Nahas Pelajar UPSI! Pelajar Akui Bas Dipandu Laju, Dakwa Potong Garisan Berkembar. Nahas bas ekspres melibatkan 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang di terbalik di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding mengorbankan 15 nyawa tidak berdosa.
Bas yang disewa khas untuk membawa pulang pelajar ke UPSI dari Jerteh terlibat dalam kemalangan selepas terlanggar belakang sebuah perodua Alza sebelum terbalik dan mengakibatkan 13 pelajar meninggal di tempat kejadian dan dua di hospital. Turut dilaporkan ada 7 pelajar yang masih dirawat di zon merah Hospital Gerik sementara ada yang cedera dan masih menerima rawatan.
Di sebalik kemalangan terjadi ini, seorang pengguna jalan raya Muhamad Aiman yang turut melalui kawasan nahas mendakwa bas dipandu laju termasuk memotong di garisan berkembar pada jam 12 tengah malam.
“Ada terdetik di hati mesti akan jadi kemalangan sebab bas memotong semua kenderaan dan apa yang saya fikirkan benar-benar berlaku,” katanya yang berkongsi komen sebaik kemalangan berlaku.
Memetik laporan dikongsi Sinar Harian, seorang pelajar yang berada di dalam bas turut mengesahkan bas dipandu laju termasuk melanggar lopak di jalan raya.
Aleeya Maisarah Azizzani, 21, yang terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik mengakui sangat sedih saat berkongsi kejadian yang terjadi. Dirinya yang cedera ringan berkata, dirinya mendengar jeritan kawan-kawan yang meminta pertolongan termasuk menyaksikan darah merecik merata-rata tempat kejadian.
“Kami semua berkumpul di Jerteh sekitar jam 9 malam. Sekitar sembilan lebih bas mula bergerak. Masa di Tanah Merah, saya ada bau tayar hangit tapi kawan-kawan lain ada dah bau di Jerteh lagi.
“Saya nak tolong tak dapat sebab belakang saya sakit sangat,” katanya yang menangis sewaktu berkongsi kejadian menyayat hati ini.
Dalam pada itu, saksi orang memaklumkan, kebanyakan pelajar selepas kemalangan ini, dilihat ada yang menangis kesakitan, ada yang meraung dan ada juga yang setia menemani rakan yang sudah tidak bernyawa.