Makanan kenduri, inilah hidangan yang cukup meriah dan ditunggu-tunggu oleh tetamu. Nasi minyak, ayam masak merah, dalca, daging masak hitam dan sebagainya. Cukup sedap untuk hidangan tetamu.
Kalau di kampung mestilah makanan kenduri dibuat secara gotong royong, sanak saudara datang membantu untuk memasak dan memeriahkan suasana. Paling seronok, bila dapat bawa balik makanan kenduri untuk dijamah di rumah pula.
Selalunya, pada penghujung majlis dan lauk masih lagi berbaki, tuan rumah akan tapau makanan buat saudara mara yang jauh atau dekat. Namun, tak kurang juga kita dengar yang siap tapau makanan semasa majlis tengah berlangsung.
Tak kisahlah nak tapau makanan kenduri sanak saudara sekali pun. Tapi paling penting adalah minta kebenaran tuan rumah. Jatuh haram, kalau tapau tanpa kebenaran tuan rumah. Inilah yang diulas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang perkara ini.
Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum tapau makanan kenduri? Terima kasih Datuk.
Jawapan:
Ads
Hukum tapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis. Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan.
Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram.
Sebagaimana kebiasaan, mereka yang menghadiri majlis kenduri perkahwinan, menyambut menantu atau seumpamanya akan dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah hidangan.
Sekiranya diperhatikan, aktiviti perjamuan makan ini terpakai ke atasnya suatu konsep atau akad yang dipanggil sebagai al-Dhiyafah (الضيافة) iaitu menjamu tetamu.
Ia berbeza dengan akad hibah dari sudut pemilikan oleh kerana akad hibah merupakan sebuah akad pemilikan barangan dan bukannya manfaat. Pun begitu, ia agak hampir dengan akad pinjaman (العارية), dari sudut ketika menjamah makanan yang dihidangkan.
Hal ini kerana, berlakunya konsep al-Ibahah (الإباحة). Konsep ini terbahagi pula kepada dua jenis iaitu Ibahat al-Intifa‘ (إباحة الانتفاع) iaitu keharusan untuk mengambil manfaat dan
Ibahat al-Istihlak (إباحة الاستهلاك) yakni keharusan untuk menggunakan sepenuhnya atau menghabiskannya, dan aktiviti kenduri dan jamuan makan kepada tetamu ini terletak di bawah jenis Ibahat al-Istihlak (إباحة الاستهلاك) iaitu keharusan untuk menghabiskannya.
Namun, di bawah akad al-Dhiyafah (الضيافة) ini juga, tetamu hanya diberikan kebenaran untuk menjamah makanan yang dihidangkan hanya untuk dirinya tanpa diharuskan untuk mengambilnya atau memberi makan pula kepada orang lain mahupun kucing. Meskipun begitu, sekiranya ada keizinan daripada tuan rumah atau pemilik makanan, maka ia diharuskan.
Oleh itu, persoalan utama yang perlu diketengahkan di sini adalah makanan kenduri ini akhirnya menjadi milik siapa? Maka, dalam hal ini, Imam al-Syirbini ada menyatakan tentang perkara ini di dalam karyanya ‘Mughni al-Muhtaj’ bahawa makanan yang dihidangkan menjadi milik tetamu sesudah ia dimasukkan ke dalam mulut.
Berkenaan hukum tapau, tapau menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perbuatan membungkus (makanan dan lain-lain) untuk dibawa pulang dan sebagainya. Imam al-Syirbini ada memberikan jawapan yang umum terhadap soalan yang diajukan:
Maksudnya: Maka adakah seseorang itu dibolehkan untuk memberikannya (makanan) kepada orang lain atau dia menggunakannya untuk selain makan?
Di sini terdapat dua pendapat, dan pendapat yang sahih ialah pendapat jumhur ulama iaitu tidak boleh sebagaimana tidak boleh bagi orang yang meminjam memberi pinjam kepada orang lain. Hal ini kerana, dia hanya memiliki makanan tersebut untuk manfaatnya tersendiri sebagaimana pinjaman, dan bukannya memiliki ‘ain (objek) barangan tersebut.
Melainkan sekiranya adanya keizinan daripada tuan majlis atau tuan rumah, atau adanya uruf yakni adat kebiasaan di kawasan itu yang menunjukkan diperbolehkan perbuatan tapau untuk benda yang kecil atau sedikit, atau juga adanya petanda lain (قرينة) yang membenarkan perbuatan tersebut.
Perbuatan mengambil sesuatu barangan tanpa keizinan atau keredhaan seseorang merupakan suatu perbuatan mencuri dan ia amatlah dilarang di dalam Islam. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”
Oleh yang demikian, sebaiknya tetamu perlulah meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah atau tuan majlis untuk menapau makanan agar kita terhindar daripada memakan makanan yang haram oleh kerana tuan rumah tidak redha akan perbuatan tersebut.
Wallahu A’lam.
Mingguan Wanita : Apa yang kita makan itu akan jadi darah daging. Minta kebenaran tuan rumah dulu, walaupun majlis itu adalah saudara mara atau ahli keluarga terdekat sekalipun.
Hujan lebat yang berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir terutama di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai. Musim hujan yang luar biasa merupakan ‘perkara biasa’ yang berlaku setiap kali hujung tahun.
Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat. Selain peka dengan keadaan semasa, bersiap sedia menghadapi banjir dan sebagainya, sebagai umat Islam kekuatan kita adalah dengan cara berdoa kepada ALLAH.
Banjir, Amalkan Baca Doa Munajat Seperti Diajar Rasulullah SAW
Melalui hantaran dilaman Facebook, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkongsi doa yang boleh diamalkan ketika musim banjir.
Nabi Muhammad SAW pernah berdoa atas permintaan seorang lelaki yang bertemu dengan baginda agar ALLAH menghentikan hujan. Ini kerana harta benda, jalan-jalan, tanam-tanaman dan haiwan ternakan banyak yang rosak dan binasa.
Maksudnya: “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.” Riwayat al-Bukhari.
Maka berhentilah hujan dan keluarlah matahari. Sebahagian ulama menulis faedah doa ini bahawa secara adabnya kita berdoa agar ALLAH SWT mengalihkan hujan ini ke tempat-tempat lain kerana hujan itu membawa rahmat dan keberkatan.
Selain itu, terdapat sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya berkaitan doa ketika turunnya hujan. Daripada Aisyah R.anha berkata,
Ketika Rasulullah SAW melihat hujan, baginda berdoa:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” Riwayat al-Bukhari
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa yang disebutkan di dalam ini adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan. Tujuannya bagi menambah kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudarat.
Banyakkan berdoa kepada ALLAH ketika dilanda musibah. Amalan ini amat dituntut oleh syarak. Moga ketika musim-musim hujan lebat seperti sekarang ini kita dilindungi oleh ALLAH daripada segala bala dan musibah.
Seperti yang kita tahu, ada sesetengah tempat agak ‘keras’ dan salah satunya hospital. Maklum sajalah, tempat orang sakit, berlaku kematian, tempat simpan mayat sebelum dikebumikan dan sebagainya.
Ada sesetengahnya punya pengalaman tertentu bila berada di hospital. Kita tidak diberi ‘hijab terbuka’ untuk melihat makhluk halus. Mahunya, kalau dapat dilihat, boleh pengsan dibuatnya.
Mesti ada pengalaman yang dialami oleh sesiapa yang pernah ditahan di wad hospital, atau pernah alami bila pulang dari hospital. Bukan untuk menakutkan atau mempercayai tapi sekadar untuk peringatan.
Inilah yang dikongsikan oleh Ariff Budiman Zainal abidin yang mempunyai kelebihan padanya dan panduan untuk amalkan surah al matsurat setiap kali keluar dari hospital.
Hospital, Amalkan Surah Al Matsurat & Ayatul Kursi
Ingin aku kongsikan pengalaman sewaktu berada di hospital. Ini dari seorang yang sepet matanya. Bila aku memasuki wad hospital mata aku yang sepet ini pasti akan memerhati sekeliling atas dan bawah sebab terlalu banyak mahkluk-makhluk yang tak dapat di lihat dengan mata kasar. Aku bukan bertujuan untuk menakutkan sesiapa tapi itulah pengalaman si mata sepet.
KES 1
Aku masuk ke wad kelas 3. Aku melihat di atas siling begitu banyak makhluk merayap. Ada mata bulat, mata panjang, telinga panjang dan ada muka menggerikan. Mereka seakan menanti saat untuk terjun ke bawah. Di hujung pula aku melihat seorang lelaki berjalan sambil memegang kepalanya sendiri. Darah memancut keluar dari tengkuknya. Nurse dan doktor seperti biasa menjalankan tanggung jawab mereka. Hanya aku yang kadang-kadang melihat di bawah katil pesakit. Mayat sedang tidur di bawahnya. Seorang kanak-kanak pula menarik tangan ibunya sambil jari menunjuk ke arah lembaga di bawah katil. Marah si ibu pada anaknya. Lain kali ibu-ibu yang ada anaknya macam ni, percayalah. Mereka dapat melihat apa yang orang lain tidak dapat
KES 2Aku melihat ramai orang datang ziarah keluarga pada waktu melawat. Seorang wanita kelihatan jalannya begitu perlahan. Di atasnya seekor beruk sedang bertenggek. Matanya merah. Aku cerita dekat isteriku. Terdiam dia. Aku terus baca ayat quran lalu aku hembus ke arah makhluk tersebut. Jatuh makhluk tu dan wanita tersebut terhoyong hayang. Keluarganya terus memegang ingatkan wanita tersebut pitam atau tidak sihat. Makhluk tersebut bangun dan nampak begitu marah. Dia tahu angkara siapa yang buat. Matanya tepat memandang aku. Aku baca ayat qursi dan hembus lagi sekali. Terus hilang.
“Laa…Pasaipa abang p hembus. Satlagi takut kecuh wad”. Tegur isteriku. Betul jugak katanya. Aku hanya terdiam. Itulah sikap aku aku melihat sesiapa yang bawa benda ghaib yang dia sendiri tidak tahu. Aku akan buat dari jauh dan kadang-kadang aku sendiri kena serang bila tertidur.
KES 3
Aku melihat ramai orang mengelilingi seorang lelaki. Rupanya dia di ambang sakaratul maut. Anak-anak sibuk dengan hp. Telefon sana sini. Mungkin sedang memaklumkan kepada sanak saudara. Yang paling sibuk ialah makhluk yang telinga panjang, tanduk panjang sedang ganggu lelaki tersebut. Saat inilah kita harus bisikkan kalimat Laaila Haillallah padanya. Kita ajarnya akan kalimat itu. Bukan kita tengok dan kata pada ayah…” yah mengucap ayah…mengucap “… sambil tersedu-sedu. Kalau kita sayang mereka kita bantu mereka saat ini. Pedulikan hp. Bisikkan di telinganya Laaila haillallah. Saat itu matanya hanya memandang atas. Dia di ganggu sebenarnya. Kalau kita sayang ayah kita dan ibu kita ketika saat mereka hampir sampai tak kisah la sama ada anak lelaki atau perempuan, ajarlah ayah dan ibu anda. Itu tanda kasih kita pada mereka. Jangan hanya melihat dan menangis. Kadang-kadanf kalau aku ziarah aku akan nasihat anak-anak agar ajar tentang kalimah ini. Biarlah mereka akhiri dengan penyudah yang baik.
KES 4
Pernah aku masuk bilik mayat untuk meminta surat kematian ibuku. Aku melihat ada beberapa makhluk sedang berdiri dekat peti mayat. Cuma aku tak pasti adakah peti itu kepunyaan mereka. Mereka berpakaian seperti biasa yang kita nampak pada manusia. Ada juga yang berwajah hodoh umpanya muka pecah, lidah terjelir keluar. Cepat-cepat aku jumpa yang mengeluarkan surat dan terus pergi ke pejabatnya.
KES 5
Aku masuk ke wad jantung sewaktu ziarah ibu mentuaku. Seorang nurse
begitu tekun membantu pesakit. Tapi tanpa dia sedar dia di ekori sesuatu. Wanita berambut panjang berjalan mengikutnya dari belakang. Ke mana saja nurse tu pergi dia akan ikut. Matanya hanya pandang ke bawah saja. Sesekali rambutnya akan tersangkut atas bahu nurse dan aku melihat nurse tersebut menguis seolah-olah gatal. Aku hanya dapat melihat tanpa dapat melakukan apa-apa terhadap nurse tersebut. Biasala kalau bertugas di hospital.
Sebab tu paling bagus kita amalkan ayat al Matsurat. Sebelum keluar dari hospital kita baca ayat matsurat atau ayat qursi lalu kita hembus kiri, kanan, depan dan belakang sebelum pulang ke rumah. Amalka lah. Kita tak tahu apa yang mengikut kita pulang. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak kita.
Mingguan Wanita : Selalunya, tempat-tempat begini banyak ‘penunggu’. Entahlah. Moga kita dijauhkan, sekurang-kurangnya bacalah ayatul kursi.
Terdapat persepsi segelintir wanita mengganggap bahawa ketika berhadas besar dalam keadaan tidak suci, maka potong kuku dan rambut adalah tidak dibenarkan sama sekali. Sehinggakan jika dipotong perlu ‘dibawa’ mandi wajib sekali dan ditanam.
Rupanya tiada dalil yang melarang wanita daripada potong kuku dan rambut ketika sedang berhadas besar baik ketika haid, nifas atau junub. Hukum berkaitan perkara ini ada dijelaskan oleh PU Azman didalam laman instagramnya baru-baru ini.
Berikut perkongsian tersebut;
Tiada dalil yang melarang wanita yang haid, nifas atau hadas besar atau junub untuk mengerat kuku, rambut dan segala bulu yang ada.
Dan tak perlu untuk dibawa semua yang dah dipotong ketika mandi wajib. Kerana tiada dalil yang mewajibkannya.
Dan takder kaitan langsung kuku atau bulu yang tak dimandikan sekali akan memberi kesan buruk di akhirat kerana tiada dalil tentang itu.
Mungkin disebabkan inilah ada perempuan yang takut nak kerat kuku ketika haid sedangkan kuku yang sedia ada pun memang panjang bak kuntilanak dan waktu haid pun panjang lagi.
Bahkan ada hadis ketika Aisyah isteri Nabi menunaikan haji Wada’ bersama Nabi dan ketika itu Aisyah haid dan Nabi memintanya untuk mandi dan bersisir.
Maksud hadis :“Uraikan rambutmu dan bersikatlah. Serta berihlal (talbiyah) dengan haji dan tinggalkan umrah.”(Bukhari Muslim)
Daripada hadis ini, kita paham bahawa bersikat mengundang risiko menggugurkan rambut sedangkan Nabi takder langsung mengingatkan Aisyah tentang rambut gugur yang mesti dibawa mandi wajib nanti.
Hukum HARUS
Jadi kesimpulannya, BOLEH/HARUS potong rambut dan kuku ketika haid, nifas (segala macam hadas besar).
Tidak wajib tanam kuku atau bulu atau rambut yang sudah dipotong. Buang saja dengan baik di samping menjaga kebersihan. Kalau nak tanam, terpulang. Tapi kalau tanam dengan kepercayaan tertentu, maka khurafat.
Potong kuku dan rambut, tak wajib dibawa sekali mandi wajib, tapi kalau potong bekalan air, memang payah nak mandi wajib.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberi pencerahan buat para wanita yang keliru mengenai hukum ini. Tak salah dan diharuskan memotong kuku ketika berada dalam keadaan hadas besar.
Live TikTok Fattah, Amira raih lebih 50 juta ‘likes.' Pasangan baharu mendirikan rumah tangga, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila sesi siaran langsung mereka di TikTok mencatatkan lebih 50 juta tanda suka selain ditonton lebih 150,000 kali setakat jam 10.40 malam, Isnin.