‘Mertua duduk dengan anak menantu, mulut kena jaga.’ Jangan cerita hal menantu pada orang! Tidak semua sikap mertua itu betul, ada kalanya ada jugak salahnya.
Setiap wanita ingin dan idamkan hubungan yang baik dengan mertua apatah lagi bila tinggal sebumbung.
Hidup sebumbung dengan mertua bukan sesuatu yang mudah jika masing-masing ego dan tidak mahu beralah. Tidak kiralah sama ada menantu atau mertua.
Bagi mengekalkan hubungan yang baik memerlukan kerjasama dua hala baik dari menantu perempuan dan juga mertua. Jika menantu saja berusaha untuk menambat hati mertua, kemudian mertua remehkan sudah tentu ianya tidak akan berjaya.
Pengguna TikTok Nur Lysa telah memuat naik sebuah video iaitu tips untuk mak mentua bila tinggal dengan menantu yang dikongsikan oleh neneknya.
Nasihat ikhlas dari nenek ini telah menjadi amalannya sejak dahulu lagi bila tinggal bersama anak, menantu. Katanya dalam menjaga hubungan yang baik, mulut kena jaga.
Ads
‘Mulut kena jaga sebab kalau mulut jahat menantu benci. Saya tak pernah cerita dengan orang tentang hal menantu. Tak pernah cerita dia tak pandai masak ke, tak pandai berkemas ke,’ jelas nenek ini yang dikenali dengan panggilan Tok Pah.
Tambah nenek lagi, oleh sebab itulah bila tinggal dengan menantu, menantu tak benci dan tak marah. ‘Ini tidak menantu masak tak sedap cerita dengan orang, serba serbi cerita dengan orang. Bila orang sampaikan pada menantu, marahlah dia.’ Ujarnya.
Baik menantu perempuan atau mertua masing-masing kena jaga mulut agar hubungan baik dapat dikekalkan.
Nasihatnya lagi, mak mertua ini jika duduk bersama anak, menantu terutamanya dengan menantu perempuan, mulut kena betul-betul jaga. Jangan nak bercerita dengan orang.
Sikap nenek ini membuatkan dia bahagia saja tinggal dengan anak menantu hingga ke saat ini dan tiada masalah yang timbul antaranya dengan anak, menantu
Kesimpulannya, baik menantu perempuan atau mertua masing-masing kena jaga mulut agar hubungan baik dapat dikekalkan. Menantu pun anak juga dan janganlah dianggap menantu itu orang luar.
Komen Netizen:
Rata-rata netizen berkongsi rasa bagaimana layanan mertua masing-masing dan bersyukur masih ada orang yang membela nasib menantu perempuan yang sering diabaikan.
Kebiasaan lepas raya mesti ada masalah kesihatan yang dialami oleh orang tua atau pun kanak-kanak. Maklum saja, masing-masing, ‘lepas gian’ jumpa keluarga, sanak saudara dan sahabat.
Tanpa sedar, dalam berjumpa itulah ada pula tersebar wabak penyakit lain. Masalah Covid 19 tak habis lagi, timbul pula tentang penularan HFMD.
Masalah kesihatan yang biasa berlaku pada kanak-kanak iaitu HFMD yang boleh berlaku lepas raya. Puncanya berkumpul ramai-ramai dan pula sebaran tentang penyakit ini.
Mungkin mak ayah tak perasan tentang simptom ini sehinggalah bila berjumpa dengan doktor. Macam mana nak tahu tanda dan rawatan untuk HFMD ini? Dr. Kamarul Ariffin ada jawapannya.
Lepas Hari Raya Aidilfitri ni, ramai mak ayah bawa anak kecil datang ke klinik dengan ruam dan demam. Bila saya periksa, rupanya Penyakit Kaki Tangan & Mulut (HFMD)
HFMD disebabkan oleh virus dan merebak dari individu ke individu dengan sentuhan langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.
Hari Raya kali ni, ramai orang pulang ke kampung berkumpul bersama sanak saudara. Mungkin itu menyebabkan penularannya. HFMD mudah menjangkiti kanak-kanak yang ditempatkan bersama.
Semua peringkat umur termasuk orang dewasa boleh dijangkiti HFMD, namun kanak-kanak di bawah umur bawah 5 tahun paling berisiko dijangkiti.
Demam
Ruam di mulut, tangan, kaki dan kawasan lampin
Ulser pada tekak, mulut dan lidah
Sakit Tekak
Sakit kepala
Hilang selera makan
Beri paracetamol untuk kawal demam
Pastikan anak minum dengan cukup
Jika anak tidak mahu makan atau minum, dan terlalu lemah, bawa anak berjumpa doktor segera
Cuci tangan dengan sabun sebelum sediakan makanan, selepas keluar tandas, menukar lampin dan mencuci najis.
Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin. Buang tisu dalam tong bertutup.
Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
Tidak berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
Anak yang disyaki HFMD hendaklah dikuarantin dan tidak di hantar ke taska/tadika/asuhan/sekolah, atau ke tempat awam.
Semoga bermanfaat!
Mingguan Wanita : Harap-harpa mak ayah ‘alert’ tentang kesihatan anak.
‘Putus mata pencarian, nak makan kena catu.’ Suami berhenti kerja jaga isteri sakit. Biarpun terputus sumber pendapatan, namun itu saja yang mampu suami korbankan untuk menjaga isteri tercinta.
Berat mata memandang lagi berat bahu memikul, ujian berat ini benar-benar menguji pasangan ini. Apatah lagi sang suami juga mengalami masalah kesihatan.
Seorang suami terpaksa berhenti kerja demi menjaga isterinya yang terlantar akibat menghidap kanser usus tahap tiga selepas diserang strok Cerebrovascular Accident sejak seminggu lalu.
Keadaan itu menyebabkan pasangan suami isteri, Mohammad Ho Kong Wah Abdullah, 70, dan Soh Mei Lee atau Amirah Abdullah, 69, terpaksa mencatu makanan ekoran kesempitan wang.
Menurut Amirah, dia kasihan dengan suami kerana terpaksa menjaganya walaupun lelaki itu turut menghidap masalah jantung, gout dan darah tinggi.
“Suami terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu teksi minggu lalu sebab perlu beri perhatian sepenuhnya terhadap saya,” katanya.
Lebih memilukan, dia dan suami kini terputus mata pencarian dan terpaksa berharap ihsan pihak Masjid Sungai Ramal Luar, bantuan Lembaga Zakat Selangor dan Majlis Kanser Nasional yang selama ini menyalurkan sumbangan wang tunai secara bulanan sebanyak RM500.
“Bagaimanapun, apabila keadaan semakin teruk, memang kami tiada langsung duit baki setiap bulan.
“Malah keperluan saya semakin banyak apabila perlu memakai lampin pakai buang sebab agak sukar untuk bergerak ke tandas dalam keadaan sebahagian badan kiri saya lumpuh.
“Sekarang ini mahu makan pun kena catu, tengok apa sahaja yang ada. Dalam seminggu ini hanya makan roti atau biskut kering kerana itu yang kami mampu,” luahnya.
Jelasnya, perbelanjaan bulanannya ketika ini memerlukan sekitar RM1,000 sebulan bagi membeli ubat-ubatan, makanan dan barangan keperluan lain.
“Apabila dihitung, memang tidak cukup. Ihsan orang sekeliling sahaja kami harapkan, tapi kami berdua tetap reda dengan semua ini,” ujarnya yang tidak dikurniakan cahaya mata.
Mingguan Wanita : Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban pasangan ini, bolehlah berbuat demikian melalui akaun Maybank Soh Mei Lee atau Amirah Abdullah 164360590266 atau menghubunginya di talian 016-9600 545.
Masalah yang selalu berlaku bila pasangan nikah luar negara bila mempertikaikan tentang status hubungan suami isteri sah atau tidak. Lebih menyedihkan tentang status anak yang telah dilahirkan.
Mungkin nampak senang bila nikah luar negara tapi kita tak tahu kesan akan datang pada isteri dan anak-anak. Akan banyak timbul masalah yang berkaitan dengan pewarisan, harta pusaka dan sebagainya.
Walaupun ada sebab-sebab tertentu pasangan kena nikah luar negara. Tapi jangan ambil mudah dan tak tahu, kena daftarkan perkahwinan di negara asal. Apa yang dibimbangkan perkara berbangkit pada masa akan datang.
Inilah yang dikongsikan oleh Roslina Sabiyah tentang kes yang viral tentang status anak seorang selebriti yang berbin/binti kan Abdullah. Mungkin tak nampak sekarang tapi bila anak itu akan mendirikan rumahtangga, isu harta pusaka dan sebagainya
Fahami apa yang dkatakan dan kesannya pada pasangan dan anak bila berkahwin luar negara.
Secara biologinya, dia memang anak kepada Halim Othman. Tetapi secara undang-undangnya, dia tetap anak kepada “Abdullah”. Apa maksudnya?
Undang-undang tidak/belum mengiktiraf kedudukan mereka sebagai bapa dan anak kandung.
Kalau Myra nak kahwin nanti, bapanya tak boleh walikan dia. Kalau nak walikan dia kena ada bukti yang dia bapa kepada Myra, paling koman tunjukkan kad pengenalan dan sijil nikah ibu bapa. Sijil nikah tak ada memang kena mohon Wali Hakim kat mahkamah syariah lah jawabnya.
Kalau Halim meninggal nanti, Myra tak boleh tuntut harta pusaka dia. Asas tuntutan dalam harta pusaka ialah waris-waris mestilah yang sah di sisi undang-undang. Antara bukti untuk menunjukkan seseorang waris itu sah di sisi undang-undang ialah dengan memohon sijil faraid di mahkamah syariah. Nak mohon sijil faraid kena ada bukti surat beranak dan sijil nikah. Surat beranak bin/binti Abdullah. Sijil nikah pulak tak ada. Memang tak dapat nak tolong.
3. Isu Nasab dan Keturunan.
Apa status Myra sebenarnya. Anak yang dilahirkan di luar daripada pernikahan yang sah ada 2 kemungkinan sahaja iaitu anak tak sah taraf ataupun anak wati’ syubhah.
Anak wati’ syubhah ialah anak yang dilahirkan akibat persetubuhan yang berlaku bukan dari perkahwinan yang sah akibat keraguan tertentu iaitu sama hukumnya dengan nikah fasid.
Anak wati’ syubhah, jika berjaya disabitkan nasabnya di mahkamah syariah, maka dia boleh dibintikan kepada bapanya, boleh berwalikan bapanya dan berhak mendapat hak perwarisan daripada bapanya.
Namun beban pembuktian untuk menentukan status anak ialah terletak ke atas ibu bapanya. Mereka kena failkan permohonan pengesahan nasab anak di mahkamah syariah. Jika mereka mendakwa telah bernikah di luar negara, beban pembuktian untuk mengatakan pernikahan itu wujud ialah ke atas pasangan suami isteri tersebut. Mahkamah hanya perlu melihat kepada dokumen atau bukti-bukti pernikahan tersebut. Hanya ada 3 kemungkinan sahaja yang berlaku di Mahkamah :
a) Dokumen nikah luar negara ada. Rukun nikah semua lengkap dan sah. Maka mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sah dan boleh didaftarkan di pejabat agama malaysia. Nasab anak juga sabit anak sahtaraf. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah. . b) Dokumen nikah luar negara ada. Tapi ada rukun nikah yang diragui contohnya pernikahan dibuat oleh jurunikah tak bertauliah ataupun wali yang tak layak. Mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sebagai pernikahan yang fasid, mengarahkan untuk difaraqkan dan pasangan tersebut perlu bernikah semula di Malaysia. Nasab anak tersebut akan disabitkan sebagai wati’ syubhah. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah (anak wati’ syubhah sama statusnya dengan anak sahtaraf).
c) Dokumen nikah luar negara tiada. Kena tunjukkan usaha untuk cari. Buat carian di pejabat agama yang didakwa telah menjalankan pernikahan di luar negara tu, buat carian di pejabat konsulat atau datangkan saksi yang boleh bagi keterangan untuk menyokong dakwaan yang pernikahan tersebut memang telah dijalankan.
Mahkamah akan memeriksa semua keterangan dan kalau berjaya akan dapat perintah seperti 2 contoh di atas. Tapi jika tak ada langsung dokumen dan usaha? Maka, beban untuk menafikan bahawa pernikahan tersebut tak wujud/tak sah dan anak tersebut anak tak sah taraf adalah terletak ke atas ibu bapa anak tersebut.
Contoh Halim saya gunakan sebab memang dia dah terang-terangan declare 1 malaysia. Dan mungkin ada masyarakat yang keliru dengan kenyataan beliau untuk mengekalkan nama Abdullah sebagai binti anaknya.
Nak kekalkan nama Abdullah tu tak ada masalah langsung sebenarnya yang penting sabitkan dulu nasab anak tu di mahkamah syariah. Pihak JPN memang tak boleh buat apa-apa selagi tak ada perintah dari mahkamah syariah berkenaan isu tersebut.
Jika dah disabitkan nasabnya, walaupun berbintikan Abdullah, dia akan dapat semua hak-hak seorang anak untuk diwalikan oleh bapanya, dapat hak faraid dari bapa dan dapat nasab keturunan bapanya. Ini bukan isu tak kisah dan tak nak menyusahkan. Ini melibatkan isu penting tentang status anak dan hak.
Jangan Ambil Mudah Hukum Nasab
Nasihat saya pada halim, jangan mengalah dan putus asa. Cuba usahakan lagi, kesian Myra. Jangan kata kes dah terlalu lama sebab ada je kes yang dah berlaku 20 tahun dulu tapi masih boleh disahkan di mahkamah sebab pihak-pihak usaha juga bawa saksi.
Jangan ambil ringan dengan bab-bab nasab dan hukum ni. Ini bukan kes terpencil. Sebenarnya bukan nasihat untuk Halim sahaja tapi ramai lagi di luar sana yang ada masalah yang sama seperti ini sebenarnya. Tolonglah ambil cakna.
Pengajaran untuk yang belum terjebak, jangan buat keputusan singkat. Nikah luar negara memang cepat dan mudah. Tapi fikirkanlah kesan jangka masa panjangnya. Kalau terpaksa juga nikah di luar negara atas sebabsebab yang tak dapat dielakkan, bila dah balik malaysia cepatlah buat pengesahan di mahkamah syariah dan daftarkan pernikahan tersebut di pejabat agama. Kesannya tak nampak sangat kepada lelaki/suami. Tapi yang jadi mangsa ialah isteri/anak-anak.
Cuba bayangkan pula kesannya pada isteri? Nak kata dah nikah pun tak ada dokumen yang sah. Nak kata dah cerai pun, sijil nikah tak ada macamana nak cerai. Kalau nak berkahwin lain?
Satu sahaja cara, dia boleh declare yang dia belum pernah bernikah dan seolah pernikahan yang terdahulu tak wujud barulah dia boleh berkahwin lain. Lagipun memang tak ada dokumen langsung kan. Jadi apa status anak daripada perkahwinan terdahulu? Anak tu tak salah. Yang salah ialah mak ayah yang tak fikir panjang.
Ambik pengajaran. Yang baik jadikan tauladan yang buruk jadikan sempadan. Biar tahu jangan keliru.
Mingguan Wanita : Apa-apapun, kena daftarkan perkahwinan. Mungkin sekarang tak nampak kesannya, tapi akan datang lagi banyak masalah yang timbul. Jangan jadikan isteri dan anak mangsa.