Nak Suami SAYANG Lebih, Caranya Jadilah Isteri Yang Seksi Untuknya

Fitrah lelaki dicipta dengan dominasi seksual berbanding tarikan sensual. Sebagai suami, disarankan agar menunjukkan kasih sayang, begitulah juga sebagai isteri, disarankan agar menampilkan diri yang seksi, pakaian yang seksi dan pergaulan yang seksi.

Cara menawan hati suami inilah yang dikongsikan oleh Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).

Sebagai lelaki, memiliki isteri yang seksi untuk dirinya adalah sesuatu yang istimewa. Ramai isteri yang temui, mengadu suami mereka bermata keranjang, suka memandang wanita seksi malah kadang kala ada juga yang suka melihat gambar atau bahan-bahan lucah.

Sepatutnya tidak berlaku jika anda memiliki ilmu dan iman yang mantap, tetapi ramai juga yang terlibat. Sebab itulah solusi perkahwinan antara lelaki dan wanita disyariatkan dalam Islam, untuk menyelesaikan tuntutan fitrah secara sah. Ini seharusnya dapat diselesaikan menerusi perkahwinan.

Isteri menjadi wanita seksi yang halal untuk suami, sekali gus mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak baik. Sebagai isteri, anda perlulah menjadi wanita paling seksi untuk suami, menepati keperluan fitrah suami dan membahagiakannya.

Dan suami tidak lagi akan memerlukan wanita seksi yang lain. Ini merupakan salah satu faktor tarikan dan penakluk hubungan secara fitrah dengan suami.

 

Nak Suami SAYANG Lebih, Caranya Jadilah Isteri Yang Seksi Untuknya
Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat

 

Dalam kajian dan tulisan terlaris dunia seperti Mars and Venus, disimpulkan daripada ribuan responden yang ditemui, antara faktor-faktor yang menyebabkan suami atau lelaki mudah tertarik adalah dengan kecantikan seorang wanita, penghormatan oleh wanita dan tarikan seksual yang ada pada wanita.

Semua lelaki sukakan wanita cantik, meskipun cantik itu sendiri adalah bersifat subjektif. Untuk lebih mudah anda faham, selepas wanita diterima oleh suami, bermakna anda diiktiraf cantik.

Kedua, seorang lelaki akan berasa bahagia dan bangga bila dihormati oleh wanita. Sebagai isteri, hormatlah dan tunjukkan rasa hormat kita dengan cara menyokong atau mengiyakan pandangan keputusan suami, elakkan daripada ‘tunjuk pandai’ ataupun melawan.

Ketiga, jagalah penampilan diri kita sebagai isteri yang sentiasa memiliki daya penarik seksual kepada suami kita. Kadangkala perbincangan tentang hubungan seksual ini dilihat sebagai taboo dalam masyarakat, sebab itulah jarang-jarang dibincangkan.

Tetapi, sebenarnya ia adalah asas kefahaman dan kemahiran yang sangat penting, malah amat selari dengan fitrah manusia.

Kemahiran menjadi seksi, berpakaian seksi ataupun komunikasi ala-ala seksi tidak dianggap penting kerana itulah akhirnya boleh menyumbang kepada berlakunya realiti yang ada di sekeliling kita hari ini iaitu perceraian, kecurangan, perbalahan dan sebagainya.

Nak Suami Sayang, Isteri Elakkan Sifat Ini

Jadilah wanita yang membahagiakan suami, sebagaimana anda inginkan seorang lelaki yang memahami dan membahagiakan anda. Apabila suami bahagia, hatinya terikat dengan anda, lebih mudah anda memenanginya dan lebih mudah juga untuknya berfikir dalam membahagiakan anda juga.

Dalam pesanan ulama terdahulu, dalam kitab Muhimmah disenaraikan supaya anda elakkan daripada menjadi isteri yang suka melawan kata suami, yang suka memuji kebaikan lelaki lain dan banyak mengeluh.

Keadaan inilah ciri tidak menghormati suami dan akan menjauhkan hatinya daripada anda. Malah, dinasihatkan agar elakkan daripada suka meminta-minta kerana akan mudah merimaskan suami.

Fitrah suami kadang kala begitu berkira dan selalu tersalah faham dengan keperluan wanita yang kebiasaannya bukan keperluan, tetapi lebih kepada tambahan perhiasan dan aksesori.

Keadaan ini dirasakan oleh suami sebagai terbeban. Seterusnya. sentiasa jaga kecantikan, tunjukkan penghormatan serta bermanjalah dengan belaian dan layanan seksi.

Tip Jadi Isteri Yang Seksi

Pasangan anda adalah our other half yang memenuhi keperluan fitrah yang anda tidak miliki atau mampu lakukan.

Sebab itu, tugas anda adalah mengisi keperluan pasangan dan ini pastinya membahagiakannya. Membahagiakan itu adalah kunci penakluk hati dan hubungan.

1. Anda dipilih menjadi isterinya kerana anda cantik, jagalah kecantikan itu di depan suami.

2. Fitrah suami sukakan wanita seksi, berkomunikasilah atau bergaullah dengan suami anda dengan komunikasi seksi.

3. Godalah suami anda dengan memberi perhatian kepada tarikan dan hubungan seksual.

4. Elakkan terlalu banyak minta dibelai, perhatian dan kat-kata kasih sayang kerana itu tidaklah begitu membahagiakan suami, malah kadangkala merimaskan.

Sebaliknya, banyakkan melayan suami dengan cara yang menggoda dan seksi. Tapi untuk suai pula, banyakkan belaian perhatian dan kata-kata manis kasih sayang, sebab itu membahagiakan isteri.

5. Berhias dan pakailah pakaian yang cantik dan menarik atau pakaian seksi bila bersama suami. Elakkan terbiasa memakai pakaian comot atau selekeh di rumah. Secara berjenaka, suami bahagia bila isteri lawa, bukannya isteri yang sepanjang masa dengan baju kelawar.

Suami Pula Berilah Belaian Romantik

Ada perbezaan untuk suami, elakkan daripada keterlaluan bercakap ataupun meminta-minta belaian seksual daripada isteri kerana ia bukanlah fokus utama wanita.

Wanita lebih bahagia dan fokuskan kepada kasih sayang. Inilah namanya saling melengkapi. Sebagai suami, tidaklah perlu seksi untuk menakluki hati dan hubungan isteri, tetapi fokuslah lebih kepada ambil berat, caring dan belaian romantik.

Kunci kekuatan seorang suami terhadap isteri dan anak-anaknya apabila suami melaksanakan tanggungjawab ini.

  • Melindungi keluarga dan menyedia keperluan hidup.
  • Menyediakan pendidikan asas fardu ain.
  • Menguruskan rumah tangga dengan hikmah dan rahmah.
  • Mendidik akhlak isteri dengan penuh hikmah.
  • Menjaga anak isteri beribadah dan menjauhi maksiat.
  • Menyayangi isteri dan menghormati ibu bapa

Manakala isteri yang melakukan hal di bawah akan menjadikan kerjasama antara dirinya dan suami jadi lebih mantap. Bahagian isteri adalah:

  • Mentaati suami selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis.
  • Menguruskan kerja-kerja dalaman rumah tangga.
  • Menguruskan kecantikan diri untuk suami.
  • Membentuk akhlak anak-anak dengan penuh hikmah.
  • Menjaga kehormatan diri dan nama suami.
  • Menyayangi anak dan menghormati suami.

Penulis : Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM)

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI