Misi GSF: Semua Rakyat Malaysia Selamat, Akan Dihantar Pulang Melalui Negara Ketiga. Semua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bakal dihantar pulang melalui sebuah negara ketiga.
Misi GSF: Semua Rakyat Malaysia Selamat, Akan Dihantar Pulang Melalui Negara Ketiga
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Khamis menegaskan bahawa kesemua tahanan berada dalam keadaan sihat serta selamat.
“Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengeluarkan arahan kepada perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk mendapatkan kerjasama daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.
“Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia.
“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara,” jelas kenyataan itu.
Tambah kementerian lagi, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi menjamin keselamatan selain memastikan pembebasan segera 15 rakyat Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis.
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad telah menghubungi beberapa pemimpin antarabangsa termasuk rakan sejawat dari Amerika Syarikat untuk mendapatkan sokongan dalam isu berkenaan.
Ads
“Kerajaan turut menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera,” menurut kenyataan itu lagi.
Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun, disyaki terlibat dalam kes kematian seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun, dalam kejadian di Kampung Rampangi, Santubong, di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata laporan berhubung kejadian itu diterima semalam (Rabu), daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun.
“Pengadu menyatakan beliau telah dimaklumkan oleh kawannya bahawa anak perempuannya telah meninggal dunia pada Selasa kira-kira 9.45 malam. Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah didera sehingga mati.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menahan suspek di kawasan Kampung Krian, Jalan Padawan pada 11 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Alexson berkata semakan turut mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta tidak kurang daripada 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Alexson turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching menerusi talian 082-24444 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Chris Olsen Ramlee menerusi talian 013-8607572 bagi membantu siasatan.
Pasangan suami isteri yang pernah melalui detik pilu kehilangan anak sulung tahun lalu tidak menyangka akan menerima rezeki luar biasa apabila dikurniakan tiga cahaya mata perempuan sekali gus hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF Tunku Azizah) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tiga bayi perempuan comel itu selamat dilahirkan secara pembedahan di Hospital Melaka pada jam 9.40 pagi semalam, selepas ibunya, Sabrina Hakiem, 40, yang juga seorang guru, dirawat selama 73 hari di wad bagi pemantauan rapi.
Suaminya, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri, 40, menyifatkan kelahiran itu sebagai anugerah terindah buat mereka selepas kehilangan anak sulung, Muhammad Al Fateh Amri, yang meninggal dunia di sebuah taska pada 6 September tahun lalu ketika berusia lapan bulan.
“Perasaan memang gembira dan teruja… macam tak percaya bila dapat tahu bukan dua, tapi tiga sekali gus,” katanya ketika dihubungi, sambil menyifatkan kelahiran tiga puteri itu sebagai pengubat rindu Al-Fateh yang tidak ternilai.
Menurut Mohd Fikry, segalanya bermula pada Februari lalu apabila mereka menerima panggilan daripada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri yang berkenan menaja rawatan IVF Tunku Azizah di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.
“Masa itu memang terkejut dan terharu apabila Tuanku sendiri sudi membantu. Isteri pula ketika itu masih dalam kemurungan selepas kehilangan anak, kami akhirnya menerima tawaran itu dan rawatan bermula pada Mac,” ujarnya.
Beliau menambah, mereka menerima berita kehamilan pada 17 April tanpa mengetahui bahawa kandungan itu sebenarnya kembar tiga.
“Waktu rawatan, dua embrio dimasukkan dan berjaya disenyawakan, tetapi semasa pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Melaka pada 16 Mei, doktor terkejut apabila mendapati ada tiga janin dalam rahim isteri. Salah satu embrio pecah menjadi dua,” katanya.
Sebelum dirawat di Hospital Melaka, Sabrina terlebih dahulu dimasukkan ke Hospital Putrajaya selama sebulan akibat pendarahan ketika berada di Southville City, Dengkil.
“Selepas 17 hari di Putrajaya, kami minta rawatan susulan dibuat di Hospital Melaka kerana saya bekerja di Terendak, Melaka. Sepanjang tempoh itu, saya ulang-alik menjaga isteri dan urusan kerja,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan berkala dilakukan setiap dua minggu di hospital kerajaan dan swasta bagi memastikan kesihatan ibu dan bayi sentiasa stabil. Disebabkan risiko tinggi, doktor menasihatkan agar proses kelahiran dibuat di Hospital Melaka.
Selepas kandungan mencecah 31 minggu, doktor akhirnya memutuskan untuk melakukan pembedahan caesarean bagi mengelakkan komplikasi. Tiga bayi itu dilahirkan selang beberapa minit — bayi pertama seberat 1.8 kilogram (9.40 pagi), bayi kedua 1.78 kilogram (9.42 pagi) dan bayi ketiga 1.93 kilogram (9.46 pagi). Ketiga-tiganya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) untuk pemantauan selama sebulan.
“Yang lebih menyentuh hati, lima minit sebelum pembedahan, Tunku Azizah sempat menghubungi kami untuk memberi semangat kepada isteri serta berbual dengan doktor dan jururawat,” katanya.
Mengimbau kembali kehilangan anak sulungnya yang juga berlaku pada hari Jumaat, Mohd Fikry menyifatkan kelahiran tiga bayi itu sebagai bukti kebesaran Allah SWT dan pengubat luka yang amat mendalam.
“Isteri dan anak-anak kini dalam keadaan baik. Kami amat bersyukur dan menjunjung kasih atas keprihatinan serta bantuan Tunku Azizah yang menjadi asbab kepada kelahiran tiga puteri kami,” katanya lagi.
Kisah pasangan ini menjadi inspirasi ramai, membuktikan bahawa setiap kehilangan pasti digantikan dengan rezeki dan kebahagiaan yang tidak disangka. Rawatan IVF Tunku Azizah bukan sekadar usaha perubatan, tetapi juga simbol kasih dan keprihatinan terhadap mereka yang berjuang mendapatkan zuriat.
Tugas membesarkan anak bukan mudah, tapi kamu tidak keseorangan. Buku ini hadir untuk memberi kekuatan, inspirasi dan refleksi melalui kisah, tips dan panduan sabar dalam mendidik keluarga dengan kasih.
Tugas membesarkan anak bukan mudah, tapi kamu tidak keseorangan. Buku ini hadir untuk memberi kekuatan, inspirasi dan refleksi melalui kisah, tips dan panduan sabar dalam mendidik keluarga dengan kasih.
Tiga buah kenderaan mewah bersama 727 barangan peribadi milik usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman, telah berjaya dibida dengan jumlah keseluruhan RM1 juta dalam satu sesi lelongan awam yang diadakan di kediamannya di Meru Heights, hari ini. Proses lelongan aset Datuk Seri Vida itu menarik perhatian ramai apabila aset bernilai tinggi dilelong secara terbuka mengikut arahan mahkamah.
Proses lelongan yang bermula sekitar jam 10.30 pagi itu hanya melibatkan dua pembida, namun berakhir dengan seorang sahaja berjaya membawa pulang semua aset yang disenaraikan selepas seorang lagi pembida menarik diri.
Pelelong berlesen, S. Punithawathi, mengisytiharkan ahli perniagaan Norzamri Abdullah sebagai pembida yang berjaya pada jam 1.40 petang selepas berjaya menamatkan sesi bidaan bagi lelongan aset Datuk Seri Vida tersebut.
Antara aset yang dilelong termasuk tiga kenderaan mewah — Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7 — selain ratusan barangan hiasan serta kelengkapan rumah seperti piano, gitar elektrik, set sofa, meja makan, pasu bunga, televisyen, penghawa dingin, katil urut, karpet, teleskop, meja solek, langsir, set karaoke dan jam berdiri.
Peguam kepada pihak penuntut, Samir Zainal, memaklumkan bahawa salah seorang pembida menarik diri selepas gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh mahkamah, iaitu bidaan minimum bernilai RM1 juta.
“Saya difahamkan barangan yang berjaya dibida ini tidak akan dikeluarkan hari ini, hanya bayaran dibuat kepada mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas sesi berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembida yang berjaya perlu menyelesaikan pembayaran kepada pihak mahkamah selewat-lewatnya sebelum jam 4.30 petang pada hari yang sama bagi melengkapkan proses rasmi lelongan aset Datuk Seri Vida.
Difahamkan, Datuk Seri Vida dan ahli keluarganya tidak hadir semasa proses lelongan berlangsung. Lelongan tersebut dijalankan bagi memenuhi arahan Notis Pengisytiharan Jualan Lelong yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah, melibatkan semua aset bernilai tinggi milik jutawan kosmetik berkenaan.
Menurut sumber, proses lelongan ini dijalankan secara profesional dan telus di bawah pengawasan pelelong berlesen dengan kawalan keselamatan yang ketat. Semua pembida diwajibkan memenuhi syarat deposit serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.
Perkembangan terkini mengenai lelongan aset Datuk Seri Vida ini terus menjadi tumpuan media dan warganet, memandangkan beliau antara personaliti perniagaan paling terkenal di Malaysia.
Antara barangan yang terlibat ialah produk mandian dan penjagaan diri, termasuk satu unit Carrie Junior Hair and Body Wash, dua unit Selsun Shampoo 2-in-1, satu unit Lifebuoy Body Wash serta sehelai singlet jenama Byford.