Berita Sosial

Nahas Helikopter Flying Doctor, Juruterbang Jelaskan Kenapa Mangsa Tak Boleh Lompat Guna Payung Terjun

Share

Nahas helikopter flying doctor, juruterbang jelaskan kenapa mangsa tak boleh lompat guna payung terjun.

Nahas helikopter Flying Doctor di Long Lellang, Sarawak yang membawa pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) bukan sahaja mengundang rasa pilu malah mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.

Antara yang menjadi tanda tanya termasuklah mengenai helikopter yang digunakan, keadaan jerebu ketika penerbangan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain persoalan mengapa mangsa tidak boleh menggunakan payung terjun ketika berdepan situasi kecemasan.

Melihat pelbagai persoalan dan maklumat yang berlegar, Kapten Mohd Ezairol Rezan Zainol yang berpengalaman luas dalam bidang penerbangan tampil berkongsi penjelasan bagi membantu masyarakat memahami situasi tersebut daripada perspektif seorang juruterbang.

Menerusi perkongsiannya, Kapten Mohd Ezairol turut memperbetulkan beberapa maklumat mengenai helikopter Flying Doctor yang menurutnya kurang tepat.

Kapten Mohd Ezairol Rezan Zainol tampil berkongsi penjelasan daripada perspektif seorang juruterbang susulan pelbagai persoalan mengenai nahas helikopter Flying Doctor di Long Lellang, Sarawak.

Ini antara penjelasan yang dikongsikan beliau di Facebooknya, Mohd Ezairol Razan Zainol.

Aku membaca komen dan beberapa penulisan mengenai helikopter ‘Flying Doctor’ yang terlibat dalam kemalangan melibatkan pasukan perubatan kesihatan KKM di Long Lellang Sarawak.

Ada beberapa fakta yang ditulis dan dikongsikan tentang helikopter itu tidak betul dan tepat. Banyak juga komen yang ditulis menyatakan helikopter tersebut milik kerajaan kita.
Sebenarnya fakta yang sebetulnya adalah begini:-

Nahas Helikopter Flying Doctor: Helikopter Bukan Milik Kerajaan?

Helikopter yang digunakan itu adalah helikopter sewaan khas milik syarikat Layang-Layang Aerospace.

Helikopter milik syarikat swasta tersebut disewakan khas bagi operasi penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service – FDS).

Ia digunakan untuk membawa pasukan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ke kawasan pedalaman.

Faktanya adalah helikopter tersebut disewa dan ia bukan helikopter milik kerajaan.

Untuk makluman, di negara kita ini belum ada lagi helikopter milik kerajaan yang diperuntukkan khas untuk kegunaan pihak Kementerian Kesiharan Malaysia (KKM).

Selain Layang-Layang Aerospace, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggunakan khidmat penyewaan helikopter daripada syarikat Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB) dan Hornbill Skyways Sdn Bhd untuk melancarkan operasi perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Borneo.

Semalam ada yang tulis helikopter yang terhempas tu pernah digunakan oleh pihak TLDM dan PDRM. Betul ke info tu?

Tidak, helikopter jenis BO-105 tidak pernah digunakan sebagai aset operasi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM). Info tu salah ya…

Keadaan helikopter yang terbakar selepas nahas di Long Lellang, Sarawak. Tragedi membabitkan pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) itu mengundang rasa pilu masyarakat.

Kenapa helikopter yang KKM naik tu boleh terbang dalam jerebu tapi helikopter penyelamat tak dapat kebenaran dari CAAM untuk terbang semalam?

Ni pun banyak yang tanya dan pertikaikan semalam. Untuk pengetahuan semua, helikopter malang yang petugas kesihatan KKM naik semalam tu, mereka berlepas dari Miri.

Helikopter penyelamat yang ingin digunakan semalam tu berada di Kuching.

Bagi sebuah helikopter komersial ringan, perjalanan dari Kuching ke Long Lellang secara terus (tanpa henti) akan mengambil masa sekitar 3 hingga 4 jam (bergantung kepada kelajuan helikopter dan keadaan angin).

Masa kejadian, helikopter terhempas semalam adalah pada jam 3:32 minit petang. Mengambil kira masa untuk laporan sampai dan untuk kru bersedia, waktu untuk ke sana sudah pun gelap dan malam.

Ini akan membahayakan kru pasukan mencari dan menyelamat (SAR). Risiko cuaca buruk dan penglihatan yang terjejas disebabkan jerebu teruk di Kuching perlu diambil kira.

Keadaan ‘visibility’ (penglihatan) di Miri jika dibandingkan dengan keadaan di Kuching pada sebelah petang tak sama dan sangat berbeza.

Baru-baru ni aku landing kat Kuching, keadaan ‘visibility only at 400 meter’… Sangat minimum ya.

Lima individu terkorban dalam nahas helikopter Flying Doctor di Long Lellang, Sarawak iaitu juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Pegawai Perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Kenapa mereka tak lompat je? Kenapa tak disediakan payung terjun untuk mereka guna?

Ini soalan yang baik. Untuk makluman, aku dulu adalah jurulatih penerbangan PDRM dan pernah mengajar pilot² baru membawa dan menerbangkan penerjun² payung dari unit khas seperti VAT69 dan UTK.

Untuk membolehkan seseorang itu terjun keluar dari pesawat perlu ada latihan, kemahiran dan kesihatan yang baik, barulah mereka layak untuk pakai sayap terjun tu.

Bukan semua orang dan bukan suka-suka hati kita je nak pakai payung terjun dan terjun keluar dari sesebuah pesawat. Ada hukum dan peraturannya!

Dan lagi satu benda paling penting, apabila ketinggian pesawat tidak melebihi 1000 kaki, semua penerjun dikehendaki tetap berada di dalam pesawat sehinggalah pesawat itu mendarat.

Kenapa? Sebab kalau dia terjun sekali pun, payung terjun itu dikhuatiri tak sempat terbuka dan kembang dengan baik dan ini akan membahayakan nyawa para penerjun.

Keadaan helikopter yang terbakar keseluruhan mengundang simpati masyarakat

Kenapa pilot helikopter tu tak mendarat je terus kat mana² kawasan lapang yang berdekatan? Kenapa arwah tuju juga ke landasan?

Ini soalan subjektif. Pada masa kecemasan dan kritikal begitu, hanya beliau saja yang tahu apa cara terbaik untuk beliau selamatkan helikopter dan semua penumpang yang dibawa olehnya.

Kita yang berada kat bawah ni boleh la fikir begitu begini sambil minum kopi, tapi kalau benda yang sama jadi kat kita, silap² kita sendiri pun ‘freeze’, kaku dan mati.. Kaget takleh nak fikir.

Pilot sendiri pun ada camtu. Sudah banyak kali dah aku jumpa pilot ‘senior’ yang sembang macam hebat tapi bila benda kecemasan tu berlaku sendiri kat dia, dia jadi kaku tak tahu nak buat apa.

Pada aku apa jua tindakan pilot tersebut, dia dah cuba yang terbaik untuk selamatkan nyawa semua mangsa nahas yang terkorban.

Salam takziah aku ucapkan kepada semua ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja mangsa yang terlibat.

Semoga segala khidmat, pengorbanan dan kebaikan yang mereka berikan sepanjang menjalankan amanah kepada masyarakat menjadi amal yang berpanjangan dan dikenang sentiasa…

Insyallah.
Update : Mungkin sudah sampai masanya KKM memiliki pesawat helikopternya sendiri dan sudah sampai masanya juga elaun risiko khas yang lebih berpatutan diberikan kepada mereka yang terlibat bertugas sebagai pasukan perubatan ‘Flying Doctor Service’ ini.
Published by
Almaswa Haji Che Ros