Menteri sahkan wujud elemen buli & gangguan seksual ke atas arwah Zara Qairina, nafi cucu TYT Sabah terlibat. Isu kematian Zara Qairina yang ditemui terjatuh dari tingkat 3 bangunan asrama sekolahnya membuatkan bukan saja ibunya bangkit memperjuangkan keadilan buat pelajar ini namun rakyat turut bersatu hati mahukan mereka yang terlibat menerima hukuman sewajarnya.
Dapat dilihat rakyat teguh bersama perjuangan mahukan keadilan buat arwah baik dalam mahu pun di luar negara, kes Zara Qairina turut dibahaskan di dalam Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat.
Terkini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan wujudnya elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang membawa kepada kematianya pada 17 Julai lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, Datuk Seri Saifuddin berkata, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ketiga-tiga elemen tersebut telah dikenal pasti dan disiasat secara menyeluruh.
“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita.
“Para pentadbir sekolah harus diingatkan, kalau ada insiden ini bawa ke tengah. Sebab itu siasatan kita menjurus hala tujunya kepada elemen buli. Ya, yang sudah pun kita lengkapkan siasatan itu.
“Ya, ada elemen pengabaian kerana adik ini ada membuat aduan kepada pihak sekolah. Ada kita siasat elemen pengabaian. Ada elemen gangguan seksual, kita siasat juga. Demikian terpulang kepada Peguam Negara untuk menetapkan hala tuju sama ada tuduhan itu dapat dibuat atau tidak,” katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan selepas selesai rakaman percakapan 195 saksi, dirinya menegaskan, siasatan polis terhadap kematian Zara Qairina Mahathir, 13, mendapati ia tidak mempunyai kaitan dengan cucu Yang Dipertua Negeri Sabah atau kedudukan pengetua sekolah selaku isteri menteri seperti didakwa sesetengah pihak.