
Bertembung Kereta
Niat awalnya nak ke sekolah, tetapi tiba-tiba motor yang dibonceng bertembung kereta guru di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang hari ini membuatkan hati seorang ibu luluh sehingga pengsan sebanyak empat kali selepas melihat anak-anaknya bergelimpangan di atas jalan.
Kejadian yang melibatkan Muhammad Muskir Rosli, 14 bersama adiknya, Mas Siti Rosnani, 7, termasuk dua anak saudara mereka iaitu Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, mengalami kecederaan parah selepas tercampak ke atas jalan raya.
Baca Artikel: Perjalanan Ibu Menghantar Anak Ke Sekolah Berakhir Tragedi, Dua Anak Parah Kenderaan Bertembung Axia
Kakak kepada Muhammad Muskir dan Mas Siti Rosnani, Mas Asmah,19, berkata, ibunya, Hanita Yusoff, 48, bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat dua anak dan dua cucunya terlibat nahas.
Ibu sampai pengsan empat kali sebab tidak sanggup melihat keadaan adik-adik yang sudah bergelimpangan di atas jalan sehingga perlu dipapah ke dalam ambulans yang dinaiki Mas Siti Rosnani.
“Saya lihat adik kedua-dua adik saya dalam keadaan kritikal kerana mengalami cedera parah pada anggota badan.
“Dua lagi anak saudara turut mengalami cedera cedera parah pada bahagian paha. Mas Siti Rosnani yang merupakan anak bongsu daripada 14 beradik yang koma sudah dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian kerana keadaannya dilaporkan kritikal,” katanya.
Mas Asmah memberitahu, Mas Siti Rosnani pada awalnya tidak ke sekolah hari ini dan mengubah fikirannya selepas dipujuk ibu, namun dia pergi ke sekolah dalam keadaan merajuk.
“Saya tidak menyangka keengganan adik untuk ke sekolah hari ini menjadi petanda kejadian buruk. Mereka berempat pergi ke sekolah setiap hari dengan menunggang motosikal milik ibu saya yang digunakan untuk ke kebun getah.
“Jarak rumah kami di Kampung Berangan Mek Nab, Machang kira-kira enam kilometer untuk ke Sekolah Kebangsaan Kampung Pek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan,” katanya.
Menurut siasatan, kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang guru wanita berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Machang menuju Kuala Krai.
Pada masa sama, motosikal Honda C100 yang datang dari arah bertentangan dipercayai secara tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang sekolah sebelum bertembung dengan bahagian hadapan kanan kereta yang berada di laluan sah.
Akibat impak kuat, keempat-empat mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke Hospital Machang, kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut. Namun, pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Insiden ini bukan sekadar kemalangan jalan raya, tetapi cerminan realiti membimbangkan apabila kanak-kanak dan remaja terdedah kepada risiko maut akibat budaya pemanduan tanpa kawalan serta pengabaian aspek keselamatan.
Sumber: Astro Awani