Kewangan

Menabung Cara Orang POKAI, Mulakan Seringgit Sehari

Share

Menabung cara orang POKAI, mulakan seringgit sehari jangan pandang rendah

Dalam keadaan ekonomi yang makin mencabar, hendak membuat tabungan bukan perkara mudah. Lagi-lagi bagi mak ayah yang pendapatannya cukup-cukup makan. Duit masuk, belum sempat disimpan sudah menunggu hutang rumah, kereta, barang dapur, belanja sekolah anak dan bermacam-macam bil.

Namun siapa kata orang ‘pokai’ tak boleh menabung? Tak perlu tunggu gaji besar atau ada lebihan beratus-ratus ringgit baru hendak bermula. Menabung cara orang pokai boleh dimulakan dengan seringgit sehari.

RM1 memang nampak kecil. Sebulan baru sekitar RM30 dan setahun RM365. Tetapi bagi orang yang selama ini langsung tak mempunyai tabungan, seringgit itulah yang boleh menjadi permulaan kepada satu tabiat baharu.

Jadi jangan malu kalau hanya mampu menyimpan RM1. Orang lain mungkin mampu RM100 sehari, kita mungkin baru mampu seringgit. Yang penting, mula dan jangan berhenti.

Mulakan RM1 sehari, lama-lama ada kemampuan buat tabungan jumlah lebih besar

1. Senaraikan Hutang Dan Bil, Langsaikan Satu Persatu

Mak ayah, cuba ambil kertas atau buka aplikasi nota dalam telefon. Catat satu persatu semua hutang dan komitmen bulanan. Jangan ada yang tertinggal.

Rumah, kereta, pengasuh, petrol, bil elektrik, air, Internet, telefon, pinjaman dan perbelanjaan sekolah anak semuanya perlu dimasukkan.

Kemudian asingkan antara keperluan dan kehendak.

Kalau ada barang yang teringin sangat hendak dibeli tetapi belum mampu, masukkan dahulu dalam senarai kehendak. Jangan tambah hutang semata-mata mahu memilikinya.

Selesaikan komitmen satu demi satu dan seboleh-bolehnya jangan mencipta hutang baharu yang tidak perlu. Lagi banyak komitmen bulanan, lagi kecil ruang yang tinggal untuk membuat simpanan.

Keyword: JANGAN TAMBAH HUTANG.

Jangan tambah hutang, banyak hutang jahat kerana gaya hidup

2. Menabung Cara Orang Pokai, Mulakan Seringgit Sehari

Katakan memang tak mampu sangat hendak menyimpan. Tak mengapa, mulakan dengan RM1.

Hari ini masukkan seringgit dalam tabung. Esok buat lagi. Lusa ulang perkara yang sama.

RM1 sehari bersamaan sekitar RM30 sebulan. Kalau dibuat tanpa gagal selama setahun, sudah menjadi RM365. Inilah asas menabung cara orang pokai, bermula dengan jumlah kecil tetapi dilakukan secara konsisten.

Sesekali kalau ada RM5 atau RM10 lebih, masukkan sekali. Jangan terlalu fikir berapa jumlah keseluruhannya. Fokus dahulu untuk membentuk tabiat.

Paling penting, jangan hari ini masuk RM1, tiga hari kemudian buka semula tabung sebab teringin beli sesuatu.

Duit yang sudah disimpan, anggap sahaja sudah ‘tiada’.

Keyword: SIMPAN & LUPAKAN.

3. Duit Masuk, Simpan Dulu Baru Belanja

Ramai antara kita menggunakan formula begini, ‘Hujung bulan nanti kalau ada duit lebih, aku simpan.’

Masalahnya, hujung bulan selalunya memang tak ada lebih.

Jadi terbalikkan cara tersebut. Setiap kali gaji atau pendapatan masuk, asingkan sedikit dahulu sebelum mula berbelanja.

Tak mampu simpan 10 peratus daripada pendapatan? Tak mengapa. Mulakan dengan RM10, RM20 atau RM30 mengikut kemampuan.

Bagi mak ayah yang bekerja sendiri atau mempunyai pendapatan tidak tetap, boleh asingkan sejumlah kecil setiap kali menerima bayaran.

Kalau boleh, pindahkan terus duit tersebut ke akaun simpanan berasingan yang jarang disentuh.

Keyword: SIMPAN DULU, BELANJA KEMUDIAN.

4. Bina Dana Kecemasan Walaupun Bermula RM100

Ini satu perkara yang ramai terlepas pandang.

Sebelum fikir hendak melabur atau membeli macam-macam aset, cuba wujudkan dahulu sedikit wang kecemasan.

Tak perlu terus fikir hendak mempunyai puluhan ribu ringgit. Untuk orang yang baru belajar menyimpan, sasarkan RM100 dahulu. Bagi yang baru mencuba menabung cara orang pokai, mulakan dengan sasaran yang kecil dan realistik. Dah dapat RM100, kejar RM500. Kemudian cuba cukupkan RM1,000.

Dana inilah yang boleh membantu apabila tiba-tiba tayar kereta pecah, anak perlukan duit sekolah, paip rumah rosak atau berlaku perkara tidak dijangka.

Apabila simpanan semakin kukuh, barulah sasaran dana kecemasan boleh ditingkatkan mengikut perbelanjaan dan kemampuan keluarga.

Keyword: SEDIKIT-SIKIT BINA DANA KECEMASAN.

Sikit-sikit, lama-lama jadi simpanan. Tak perlu tunggu banyak duit untuk mula menabung, seringgit sehari pun cukup asalkan konsisten dan tahu mengawal perbelanjaan.
5. Nak Tukarkan Sebahagian Simpanan Kepada Emas Pun Boleh

Apabila simpanan sudah mula terkumpul dan dana kecemasan tunai pun ada, barulah boleh pertimbangkan pilihan lain untuk simpanan jangka panjang.

Ada orang selesa menyimpan dalam bentuk emas kerana duit tersebut tidak semudah wang tunai untuk dibelanjakan sesuka hati.

Tetapi kena ingat, harga emas boleh naik dan turun. Ada juga perbezaan antara harga membeli dengan harga menjual.

Jangan sampai semua duit simpanan ditukarkan kepada emas tetapi apabila berlaku kecemasan, langsung tidak mempunyai wang tunai.

Apa juga cara yang dipilih, fahami dahulu risikonya dan simpan mengikut kemampuan.

Keyword: SIMPAN IKUT KEMAMPUAN.

6. Jangan Buka Shopping Online Kalau Tak Ada Benda Nak Beli

Zaman sekarang, sambil baring atas katil pun duit boleh habis.

Shopee, Lazada, TikTok Shop, live shopping dan macam-macam platform menjadikan urusan membeli terlalu mudah. Tambah pula dengan flash sale, baucar, penghantaran percuma dan ayat ‘tinggal tiga sahaja’.

Niat asal cuma hendak tengok-tengok. Sekali esok tiga parcel sampai depan rumah.

Kalau memang tak ada barang penting hendak dibeli, jangan buka aplikasi membeli-belah sekadar mahu mengisi masa lapang. Menabung cara orang pokai

juga bermaksud belajar menutup kebocoran duit daripada pembelian kecil yang sebenarnya tidak diperlukan.

Sebelum checkout, tanya diri sendiri, ‘Aku memang perlukan benda ini atau aku cuma teringin?’

Kalau jawapannya teringin, tutup aplikasi.

Keyword: BELI YANG BETUL-BETUL PERLU.

7. PayLater Bukan Duit Tambahan

Ini antara godaan kewangan zaman sekarang.

Kemudahan Buy Now Pay Later atau BNPL memang memudahkan pembelian. Tetapi jangan tersilap menganggap had yang diberikan itu sebagai duit tambahan.

RM20 sebulan nampak kecil. RM30 pun rasa macam mampu.

Tetapi kalau ada lima atau enam pembelian yang semuanya perlu dibayar secara ansuran pada masa sama, jumlahnya sudah menjadi komitmen bulanan yang besar.

Belum campur kereta, rumah, bil dan keperluan keluarga.

Kalau duit dalam akaun memang tak cukup untuk membeli sesuatu yang bukan keperluan, fikir dua tiga kali sebelum menekan butang checkout.

Keyword: TAK CUKUP DUIT, JANGAN CHECKOUT.

8. Kad Kredit Bukan Duit Sendiri

Kad kredit boleh menjadi kemudahan pembayaran yang berguna jika digunakan dengan berdisiplin dan mengikut kemampuan. Bank Negara Malaysia sendiri menasihatkan supaya penggunaan kad kredit berada dalam kemampuan pengguna.

Masalah bermula apabila kad digunakan seperti duit tambahan.

Nampak barang, swipe. Makan, swipe. Shopping, swipe. Sampai penyata keluar hujung bulan, baru terkejut tengok jumlahnya.

Bagi yang sukar mengawal perbelanjaan, cuba kembali kepada kaedah mudah seperti sistem sampul.

Tetapkan jumlah untuk makan, petrol, barang dapur dan belanja diri. Bila peruntukan kategori tersebut habis, berhenti berbelanja.

Nampak macam cara orang kedekut, tetapi kalau ia membantu mengawal duit, apa salahnya?

Keyword: BELANJA IKUT BAJET.

9. Hati-Hati Duit RM5 Dan RM10, Inilah Yang Selalu Bocor

Jangan ingat orang pokai semestinya sebab membeli barang berharga RM1,000.

Kadang-kadang duit habis disebabkan terlalu banyak perbelanjaan kecil.Sebab itu, menabung cara orang pokai bukan sekadar menyimpan duit tetapi belajar mengenal pasti ke mana wang kita selalu ‘bocor’.

RM8 caj penghantaran makanan, RM12 minuman, RM15 barang masa live, RM10 langganan aplikasi dan RM20 membeli barang yang sebenarnya tidak diperlukan.

Satu-satu memang nampak kecil.

Cuba hujung bulan buka transaksi bank dan e-wallet. Tengok semula ke mana duit pergi dan campurkan semua perbelanjaan kecil yang sebenarnya boleh dielakkan.

Mungkin masa itu baru tersedar, ‘Patutlah duit aku cepat sangat habis.’ Kalau dapat kurangkan RM5 sehari sekalipun, duit itulah yang boleh dialihkan masuk ke tabung.

Keyword: SIKIT-SIKIT, LAMA-LAMA BOCOR BANYAK.

Jangan Malu Menabung Seringgit

Tak perlu bandingkan tabungan sendiri dengan orang lain. Ada orang mampu menyimpan RM1,000 sebulan. Ada yang RM500. Ada yang RM100. Dan mungkin ada mak ayah yang sekarang baru mampu RM1 sehari.

Tak mengapa. Yang penting, mula.

Simpan RM1 hari ini. Esok buat lagi. Bila keadaan kewangan semakin baik, naikkan kepada RM2, RM5 atau lebih.

Dalam soal menabung, jumlah memang penting. Tetapi bagi orang yang selama ini langsung tidak mempunyai simpanan, membentuk tabiat menyimpan adalah langkah pertama. Hakikatnya, menabung cara orang pokai bukan tentang siapa mempunyai simpanan paling banyak tetapi bagaimana kita menguruskan duit yang ada.

Jangan tunggu kaya baru hendak menabung.

Kalau mahu mencuba menabung cara orang pokai, mulakan dengan seringgit hari ini. Sebab seringgit yang kita simpan tetap lebih baik daripada RM100 yang hanya kita rancang hendak simpan tetapi tak pernah bermula.

Published by
Almaswa Haji Che Ros