Kita tak pernah jemput orang lain dalam rumah tangga, tetapi kalau Allah nak bagi ujian tetap kena hadap dan bersabar. Nak-nak pula kalau ‘orang lain’ yang muncul itu memang golongan tersayang dalam keluarga.
Allah… bukan senang nak jaga hubungan suami isteri. Dan lagi berbisa andai orang asing itu adalah PENGACAU RUMAH TANGGA. Jangan cepat melatah, perkongsian saudara Firdaus Shakirin kali ini boleh membuka mata orang-orang yang se
‘Orang lain’ Dalam Kehidupan Suami Isteri
Kadang-kadang tu, kita dengan pasangan ok je. Tak ada masalah tapi masalah tu akan datang atau timbul bila ada “orang lain” antara kita berdua.
Siapa yang boleh dikategorikan sebagai “orang lain” dalam kehidupan kita sebagai suami isteri ni?
Ads
Mentua
“Orang lain” yang ada di tangga pertama, yang betul-betul powerful sehingga dia dpt menentukan/mencorakkan rumahtangga kita the way he or she wanted to. Anak dia nak buat apa-apa keputusan pun susah disebabkan perlu melalui dirinya dulu. Hatta apa yang berlaku dalam rumahtangga anaknya pun dia nak tahu dan dia yang masuk campur. Ini menyebabkan menantu kurang gemar / suka kerana campur tangannya seringkali membawa kepada pergaduhan, persengketaan antara menantunya dan anaknya.
Adik beradik
Adik beradik yang follow up closely tentang rumahtangga adiknya, kakaknya atau abgnya dan mencari point atau ruang untuk campur tangan, mengapi-apikan atau memperburukkan satu-satu pihak atas sebab dia tidak suka pasangan adiknya / kakaknya atau abangnya itu, dia rasa dengki, iri hati dengan apa yang pasangan adik-beradiknya ada. Lalu dia “mengacau” rumahtangga mereka sehingga menyebabkan pasangan kepada adik-beradiknya tertekan. Adik beradik yang masuk campur dalam urusan rumah tangga adik beradiknya yang lain layak digelar pathetic disebabkan dirinya sendiri tak dapat apa yang dicari dan dia tak nak orang lain dapat atau ada apa yang dia tiada.
Ads
Orang Luar (KETIGA)
Ketiga dan yang terakhir adalah “orang lain” yang paling berbahaya sekali iala orang luar yang cuba menagih kasih, memadu asmara dan bercinta dengan pasangan kita.
Orang yang membuatkan pasangan kita semakin jauh dengan kita dan semakin lupa akan tanggungjawabnya. Ada pasangan yang mampu berhadapan dengan “orang lain” ini sehingga berjaya menyelamatkan rumah tangganya dan ada juga yang tidak. Tahun ini ialah tahun khinzir…hmmm, tiberrr…( u know what i mean? )
Ads
3 jenis orang lain dalam rumahtangga kita suami isteri yang perlu kita elak, perlu kita hadapi dengan penuh hemah serta kebijaksanaan. Hal dalam rumah, setel dalam rumah tanpa perlu menceritakan kepada ketiga-tiga individu yang dinyatakan. Jika tidak, kita akan membuka ruang untuk mereka masuk dan meretakkan rumah tangga kita.
Dan akhirnya apa yang jadi dalam rumah tangga kita?
MW: Apa pun, bila diuji dalam rumah tangga, baik suami atau isteri kena banyak bersabar. Jangan dicanang pada orang luar sebab kita pun tak tahu baik buruk hati orang. Paling mudah, luah pada pasangan dan berbincang. Kalau perlu jauh, elok jarakkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap kali menatap wajah anak bongsu sedang tidur membuatkan hati ibu ini menjadi rawan. Anaknya kelihatan normal seperti kanak-kanak lain jika sedang tidur. Tiada rengekan, tiada dengusan dan tiada tangisan. Tatkala itu rasa di hatinya bercampur-baur, apatah lagi memikirkan masa depan anak bongsunya, Nurul Aunie Azizi yang kini telah berusia lapan tahun.
Sebagai ibu, Noriza Zamri, 42 tahun tidak dinafikan hatinya sangat gundah tatkala melihat keadaan Nurul Aunie atau panggilan manjanya Aunie. Ternyata kerisauannya ketika mengandungkan anak bongsunya ini ada benarnya.
Mengimbau di saat usia kandungannya memasuki empat bulan, tatkala melalui proses imbasan, janinnya kembar. Tetapi selepas lima bulan, apabila diimbas semula, janinnya hanya satu. Kala ini hatinya mula berdebar apatah lagi doktor turut mengkhabarkan bahawa perkembangan anaknya tidak mengikut usia sebenar.
Oleh itu, Noriza merujuk kepada pakar di Hospital Besar Kuala Krai, Kelantan untuk pemeriksaan lanjut. Disebabkan bimbang dengan perkembangan bayi dalam kandungan, ibu beranak lima ini sering dirujuk kepada hospital untuk mengenal pasti masalah selain mendapatkan pemeriksaan di Klinik Kesihatan berdekatan.
Jelas doktor, biar pun bayinya kecil tetapi dia cukup sifat dan sempurna. Cuma saiznya agak kecil berbanding bayi seusianya. Akhirnya genap tujuh bulan setengah, Noriza diminta untuk melahirkan bayinya secara pembedahan, walaupun gentar demi anak yang dikandung, ibu ini pasrah.
Tanggal 21 November 2011, lahirlah puteri yang diberi nama Nurul Aunie seberat 1500 gram sahaja. Saiznya sangat kecil seakan anak patung Barbie. Terngiang-ngiang tangisan sang bayi ketikadibawa ke Neonatal Intensive Care Unit (NICU). Selepas beberapa hari, barulah Noriza berpeluang melihat anaknya.
Sebak melihat anaknya yang masih kecil berselirat dengan wayar di NICU. Hampir sebulan di hospital, barulah Auni dibenarkan pulang.
Sindrom Yang Jarang di Temui
“Pada peringkat awalnya, doktor mengesyaki Auni mengidap sindrom Treacher Collins. Tetapi setelah melalui ujian kromosom, Aunie diagnos 4p iaitu Wolf Hirschhorn syndrome.
“Ekoran daripada 4p, Aunie kerap terkena sawan sejak kecil di samping masalah-masalah lain. Dalam masa yang sama, anak saya turut mengalami cleft palate, glaucoma di kedua-dua belah mata serta masalah jantung berlubang dan saluran pernafasan sempit.
“Sejak itu, Aunie telah menjalani empat pembedahan besar untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Sebagai ibu, saya sentiasa mencari maklumat tentang sindrom ini di internet serta bertanya doktor jika dirinya melihat kelainan pada Aunie,” jelas Noriza satu-persatu.
Oleh itu, Aunie mendapat perhatian khusus daripada pihak hospital, malahan Noriza berasa terharu jika ada masalah yang dirujuk pada doktor, pasti doktor akan mencari jalan penyelesaian melalui pembedahan untuk Aunie. Kadang-kadang perkongsiannya di media sosial membuatkan dia berjumpa dengan rakan senasib Aunie.
Dari situ, Noriza dapat berkongsi maklumat dan berkongsi pengalaman. Biar pun tidak ramai rakyat Malaysia mengalami sindrom ini, namun perkongsian ibu bapa dari luar negara juga menguatkan komuniti Wolf Hirschhorn syndrome.
Sepanjang membesarkan Aunie terdapat satu peristiwa yang tidak mungkin ibu ini lupakan. Ketika itu Aunie baru berusia tujuh bulan, dia mengalami tersedak susu ketika berada di dalam buaian. bayangkan kala itu Aunie kelihatan pucat dan doktor menyatakan peluang untuk Aunie hidup hanyalah 50/50.
Apatah lagi kala itu, Aunie juga diserang sawan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi. Cukup syahdu kerana kejadian itu berlaku di bulan Ramadan iaitu seminggu sebelum tibanya syawal. Mujur semangat Aunie kuat dan usianya panjang, kami sekeluarga dapat beraya bersama Aunie.
Semakin Baik
Menurut Noriza, menipulah dirinya tidak pernah merasa terbeban menguruskan anaknya yang umpama bayi. Letakkan diri anda di dalam dirinya, pasti anda dapat menyelam perasaannya. Menjaga anak yang tidak normal dalam tempoh masa lapan tahun seperti bayi bukanlah satu tugas yang mudah.
Terlalu mencabar dan menguji emosi keibuannnya. Mujurlah suami, anak-anak dan keluarga menjadi pendukung paling kuat untuk Noriza tabah menguruskan anak bongsunya. Setiap kali lelah, Noriza cuba muhasabah diri dan menganggap ini adalah ujian untuknya dan keluarga.
Anak kelima daripada lima adik-beradik ini dikenali sebagai seorang anak yang sangat manja dan penyayang. Kini Aunie masih menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu dan HUSM Kubang Kerian. Hospital juga telah menjadi rumah kedua buat Aunie kerana kerap berulang-alik ke sana sejak kecil.
Biar pun sukar untuk menelan kenyataan bahawa Aunie masih tidak mampu berjalan, Noriza tidak pernah mengalah. Malahan dirinya lebih kuat memaksa anak syurga untuk berjalan seperti kanak-kanak sebayanya.
“Buat masa ini, Aunie masih berusaha untuk berjalan. Dia juga tidak mampu berkomunikasi dan bercakap. Sebab saya menjaganya dari kecil, jadi saya dapat fahami dia melalui reaksi. Hingga saat ini, Aunie 100peratus mengharapkan bantuan orang lain untuk menguruskan diri.
”Öleh sebab itu saya cuba memaksa Aunie untuk berdikari seperti kanak-kanak lain, biar pun perkembangannya lambat tetapi saya tidak pernah berputus asa. Begitu juga sebelum ini Aunie hanya menggunakan wayar untuk minum susu, tetapi saya mencuba hampir beratus botol untuk Aunie belajar menghisap botol susu sendiri.
“Walaupun keadaan Aunie begitu, saya melayan seperti anak yang lain. saya tidak pernah malu dengan kekurangannya. Saya bawa dia berjalan, berenang dan bermain. kadang-kadang saya paksa dia berdiri lama untuk kuatkan kaki agar dia cepat bersedia untuk berjalan.
“Biar pun ramai yang tidak tahu tentang sindrom Wolf Hirschhorn tetapi saya suka sahaja berkongsi dengan orang sekeliling. Sebab sekali pandang, orang tidak tahu anak saya istimewa dan tidak seperti rakan sebayanya. Saya harap selepas ini masyarakat tahu dengan sindrom ini dan menjadi lebih peka.
“Menurut doktor punca Aunie berkeadaan sebegini adalah kerana terdapat serpihan kromosom yang tidak lengkap. Aunie juga adalah pembawa kepada sindrom ini selepas menjalani ujian kromosom. Walau apa pun puncanya, saya terima dengan reda,” cerita Noriza panjang lebar.
Menjadi harapan dan impian besar Noriza untuk melihat anaknya mampu menguruskan diri sendiri. Memadai anaknya mampu mandi, makan dan menukar pakaian sendiri, ianya telah menjadi nikmat terbesar buat Noriza. Jika Aunie mampu berdikari, Noriza lebih tenang sekiranya apa-apa berlaku padanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak ramai lelaki yang mampu setia bila muncul orang ketiga, apatah lagi bila yang hadir itu kononnya bekas kekasihnya dulu.
Mulalah diimbas balik zaman bercinta dulu-dulu walau hakikatnya sudah mempunyai zuriat. Sekelip mata pengorbanan isteri dilupakan dan perasaannya diketepikan sampai remuk redam.
Sebelum hubungan pergi lebih jauh, cuba hadam perkongsian saudara Firdaus Shakirin ini sejenak.
“Apa yang kita suka, belum tentu terbaik untuk kita..”
Bila dah berumah tangga ni, kadang-kadang Allah nak uji kesetiaan kita, maka Dia duga perasaan kita dengan hadirnya orang ketiga dalam hubungan kita.
Tak ramai yang mampu lepas dari ujian kesetiaan ini, jadi dilayani orang ketiga lebih dari yang pertama. Maka kita dah gagal dengan ujian ini, kita dah tak setia pada yang pertama.
Jika kita memilih untuk setia, Allah permudahkan lagi hidup kita. Allah bagi ganjarannya dan pahala sebab kita jaga hubungan kita, kita jaga ikhtilat kita, kita jaga ‘masjid’ kita.
Yang pertama itulah yang bersusah payah dengan kita, yang pertama itulah yang ada ketika kita dibawah, ketika kita tiada apa-apa dan ketika kita bukan siapa-siapa. Yang pertama itulah yang dahulunya sumber kekuatan kita tapi bila kita dah nampak yang ketiga, maka yang pertama dah menjadi sejarah.
Apa dibuatnya semua serba tak kena, sengaja diungkit-ungkit kesalahannya, disebut-sebut kekurangannya. Pengorbanannya jadi sia-sia.
Sedangkan dalam kita tak sedar, yang sebenarnya kita dah tewas dan gagal dalam ujian-Nya, kita leka, kita alpa. Kita tewas dengan nafsu kita sendiri, kita gagal mengawal hati kita sendiri.
Itu baru satu, banyak dan pelbagai lagi ujian yang bakal kita tempuhi, kalau kita tak mampu nak setia pada yang satu, dua, tiga, empat pun masih tidak akan cukup untuk kita.
Hargai apa yang kita dah ada, sebelum ianya tiada.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kehidupan wanita bernama Rosnah bt Nordin berubah seratus peratus sebaik tragedi kemalangan meratus nyawa suaminya berlaku kira-kira lapan tahun lalu.
Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan bersendirian tanpa suami membesarkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa.
Namun takdir Tuhan siapa yang mampu menghalang. Rosnah hanya mampu memanjatkan doa pada Ilahi agar memudahkan kehidupannya sebaik bergelar ibu tunggal. Kini ibu kepada empat orang cahayamata lelaki ini bahagia semakin redha dengan apa yang telah berlaku.
Masih kekal dalam ingatan Rosnah saat-saat suami menghembuskan nafas di hadapan matanya. Kelihatan air bergenang pada matanya ketika mengingati kembali saat-saat tersebut.
“ Kemalangan itu berlaku pada bulan Ramadan 2011. Suami saya seorang pemandu bas pelancong. Hari itu dia mahu membawa saya melihat bas yang dia bawa. Suami akan bawa saya ke mana-mana sahaja pada hari dia cuti.
Habis tengok bas, kami balik. Dalam kereta suami dan saya bersembang. Cadangnya keesokan hari selepas bersahur kami mahu balik ke kampung. Sedang kami bersembang itu secara tiba-tiba kereta yang dipandu suami terkeluar dari laluan jalan.
Suami mahu masuk ke laluan jalan semula. Tetapi lain yang berlaku. Kereta kami terbabas. Mungkin suami tertekan minyak menyebabkan kereta tidak dapat dikawal dan akhirnya kereta terlanggar tiang pembahagi jalan.
Akibat kemalangan saya mengalami kecederaan teruk. Tangan kanan seperti tercabut. Manakala peha dan leher tidak boleh bergerak. Kalau melihatkan kecederaan teruk itu, seperti saya yang akan meninggal dunia. Suami pula luarannya tidak ada apa-apa. Dia mengalami kecederaan dalaman.
Sebaik dikeluarkan dari kereta oleh orang yang berada di tempat kejadian, saya dibaringkan berdekatan dengan suami. Kami tidak dapat melihat satu sama lain tetapi saya mendengar suara suami. Dia tanya bagaimana keadaan saya. Dia juga minta air untuk diminum. Saya juga mendengar dia bercakap seorang diri bagaimana dengan anak-anak kalau dia mati.
Tidak lama kemudian, saya dan suami dibawa ke hospital. Kecederaan suami rupanya agak parah. Melihatkan keadaan suami itu, doktor telah membawa saya yang ketika itu memang teruk kecederaan yang dialami untuk bertemu dengan suami. Sempat lagi saya bertemu suami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”
Betapa sedihnya Rosnah apabila suami tersayang pergi meninggalkannya. Hatinya semakin pedih memikirkan nasib diri dan anak-anak kerana mereka telah kehilangan ketua keluarga pencari rezeki utama.
“ Sewaktu suami hidup saya tidak bekerja. Anak sulung saya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar tetapi saya tidak benarkan. Saya mahu semua anak-anak saya meneruskan pelajaran. Biarlah saya sahaja mencari kerja untuk menyara mereka.”
Rosnah dan anak-anak tinggal di Bandar Tun Razak selepas kematian suami. Mereka tinggal di rumah sewa yang diduduki bersama suami ketika arwah masih hidup. Tanpa suami, kini anak-anak menjadi penguat semangat buat Rosnah untuk meneruskan kehidupan.
“ Selepas saya keluar hospital, saya cari kerja. Nasib baik ada kawan yang baik hati membenarkan saya menjaga gerai nasi lemak miliknya. Saya ingat lagi saya bekerja dalam keadaan tangan yang ‘tergantung’. Walau sudah ada kerja hati saya tetap tidak tenang kerana perlu memikirkan bagaimana mahu mencari rumah baru kerana tuan rumah yang menyewakan rumahnya kepada kami mahu mengambil semula rumahnya.
Ke hulu hilir saya memohon rumah DBKL. Akhirnya berkat doa yang tidak putus-putus pada Allah, saya mendapat sebuah rumah di PPR Kg Muhibbah, KL. Bersyukur saya kerana selesai masalah besar dalam hidup saya ketika itu.”
Berpindah ke rumah baru menyebabkan Rosnah perlu mencari kerja baru. Rosnah mengambil keputusan menjadi pengasuh menjaga anak jiran di rumahnya kerana dia memang suka kanak-kanak.
“ Mula-mula saya menjaga tiga orang budak. Selepas itu bertambah lagi seorang. Lama juga saya jadi pengasuh. Namun tanpa sebarang sebab, ibu mereka telah mengambil mereka semula. Hati saya jadi tidak senang kerana punca pendapatan sudah tidak ada.
Namun kuasa doa itu amat besar. Tidak sampai dua minggu tanpa sebarang kerja, tiba-tiba cikgu Tadika Kemas di kawasan perumahan saya menelefon. Dia menawarkan kerja sebagai pembantu cikgu Tadika kerana dia mahu membuka kelas Tadika baru.
Saya terima tawaran tersebut. Bermula dari situlah saya jadi Pembantu Cikgu Tadika. Walaupun pendapatan di Tadika tidak banyak seperti jadi pengasuh namun saya bersyukur. Saya seronok kerja di Tadika kerana jiwa saya dekat dengan budak-budak.”
Diam tidak diam sudah 7 tahun Rosnah bekerja sebagai Pembantu Cikgu Tadika di PPR Kg Muhibbah.
Bergelar ibu tunggal satu cabaran hebat buat Rosnah. Dia sentiasa berhadapan dengan pandangan serong dan negatif masyarakat sekeliling. Apa sahaja perkara yang dibuatnya sudah pasti ada yang mengeji.
Namun Rosnah cekalkan hati dan sentiasa tabah dalam menghadapi segala cabaran. Bagi memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan positif, Rosnah sentiasa cuba aktif dalam aktiviti di blok tempat tinggalnya dan juga di surau. Rosnah juga aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras.
“ Saya berterima kasih kepada Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak Puan Nani Zakaria yang sentiasa mengadakan aktviti bermanfaat buat ahli-ahli persatuan. Saya seronok menyertai persatuan kerana mendapat kawan-kawan baru.”
Akhir kata Rosnah sempat menitip nasihat kepada wanita bergelar ibu tunggal lain agar kuat menghadapi kehidupan mendatang.
“ Jadi ibu tunggal segala-galanya kita kena buat. Hendak tidak hendak kita perlu berhadapan dengan setiap cabaran yang berada di hadapan mata. Jaga anak dengan baik kerana anak adalah harta yang ditinggalkan suami.
Saya sendiri rasa bersyukur kerana sejak ditinggalkan arwah suami, saya mampu membesar dan memberi pelajaran pada 4 orang anak yang kini 3 telah pun berjaya. Namun masih ada debaran dan kerisauan menunggu yang bongsu yang kini sedang belajar dalam tingkatan 6. Apa pun saya sentiasa ingat yang baik, fikir yang baik, minta yang baik, doa yang baik. Allah akan bagi yang terbaik. InsyaAllah,”akhirinya.
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hari ini tular keputusan dari Mahkamah Tinggi tentang Datin Seri Rosmah Mansor dapat penangguhan pelaksanaan bersyarat bagi pembayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan.