Matanglah sikit, awak tu jadi mak orang. Jagalah perasaan kanak-kanak yang masih kecil. Jaga kata-kata kalian kerana kanak-kanak mudah tersinggung apatah lagi ditegur di depan orang ramai.
Paling buruk, kata-kata yang dilemparkan berbekas di hati dan lama-lama bernanah dalam hati. Ikuti perkongsiaan Puan Dhuha Rashidi ini dan hadam baik-baik.
Salah Kata Buat Kanak-kanak Malu
Bila aku singgah ziarah pada satu tempat tu ( rumah orang ) , ada orang cakap anak sulong aku ni manja. Mengada-ngada.
.
Sebab kadang dia menempek sebelah mak dia, aku peluk. Kadang makan nasi di kenduri orang, aku suapkan saja.
.
Cakap depan anak aku pula tu kan.
.
Budak ini dulu, masa aku belum train satu mindset dekat dia, dia mudah merajuk bila orang cakap direct macam tu. Dia rasa malu. Rasa tak patutlah peluk mak depan orang.
.
Dia selalu cakap dekat aku macam ini , “Mak, kakak sudah besar kan, dah tak boleh peluk cium mak ya, tak boleh bersuap ya”.
Terkesan Dengan Kata Orang Sekeliling
Dia tanya sebab terkesan dari orang keliling yang asyik cakap dia , “Eee dah besar pun nak makan bersuap”.
.
Padahal memang aku dengan laki aku yang rasa lebih senang suapkan saja semuanya sekali.
.
Orang cakap dekat dia “Eee, dah ada adik pun nak ngada-ngada lagi “
.
Apa benda entah masyarakat ni. Tak boleh ke cakap tu berlapik sikit dengan budak. Kalau dengan maknya, tahan la lagi kan. Ini dengan budak-budak.
Kanak-kanak Terkesan Dengan Kata-Kata Bukan-bukan
Situasi ni selalu aku tengok kanak-kanak selalu kena. Kesihan tau. Bukanlah nak cakap pasal anak aku itu sangat. Tapi lebih kepada apa kesan kepada kanak-kanak bila kita cakap bukan-bukan pada mereka.
.
Persoalan sekarang,
Salahkah kalau seseorang anak sulung itu bermanja kalau sudah ada adik?
Salahkah kita peluk anak sulung, anak kedua, anak ketiga walau mereka sudah ada adik. Lainlah kalau anak itu sudah berjanggut, aku pun tak ingin nak riba. Haha.
Tahu tak ,
Punca tekanan, rasa rendah diri, kurang keyakinan, rasa tak boleh, pada diri kanak-kanak itu sebab mulut orang-orang tua termasuklah mulut mak, bapak mereka sendiri. Mulut kita.
Ha. Mulut kita kepada anak-anak kita.
Atau mulut orang lain kepada anak-anak kita dan mulut kita pada anak orang.
Kan.
Kanak-kanak ini suci bersih. Umur setahun, 5 tahun, 7 tahun itu kecik benar kalau kita nak marah atau nak sakit hati.
Beri Kata-kata Semangat
Berilah kata-kata semangat yang buat kanak-kanak rasa yakin. Tak kisahlah kanak-kanak mana pun. Agama apa pun.
Aku bercerita melalui pengalaman sendiri dan orang keliling yang punyai banyak kisah dan trauma zaman kanak kanak.
Kesannya sampai tua pula tu.
Ada yang sampai mendapat penyakit mental akibat zaman kanak-kanak yang penuh kutukan. Herdik. Tohmah. Dicaci. Dipukul. Dipulas telinga. Dirotan.
Perit wehhhh.
Sebagai kanak-kanak, mereka sangat sedih.
Mereka nak kasih sayang.
Mereka nak belaian manja mak bapak mereka.
Adakala tak semua kanak-kanak bernasib baik mendapat perhatian yang sewajarnya.
Sebab benda-benda macam inilah , aku ambil berat tentang perkembangan anak-anak.
Aku peluk anak aku tanpa rasa segan-silu sebab mereka berhak merasainya. Kadang itu, baby tengah tidur, aku rehatkan badan aku dengan memeluk anak-anak yang lain.
Mereka rasa seronok, tenang , selamat. Tak mudah tantrum.
Hari itu aku luangkan masa ajak potong kuku bersama sama. Nour cakap “Kakak rasa tenang bila mak sentuh kuku kakak, kulit kakak, tenanglah mak, seronok”.
Bonding ini kesannya lebih bernilai dari wang ringgit weh. Wang yang kita ada langsung tak berikan anak kita rasa tenang. Seronok pun sekejap je. Sungguh.
Aku suap anak aku kecil, besar semua merasa air tangan. Supaya terciptanya satu bonding keluarga. Mereka tenang, kita pun tenang. Aku beritahu anak-anak, kalau orang asyik kata kakak mengada-ngada, doakan yang baik-baik untuk orang tu. Maafkan dia.
Baca Juga Di Sini:
Kata-kata Buruk Beri Kesan
Ya, walaupun adakala aku menjauh diri dari mereka kesan dari penyakit #Bipolar ini. Sehingga mereka rasa sedih. Sayu. Terluka. Melihat aku yang menjauhkan diri agar mereka tak menerima kesan buruk.
Bukannya mereka tak ada tengok tingkah laku kasar aku dengan tiba-tiba berubah mood.
Namun, usaha di sudut lain patut aku teruskan. Supaya, hati mereka tak terus terluka.
Moga anak anak kita semua membesar dalam suasana yang dilindungi Allah.
Aku pernah jumpa seorang makcik tua tau. Umur 70 tahun. Bersembang dengan aku yang dia pendam banyak kelukaan masa kecik.
Bayangkanlah. Berapa puluh tahun kisah gelap zaman kanak-kanak makcik ini tersimpan dalam memori. Sedih. Makcik ini sampai kesihatan mental pun terjejas. Tiada sokongan untuk dia leburkan semua memori masa lalu dia.
Ada masanya makcik ini akan mengamuk. Yang menerima kesan siapa, cucu-cucu yang duduk dekat . Sebab itu perkara macam ini patut dipandang serius.
Trauma ini macam boleh berjangkit-jangkit tau. Kalau kita tak rawat dan alirkan, orang lain pula yang boleh terima kesannya sama.
Peka Dengan Kata-kata
Masyarakat perlu tahu pasal mental health. Supaya lebih faham apa yang boleh berlaku, sedang berlaku , kesan daripada isu yang berlaku jangka pendek jangka panjang.
Bayangkanlah , kalau kita bawa kesakitan hidup jangka panjang. Tak ada sapa yang nak weh.
Jadi, kita peka. Bantu pada kadar sepatutnya dibantu. Kadang kala diam itu membantu. Diamlah. Kadang kala pelukan itu membantu peluklah. Kadangkala nasihat itu membantu saat itu, bercakaplah. Kita pun kena belajar sama.
Aku cuba merenung untuk sisi diri kecil ku juga. Telah banyak aku belajar. Dari zaman kanak-kanak sampailah aku dikurnia anak. Masih tidak berhenti. Banyak yang aku tak reti lagi.
Ini bukan kisah orang mengata anak aku tau. Ini kisah KANAK KANAK PATUTKAH BEGINI KEHIDUPAN MEREKA.
Sorry lah tulisan aku ni jenis bebelan tau. Kah kah.
MW: Sebagai orang yang dewasa dan matang, janganlah kecil hati anak kecil mahu pun dia bukan anak kalian. Perasaan kanak-kanak sangat sensitif dan mereka mudah terluka. Jadi mak,ayah perlu beri perhatian yang lebih buat anak-anak tidak kiralah yang masih kecil atau besar. Masing-masing perlukan kasih sayang mak,ayah yang tidak berbelah bahagi.
Asasnya adalah hubungan kasih sayang yang kukuh dengan anak-anak. Jadi lebih mudah mak,ayah hendak mendidik anak-anak. Bila kena jerkah pun anak-anak boleh terima kalau hubungan mak-ayah-anak itu kukuh.
Mendidik anak dalam dunia sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi anak-anak yang meningkat remaja. Kalau tak kena, mahunya kita pula yang kena jerkah. Oleh sebab itu sedari kecil bina hubungan kasih sayang yang kukuh.
Ikuti perkongsian, Ustaz My Learning Journey ini dan fahami kenapa adanya hikayat batu belah batu bertangkup.
Ada sebab dalam warisan masyarakat kita ada hikayat Batu Belah Batu Bertangkup. Ia mewakili susah payah kita mendidik anak-anak khususnya di peringkat remaja.
Mereka secara semulajadi menjadi ‘self-centered’ dan hanya sedar tentang kemahuan sendiri, tidak peka akibat perbuatan mereka kepada perasaan orang lain.
Kita perlu pastikan hubungan kasih sayang dengan anak-anak kukuh, bukan untuk memanjakan mereka. Tetapi supaya kita boleh mendidik mereka.
Supaya mereka boleh terima, semasa kita jerkah mereka apabila ambil lauk, terus ambil bahagian ayam yang sedap-sedap dan meninggalkan bahagian kurang ‘famous’ kepada orang lain.
Bukannya makanan tidak cukup, tapi nak didik hati dan akal fikiran tu. Fikir sikit orang lain. Jangan ulang episod Pekan dan Melur walaupun kita tidaklah sampai mencari batu belah minta ditelan kerana sedih yang melampau.
Sikap mementingkan diri sendiri anak remaja boleh menyebabkan mak ayah mati dek serangan jantung.
Sebab itu kita kena minta banyak-banyak rahmat daripada Allah, dan tambah ilmu keibubapaan, belajar psikologi dan perkembangan kognitif anak remaja, supaya perangai mereka yang menjengkelkan itu, dapat ditukar menjadi ladang pahala kita.
Dan jangan lupa, kita pun pernah remaja macam mereka. Cuma di zaman yang berbeza dan cabaran yang tak sama.
Mak ayah adalah orang terpenting dalam membentuk dan mendorong kejayaan anak-anak dalam hidup mereka. Titipkan tujuh pesanan ini untuk mereka pegang dalam mengejar kejayaan. Bukan saja untuk duniawi semata-mata.
Jagalah Allah SWT nescaya Allah SWT sentiasa menjagamu. Anak-anakku, fahamilah oleh mu bahawa Allah SWT itu Tuhanmu. Justeru, yang kamu jaga itu adalah hubunganmu dengan Allah SWT.
Ingatlah sedalam-dalamnya, peganglah sekuat-kuatnya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sedetik pun. Maka usahlah kita mengambil pilihan untuk tidak bersama-Nya di mana sahaja wajah kita berpaling, di mana sahaja kaki kita melangkah dan di mana sahaja nafas kita sedut.
Anak-anakku, janganlah kamu mengatakan yang kamu mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan kamu tidak mahu terikat dengan-Nya. Keterikatannya itu adalah satu matlamat para kekasih-Nya.
Justeru, ikatlah perasaanmu hanya dengan Allah SWT. Janganlah kamu suka bercerita kedekatanmu dengan-Nya tetapi hatimu sentiasa dekat dengan material duniamu. Usahlah kamu berangan-angan tentang-Nya sedangkan kamu cukup takut meninggalkan darjat, pangkat, harta duniamu.
Wahai anak-anakku, utamakanlah pelajaran dan ilmu. Ketahuilah oleh mu, ramai yang berpelajaran tetapi tidak berilmu maka jiwanya kosong. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengisi jiwanya.
Begitu juga ada orang berilmu tetapi tidak berpelajaran maka hidup bermakna biar tidak ke mana. Anak-anakku, alangkah indahnya kamu memiliki keduanya kerana itu menjadikan kamu sebaik-baik hamba. Pelajaran akan menjadi tongkat dunia mu manakala ilmu menjadi penjaga akhirat mu agar kamu tidak tersasar di sebalik keindahan dunia yang penuh tipu daya.
Anak-anakku, berusahalah untuk diri mu. Usah kamu bersandar pada orang lain kerana ayahanda tidak senang mendengar ungkitan. Setiap sandaran kita perlukan pulangan. Setiap pertolongan orang itu perlukan pembalasan walaupun tidak diminta. Ada yang mahukan balasan yang material. Ada juga yang hanya mahukan doa. Tak kurang juga yang mahukan balasan sikap dan sifat. Semuanya itu bentuk pembalasan.
Namun, kita mungkin tidak dapat memberinya sepanjang hidup kita. Justeru, anak-anakku, berusahalah sedaya upaya dengan akal dan kudrat kurniaan Allah SWT agar kamu mengurangkan sandaran kamu terhadap orang lain.
Ia menjauhkan kamu dari rasa sakit hati apabila setiap yang disandarkan menjadi ungkitan biarpun sandaran yang diberi sudah terbalas sekian lama. Ingatlah anak-anakku, jangan sesekali kamu mengungkit kerana ungkitan itu memadamkan rasa. Orang yang mengungkit tidak pernah terguris rasa tetapi orang yang diungkit akan selalu ngilu perasaan.
Apabila kamu berpasangan kelak, taati pasanganmu daripada dua sudut nescaya hidup kamu bahagia hingga akhir hayat. Taatlah dengan zahir, tunaikan tanggungjawab mu sebagai orang yang diamanahkan.
Berikanlah khidmat kepada pasanganmu dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Setiap pasangan itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Taatilah pasanganmu dengan perasaan.
Usahlah biarkan perasaan mu diisi dengan ketaatan kepada yang bukan haknya. Ingatlah anak-anakku, sentiasalah dahulukan yang berhak. Jangan biarkan dia melihat apa yg tidak disukainya. Jauhkan pendengarannya dari apa yg dibencinya. Jaga hidungnya agar tidak mencium apa yg tidak digemarinya.
Wahai anak-anakku, berhentilah mengkritik orang lain sebelum kamu mengkritik dirimu sendiri. Nasihatilah dirimu sebelum menasihati orang lain. Jagalah kata-katamu kerana sepotong ayat yang tidak dijaga akan melukakan hati sepanjang hayat.
Kelak nanti kamu tercari-cari mengapa orang berjauh hati dengan mu. Kasihanilah dirimu sebelum kamu mengasihani orang lain agar rasa kasihan yang kamu berikan kepada orang lain datangnya dari lubuk hati dan perasaanmu dan bukan produk keluaran bibirmu.
Berbicaralah dengan lisan lembut dan suara yang rendah. Kata-kata yang kamu lontarkan adalah personaliti kamu. Sentiasa rendahkan suaramu agar nanti kamu tidak tersasar tinggi suara pada Tuhanmu. Jadilah kamu orang yg bermanfaat untuk orang lain.
Jadilah kamu orang yang bisu dalam memperkatakan kelemahan orang lain. Jadilah kamu orang yang buta melihat kekurangan orang lain. Jika tidak, kesemuanya akan menjadi sikap dan sifatmu kelak.
Anak-anakku, ayahanda wariskan kepadamu apa yang hak untuk kamu. Usahlah kamu tamak. Usahlah kamu berkira. Belajarlah untuk memberi dan menerima. Jangan kamu pertikai apa yang bukan hak kamu kerana itu semua membuka pintu kenistaan.
Jangan kamu ambil apa yang bukan hak kamu dan jangan kamu berikan kepada orang yang tiada haknya. Ia menjadikan kamu jatuh ke lembah ketidakadilan. Ia pasti merosakkan silaturahim antara kamu dan orang lain.
Anak-anakku, jangan pernah kamu takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana setiap orang yang berjaya pasti pernah melalui kesilapan. Jika kamu takut silap maka kamu akan sentiasa silap. Wahai anak-anakku, inilah yang ayahanda suratkan. Semoga ia menjadi pedoman hidup mu agar kekal ber’Tuhan’.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bingkaikan masa depan anak-anak agar kejayaan jadi milik mereka. Tugas itu adalah tugas mak ayah. Saya percaya semua ibu bapa inginkan masa depan yang baik untuk anak-anak. Tiada seorang pun daripada kita yang ingin melihat anaknya menjadi orang yang merana atau tidak memiliki masa depan yang cerah.
Oleh sebab itulah, ramai ibu bapa yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit demi memastikan pembelajaran anak pada tahap yang terbaik. Tidak cukup dengan sekolah, kelas-kelas tambahan juga turut menjadi tumpuan. Tujuannya satu, agar anak-anak mendapat pembelajaran yang terbaik dan menjadi orang yang berjaya.
Hakikatnya, berjaya dalam konteks seorang muslim duduknya di akhirat. Walau bagaimanapun, kejayaan mengurus kehidupan di dunia inilah yang menjamin kebahagiaan di akhirat sana. Bagaimana yang dikatakan berjaya mengurus adalah berjaya meletakkan prioriti sebenar dalam kehidupan sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Inilah bingkai kejayaan yang harus kita bina dalam pemikiran anak-anak kita. Ini kerana, hasrat kita bukan sahaja ingin melihat kejayaannya di dunia malah yang terlebih penting adalah kebahagiaannya yang abadi di akhirat kelak.
Justeru, untuk itu, pembelajaran ilmu agama harus ditekankan ke akar umbi. Anak harus hidup berdasarkan agama dan untuk agama. Iman harus dipasakkan dalam jiwa-jiwa mereka. Terutama dalam era globalisasi yang meluas ini.
Kebenaran amat sukar untuk dikenal pasti hanya dengan iman dan taufiq daripada-Nya kita dapat memilih kebenaran. Jadi, perkara ini harus dititikberatkan dalam membesarkan anak-anak dan mendidik amereka. Islam tidak pernah mengasingkan ilmu yang kita panggil sebagai ilmu profesional dengan agama.
Hakikatnya apabila kita benar-benar memahami hakikat ilmu menurut Islam ia adalah merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Jadi biarlah anak-anak ingin menjadi profesion apa sekalipun namun dalam masa yang sama dia adalah mukmin yang soleh di dalam pandangan Allah.
Jadi, sebagai persekitaran anak-anak yang paling hampir, kita juga seharusnya tidak silap meletakkan prioriti dalam pembelajaran anak-anak. Ia harus seimbang dan adil dalam erti kata yang sebenar. Anak-anak harus diberikan pendedahan dalam ilmu agama sebagaimana subjek-subjek lain juga malah mungkin lebih lagi kerana ilmu agama adalah keutamaan dalam membentuk tasawur diri anak-anak tentang kehidupan dan membentuk jati dirinya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.
Selain daripada itu, persekitaran yang dibentuk di rumah juga memainkan peranan. Bagaimana ibu dan ayah melayan anak-anak dan perkataan yang digunakan. Semua ini merupakan antara faktor pendorong kepada tercapai atau tidak hasrat yang cuba dibingkaikan tadi. Maksudnya di sini, anak-anak akan banyak belajar daripada input-input yang diperoleh daripada persekitarannya dan pengalaman-pengalaman lepas.
Jika ibu dan ayah selalu menyatakan “jadi anak ibu yang soleh”, namun penekanan terhadap solat amat kurang di rumah malah ketika bermusafir, galakan baca Al-Quran juga amat minimal jadi perkara ini akan amat sukar untuk menjadi kenyataan.
Ini kerana kata-kata tadi akan hanya tersimpan dalam minda bawah sedarnya tanpa mendapat stimulasi yang betul mengenai perlaksanaan yang seharusnya sebagai seorang anak yang soleh.
Keadaan ini juga mungkin menyebabkan mindanya melakukan “pairing” yang tidak tepat antara menjadi anak soleh dengan perbuatan yang lain dan tidak termasuk sebagai kategori anak soleh malah sebaliknya. Nauzubillahiminzalik. Oleh yang demikian, apa yang kita bingkaikan harus diikuti dengan perbuatan yang menyokong kata-kata itu tadi.
Selaku suri teladan kepada anak-anak. Maka peranan kita juga amat besar dalam membentuk keperibadian anak-anak. Selain apa yang dilakukan, perkataan yang digunakan semasa berkomunikasi dengan anak-anak juga harus ditekuni. Elakkan daripada memerihalkan anak dengan perkataan-perkataan yang negatif.
Walaupun hanya sekadar gurauan atau panggilan manja. Hakikatnya perkataan yang kita gunakan tadi memberikan pengaruh terhadap persepsinya terhadap diri dan kehidupan. Terutama bagi mereka yang sudah memahami. Apabila persepsi tersebut acap kali diterima ia akan membentuk sebuah kepercayaan dan mempengaruhi keperibadian dan tingkah laku mereka. Contohnya, jika kita kerap melabel anak kita sebagai “tidak faham Bahasa” atau “pemalas”, maka label itu akan membentu kpersepsi anak tentang dirinya sebagai seorang yang tidak faham bahasa dan pemalas. Dua perkataan inilah kelak yang akan mempengaruhi keperibadian dan tingkah lakunya.
Untuk akhirnya, bingkaikanlah masa depan anak-anak kita dengan rapi mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Insya-Allah kehidupan mereka lebih terjamin dan bahagia di dunia dan di akhirat, insya-Allah. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!