Murid berlari kejar kereta ibu selepas tertinggal, Polis siasat video tular. Polis membuka siasatan selepas tular rakaman video berdurasi seminit memaparkan seorang murid berlari mengejar kereta ibunya yang terlepas meninggalkannya di hadapan sebuah sekolah rendah di Seri Kembangan, Selangor.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh ibu kanak-kanak terbabit, seorang suri rumah berusia 37 tahun.
Menurut beliau, insiden berlaku sekitar jam 12 tengah hari pada 20 Ogos lalu ketika wanita tersebut menjemput anak kembarnya pulang dari sekolah. Bagaimanapun, ketika membuat pusingan U, wanita itu hanya menyedari seorang daripada anaknya tidak berada di dalam kenderaan.
“Pengadu terus memberhentikan kenderaan setelah melihat anak lelakinya mengejar kereta dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Video yang tersebar itu pada mulanya dimuat naik di sebuah akaun Facebook dengan kapsyen ‘marah anak janganlah tergamak buat sampai macam tu sekali’. Hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen dengan ramai yang melontarkan komen negatif terhadap tindakan ibu tersebut.
Tambah Muhamad Farid, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kes masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu siasatan,” ujarnya.
Sumber: Bernama
Baca artikel yang lain: Engku Emran Bangga Aleesya Cemerlang IGCSE -Tahniah 7A Anak Ayah, 11 Tahun Teman Ulang Kaji & Kelas Tambahan
RM2 Juta Tak Boleh Beli Tiket Ke Syurga Wanita Pesakit Barah Tolak Tawaran Jadi Duta Produk
Kepala Bayi Terputus, Badan Tertinggal Dalam Perut Ibu Waktu Dilahirkan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE