
Biarpun cuma seorang tukang urut, apabila dia sentiasa menjaga solatnya, kejujuran menjadi sandaran hidup, cintanya pada isteri malah hormat dan kasih pada mak ayah yang tidak berbelah bagi.. Allah memberi banyak kebaikan dan keberkatan hidup untuknya.
Ustaz Ebit Lew berkongsi di laman facebook miliknya, bagaimana selama ini beliau berusaha mencari tukang urut untuk meredakan lenguh badan dan sakit-sakit yang dialami.
Pencariannya juga bukan mudah. Kalau pergi mengurut pun bila sampai saja di rumah, sakit-sakit itu datang kembali. Maklum sajalah ketika ini, ustaz begitu tekad dan tak jemu turun padang berdakwah mendekati remaja-remaja yang dipinggirkan masyarakat.
Baik jam 1 malam mahupun 3 pagi, ustaz Ebit masih lagi di sisi anak-anak remaja yang tersilap langkah, namun masih Allah beri peluang pada mereka untuk berubah.
Sedikit suntikan keimanan ustaz berikan pada anak-anak ini. Dalam siri mendekati anak-anak remaja ini tak pernah ustaz lupa menuturkan kata-kata ‘Allah sayang’ dan ‘jaga solat’
Lembut Betul Dia Berbual Dengan Isterinya
Begitu jugalah dengan pemuda tukang urut dari UrutBarakah ini baik budi bahasanya. Itulah sebabnya ramai orang jauh-jauh datang berurut dengannya.
“Dari kecil dia belajar madrasah hafiz Al Quran. Saya terkesan tengok kejujuran, sifatnya jaga solat dan teramat menyayangi keluarga.
“Paling sebak saya tanya macam mana terer urut ni. Katanya, ayahnya sakit. Dia belajar sungguh-sungguh kerana nak urut ayahnya.
Ayahnya penceramah terkenal. Selalu menangis masa ceramah. Betullah bila khidmat ayah. Sifat dan akhlaknya ayahnya turun padanya..subhanallah..
“Dan beliau teramat menyayangi isteri. Saya terkesan tengok cara dia bercakap dengan isterinya dan anak-anaknya. Ya Allah ..lembut betul dia berbual dengan isterinya.
“Dengan ibunya….rezeki Allah tambahkan berkat sayang isteri. Sayang mak ayah. Dan jaga solat..”
Ustaz Ajarlah Saya Doa
Disebabkan terlalu ramai orang yang datang mencarinya di rumah, tukang urut ini terpaksa membuat appointment pada sesiapa yang mahu menggunakan khidmatnya.
“Ya Allah, syukur…nanti nak bawa ayah saya urut dengannya. Saya tanya baca apa masa urut. Lega rasa insyaAllah.”
“Takde apalah ustaz, saya tak baca apa-apa. Banyak lagi nak belajar. Ustaz ajarlah saya doa.” Memang merendah diri
“Ya Allah berjuta rahmat yang kau beri pada anak muda ini. Berilah sedikit pada diriku,” luah ustaz Ebit Lew
Dalam apa juga pekerjaan, sekiranya seseorang meletakkan pergantungan hidupnya yang tinggi kepada tuhan yang menciptakan dirinya, pasti akan ada kebaikan dan keberkatan serta rahmatNya.
Sumber/Foto : Facebook Ebit Lew
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tergamak Adik Ipar Panggil Saya ‘Betina Penghasut Ibu Mentua’, Sudahlah Duit Belajar Universitinya Pun Saya Jugalah Yang Tanggung

Aduhai.. sesak emosi bila baca luahan hati pembaca Mingguan Wanita ini. Bertengkar ipar duai akibat sikap adik-adik ipar yang tak menghormati dan menghargai pengorbanan kakak iparnya.
Bukan masa dan tenaga, duit ringgit kakak ipar pun dah laburkan demi adik ipar belajar sampai universiti. Tapi akhirnya apa yang jadi.. kakak ipar diperlekeh sampai rasa terhina.
Ikuti luahan hati pembaca ini yang dikongsikan dalam ruangan ‘Saranan’ dalam majalah Mingguan Wanita. Identiti wanita ini dirahsiakan demi menjaga nama baiknya dan keluarga terdekat.
Bahagia Cuma 10 Tahun Pertama
Usia saya kini 32 tahun dan telah melayari alam rumah tangga selama 10 tahun. Awal perkahwinan tak banyak mendatangkan masalah kerana saya duduk tanpa keluarga mentua dan juga keluarga saya.
Tetapi semua mulai berubah apabila saya mengikut suami pulang ke kampungnya dan menetap di sana. Segala episod baru bermula. Saya mengambil masa hampir setahun bagi menyesuaikan diri dengan keluarga mentua.
Mentua dan adik ipar telah saya anggap seperti ibu dan adik sendiri. Malangnya, itu hanya di pihak saya. Masalah banyak berpunca dari sikap adik-beradik ipar yang tak pernah menghargai dan menghormati saya.
Hampir enam tahun saya duduk bersama mentua dan pelbagai masalah telahpun timbul.
Suami saya lebih banyak mendiamkan diri. Dia tak mahu keadaan bertambah rumit. Atas dasar itu jugalah, saya pun lebih suka ambil langkah berdiam diri juga.
Ya.. sebagai manusia biasa akhirnya selama mana saya mampu bertahan. Saya tak dapat menjadi orang yang sentiasa sabar. Lagi-lagi ketika sikap adik-adik ipar saya semakin melampaui batas.
Kalau nak dikira pertengkaran dengan suami memang tak terhitung banyaknya. Segala keputusan selalu hmmm… ‘Biarlah nak buat macam mana kita menumpang dengan orang’, kata-kata itu sering saya tekankan pada diri saya sendiri.
Saya Berdiam, Adik Ipar Ambil Kesempatan
Sayangnya, sikap berdiam diri ini akhirnya membuatkan adik-beradik ipar bagaikan mengambil kesempatan. Bayangkan, walaupun saya bekerja, pulang keletihan.. semua tugas-tugas di rumah tetap saya juga yang kerjakan.
Suami saya bekerja sendiri. Kebanyakan duitnya banyak dilaburkan untuk adik-adiknya kerana masih belajar.
Saya pula tak berkira. Sanggup berkongsi duit gaji sekiranya duit tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan adiknya. Bila salah seorang adiknya tamat belajar di universiti dan bekerja mula bekerja, adik itu mula merasakan dirinya terlalu bagus.
Sikap itulah membuatkan dia berani berkurang ajar dengan saya. Seorang lagi adiknya berperangai tak senonoh dan melakukan perkara-perkara yang mengaibkan ibu bapa.
Mentua ada meminta saya campur tangan bagi menyelesaikan masalah yang ditimbulkan anaknya. Betapa sedihnya saya bila niat baik untuk menjaga nama keluarga mentua disalah tafsir.
Nasihat yang saya sampaikan itu rupanya membuatkan adik suami saya yang seorang lagi tak berpuas hati. Dipanggilnya saya ‘Betina’ yang menghasur ibunya. Dia juga menuduh sayalah punca ibunya menangis.
Saya merasa pelik dan saya berbincang dengan suami untuk mencari jalan keluar. Akhirnya saya merasakan kita berbuat baik seperti mana sekali pun orang hanya akan nampak kita yang jahat.
Semenjak itu saya nekad tidak mahu mencampuri urusan keluarga mentua.
Bila Kena Anak Sendiri, Mentua ‘Pejam’ Mata
Saya berasa tersinggung kerana selama ini apa-apa keperluan mereka masa belajar saya cuba penuhi. Memang sepatutnya dari awal lagi saya dan suami duduk sendiri. Memandang ibu mentua saya tidak sihat, saya akur dan ikhlas mahu menjaganya.
Namun, ada ketikanya saya sendiri seakan tak faham dengan ibu mentua. Bila kesalahan orang terlalu cepat ditegur tapi bila anak-anak sendiri sanggup menutup mata.
Soal baju anak-anak pun selalu jadi perkara yang terakhir. Ini kerana saya terlalu mementingkan mentua dan adik-beradik ipar saya. Malah, keperluan saya sendiri saya yang uruskan. Syukurlah kerana saya bekerja. Sering saya terfikir bagaimana nasib anak-anak kalau saya tak bekerja.
Apakah kelak yang jadi pada saya kerana suami telah memutuskan untuk duduk sendiri tapi dalam masa yang sama saya tak mahu mentua tersinggung apabila saya keluar dari rumah mereka. Dilema sungguh hati ini.
Memang bila kita cuba menjaga hati dan perasaan orang namun tidak semua orang boleh berfikir sama macam kita. Hanya pada Allah saya berdoa agar adik-beradik saya diberi hidayah dan sedar akan kesilapan diri masing-masing.
Begitu juga saya, saya cuba untuk berubah dan berharap rumah tangga saya akan diredhai Allah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Laungan Azan Jentik Hati Wanita Ini Untuk Lebih Kenal Islam

Tidak pernah terlintas di benak fikiran gadis muda yang dahulunya menggunakan nama asal, Ester Michelle anak Peter Alli, 24 tahun, untuk menukar agama kepada agama fitrah iaitu Islam. Dia yang dijaga oleh neneknya suatu masa dahulu di Serian, Sarawak merupakan gadis berketurunan Bidayuh yang menganut agama Kristian.
Pindah ke Semenanjung
Ketika umurnya sembilan tahun, gadis ini bersama adiknya dibawa ke Kuala Lumpur untuk menetap bersama ibunya.
“Saya mengenali Islam dan banyak bercampur dengan orang Melayu setelah saya berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika di sekolah khususnya, saya mula bergaul dengan orang Islam. Suatu hari, semasa kali pertukaran pelajaran antara Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam, saya masuk dalam kelas yang mengajar Pendidikan Islam secara sorok-sorok. Dari situ saya mendengar kisah-kisah para Nabi dan Allah dan ia sangat menarik hati saya untuk terus ketahui lebih banyak lagi.
“ Dari situ juga saya tahu tentang penciptaan manusia. Sejak kecil lagi, saya memang pernah terfikir tentang penciptaan manusia. Bagaimana terjadinya manusia di muka bumi ini? Tetapi setelah ustazah dalam kelas tersebut bercerita tentang nabi-nabi, saya masih merasa semua itu hanyalah cerita rekaan semata-mata untuk dijadikan pelajaran dan pengajaran kerana saya menganggap cerita seperti itu macam cerita dongeng yang ada ditayangkan di televisyen dan cerita kartun yang penuh dengan fantasi.
“Ketika saya di kampung, saya tidak pernah dengar kisah nabi dan Allah. Saya hanya mengenali Jesus Christ dan itulah tuhan yang saya selalu tengok di gereja. Biasalah, kita hanya percaya dengan apa yang kita nampak. Sedangkan Allah dan nabi yang ustazah cerita itu semuanya kita tak pernah nampak dalam mana-mana buku,” ujar gadis yang kini sudah menukar namanya kepada Nur Aisyah Maisara, selepas mengucapkan syahadah pada usianya 19 tahun.
Ibu peluk Islam dulu
Hidayah pertama kali menjengah keluarga Maisara ketika usianya 13 tahun, yang mana ketika itu ibunya telah memeluk agama Islam terlebih dahulu. Namun ibu Aisyah sedikit pun tidak memaksa anak-anaknya untuk turut serta sebaliknya menerapkan ajaran agama Islam secara tidak langsung di dalam kehidupan keluarganya itu.
“Semasa umur saya 13 tahun, ibu saya telah memeluk Islam. Saya dan adik tidak ikut ibu kerana bimbang akan dimarahi oleh nenek. Walaupun ibu telah bertukar agama tetapi kami sekeluarga tidak sedikit pun merasa pelik atau rasa berbeza. Masing-masing boleh menerima keadaan tersebut.
“Sekali sekala saya akan baca atau ibu akan berkongsi tentang buku agama yang telah dibaca. Banyak pengajaran yang saya dapat. Ibu tidak pernah bertanya secara terus terang kepada kami adik-beradik, adakah kami mahu ikut agama dia atau tidak kerana ibu mahu kami menilai sendiri dengan mata hati kami. Ibu juga banyak mempraktikkan cara-cara Islam mendidik anak-anak tanpa kami sedari. Ibu banyak mengajar kami tentang akhlak dalam Islam.
“Walaupun Islam itu sudah berada dalam rumah kami, tetapi ketika itu hati saya tidak merasa mahu bertukar agama kerana bagi Islam itu banyak aturannya dan saya tidak mahu bertukar agama kerana manusia. Biarlah saya melakukannya benar-benar dari hati.
Sambung Pelajaran
“Ketika saya berumur 19 tahun, saya menyambung pelajaran saya di tingkatan 6 SMK Taman Melawati. Menjadi pelajar tingkatan 6 yang bakal menduduki STPM bukanlah suatu yang mudah. Tambahan lagi saya merasa rendah diri kerana kawan-kawan saya yang lain semuanya dapat menyambung pelajarannya terus ke universiti.
“ Suatu hari, saya benar-benar dalam keadaan yang sangat tertekan dan sedih kerana saya rasa susahnya menjadi pelajar tingkatan 6. Saya bimbang tidak dapat menggembirakan hati ibu kerana saya adalah anak sulung dan saya perlu berjaya dalam hidup. Semasa saya sedang memikirkan perancangan saya untuk berjaya, tiba-tiba azan asar disiarkan di TV3. Saya merenung ke arah kotak televisyen tersebut dan mendengar azan serta menghayati maksud-maksudnya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya tertarik dengan satu baris azan yang bermaksud, “marilah solat menuju kejayaan”. Dari situ saya terfikir, betul ke macam itu caranya jika nak berjaya? Solat? Okaylah aku kena cuba cara tu kalau nak berjaya. Mesti solat. Tapi kena masuk Islam, kena belajar Islam.
“Saya buntu apa yang perlu saya buat. Tetapi hati saya tetap mahu juga buat solat itu kerana bait-bait azan dan maksudnya itu terngiang-ngiang di fikiran saya. Lalu saya menceritakan niat saya untuk masuk Islam kepada ibu. Kebetulan ketika itu ibu mahu ke Terengganu. Jadi saya ikut ibu dan Alhamdulillahlah prosesnya berjalan lancar. Saya mengucapkan kalimah Syahadah pada tarikh lahir saya iaitu 2 Januari. Balik sahaja dari pejabat agama Kuala Terengganu itu, ibu ajar saya mandi wajib, ambil wuduk dan solat. Ibulah yang banyak membantu saya untuk menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan cara solat. Hati saya rasa lapang tetapi saya masih berfikir tentang kehidupan yang saya perlu jalani. Hati kecil saya kata, saya mesti mencari sesuatu yang saya perlu dalam hidup,”cerita Maisara bagaimana dirinya mula tertarik dengan agama Islam.
Kehidupan berbeza
Sudah hampir lima tahun Maisara menjadi seorang Muslimah, kehidupannya kini lebih teratur dan punya garis panduan. Baginya banyak perbezaan yang dapat dilihat daripada kehidupan dahulu dan sekarang.
“Kini sudah lima tahun saya hidup sebagai orang Islam, saya merasa ada garis panduan dalam kehidupan. Saya sangat bersyukur. Apabila saya sedih, kini saya tahu saya perlu mencari siapa, mencari Allah dalam solat dan memohon kepada-Nya. Di situ saya dapat ketenangan.
“Banyak sangat perbezaan kehidupan sebagai muslimah dan kehidupan lama saya. Kalau kini, saya sudah tahu betapa berharganya maruah seorang wanita muslimah. Islam benar-benar menjaga hak-hak wanita. Dari segi akhlak mereka, harta mereka, dan keperibadian mereka. Kini penampilan saya lebih terjaga berbanding dulu. Peluang berada di Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA), telah mentarbiahkan penampilan saya dan pemikiran saya. Dulu setelah mengucap kalimah syahadah, saya menutup aurat tetapi bukan menutup dengan cara yang betul, lebih kepada membungkus diri iaitu pakai tudung tetapi baju dan seluar nampak bentuk badan. Ketika itu saya rasa itulah cara tutup aurat.
“ Tapi setelah belajar, barulah saya faham pengertian menutup aurat yang betul dan mengikut syariat. Itulah perbezaan ada ilmu dan tanpa ilmu. Menutup aurat juga bukan lah dari segi penampilan luaran sahaja tetapi begitu juga dengan akhlak kita. Ustaz Ramli selalu berpesan, wanita mesti ada rasa malu. Malu itu merupakan perhiasan wanita. Malu itulah yang menjaga diri wanita daripada diganggu. Betapa besarnya kesan Islam pada diri saya kini,” tambah Maisara.

Syukur dengan kehidupan kini
Mengakui dirinya sangat bersyukur dengan kehidupan yang dijalani pada hari ini, pelajaran awal tentang Islam adalah melalui ibunya dan juga bimbingan yang diperoleh di PUSBA. Selain itu, menyertai kelas dakwah secara berterusan banyak membantu diri gadis ini untuk terus mendalami Islam dengan lebih baik.
“ Saya sangat bersyukur dengan kehidupan sekarang. Sedikit demi sedikit Allah memberikan kebaikan kepada kehidupan saya. Jika dulu saya sangat kecewa kerana tidak dapat menyambung pelajaran saya ke universiti, kini Allah dah makbulkan doa saya.
“ Saya sedang belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi, mengambil Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Multimedia. Saya tidak menyangka Allah akan memberi jalan ini kepada saya. Saya tidak pernah terlintas untuk masuk agama Islam sehinggalah saya menghayati maksud azan tentang kejayaan. Jika dulu saya benar-benar cemburu dengan kejayaan kawan-kawan saya yang lain, kini saya tidak perlu membandingkan diri saya dengan mereka. Saya percaya semuanya atas kehendak Allah. Saya tidak perlu tamak dan cemburu dengan rezeki orang lain kerana Allah telah menentukan rezeki hambanya masing-masing dengan usaha diri sendiri dan semuanya lahir dari hati yang ikhlas bukan kerana ikutan semata-mata.

“Saya yakin hidayah Allah itu hanyalah pinjaman sementara. saya perlu menjaga hidayah yang diberikan oleh Allah dengan sebaik mungkin. Allah telah banyak memberi petunjuk kepada saya, cuma saya tidak dapat menilai dengan baik. Saya bersyukur dengan pilihan saya. Saya harap saya mampu menggenggam agama Islam dengan ilmu sehingga akhir hayat. Saya harap Allah sentiasa menjaga dan melindungi saya serta keluarga kerana iman ini senipis kulit bawang yang mudah koyak dan rapuh. Inilah hikmah yang saya pelajari tentang Islam. Islam banyak mengajar saya tentang kehidupan yang sebenar.Dulu saya hidup seperti saya tidak akan mati meninggalkan dunia tetapi kini saya sedar erti tujuan sebenar hidup. Bukan hanya kerana kejayaan dunia tetapi juga kejayaan akhirat. Ingin berjaya dalam hidup, ingatlah Allah. Mengingati-Nya adalah dengan solat,” akhiri Maisara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Hati isteri Mana Yang Tak Sayu Bila Suami Disayangi Tiba-Tiba Ditimpa Musibah. Kepalanya Tinggal Kulit Dengan Otak.” Wanie Hanya Sempat Bergelar Isteri 10 Bulan

“Ya Allah rindunya pada dia, tiada kata yang mampu aku luahkan, rindu yang aku pendam, rindu nak kucup tangan itu, rindu nak berbantalkan lenganmu wahai suami. Ya Allah, kau terus berikan aku kekuatan untuk aku lalui liku-liku kehidupan ini. Tenanglah di sana wahai suamiku. Doa isterimu sentiasa mengiringmu tiap masa. Terima kasih Ya Allah kerana telah memberi peluang kepada aku untuk merasai nikmat kebahagiaan sebagai isteri bersama dia walaupun hanya sementara,” itulah antara doa yang sentiasa dititip oleh Nurzawani Mohd Ismawi, 25 (Wanie) terhadap arwah suaminya, Mohamad Arsyad Azhar, 24 yang telah kembali ke ramahtullah pada 26 September 2017 akibat kemalangan jalan raya.
Melepaskan suami kesayangan bukanlah satu perkara mudah apatah lagi baru 10 bulan menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Namun aturan Allah tiada siapa yang dapat sangkalkan.
“Tarikh 26 September akan menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 26 November 2016 kami dinikahkan dan 26 September 2017 selepas 10 bulan pernikahan kami, Arsyad kembali kepada penciptaNya. Segala aturan Allah itu ada hikmahnya, saya ada terbaca mesej arwah kepada rakan-rakannya iaitu nak bercinta selepas kahwin. Padanlah baru saja kenal arwah terus ajak kahwin. Walaupun kami tak sempat bercinta sekejap saja selepas berkahwin namun saya reda dan akan sambung bercinta sampai ke jannah. Saya reda atas semua ini,” luah Wanie ketika penulis bertemu dengannya di kediaman wanita ini yang terletak di Klang.
Bagaikan tidak sampai hati untuk menemubual wanita bertubuh kecil ini untuk mengimbau kembali nahas yang menimpa arwah suaminya. Namun dek kerana tugas penulis terpaksa lontarkan persoalan kepada dirinya. Wanie yang kelihatan tabah, menceritakan segalanya termasuklah menjaga Arsyad dalam keadaan koma selama tiga bulan.

Arsyad Tak Banyak Cakap
Menurut Wanie nahas berlaku pada 13 Jun 2017 hampir dua minggu umat Islam mengerjakan ibadah puasa. Tiada kelainan yang berlaku malah Arsyad juga sewaktu keluar dari rumah melangkah ke pejabatnya seperti kebiasaan dengan menunggang motosikal miliknya.
“Beberapa hari sebelum kejadian dia tak banyak bercakap, bila ajak berbual-bual dia lari-lari. Sebenarnya kami baru saja tinggal bersama, selepas bernikah kami tinggal berasingan Arsyad tinggal di Seremban dan saya di Klang. Sebabnya dia bekerja dengan bapanya, saya pula bekerja di Selangor dan hujung minggu saya perlu hadiri kelas (menyambung pengajian separuh masa) di UiTM Shah Alam. Dia kemudiannya bertukar kerja di Petaling Jaya dek kerana tak nak duduk berjauhan dengan saya.
“Pada 13 Jun lebih kurang pukul 6 petang saya cuba hubungi telefon bimbitnya namun tak berjawab dan saya mesej pun tak berbalas. Hati saya semakin risau, sebab pada kebiasaanya dia keluar pejabat jam 5 petang. Kemudian saya dapat panggilan dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) yang menyatakan Arsyad terbabit dalam kemalangan. Dia telah terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kesas. Mengikut cerita dia baru keluar dari jalan motor dan terlanggar belakang lori. Kecederaan yang dialami cukup teruk kerana terkena bahagian kepala dan pendarahan berlaku di otak.
“Sewaktu di hospital saya tak perasan Arsyad padahal banyak kali lalu lalang di katil dia ditempatkan. Bila jururawat tunjuk terus saya terkedu dan langsung tak mengalirkan air mata. Kepala dia berdarah kemudian doktor lakukan pembedahan untuk membuang darah di kepalanya. Selepas pembedahan dia langsung tak ingat kerana otaknya cedera, tak boleh bercakap cuma yang memberi tindak balas hanya dari reaksi mata, kaki atau tangan. Sepanjang dia koma, saya sentiasa bercakap dengan dia. Doktor tak bagi harapan tapi Arsyad sentiasa menunjukkan respon yang positif.
“Hati isteri mana yang tak sayu bila suami yang disayangi tiba-tiba ditimpa musibah. Kepalanya tinggal kulit dengan otak. Doktor pesan kalau nak dia pulih cepat kena banyak bercakap dengan dia. Masa saya pegang kepala dia tak rasa apa-apa lama kelaamaan otak dia mula bertindak balas. Doktor pakar mata pula beritahu sebelah mata tak nampak. Saya sering berbisik pada Arsya selama ini Allah dah bagi pinjam nikmat melihat selama 24 tahun jadi bersyukurlah dengan keadaan yang ada. Doktor suruh saya beritahu semua yang berlaku agar bila dia sihat nanti, dia tak terkejut melihat keadaannya. Doktor anggarkan Arsyad boleh pulih tetapi mengambil masa yang agak lama lebih kurang tiga atau empat tahun.
“Dalam tempoh, tiga bulan menjaga Arsyad saya berasa hilang penat bila berada di sisi dia. Saya sentiasa berdoa agar Arsyad pulih seperti sedia kala. Pada ketika itu saya tak kisah susah sikit janji saya boleh beri yang terbaik buat suami saya. Jika saya bekerja abang Arsyad akan menjaga dia. Sehinggalah satu hari doktor memberitahu Arsyad kena sawan. Keadaannya bertambah kritikal dan dipindahkan dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh. Di sini saya tak dapat jaga di sepanjang masa kerana tak dibenarkan menunggu pesakit. Saya sambut raya pertama dengan suami di hospital. Saya sentiasa berdoa agar Allah berikan kekuatan untuk Arsyad lawan kesakitan yang ditanggungnya dan permudahkan urusan pemulihannya,” ujar Wanie yang tidak membeli sebarang persiapan baju raya kerana dia dan Arsyad sebelum itu telah merancang untuk memakai baju nikah mereka.

Allah Lebih Sayangkan Arsyad
Ketika keadaan Arsyad kritikal doktor telah memberitahu Wanie, dengan tenang wanita ini menghadapinya dengan cukup tabah.
“Selepas tiga bulan menjaga suami, doktor beritahu keadaan Arsyad tidak stabil. Kemudian saya terus menggigil dan terus tunaikan sembahyang Maghrib. Selepas solat saya lihat langsir di sekeliling katilnya ditutup. Jururawat meminta maaf dan beritahu jantung Arsyad berhenti sekejap. Bila lihat keadaan dia lemah, saya cakap dengan kalau awak nak pergi tak apalah pergilah, dia tak sedar ketika itu tetapi saya tahu dia dengar apa yang saya katakan. Dan saya beritahu saya sudah maafkan dia dan halalkan makan minum dia, air mata dia terus meleleh,” ungkap Wanie sambil menahan air matanya daripada mengalir.
Wanie juga menjelaskan dia reda dengan pemergiaan arwah walaupun tidak sempat meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama namun dia sentiasa berdoa agar arwah tenang di sana. Ungkap Wanie buat arwah Arsyad;
“Melepaskanmu walau bukan mudah bagiku untuk lalui semua ini, buat Arsyad 26/9/17 tarikh yang sayang takkan pernah lupa. 26/11/16 hingga 26/11/17 genap 10 bulan pernikahan kita. Cantik sangat aturan Allah tu. Baba tunggu sayang di pintu syurga ya. Kita sambung bercinta sampai jannah. Sayang reda atas semua ini. Sayang bangga dengan baba. Baba dah fight habis baik. You always be my superhero sayang. Kebetulan juga plat no motosikal 9392 nombor kesukaan baba. Amat bermakna buat sayang. Kebetulan nombor itu tahun lahir kita brdua. Terima kasih baba dah jadi suami yang terbaik, sanggup korban ape saja untuk sayang. Semuanya akan jadi kenangan untuk sayang. Baba rehat di sana. Senyuman baba tu akan sayang ingat, sayang akan cuba jadi macam baba. Senyuman yang tak lekang dekat di bibir.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI