Hati mana yang tidak remuk bila anak hilang dari pandangan, apatah lagi jika si kecil anak syurga yang memerlukan perhatian istimewa.
Itulah situasi yang dihadapi oleh Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, kanak-kanak autistik yang ditemui meninggal dunia tahun lalu, yang kini berdepan detik perit mempertahankan dirinya di mahkamah.
Dalam sesi bela diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Ismanira yang berusia 30 tahun dengan tenang namun tegas menafikan dakwaan bahawa dia pernah terserempak dengan jirannya, saksi ke-16, Rashidah Rajali, di tangga Blok R, Apartment Idaman pada hari Zayn dilaporkan hilang.
Menceritakan kembali detik cemas pada 5 Disember 2023, Ismanira menyatakan dia tidak sempat berjumpa sesiapa pun kerana terlalu fokus mencari anak kesayangannya.
“Saya buka pintu, letakkan beg sekolah Zayn dan dua beg barang dari pasar raya. Lepas sedar Zayn tiada, saya terus keluar cari dia… pintu rumah pun saya biarkan terbuka,” luahnya pilu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Sambil menyusun langkah, tangga demi tangga dituruni, dia hanya punya satu niat iaitu mencari Zayn Rayyan yang tiba-tiba hilang tanpa jejak.
Ismanira turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dia telah menukar pakaian ketika turun bersama beg sekolah anaknya. Satu kenyataan yang dibuat oleh saksi bernama Rashidah.
Rashidah, yang tinggal di tingkat dua blok yang sama, sebelum ini mendakwa melihat Ismanira dua kali pada hari kejadian, sekali pada pukul 12.15 tengah hari, dan kali kedua pada 12.35 tengah hari dengan menyatakan bahawa pakaian wanita itu berbeza pada kedua-dua pertemuan.
Namun Ismanira tidak pernah mengingati langsung pertemuan tersebut, apatah lagi mahu menukar pakaian.
Menurutnya lagi, dia sempat ke hadapan Blok A, merayu bantuan dari orang awam, menuruni kawasan perniagaan di sekitar Apartmen Idaman, dan meninggalkan nombor telefon di setiap premis yang disinggahinya dalam usaha mencari Zayn.
“Waktu tu sunyi, ramai penghuni keluar bekerja. Saya tak nampak sesiapa di blok. Hanya ada orang di kawasan kedai… dan saya harap ada yang nampak Zayn,” katanya sayu.
Sumber: https://www.mstar.com.my/
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.