Nak meneruskan kehidupan selepas Pendamik Covid-19 memuncak dahulu, banyak aktiviti terpaksa berehat seketika. Syukur keadaan di Malaysia sudah agak stabil sekarang. Namun begitu banyak perubahan rutin hidup berlaku dan barangkali banyak perubahan ini perlu kita terima sebagai norma yang baru.

Nak Kena Amalkan Norma Baru

Bayangkan dulu pasangan pengantin baru boleh mengundang ramai tetamu untuk hadir tetapi tidak sekarang. Bilangan tetamu dihadkan dan perlu mematuhi berbagai SOP yang ditetapkan. Begitulah hebat perang kita terhadap virus Covid-19 yang tidak kelihatan tetapi masih berterusan hingga sekarang.

Namun pasangan pengantin yang nak memulakan kehidupan baru di musim Covid-19 ini tetap perlu menguasai ilmu rumah tangga. Yang paling utama dalam fasa-fasa awal ini ialah mengetahui rahsia untuk isteri menakluk hati lelaki yang baru menjadi suami mereka.

Rahsia ini kemungkinan besar anda tidak temui dalam mana-mana kursus rumah tangga. Ianya khas untuk anda yang menanti nota terbaru ini. Selain itu, untuk isteri-isteri yang sudah lama berumah tangga, mungkin tip-tip ini juga berguna untuk anda gunakan. Jangan berhenti berusaha rebut kasih sayang suami ye!

Suami Isteri Kena Jadikan Teladan Cara Rasulullah Ketika Bergaduh Dengan Isteri

Jangan Bergurau Dan Main-Main Dengan Talak, Suami Isteri Hadam Betul-Betul!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Nak Rebut Sayang Suami Tak Susah, Tapi Semua Kena Dari Hati
Tip 1 – Jangan Nak Tunjuk Mampu Buat Semua 

Pertama sekali, biar saya beritahu bahawa suami suka dan sangat rasa dihargai apabila isteri meminta tolong. Kenapa kening anda terangkat? Betul anda wanita berdikari. Semua anda boleh buat sendiri. Anda pernah tolak bantuan peronda lebuhraya yang ingin membantu sebab tayar kereta anda pancit. Anda suruh mereka tolong orang lain sebab anda boleh tukar tayar itu sendiri.

Memang anda hebat tetapi jangan buat begitu dalam rumah tangga. Sesekali tunjukkan anda perlukan bantuan suami. Contohnya minta suami tolong bukakan botol sos semasa anda memasak. Percayalah suami suka memberi pertolongan itu dan reda jika masakan pertama anda itu rasanya tidak sebagaimana yang sepatutnya.

Tip 2 – Janji Nak Berubah Demi Dia

Selama ini anda biasa dengar orang cakap yang lelaki ialah makhluk yang tidak cerewet. Dengar boleh tetapi jangan percaya! Jika dia tidak cerewet maka tentu dia sudah memilih gadis-gadis lain menjadi isterinya. Sebab dia cerewetlah maka dia memilih anda sebagai suri hatinya.

Namun itu tidak bermakna yang dia menganggap anda sempurna berbanding perempuan lain. Dia tahu dan dia nampak anda ada beberapa kelemahan dan kekurangan. Apabila dia sudah menjadi suami maka adalah selamat anda berjanji untuk membaiki kelemahan dan kekurangan anda. Lebih-lebih lagi jika anda sebut semua itu anda lakukan untuk dia. Tidak ada hati suami yang tidak cair apabila isteri berkata begitu.

Tip 3 – Pujian Dan Penghargaan

Semua orang tahu manusia perlukan oksigen untuk bernafas. Begitu juga suami. Lelaki itu perlu mendengar pujian dan penghargaan dari isterinya. Saya perhatikan ramai isteri yang mengharap suami memuji masakan dia sedap atau memuji fesyen rambut yang dia baru buat di salon.

Jika anda bergelar isteri dan mahu menakluk hati dan cinta suami maka pujilah dia. Anda ada seribu satu perkara dari hujung rambut ke hujung kaki suami yang anda boleh puji. Anda boleh puji rupa parasnya. Anda boleh puji pilihan pakaian dia. Anda boleh puji itu dan ini. Ingat, pujian itu umpama oksigen untuk suami menyayangi anda.

Maka soalan saya, sudah berapa kali anda memuji suami dalam dua hari ini? Jika anda terlupa maka percayalah ada gadis-gadis bujang di luar sana yang kebetulan membaca nota ini yang berbesar hati memuji suami anda nanti.

Tip 4 – Pandanglah Suami Dari Hati

Teknik lain yang isteri boleh gunakan ialah dengan memandang ke mata suami dengan teknik yang betul. Sebelum berkahwin, cinta bermula dari mata turun ke hati. Selepas berkahwin maka ianya bermula dari hati dan terpancar di mata. Oleh itu pastikan hati anda berwarna indah dan berbau wangi dengan kasih sayang. Apabila berbual maka biarlah pancaran dari hati nurani anda itu masuk ke mata dan turun ke hati suami.

Alam rumah tangga perlukan ilmu dan praktikal. Semasa tempoh bulan madu di awan biru, semua itu boleh dikatakan hanya latihan pemanas badan. Selepas tempoh itu tamat dan kaki mendarat di bumi maka bermulakan perjalanan jauh itu. Mulakan dengan nama Allah SWT dan mulakan dengan langkah yang betul. Ini kerana perjalanan itu bukan tamat dengan kehadiran anak cucu tetapi akan berterusan hingga ke Jannah nanti.

Artikel: Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI