elakon terkenal, Nora Danish, 42, meluahkan rasa pilu dan simpati terhadap tragedi yang menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir, remaja berusia 13 tahun yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya.
Sebagai seorang ibu yang turut mempunyai anak bersekolah di asrama, Nora mengakui berita ini meninggalkan kesan yang mendalam.
“Saya juga ibu yang mempunyai anak belajar di sekolah berasrama. Jadi, perkara ini sangat memberi kesan kepada saya dan saya berharap keadilan menyebelahi mangsa.
Saya berharap pihak-pihak tertentu dapat menjalankan siasatan dengan telus dan menyeluruh agar keluarga arwah mendapat jawapan yang mereka perlukan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pengumuman duta baharu Amber Eksklusif Casual Wear di sebuah hotel, semalam.
Bagi Nora, keselamatan anak-anak di sekolah perlu menjadi keutamaan. Beliau menekankan pentingnya saluran aduan yang selamat agar pelajar boleh bersuara tanpa rasa takut.
“Kita kena ajar di sekolah bahawa buli itu salah. Walaupun sedikit, ia tetap buli. Perlu wujud sifat belas kasihan dan kasih sayang kerana kita semakin kurang nilai-nilai itu.
Kalau anak saya, Rayqal atau Neyney, balik rumah, saya akan tanya keadaan mereka di sekolah. Saya mahu mereka tahu buli itu bukan perkara normal,” katanya.
Nora juga menyedari bahawa isu buli bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi turut berleluasa di dunia maya.
“Buli di media sosial juga berat. Ia boleh mengganggu emosi, malah boleh meragut nyawa. Jadi anak seni tidak lari daripada dibuli, tapi saya sudah biasa kerana lahir pada zaman blog lagi. Walau begitu, saya faham ada yang terkesan dan saya sangat bersimpati.
Saya pernah melalui pengalaman itu, dan saya tahu betapa sukarnya untuk terus kuat,” luahnya.
Kes Allahyarham Zara mengejutkan seluruh negara. Arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar.
Bagi Nora Danish, perjuangan untuk keadilan ini bukan sekadar untuk Zara, tetapi demi semua anak-anak yang sedang membesar – agar mereka dapat hidup dalam persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang, dan bebas daripada keganasan yang bernama buli.
Kronologi Lengkap Kes Zara Qairina Yang Meruntun Jiwa
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE