Suami isteri 30-an ini sedang berkonflik, tak ada persefahaman, saling menyalahkan. Hingga tak nampak baiknya pasangan.
Inilah yang berlaku ketika pasangan muda ini bertemu Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie.
Dan inilah nasihat Puan Suzana buat suami isteri yang sedang berdepan konflik rumahtangga. Moga yang baik-baik kembali dalam rumah tangga kalian.
Suami Isteri 30-an, Carilah Kesilapan Bukan Siapa Yang Salah
Dalam satu sesi temu janji, saya bersemuka dengan sepasang suami isteri berusia awal 30-an. Tika saya tanyakan; apakah yang boleh saya bantu?
Bagaikan bertih jagung; kedua-duanya mula meluahkan isi hati masing-masing.
Mereka boleh bertengkar dan saling tuduh menuduh di hadapan saya, menyebabkan saya perlu hentikan sementara sesi luahan tersebut.
Saya serahkan sekeping kertas bersama sebatang pen kepada mereka berdua. Saya minta; dalam tempoh 10 minit, senaraikan kebaikan pasangan masing-masing.
Menunggu 10 minit; tiada satu pun kebaikan disenaraikan oleh kedua-duanya.
Saya berikan masa yang sama; senaraikan pula keburukan atau kelemahan pasangan pula.
Tak sampai lima minit, hampir penuh satu kertas A4 yang saya serahkan.
Realiti sikap kebanyakan suami isteri yang cenderung mencari salah dan silap pasangan hingga mengabaikan malah menafikan terus kebaikan yang ada dalam diri pasangan.
Terus terang, konflik merupakan sesuatu yang biasa dalam sesebuah rumah tangga. Namun, konflik yang biasa ini akan jadi melampau dan luar biasa jika tidak ditangani sebaiknya.
Ads
8 Cara Untuk Redakan Rasa Tak Puas Hati Pada Pasangan
1. Cari Kesilapan Yang Berlaku
Perkara paling penting ialah mencari kesilapan yang berlaku dan berusaha menyelesaikannya bersama-sama. Bukannya mencari siapa yang salah.
Kemudian terus menerus menyalahkan individu tersebut.
2. Sedar Manusia Tak Sempurna
Perlu diingat, manusia sama ada diri sendiri atau pasangan, diciptakan dengan sifat semula jadi sebagai makhluk yang tidak sempurna.
Pasti pernah tersilap malah melakukan kesilapan. Lantas; bagi mewujudkan kebahagiaan berterusan di dalam perkahwinan, sikap yang tidak mahu bertanggungjawab perlu dibuang terus.
3. Kalau Salah, Mengakulah..
Jika bersalah, akui kesalahan tersebut. Apabila kedua-dua belah pihak mahu mengaku bahawa masing-masing turut bersalah sehingga tercetusnya konflik itu, barulah konflik ada harapan diselesaikan.
Sekiranya anda dapati pasangan anda enggan mengaku bertanggungjawab, ambilah inisiatif memulakannya.
4. Jangan Menjawab
Ingat! Walaupun anda dipersalahkan, jangan anda jawab dengan menyalahkan pasangan anda juga. Sebaiknya anda mendiamkan diri.
Ya, anda mungkin mengalah tetapi bukan bererti anda bersalah atau kalah. Ini memang tindakan yang susah, tetapi hanya anda yang boleh mengawal mulut anda sendiri.
Ads
Apabila anda menunjukkan sikap positif tersebut, ia boleh menghasilkan dua kesan baik.
√ Pertama, ia dapat mencegah pertengkaran daripada bertambah buruk.
√ Kedua, sikap positif itu mungkin ditiru pihak satu lagi.
5. Kalau Pasangan Susah Sangat Nak Mengaku.. Jangan Beri Tekanan
Jika pasangan masih enggan akui kesilapan, berhenti!! Jangan teruskan perbincangan keras itu. Pasangan anda mungkin tertekan atau masih belum percaya bahawa dia tersalah.
Berikan dia masa untuk berfikir tentang kesilapannya. Anda boleh tinggalkan dia seketika agar dia boleh bertenang dan memikirkan kesilapan yang berlaku.
Bila keadaan kembali reda, tapi pastikan bukan dalam tempoh masa segera, ambil masa minima tiga hari untuk berdoa agar pasangan anda lembut hati dan bersedia untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan kesilapan yang telah dilakukannya-
6. Selepas Beri Masa, Luahkan Dan Jangan Cari Silap Pasangan
Kemukakan semula persoalan yang berlaku dan luahkan; anda bukan mencari silapnya tetapi ingin sama-sama menyelesaikan masalah yang berlalu yang berpunca daripada silapnya itu.
7. Jangan Cari Perbezaan Suami Mahupun Isteri
Paling penting juga, berhenti bercakap mengenai perbezaan. Konflik memang datang daripada perbezaan.
Ads
Tetapi perbuatan suka membesar-besarkan perbezaan, akan mencetuskan pertentangan pendapat, perbalahan dan konflik yang lebih besar.
Sikap suka memberi tumpuan kepada perbezaan datang daripada sikap yang suka berfikir secara negatif dan kritis.
Cara berfikir yang begitu, sudah tentu menghasilkan sikap suka mencari kesalahan, kekurangan, kelemahan dan cacat-cela orang lain.
Sikap sebegini tidakselamat untuk perkahwinan anda. Ingat! Walaupun suami isteri mempunyai perbezaan, antara kalian juga terdapat banyak persamaan dan sewajarnya, anda perlu mencari persamaan atau keserasian.
8. Mohon Maaf dan Berilah Kemaafan
Usaha utama yang perlu dilakukan bagi kembali mewujudkan bahagia rumah tangga ialah bermaafan sama ada memohon maaf atau memberi maaf.
Saya selalu menerima aduan tentang keengganan suami untuk memohon maaf walaupun realitinya suami yang bersalah.
Buat para isteri, jangan tertekan dengan sikap fitrah lelaki itu. Bersabar dan berdoa agar suami lembut hati dan sanggup mengakui kesilapan tersebut satu hari nanti.
Lagipun, antara memohon maaf dan tidak mengulangi kesilapan yang sama, saya yakin setiap isteri lebih cenderung untuk terima suami yang tidak mengulangi silap yang sama.
Tak bermakna maaf yang diucap andai suami masih berkelakuan yang serupa.
Destinasi bahagia di tangan anda untuk anda tuju bersama pasangan dalam keadaan seia, sekata, sehati dan sejiwa… yang hanya akan wujud bila masing-masing bersedia terima kelemahan pasangan dan berusaha menaiktarafkan kelemahan tersebut menjadi kelebihan!
Penulis : Suzana Ghazali juga merupakan kolumnis ruangan Resepi Hidup, majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ayah, jarang nak luahkan rasa sayang pada anak-anaknya. Sampaikan ibu jadi penghubung dan akan beritahu apa yang ayah pesan dan tegur. Begitulah ayah, segalanya yang dia lakukan demi untuk isteri dan anak-anak.
Kalau nak dibandingkan dengan ibu, ayah berbeza dan kalau nak tunjuk sayang pada anak-anak pun dengan cara tingkah laku dan perbuatan. Namun, kita tahu jauh di sudut hati, kasih sayangnya tak pernah pudar.
Sebab itulah, ibu jadi penghubung antara ayah dengan anak. Begitu juga sebaliknya. Kalau mak marah, petik nama ayah terus anak gerun. Ayah pula cukuplah berdehem saja dah buat anak diam.
Gambaran seorang ayah yang jarang meminta atau tagih simpati pada anak-anak. Dia ada masalah sekalipun, hanya diam dan jarang luahkan. Kalau ada sekalipun untuk dia luahkan, ibulah jadi penghubungnya.
Ini adalah mesej emak aku sebelum Hari Raya Aidiladha tempoh hari.
Benarlah kata orang, ayah ini sukar untuk menangis, tapi jauh disudut hatinya dia terpaksa menahan sebaknya, sedihnya.
Kedua, orang lelaki ni memang sukar nak luahkan sayangnya. Tetapi dia akan luahkan sayangnya melalui tingkah lakunya atau perbuatannya. Begitulah lelaki itu mengambarkan sayangnya kepada orang sekeliling yang dia sayangi contoh isteri dan anak anak.
Ketiga, lelaki ini, walau banyak mana kesusahan yang dia alami, kesulitan yang sedang dia hadapi, tetapi dia tidak sesekali untuk mudah berbicara. Kerana bagi mereka, biarlah kesusahan itu, kesulitan itu, biarlah mereka sahaja yang hadapi dan rasainya.
Begitulah ayah kita. Mereka gembira dengan kejayaan kita, kekayaan kita dan apa jua yang kita kecapi. Tapi amat jarang mereka minta dan menagih simpati dari kita.
Ibu ‘Tukang’ Cerita Jerit Perit Ayah
Selagi mana kudrat yang mereka ada, selagi itu ayah kita akan terus menjalankan kehidupannya tanpa dipaksa. Ibulah yang menjadi penghubung antara ayah dan anak. Ibulah yang selalu mencerita keperitan ayah ketika kita berjauhan.
Ada ketika aku sungguh berdosa. Tidak aku terfikir melihat apakah kain pelikat yang ayah pakai setiap hari. Adakah bertukar atau itu sahaja diulang ulanginya.
Sedangkan waktu aku kecil setiba raya sahaja pasti baju baru dibeli tanpa dirayu dan dipinta.
Abah, maafkan abang sebab tidak mampu menjadi yang terbaik
Walaupun abah garang, abah selalu cakap lepas, tapi abah adalah abah yang
terbaik
Aku tahu suatu hari nanti jika abah dah tiada, pasti sunyi dunia aku ini.
Mingguan Wanita : Sebaknya. Isterilah tempat dia luahkan perasaan dan boleh lihat ara dia tunjukkan kasih sayang pada anak-anak.
Geramnya mak ayah bila anak tak duduk diam. Ada saja benda yang nak dibuatnya. Mak ayah marah, sekejap saja dia diam. Lepas tu buat balik.
Ini belum lagi anak-anak bergabung sesama mereka. Boleh huru hara rumah. Lepas tu, mulalah dengar salah seorang daripada mereka menangis. Adalah perkara yang tak puas hati.
Biarlah anak tak duduk diam dan melasak sana sini. Itu tandanya anak bijak dan sel-sel otak mereka berhubung. Seperti apa yang dikongsikan oleh Mohd Fhais Salim ini
Tak boleh diam walau sekejap, ada je kaki nak merayap, ada saja tangan nak mengisai.
Itulah ciri-ciri budak bijak!
Ingat senang ke nak sentiasa aktif & sentiasa ada je benda yang nak di buat.
Semua ini perlukan otak yang aktif.
Kalau otak pasif badan anak tak bergerak, kaki dia tak nak merayap dan tangan dia memang malas nak mengisai.
Bonus, makin banyak kita bagi anak bergerak makin bijak dia akan jadi. Serius!
a) Setiap kali badan dia bergerak, banyak sel otak baru akan terhasil.
b) Semakin banyak dia cuba benda baru, semakin banyak sel sel otak berhubung.
c) Bahkan jika bahagian badan kanan banyak bergerak, makin cekap otak kiri dia jadi.
d) Jika bahagian badan kiri yang banyak bergerak, otak kanan pula makin cekap.
e) Mana-mana badan gerak pun, tetap otak juga dapat banyak manfaat.
Mana tak bijaknya anak kita tu.
Makin melasak, makin panjang akal jadinya.
Kalau dinding tak kena conteng, sofa tak kena lompat atau mainan tak bersepah, tak cukup bijak lagi la tu. Bagi dia melasak lebih lagi ye.
Wallahu A’lam.
Mingguan Wanita : Betul tu. Bagilah dia melasak, asalkan tidak melukakan badan sudah!
Pergi ke pasar beli makanan basah, bukan takat beli.. siang sekali dan letak elok-elok bahan makanan basah tu dalam bekas. Simpan kemas dalam peti ais. Nanti bila isteri nak masak, tinggal rendam bagi cair. Bahagianya hati.. nak memasak pun tenang nanti tak kalut.
Sebab nak isteri jadi mudah beginilah lelaki ini, Ariff Ismail kongsi tip untuk mudahkan para suami bantu isteri mereka. Taklah nanti semua ilmu dapur tu isteri sorang je yang tahu.
Alamak Kena Pergi Pasar
“Abang tolong sayang p market sat, tolong beli ikan temenung sekilo.”
Naaa mimpi ngeri bermula, weh boleh termenung keluar jendela. Ikan temenung tu ikan apa? Haa baru ada akal nak google jenis ikan.
Jangan sebab kita ni lelaki brother kita ambik tahu pasal kereta, motor, pc dan ps4 je. Kena ambil tahu bab bab nak beli ikan, sotong, udang, ketam dan lain lain lagi.
Hari ni dah alang alang temujanji tak jadi, dah sampai pulak area Pasir Penambang. Saya lajak kan sikit perjalanan ke pasar ikan segar. Nak cari hasil laut segar.
Meh saya kongsikan tips nak beli lauk seafood. Macamna nak tahu fresh ke idok ikan itu dan ikan apa yang nak beli.
Tip Macam Mana Nak Tahu Ikan Dibeli Segar Ke Tak
1. Ambil Tahu Jenis Ikan & Masakan
Ikan ni ada banyak jenis bro, macam manusia gak ada banyak jenis. Ada ikan bersisik, ada ikan kulit licin. Ikan ada misai dan ikan yang leper pun ada.
Tanya cik bini nak masak apa, baru senang nak p beli ikan. Kalau dah dia kata nak buat asam pedas ikan jenahak dan pari adalah pilihan terbaik.
Nak masak lemak cili api, boleh cari ikan sembilang, mayong atau pon ikan parang. Bini nak buat laksa, kena la beli ikan sardin atau ikan termenung. Bukan ikan sardin dalam tin tau, ikan sardin segar.
Dah alang alang p pasar, jangan lah bini suruh beli ikan tu, beli ikan semata. Kita buat budget untuk lauk seminggu. Boleh la beli sotong, udang dan ketam sekali.
2. Pilih Ikan Segar
Nak pilih ikan segar tak susah pon abang abang sekalian. Benda pertama yang kita kena tengok, mata ikan tersebut, tapi ada je ikan yang dah pakai kanta lekap untuk nampak lawa lagi.
Oleh itu, kita pegang badan ikan yang nak beli tu, tengok ikan tu badan masih keras atau dah lembik. Kalau masih keras maknanya segar la tu. Keras yang saya maksudkan struktur ikan tu tau, bukan sebab keras kena ais.
Boleh juga tengok insang ikan tersebut, haa jadi persoalan macam mana nak tengok insang ikan pari. Ikan pari ni lagi senang tengok lendir pada badan dia, if ada lendir makna baru la ikan pari tu.
Atau kita boleh angkat yang dah potong tu cium, bukan cium kat badan pari macam kita cium bini. Kita ambik bau, kalau ada bau macam hancing tu tak yah la beli ye.
3. Sotong & Udang Segar Pula Ikut Cara Ini
Macam mana nak tahu sotong dan udang tu segar. Ni lagi senang, kalau udang tu warna dah merah, janggut pon dah tanggal makna nya memang tak segar dah. Udang yang segar warna masih putih dan kepala dia tak tertanggal lagi.
Untuk “sutun” pulak, tengok kulit dan kepala sotong sotong tu. Kalau kulit dah tertanggal dan kepala sotong nampak lembik tu petanda dah tak segar. Sotong yang segar bentuk badan masih utuh ibarat model catwalk.
4. Jangan Beli Terlalu Banyak
Nak beli ikan dan lauk basah ni, kena pandai budget. Jangan beli stok sebulan, tu jadi beli segar jadi rasa peti ais gak la jawapan nya. Budget ikut size family kita.
Duduk pun bertiga jangan lah beli ikan sampai 3 kg, sotong 2 kg dan udang 4 kg. Kita beli untuk stok masak seminggu. Supaya makanan laut yang kita beli kekal segar.
5. Cara simpan
Bila dah beli stok untuk seminggu pastikan simpan dengan rapi. Ikut budget sekali masak. Pek kan ikan ikut jumlah yang nak masak dalam bekas bekas kecil. Bersihkan dulu ikan sebelum kita simpan.
Sama juga dengan sotong dan udang, bungkus dan pastikan dah bersihkan. Masa bungkus tu masuk kan air dan letak sedikit gula dan garam untuk pastikan sotong dan udang kekal segar.
Bila kita dah bersih kan, mudah lah cik bini nak keluarkan dan memasak. Bila dah mudahkan keje bini, dia pon happy la nak masak.
Semoga sedikit perkongsian ni dapat memberi manfaat untuk semua. Nanti saya share kan tips sediakan barang masak untuk mudahkan isteri masak dengan cepat.
Air mata terakhir Zara Qairina, bersumpah & nafi mencuri sebelum temui ajal. Inkues kematian pelajar, Zara Qairina membuka kisah memilukan apabila arwah dilaporkan menitiskan...