Tahun 2019 bakal ke penghujung. Daripada pemerhatian saya, kes melibatkan orang ketiga berupa kekasih atau isteri baru suami tetap berada di kedudukan yang paling tinggi. Ada juga berpunca daripada sikap isteri yang manjakan suami hingga suami ‘lupa’ tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Punca
Alasan biasa sebagai punca ialah suami kurang dapat layanan isteri, tak memahami dan macam-macam lagi. Secara konklusinya jawapan-jawapan tersebut betul tetapi kurang tepat.
Jawapan yang paling tepat dan menjadi punca utama kepada wujudnya cinta baru di hati suami terhadap wanita lain ialah sikap isteri sendiri yang terlalu memanjakan si suami.
Jangan Langgar Dua Syarat
Saya bukan menghalang para isteri memanjakan suami tetapi biarlah manja dan kasih sayang yang bertempat. Boleh manjakan suami dengan kata-kata rindu, belaian sayang, pujukan manja, layanan mesra dan pelbagai tindakan lain selagi manja tersebut tidak melanggar dua syarat utama iaitu; pertama; tidak mengambil alih peranan dan tanggungjawab suami. Kedua; tidak mencabuli hak anda sebagai seorang isteri.
Islam tentukan seorang suami wajib dihormati tanpa pengecualian disebabkan si suami diberikan dua peranan yang besar terhadap isteri dan anak-anak iaitu menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak serta mendidik dan membimbing anak-anak ke jalan yang Allah redai.
Ads
Malangnya, dalam dunia serba moden dan maju kini, seakan-akan tanggungjawab ini tidak lagi menjadi perkara perlu dilaksanakan.
Bahagi Segala Perbelanjaan
Ada pasangan suami isteri yang mengamalkan konsep bahagi sama rata atau kongsi dua – sewa rumah bahagia dua, bil air bahagi dua, bil elektrik bahagi dua, dah macam teman serumah tapi tidur sekatil. Malah ada kes, nak beli susu dan lampin anak pun kosnya dibahagi sama rata.
Bukan tak boleh berkongsi tetapi anda sengaja membiarkan suami anda gagal melaksanakan tanggungjawabnya yang patut yang Allah SWT tentukan kepadanya sebagai seorang suami dan seorang bapa jika mempunyai anak-anak.
Isteri Lebih Berwang
Memang diakui, ramai isteri hari ni yang bekerja malah ada kes, pendapatan isteri lebih tinggi daripada pendapatan suami. Tak ada salahnya jika isteri memilih suami yang kurang pangkat atau kurang pendapatan berbanding pangkat atau pendapatan anda.
Ads
Hanya pesan saya, pastikan anda benarkan suami menggunakan wang hasil pendapatannya terlebih dahulu untuk menampung segala perbelanjaan keluarga. Bila duitnya dah tak cukup, barulah gunakan duit anda pula.
Tanggung Suami
Paling malang bila makin ramai isteri yang membiayai segala keperluan rumah tangga sebab suami tak bekerja. Tahun ini sahaja ada dua kes yang benar-benar menaikkan darah saya, satu kes – suami tak kerja langsung sepanjang 22 tahun perkahwinan dan terkini minggu lepas, suami tak bekerja langsung sepanjang 35 tahun perkahwinan.
Prinsip perkahwinan bukan hanya untuk membenarkan dua insan bernama lelaki dan wanita bersatu atas dasar cinta dan kasih sayang sebaliknya syariat juga tentukan perkahwinan adalah untuk kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri melaksanakan peranan dan tanggungjawab.
Terdapat tiga kategori tanggungjawab iaitu:
1- tanggungjawab tersendiri seorang suami yang menjadi hak isteri,
2- tanggungjawab tersendiri seorang isteri yang menjadi hak suami; dan
3- tanggungjawab bersama suami isteri yang menjadi hak anak atau anak-anak
Ads
Tanggungjawab
Tanggungjawab tersendiri seorang suami ialah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan dengan syarat berusaha peringkat maksima tanpa menganiayai diri sendiri, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri, bersikap romantik terhadap isteri, bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.
Tanggungjawab tersendiri seorang isteri pula ialah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormati suami sepanjang masa dan menyenangkan hati suami.
Bantu Boleh Tapi…
Sementara tanggungjawab bersama suami isteri ialah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga. Andai masing-masing berusaha melaksanakan segala tanggungjawab dinyatakan sebaiknya, akan ada pihak yang menerima hak dan kesannya akan wujud bahagia.
Saya merayu dan memohon kepada para isteri semua: jangan ambil alih peranan suami dalam perbelanjaan keperluan anda, anak-anak dan rumah tangga. Bantu tetapi tuntut semula jumlah yang anda bantu sebagai hutang yang perlu suami bayar apabila suami berkemampuan membayarnya semula. Bukan mengajar anda berkira tetapi saya hanya mohon agar anda berjaga-jaga. Percayalah! Bila suami terasa beratnya beban menjadi suami kepada seorang isteri, dia akan lebih menghargai anda, insya-Allah…
Artikel ini merupakan penulisan daripada Puan Suzana Ghazali, perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie. Berpengalaman lebih kurang 21 tahun dalam mengendalikan kes-kes rumah tangga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perasan tak, kalau mak-mak mula rasa stres atau moody, cara untuk dia melepaskan perasan itu adalah dengan marah-marah, ekspresi muka pun dah nampak lain. Cakap dengan tak nak lebih kurang sahaja. Kadang-kadang kesian melihat anak-anak yang tidak tahu apa-apa.
Bukan sahaja anak yang menjadi mangsa, rasanya satu keluarga terasa dengan keadaan itu. Moody ini tidak boleh dibuat main-main terutamanya kalau mak-mak dalam pantang. Boleh jadi meroyan nanti.
Bukan itu sahaja, kalau mak-mak mula tunjukkan emosi tak stabil ini, secara tak langung boleh berjangkit dengan anak-anak. Jangan main-main. Boleh huru hara rumah nanti.
Perkongsian daripada Noor Afidah Abu Bakar, pakar kaunseling keluarga turut menjelaskan perkara ini.
Anak Meragam
Selalunya waktu kita tidak ada ‘mood’ ataupun stres masa itu jugalah anak kecil kita akan mula meragam dan banyak songehnya.
Pernahkah anda mengalaminya?
Tahukah anda kenapa berlaku demikian?
Beberapa kajian (Goleman 1991, Hatfield et.al 2014) mendapati bahawa bukan virus (seperti Covid-19) sahaja yang boleh berjangkit, ‘mood’ dan emosi juga boleh berjangkit sesama manusia.
Malah ‘virus’ mood ini mengambil masa beberapa milisaat sahaja untuk berjangkit dari seorang individu kepada individu yang lain.
Ia berlaku apabila seorang individu secara TIDAK SEDAR meniru mimik muka atau ekspresi wajah individu lain yang ‘tidak ada mood’ atau stres.
Apabila kita merasa ‘down’ atau stres, ekspresi wajah kita tidak dapat disembunyikan. Anak yang melihat ekspresi wajah kita secara tidak sedar akan menirunya, maka berjangkitlah virus ‘mood’ kita kepada anak.
Begitu juga apabila kita tenang dan gembira, virus itu juga mudah berjangkit kepada anak.
Mungkin kuarantin diri seketika ketika kita tidak ada ‘mood’ atau stres dapat mengawal jangkitan virus ‘mood’ tersebut.
MW: Memang betul, kalau mood tak stabil, mulalah muka nampak kelat. Buat kerja rumah pun dalam keterpaksaan. Kadang-kadang anak boleh perasan dengan tengok wajah kita.
Sebenarnya tak susah pun nak buat playdoh sendiri di rumah untuk permainan anak-anak. Doh ini pun dihasilkan dengan 5 bahan saja. Lebih jimat dan selamat. Selamat sebab ada ciri-ciri selamat dekat doh tu sendiri.
Perkongsian dari Puan Ungku Hazwani, Founder Headband Puteri & Megat ini akan terangkan sebab-sebabnya.
“Tak tau nak buat aktiviti apa bersama anak-anak time cuti panjang ni? Jom kita buat Homemade Playdough”
“Selain isi masa lapang, ia juga menajamkan skil motor anak-amal. Start dari umur setahun dah boleh main.”
“Jangan risau kalau anak termakan, diaorang akan keluarkan balik sebab masin.”
Bahan-bahan Homemade Playdoh
2 cawan tepung gandum
1 cawan air panas
1 cawan garam halus
2 sudu minyak masak
2-3 titik pewarna makanan
Cara-cara Buat Homemade Playdoh
1. Bancuh air panas, garam & pewarna makanan sehingga sebati.
2. Masukkan minyak masak.
3. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Gaul tepung sehingga jadi doh yang cantik. Kalau lembik, tambahkan sikit lagi tepung.
4. Ulang langkah yang sama untuk warna yang lain pula.
5. Tadaa.. dah siap Homemade Playdough by Mummy Wanie.
Indahnya percintaan yang diakhiri dengan perkahwinan kerana pasangan idaman telah menjadi pelengkap kehidupan dengan ikatan yang sah. Macam sekarang ini, ramai yang berkahwin kerana suka sama suka dan bukannya paksa rela.
Tetapi, persoalannya adakah dengan adanya cinta, maka barulah lengkap sebuah perkahwinan? Adakah sebuah perkahwinan itu tidak bahagia apabila tiada rasa cinta di hati? Inilah yang dikongsikan oleh Nor Hanita Mohd Shariff, Pengasas TWINsTALK Training & Counselling Services, Merangkap Ketua Perunding Psikologi & Kaunseling TWINsTALK Studio tentang hal ini.
Dari mana pula datangnya cinta? Cinta itu pada mulanya datang dari satu perasaan yang positif iaitu suka kemudian timbul perasaan kasih sayang yang mendalam diikuti dengan perasaan rindu dan sebagainya lalu perasaan positif tersebut disimpulkansebagai cinta.
Perkahwinan sebenarnya….
Satu ikatan antara seorang lelaki yang bergelar suami dengan seorang wanita yang bergelar isteri di mana ikatan yang sah tersebut menyempurnakan kehidupan manusia. Secara fitrahnya, lelaki memerlukan kasih sayang wanita, begitu juga wanita, sangat memerlukan kasih sayang seorang lelaki.
Apabila perkahwinan menjadi sangat indah, aura yang terpancar ialah energi kebahagiaan yang mendorong suami dan isteri menjadi insan yang sihat dan hebat untuk menjalani kehidupan yang sangat mencabar. Walaupun perlu meredah pelbagai onak dan duri, apabila aura kebahagiaan itu sangat kuat, maka segala dugaan dapat diatasi atau diuruskan dengan baik kerana tenaga positif yang wujud, memberi kekuatan kepada pasangan untuk berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran yang dihadapi.
Cabaran Rumah Tangga
Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari segala bentuk ujian kehidupan. Terdapat pelbagai bentuk ujian perkahwinan yang ditempuh iaitu seperti isteri sukar hamil, suami mati pucuk, keluarga mertua mengongkong kehidupan, kewangan, masalah di tempat kerja yang terbawa-bawa ke rumah, kesihatan terganggu, gangguan pihak ketiga, panas baran, isteri tidak gemar memasak, suami tidak memberi nafkah dan lain-lain lagi.
Faktor-faktor ini, jika tidak diuruskan dengan baik, maka ia akan menjejaskan rasa cinta iaitu aura kebahagiaan yang mengundang aliran tenaga negatif dalam perhubungan suami isteri dan anak-anak.
Berikut adalah isu-isu yang sering dihubungkaitkan atau mempengaruhi ketidakharmonian rumah tangga:
a) Emosi
Isteri atau suami yang kecewa dengan pasangan masing-masing akan berasa tawar hati, kesal, benci, geram, dendam atau merana sehingga boleh mencetus masalah tekanan yang melampau lantas mempengaruhi tahap kesihatan seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung, penurunan atau pertambahan berat badan yang drastik, kanser dan migrain yang serius.
b) Kepercayaan
Apabila berlakunya pergolakan dalam rumah tangga terutamanya yang melibatkan isu pihak ketiga (suami atau isteri ada hubungan dengan orang lain) tonggak kepada rapuhnya masjid yang dibina ialah faktor kepercayaan kepada pasangan. Apabila kepercayaan hilang, ia boleh mengganggu hubungan intim suami isteri. Dan pastinya secara langsung akan mempengaruhi kasih sayang yang dahulunya sangat subur.
c) Maruah Diri
Perkahwinan yang diuji, selalunya akan menyebabkan tekanan kerana suami atau isteri berasa malu untuk berkongsi cerita dengan individu lain kerana ia melibatkan maruah diri serta keluarga. Justeru itu, pasangan yang menjadi ‘mangsa keadaan’, akan memberi kesan terhadap keceriaan diri mereka.
d) Ego
Apabila berhadapan dengan konflik atau masalah rumah tangga, yang menjadi halangan ialah faktor ‘ego’ yang ada pada diri suami atau isteri yang mula mempertahankan diri dengan memberi alasan masing-masing (helah belah diri).
e) Masa Depan Anak
Kebiasaannya, apabila berlaku konflik atau masalah dalam rumah tangga, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Apabila persekitaran anak-anak mempamerkan tingkah laku konflik dalam rumah tangga, ia akan menjejaskan emosi anak-anak dan berpotensi mereka berkelakuan sepertimana mereka melihat apa yang berlaku di depan mata mereka pada masa akan datang.
Urus Masalah Rumah Tangga…
a)Pengurusan Emosi
Buang perasaan yang boleh mengundang kehancuran rumah tangga. Semai dan suburlah emosi yang boleh memperbaiki hubungan. Pengurusan emosi memerlukan masa dan perlu bersungguh-sungguh bagi memperbaiki keadaan ke arah yang lebih positif. Elakkan diri dari berbincang perkara yang boleh mencetus kemarahan atau rasa tidak puas hati.
b) Komunikasi
Komunikasi secara bersemuka sangat penting kerana ia mampu meningkatkan semula perasaan kasih sayang dan mampu mendekatkan jarak emosi yang wujud. Sentiasa berhubung untuk semarakkan rasa cinta seperti telefon, menghantar mesej, email dan sebagainya.
c) Bina Semula Kepercayaan
Jangan sorok apa-apa maklumat dengan isteri atau suami. Bersikap terbuka dan berterus terang dalam apa jua keadaan kerana hakikatnya hendak membina semula kepercayaan adalah amat sukar.
d) Luangkan Masa Bersama
Walaupun pasangan sibuk dengan tugas-tugas seharian, tetapi cubalah luangkan dan banyakkan sentuhan seperti pelukan, ciuman, usapan kepala, mengurut dan lain-lain.
e) Wujudkan Aktiviti Bersama
Aktiviti bersama amat penting bagi ‘mencipta memori’. Wujudkan aktiviti yang boleh membuatkan sesebuah perkahwinan yang sudah pudar, kembali ceria dan bahagia seperti sembahyang berjemaah bersama, mengaji bersama, bersukan, menonton wayang, memasak, membeli keperluan dapur, berkebun dan melancong.
f) Keinsafan dan Kemaafan
Muhasabah diri. Dengan adanya keinsafan, maka akan ada pula kemaafan. Faktor ini berkait rapat dengan faktor ego. Dengan adanya kemaafan, ego diri direndahkan agar mahligai yang dibina dapat diselamatkan dan diwarnai semula dengan pelbagai memori indah.
g) Hargai Pasangan
Tidak ada manusia yang sempurna. Jadi, hargailah pasangan masing-masing walaupun ada kalanya kita rasa tidak selesa dengan perlakuan pasangan. Tegur menegur secara berhemah dan bimbing antara satu sama lain adalah cara terbaik dalam mengukuhkan sebuah perkahwinan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.