seremban. Zul A’ini mengakui tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi selepas kematian suaminya.
“Selepas suami meninggal, saya memang tak terfikir pun nak kahwin semula. Saya dah rancang untuk duduk di sekolah pondok belajar agama, tapi anak-anak tak izinkan.
“Dengan takdir-Nya, saya bertemu semula dengan Alias yang merupakan rakan lama sekolah. Selepas buat solat istikharah, ALLAH beri petunjuk dan bukakan hati saya,” katanya dengan penuh syukur.
Kisah jodoh tak diduga ini membuktikan bahawa setiap perpisahan dan pertemuan telah diatur indah oleh Allah, dan cinta sejati sentiasa akan menemukan jalan pulangnya.
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.