
Bagi seorang ibu, melihat anak membesar dengan senyuman adalah kebahagiaan terbesar. Namun, bagaimana jika senyuman itu diganti dengan tangisan dalam diam, luka di hati, malah torehan di pergelangan tangan?
Itulah yang dilalui oleh Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, seorang suri rumah yang kini berperang dengan keresahan selepas anak perempuannya berusia 14 tahun berdepan trauma akibat buli.

Dari Ejekan, Pengasingan Hingga Tanda Bunuh Diri
Anaknya berpindah ke sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor, pada Julai lalu dengan harapan baharu. Tetapi seawal hari kedua, dunia si gadis kecil ini sudah mula suram. Diejek, dipulaukan, dijadikan bahan ejekan berulang kali.
Aduan demi aduan dibuat kepada guru disiplin, namun kisah itu tidak pernah berhenti. kemuncaknya berlaku pada 12 September, apabila anaknya sekali lagi diejek hingga pulang ke rumah dengan jiwa yang semakin luka.
“Saya mula perasan keadaannya semakin teruk bila dia duduk terperap dalam bilik dan melukis gambar pelik-pelik,” cerita ibunya dengan nada sebak.

Lukisan itu bukan sembarangan. Ada imej gelap, simbol tekanan, bahkan tulisan yang menggambarkan keinginan untuk menamatkan hidup: “Saya stress, penat dan serabut.” Lebih memilukan, si anak mengaku menoreh tangannya sendiri.

Bantuan Pakar & Risiko Yang Menakutkan
Dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), remaja itu kini menjalani rawatan pakar psikiatri. Pemeriksaan mendapati skor emosinya sangat tinggi, dengan simptom kemurungan yang membimbangkan, berisiko ke arah cubaan bunuh diri tahap satu.
Menurut Panel Penasihat PPIM, Prof Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah, mangsa jelas menjadi mangsa buli berterusan: ejekan verbal, fitnah dan pengasingan sosial. Semua itu menghakis keyakinan diri seorang remaja yang baru belajar memahami dunia.

Luka Yang Sama Di Negeri Sembilan
Kisah tragis ini bukan satu-satunya. Seorang lagi murid Tingkatan Dua di Mantin, Negeri Sembilan turut menjadi mangsa buli sehingga trauma untuk ke sekolah.
Adiknya dituduh cuba “merampas” kawan dan teman lelaki pelajar lain, lalu dihukum dengan kejam. Ditendang, tudung ditarik sehingga menampakkan rambut dan leher, wajahnya dipukul dengan botol kaca.

Namun lebih mengejutkan, kes itu hanya “diselesaikan” di bilik kaunseling dengan permintaan maaf dari pembuli, tanpa pengetahuan ibu bapa mahupun pengetua.
Buli bukan sekadar masalah disiplin. Ia adalah luka jiwa yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa. Kisah dua remaja ini membuktikan betapa seriusnya isu yang sering dipandang ringan.
Setiap anak berhak berasa selamat di sekolah, bukannya dihantui rasa takut, dipulaukan atau dicederakan. Dan setiap ibu bapa berhak mengetahui apa yang benar-benar berlaku kepada anak mereka.
Kerana pada akhirnya, yang kita lindungi bukan sekadar fizikal mereka, tetapi hati, jiwa dan masa depan yang masih panjang terbentang.
Sumber: https://www.kosmo.com.my/2025/09/23/murid-trauma-jadi-mangsa-buli-hingga-kemurungan-cederakan-diri/
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




