Bila dah muak dengan biskut raya kebanyakan orang lebih suka makan sejenis snek, salah satunya Cornflakes Pedas. Apa yang menarik, resepi ini dikongsi oleh seorang lelaki, Rezal Mansor yang katanya ini snek ini sedap dan laku keras kalau jamu waktu raya.
Satu kuih raya dah siap, Cornflakes pedas ini taste dia sedap macam kerepek ubi pedas dan garing. Tadi tak ada daun limau purut, jadi gantikan dengan daun kari. Ikan bilis tu saje nak menyedapkan rasa dan sedap lagi, kalau bubuh kacang goreng.
Snek Cornflakes Pedas
Ads
Bahan-bahan:
40 gm bawang putih dicincang
40 gm bawang merah dicincang
2 sudu kecik minyak
60 gm pes cili
120 gm gula
3/4 sudu kecil garam
1 sudu kecil kicap
4 helai daun limau purut dihiris halus
120 gm bijiran cornflakes
Ads
Cara menyediakan:
1. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang putih dan bawang merah sehingga wangi.
Ads
2. Tambahkan pes cili dan masak lagi selama beberapa minit.
3. Kemudian masukkan gula, garam, kicap dan daun limau purut dan masak lagi selama 2 minit.
4. Masukkan cornflakes dan kacau sehingga semua rata.
5. Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah selsius.
6. Letakkan cornflakes pedas dalam dulang pembakar dan bakar selama 5 hingga 6 minit atau sehingga cornflakes garing
7. Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara.
Selamat mencuba semua!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebenarnya sekarang ni segala teknologi dihujung jari, tiada lagi alasan untuk tidak melakukan pembayaran Zakat Fitrah yang diwajibkan keatas setiap yang berkemampuan. Jika dahulu mungkin alasan terlupa atau kerap bertangguh untuk berjumpa amil,tapi sekarang cukup mudah, boleh bayar guna online je!
Jangan bimbang, pembayaran zakat secara online menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu penyertaan niat sewaktu pembayaran.Ketiadaan lafaz aqad dari pembayar juga tidak memberi apa-apa kesan terhadap sahnya pembayaran tersebut kerana aqad didalam pembayaran zakat adalah perkara SUNAT sahaja.
1. Login id/ username Maybank2U
2. Pilih bahagian ‘Bill Payment’
3. Klik ‘Make a one-off payment’
4. Ambil bahagian All Payee ‘Category’ pilih ‘Zakat & Charity’
5. Pilih senarai Pusat Zakat mengikut negeri yang anda duduki. (Contoh Lembaga Zakat Selangor )
6. Pada bahagian ‘Type of zakat’, pilih ‘Zakat Fitrah’ dan masukkan jumlah nilai yang ingin dibayar. (Rujuk pada jumlah bayaran yang ditetapkan setiap negeri, Rujuk pada gambar terakhir)
7. Masukkan nombor SMS TAC untuk pengesahan
8. Pengesahan zakat telah diterima apabila ada penyataan “successful”.
Semoga bermanfaat kepada yang memerlukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ternyata bukan mudah buat seorang suami untuk menjalani hari-hari mendatang apabila isteri yang dikasihi terlantar sakit selepas tiga bulan melahirkan cahaya mata pertama mereka.
Secara Tiba-Tiba
Baru sahaja mengecap kebahagiaan saat dikurniakan anak kembar lelaki setelah empat tahun menunggu zuriat hasil perkongsian hidup bersama, Mohd Nizam Zolkefli, 34, sekali lagi diuji apabila isteri tersayang Nor Hafizah Yulisailani, 34, disahkan mengalami saraf otak tidak berfungsi (mati otak) sejak hampir dua tahun lalu.
“Saya masih ingat hari pertama Nor Hafizah diserang penyakit ini iaitu selepas tiga bulan melahirkan anak kembar kami yang kini berusia dua tahun. Pada malam kejadian, isteri minta saya untuk menjaga anak-anak kerana dia mahu tidur sebentar. Ketika itu dia masih sihat seperti biasa,” ujarnya menceritakan perihal isterinya yang tiba-tiba diserang sakit.
Tambahnya lagi, lebih kurang jam 2.30 pagi, ketika mahu mengejutkan isterinya untuk menyusukan anak mereka, tiba-tiba isterinya mengalami kekejangan otot dan kemudian terus terdiam.
“Pada ketika itu saya hanya mampu memikirkan untuk membawa isteri ke hospital dan apabila tiba di Hospital Batu Gajah, doktor memberitahu denyutan nadi isteri saya sudah terhenti dalam tempoh 45 minit dan kemudian kembali berdenyut namun agak perlahan. Isteri saya kemudiannya dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama tiga minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa selama tiga bulan,” katanya.
Keadaan Tak Berubah
Selepas beberapa kali berpindah hospital dan wad, keadaan isteri Mohd Nizam tidak banyak berubah. Justeru anak-anak mereka yang masih kecil terpaksa dihantar kepada ahli keluarga yang lain untuk dijaga sementara Mohd Nizam menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri tercinta.
“Sebelum ini kami tinggal di Batu Gajah kerana isteri bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ipoh namun selepas jatuh sakit, kami berpindah ke rumah mak saya di Kampung Changkat Banjar ini. Alhamdulillah, ahli keluarga termasuklah mak ayah saya dan mak ayah mentua serta adik-beradik banyak membantu saya menjaga anak-anak serta menguruskan isteri.
“Ketika mula-mula isteri jatuh sakit saya langsung tidak boleh bekerja kerana memberi sepenuh perhatian kepada isteri dan ketika ini ahli keluarga begitu banyak membantu termasuk dari segi kewangan,” ujarnya.
Sehingga kini, mereka sekeluarga masih belum mengetahui punca sebenar penyakit yang menimpa isteri Mohd Nizam. Apa yang boleh dikatakan Nor Hafizah kini lumpuh sepenuhnya dan memerlukan bantuan untuk menguruskan diri.
Empat tahun menunggu zuriat
Setelah empat tahun berkahwin, barulah pasangan ini dikurniakan rezeki yang diidam-idamkan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Kegembiraan berganda apabila anak yang dikandung disahkan kembar. Penantian selama ini berbaloi dengan rezeki kurniaan Ilahi.
“Sebenarnya kami menunggu selama lebih kurang empat tahun untuk mendapat zuriat dan apabila isteri saya disahkan hamil anak kembar memang kami sangat teruja. Ketika itu dia dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang masalah namun ketika hamil dia mengalami tekanan darah tinggi hingga memaksanya untuk bersalin awal melalui pembedahan ketika usia kehamilan lebih kurang tujuh bulan lebih.
“Namun selepas itu keadaannya kembali normal dan sihat seperti biasa termasuklah ketika dalam pantang dan selepas habis pantang. Ketika mula-mula diserang penyakit itu, Nor Hafizah masih lagi dalam tempoh bercuti kerana dia mahu melanjutkan cutinya bagi menjaga anak-anak kami yang masih bayi,” katanya.
Siapa yang tidak terkejut dengan keadaan yang sebegitu. Isteri yang sihat tanpa sebarang penyakit, kini terlantar tidak lagi seperti dahulu. Hati lebih sayu apabila melihat anak-anak yang masih kecil, belum pun sempat dimanjakan oleh ibu mereka yang mengandung dan melahirkan mereka. Namun sedar itu semua ujian dari Allah, Mohd Nizam menerima segala ketentuan ini dengan penuh reda.
“Mula-mula kami begitu gembira kerana mendapat cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini namun sudah takdir isteri hanya mampu mengecap rasa bahagia itu sekejap sahaja. Sekarang anak-anak kami makin besar dan mereka boleh menyebut ibu walaupun dalam keadaan pelat. Saya dapat melihat Nor Hafizah seolah-olah seperti memberi respons dengan membuat bunyi tertentu apabila anak-anak memanggilnya ibu,” katanya penuh sayu.
Perbelanjaan perubatan isteri dan anak
Nor Hafizah kini perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga memandangkan keadaan dirinya yang kini terlantar sahaja.
“Awal-awal dulu dia sering kejang atau sawan dan matanya juga tertutup namun kini matanya sudah boleh dibuka. Makan juga melalui tiub khas yang ditebuk di perut manakala lehernya ditebuk untuk membuang kahak,” cerita Mohd Nizam tentang keadaan isterinya kini.
Jelasnya lagi, sehingga kini isterinya perlu diberi susu khas dan mereka amat bertuah apabila mendapat bantuan susu itu daripada jabatan kerajaan tempat isterinya bekerja dahulu.
“Selain itu isteri ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan duit ini boleh juga menampung pembelian lampin pakai buang isteri yang bernilai lebih kurang RM160 sebulan.
“Namun begitu, perbelanjaan kami makin lama makin tinggi memandangkan anak-anak juga semakin membesar. Saya amat berharap agar dapat menyelesaikan masalah tuntutan gaji isteri yang sehingga kini tidak dapat diambil disebabkan masalah tertentu dengan pihak bank. Jika duit ini dapat diambil sekurang-kurangnya dapat membantu kami sedikit sebanyak kerana pada masa ini saya kadang-kala terpaksa bergantung kepada ahli keluarga,” katanya yang hanya bekerja kampung.
Walaupun sudah dua tahun Nor Hafizah terlantar sakit, kasih dan cinta Mohd Nizam terhadap isteri tersayang tidak pernah pudar. Selagi hayat dikandung badan, Mohd Nizam akan cuba menjaga isterinya itu sebaik mungkin.
“Saya sedih namun saya perlu terima hakikat ini dan akan terus menjaga isteri sebaik mungkin kerana ini adalah amanah untuk saya. Kini anak-anak (Muhmmad Amar Aqif dan Muhammad Aiman Aqif) menjadi kekuatan saya untuk menempuh kehidupan mendatang,” tambahnya.
Syawal yang mendatang bagaikan kurang serinya apabila isteri terlantar sakit dan tidak dapat bergerak. Bagi Mohd Nizam, sambutan yang dibuat hanya biasa sahaja. Kadang terbit rasa sedih apabila melihat rakan-rakan yang lain menyambut bersama isteri dan anak-anak.
“Dalam tempoh dua tahun ni bila tiba raya saya sambut macam biasa sahaja. Tapi tipulah kalau saya kata tak sedih bila lihat kawan-kawan lain yang meriah menyambutnya bersama keluarga tersayang. Saya masih belum berpeluang merasa keadaan itu. Saya teringin sangat nak keadaan kembali seperti dulu, tapi apakan daya ini takdir kami, Insya-Allah saya akan jalankan amanah ini dengan seikhlas dan setabah mungkin,”akhirinya dengan redha.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga ini, anda boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank Mohd Nizam Zolkefli 158118263466
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pada mulanya Mohd Adli bin Yahya tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya Mohd Luqman Shariff mengalami autism. Bertahun juga dia berada dalam tahap ‘penafian’ atau denial terhadap apa yang berlaku pada anak keduanya ini.
Luqman disahkan mengalami autism ketika berusia setahun lebih. Adli tidak percaya dengan pengesahan doktor. Dari satu doktor ke satu doktor lain dia membawa Luqman. Semua doktor yang ditemuinya memberi keputusan yang sama. Tetapi Adli tetap tidak puas hati.
Disebabkan kecewa dengan keadaan Luqman, Adli sentiasa memarahi Luqman. Semasa Luqman masih kecil, seringkali dia marah pada Luqman kerana tidak mampu melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak sebayanya pada ketika itu. Buatlah apa sahaja. Luqman tidak pernah melawan.
Tetapi Adli sedar Luqman tahu kenapa dia kena marah melalui riak pandangan mata anaknya itu. Daripada perbuatan Luqman, dia ingin memegang tangan anaknya itu tetapi Luqman enggan memegang tangannya kembali kerana tahu Luqman dalam keadaan marah.
Sering memarahi anaknya itu juga akhirnya memberi kesedaran pada Adli. Terdetik juga dalam hatinya. “ Kenapa aku perlu marah pada anak aku ini? Dia tidak bersalah.”
Akhirnya lama-kelamaan Adli mula berubah. Dia perlu buat sesuatu demi Luqman. Demi masa hadapan anaknya itu, Adli sanggup berhenti kerja demi mahu membantu Luqman dalam belajar menguruskan diri sendiri. Harapannya hanya satu. Adli tidak mahu Luqman terkapai-kapai sendirian bila tiba masanya dia dan isterinya sudah tidak ada di dunia ini.
Kini Luqman berusia 19 tahun. Banyak perubahan yang berlaku pada Luqman. Adli mengharapkan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, Luqman mampu berdikari, mempunyai kerja sendiri dan hidup tanpa bergantung pada orang lain.
Autisme Café Project Malaysia
Pada masa itulah, Adli telah membuka Autisme Café Project Malaysia sebagai satu usaha membantu anaknya dan remaja autism lain dalam belajar mencari wang sendiri untuk menyara kehidupan mereka pada masa hadapan kelak.
Autisme Café Project Malaysia ini terletak di Puchong, Selangor. Ia bukan setakat kafe. Jika tidak berniaga di kafe itu, Adli akan membawa anaknya dan beberapa remaja autism lain berniaga di bazar. Kadangkala mereka juga akan melakukan khidmat katering.
Banyak kerja yang dilakukan oleh semua remaja autism di kafe ini. Setiap remaja diberi kerja mengikut kesukaan mereka. Ada yang suka main air akan disuruh membasuh pinggan. Ada yang pandai bercakap di suruh bekerja di bahagian hadapan.
Sebelum ini Luqman suka main air. Adli menugaskan anaknya itu membasuh pinggan. Seronok sungguh Luqman melakukannya sehingga pernah sekali itu dia basuh 200 biji pinggan tanpa henti. Betapa fokusnya Luqman pada kerjanya.
Selepas itu Adli telah memberi tugasan baru pada Luqman. Luqman perlu mengisi nasi lemak di dalam sebuah bekas plastik bertutup.
“Luqman mengambil masa setahun untuk pandai mengisi nasi lemak yang ada sambal, ikan bilis, timun dan telur. Sebelum ini, jika kita suruh isi nasi lemak dalam bekas dan tidak suruh masuk bahan-bahan yang ada, sudah pasti tidak masukkan.
“Pada suatu hari, saya pandang belakang untuk buat satu kerja. Sebelum itu saya minta dia siapkan nasi lemak. Selepas habis kerja, saya pandang semula ke hadapan untuk melihat adakah nasi lemak siap diisi dalam bekas. Saya lihat bekas plastik sudah diisi dengan nasi lemak yang lengkap segala bahan-bahannya.
“Saya rasa hendak menjerit pada orang ramai yang ada di sekeliling untuk memberitahu kejayaan Luqman itu. Dari situ saya tahu bahawa Luqman boleh diajar. Dia juga sudah faham apa itu konsep nasi lemak yang mesti ada nasi, sambal, ikan bilis, timun dan telur.
“Pada pandangan orang luar apa istimewanya dapat menyiapkan satu bekas nasi lemak. Bagi saya yang mempunyai anak autism jenis pertengahan, ini adalah satu kejayaan besar. Jika ibu bapa lain berasa amat gembira dengan pencapaian cemerlang anak dalam akademik tapi bagi saya, perasaan gembira dapat melihat Luqman siapkan nasi lemak dengan sempurna itu,” katanya dengan panjang lebar.
Setiap Hari Minta Maaf
Bapa kepada enam orang anak ini bersyukur kerana Luqman sudah dapat sedikit kemahiran. Sebagai bapa, Adli tidak minta banyak.
“Saya sedar kemampuan Luqman. Cuma saya minta Luqman dapat berdikari. Itu pun sudah cukup bagi saya. Sekarang ini, Luqman masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Perlahan-lahan saya mengajarnya,” kata bapa yang cukup prihatin.
Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Adli untuk anaknya itu. Selain berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta, Adli juga tidak menaiki kereta demi mahu mengajar anaknya itu cara-cara menggunakan pengangkutan awam.
“Saya korban masa dengan membawa Luqman menaiki komuter, tren LRT dan bas. Saya mahu dia rasa bagaimana menaiki pengangkutan awam. Saya juga mahu dia jadi normal. Memang nampak perubahan pada Luqman,” jelasnya lagi.
Memiliki anak autism adalah cabaran besar. Salah satu perkara yang perlu difahami adalah anak-anak ini akan buat perangai pada bila-bila masa sahaja. Bagi Adli, jika Luqman buat perangai, itu adalah satu perkara biasa baginya. Dia sanggup telan apa sahaja demi anaknya itu.
“Saya sedar Allah bagi saya dugaan ini sebab dia mahu saya sedar dan menghargai apa yang saya ada. Setiap apa yang Allah bagi ini ada sebabnya. Kalau saya kenangkan balik, inilah sebab Allah bagi Luqman pada saya.
“Nasihat saya kepada ibu bapa yang memiliki anak autism dan masih dalam tahap ‘penafian’ adalah agar mereka cepat sedar. Apabila sudah sedar perlulah pula ibu bapa ini redha dengan apa yang berlaku. Ada hikmah di sebalik apa yang Allah berikan kepada kita. Hanya kita sahaja yang tidak tahu.
“Ketahuilah apabila kita menafikan keadaan anak kita itu dan sebaliknya mengajar anak dengan cara biasa, ia seperti menyeksa mereka. Anak autism ini ada hati dan perasaan. Jangan siksa mereka kerana kelak hubungan akan jadi renggang. Pahit di luar kita nampak tetapi parut di dalam kita tidak nampak.
“Sebab itu jugalah apabila saya ingat apa yang pernah saya buat pada Luqman dahulu saya rasa sedih. Sekarang ini setiap hari saya akan minta maaf pada Luqman. Luqman tidak boleh bercakap tetapi saya rasa dia maafkan saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!