Dalam Negara

Nahas Pelajar UPSI: Tiga Lukisan Hasil Tangan Mustaqim Tersimpan Seribu Makna

Share

“Bila saya pandang lukisan tu, dada saya rasa sesak… seolah-olah dia sedang bercerita sesuatu sebelum pergi.”

Itulah luahan penuh sebak seorang ibu, Juariah Abdul Rahman, 48, yang masih cuba menguatkan hati setelah kehilangan anak tersayang, Muhammad Mustaqim Rosde, dalam tragedi yang meragut 14 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak minggu lalu.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/beli-set-cadar-dan-bunga-jasmine-warna-putih-arwah-nor-ayuni-macam-dapat-rasa-dia-nak-pergi-buat-selamanya/

Lukisan Yang ‘Bersuara’ Selepas Pemergian

Beberapa hari selepas pengebumian, Juariah dan suaminya, Rosde Yaakub, 58, cuba mengemas bilik arwah, ruang kecil yang pernah menjadi dunia peribadi seorang anak yang dikenali sebagai pendiam, penyayang dan kreatif. Tanpa disangka, mereka menemukan satu khazanah senyap yang penuh makna. Lebih 100 keping lukisan tersusun rapi dalam fail.

Namun, tiga lukisan benar-benar membuat hati seorang ibu terasa bagai dirobek perlahan. Satu lukisan sebuah bas, satu lagi jalan raya berlatar belakangkan hutan dan penghadang besi, dan satu terakhir, tulisan kreatif bertemakan kematian.

“Kalau dilihat betul-betul… ia seolah-olah menggambarkan bagaimana dia pergi. Ya Allah, hanya Tuhan tahu betapa luluhnya hati saya ketika itu,” ujar Juariah dalam nada perlahan, menahan tangis.

Juga baca:https://www.mingguanwanita.my/tragedi-bas-upsi-keluarga-fatin-nasrien-diuji-akaun-derma-ditukar-ke-akaun-peribadi-scammer/

Naluri Seorang Ibu: Memahami Tanpa Perlu Kata

Juariah tidak menafikan, ia mungkin satu kebetulan. Tetapi bagi seorang ibu yang melahirkan, membesarkan dan menyayangi sepenuh jiwa, lukisan-lukisan itu bukan sekadar contengan biasa.

Setiap garisan pensel, setiap latar yang dilukis, dan setiap bait tulisan yang ditinggalkan – seakan ‘berbisik’ tentang sesuatu yang hanya arwah dan Allah sahaja tahu.

“Kami tahu dia suka melukis, tapi tak sangka dia simpan sebanyak itu. Saya rasa bersalah kerana tak sempat menghargai seni dan perasaannya semasa dia masih ada,” tambah Juariah, mengusap helaian lukisan itu perlahan.

“Lukisan itu akan saya simpan baik-baik. Mungkin satu hari nanti, bila rindu datang lagi, saya akan buka dan tatap perlahan. Kerana melalui lukisan itu, seolah-olah Mustaqim masih berbicara dengan saya,” katanya sambil mengesat air mata.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/rasa-tidak-sedap-hati-itu-rupanya-petanda-mangsa-nahas-upsi-hilang-15-rakan-termasuk-sahabat-karib/

Sebelum tragedi berlaku, arwah Mustaqim menjalani kehidupannya seperti biasa – seorang anak muda yang bercita-cita, suka berkarya, dan tidak banyak ragam. Tragedi itu meragut jasadnya, tetapi meninggalkan kenangan yang takkan padam dalam hati ibu bapanya.

Solat Isyak Berjemaah di Masjid Hadhari

Sementara itu, Juariah berkata pada malam kejadian, Mustaqim meminta izin daripadanya untuk solat Isyak berjemaah di Masjid Hadhari, Jertih.

“Sejak masuk universiti, dia makin rajin ke masjid untuk solat dan berbuka puasa kerana kebetulan kolej kediamannya berhampiran masjid. Selalunya setiap Isnin dan Khamis, dia berpuasa sunat.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/saya-halalkan-semua-ibu-reda-hadiahkan-pakaian-buku-arwah-anis-soffiya-buat-yang-memerlukan/

“Aqim sempat pesan kepada rakan sebilik, jangan tinggal solat sebelum pulang ke kampung menyambut Aidiladha,” katanya mengimbau kenangan, termasuk perbualan mereka pada hari-hari terakhir  bersama anaknya itu.

Semoga Allah mengampuni dan merahmati arwah serta rakan-rakan seperjuangannya yang turut terkorban. Dan semoga Juariah terus diberi kekuatan sebagai ibu, untuk menyimpan kasih dan kenangan ini selamanya.

Muhammad Mustaqim, 21 tahun, merupakan antara pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut bersama 14 siswa lain dalam nahas sebuah bas sewa khas di Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.Al Fatihah.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE 

Sumber: https://www.kosmo.com.my/

Published by
Rosmah Idayu