
Nourul Depp dedah terpaksa buang uterus dan ovari. Penyanyi terkenal Nourul Depp akhirnya membuka satu kisah yang selama ini disimpannya kemas di mana dirinya pernah menghidap kanser saluran vagina sehingga terpaksa melalui pembedahan besar membuang rahim dan ovari.
Mengimbas kembali detik pada tahun 2018, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 48, mengakui ia antara ujian paling besar dalam hidupnya, namun dipendam demi menjaga hati banyak pihak.
Seperti mana dipetik menerusi Harian Metro, Nourul memberitahu kanser tersebut dikesan awal hasil pemeriksaan kesihatan yang memang menjadi rutinnya setiap tahun. Pada mulanya, doktor mencadangkan suntikan vaksin HPV untuk merawat masalah prakanser yang ditemui.
“Doktor suruh cuba rawatan selama enam bulan. Tapi kanser itu datang semula dan naik daripada prakanser kepada tahap satu. Waktu itu saya sedang mengandungkan Isabella. Mujur dapat dikesan awal kalau lambat, mungkin saya tak dapat mengandung,” ujarnya.
Selepas beberapa siri pemeriksaan, doktor mengesahkan sel kanser kembali aktif. Pada ketika itu, ibu kepada empat cahaya mata ini nekad membuat keputusan untuk membuang rahim pada tahun 2020.
“Alhamdulillah, selepas pembedahan, semuanya bersih,” katanya lega dengan perasaan lega.
Tidak berhenti di situ, tahun lalu dirinya turut menjalani pembedahan membuang ovari selepas doktor menasihatkan tindakan tersebut demi keselamatan jangka panjang. Tambahnya lagi tidak perlu menjalani kemoterapi kerana kanser masih pada tahap awal.
Nourul juga lebih peka terhadap kesihatan wanita kerana mempunyai kakak yang turut diuji dengan kanser ovari tahap 3B.
“Sebab ada pengalaman dalam keluarga, saya memang rajin buat pemeriksaan. Syukur, saya dapat tahu lebih awal. Kanser tahap satu pun sudah bahaya, apatah lagi kalau dibiarkan,” jelasnya.
Sumber : Harian Metro