Sebak kisah viral anak kecil bernama Aqil meninggal lemas, yang dikongsikan ibu saudaranya, Siti Azlina Lynn. Ahli keluarga ini check in hotel untuk mudahkan urusan menjaga, melawat abah mereka yang sakit di hospital.
Sudah tertulis takdirnya, Aqil pergi dulu dari atuknya. Kata ibu saudaranya ini, hari-hari dia akan menghabiskan waktu dengan arwah anak kakaknya, Muhammad Aqil Hamidi yang mesra disapanya sebagai Aqil.
“Budaknya baik sangat, hari-hari solat dan mengaji. Sebelum dia nak pergi hotel, dia mengaji dulu. Aqil ini anak bongsu dari tiga beradik. Maknya terpaksa tunggu 6 tahun lamanya sebelum nak dapatkan dia.”
“Minggu depan hari jadi Aqil, 29 September ini baru genap umurnya 5 tahun. Kami ini rumah dekat-dekat. Tapi hari-hari jumpa sebab anak-anak semua balik sekolah akan ke rumah atok dan opahnya. Anak saya pun sebaya dengan Aqil.“
Pemergian Aqil dalam keadaan lemas di kolam, mengejutkan mereka sekeluarga. Ibu saudaranya yang masih merundui kehadiran Aqil mencatatkan kisah perjalanan akhir anak kecil ini. Sebak!
Perginya Takkan Kembali. Perjalanan Aqil anak syurga. Rindu Yang Tiada Penghujung
Acik ( Siti Azlina Lynn) rindu Aqil, Aqil tinggalkan kami sekelip mata je. Dalam gembira Allah hantar dugaan hebat untuk kami semua semalam. Tak sangka semalam (Isnin, 16 September 2019) hari terakhir Aqil sayang. Ceritanya begini. Kami bukan pergi holiday atau suka suka sebenarnya.
Abah masuk wad, jadinya aku ambil keputusan untuk stay hotel dekat dengan hospital abah. Mula mula aku cuma nak ambil 1 bilik sahaja. Disebabkan aku nak mudahkan urusan mak, adik, kakak nak tengok abah kat hospital tanpa ulang alik ke rumah aku ambil 2 bilik untuk kami stay di The Shore Melaka.
Malam tu sebelum check in hotel, Kami semua tengok abah. Aqil pun ada tu, Aqil jumpa atok malam tu. Salam atok, ada sedikit perbualan Aqil dengan atok malam last jumpa atok.
Aqil Paling Seronok Nak Tidur Ramai-ramai
Aqil, mama, papa, Aleesya, cu dengan abang Qimie datang hotel yang aku check in. Mama dia bagitahu dia paling suka sangat nak ke hotel, mama dah janji nanti boleh mandi kolam renang pagi esok. Aqil suka bila semua saudara sebaya dengan dia ada sekali.
Malam tu Aqil tido dengan family Aqil, sebelum ni memang jarang nak tengok semua family Aqil kumpul semua. Abang selalu takda. Malam tu, semua sibuk nak tido hotel. Tido ramai ramai.
Gambar pertama aku ambil. Nampak tempat aqil lemas. Allahhu
Bila sampai je bilik, pertama sekali dah excited tunjuk kolam renang yang permandangannya dari bilik hotel. Dalam hati aku, esok mesti dorang semua suka nak mandi kolam renang sebelum tengok atok.
Ads
Aqil suka dalam bilik hotel, excited nak tido ramai ramai
Aqil dalam bilik hotel dengan keadaan sangat suka bila dapat berkumpul ramai ramai.
Pagi bagun, sebelum turun bawah sarapan jumpa atok lagi pagi semalam. Tengok lagi kolam renang. Rupanya aqil berakhir kat situ
Sebelum Lemas Aqil Sempat Jenguk Atok Di Hospital
Pagi sebelum turun ke kolam renang, Aqil tengok atok kat hospital jalan kaki dengan mama. Nak ambil opah sarapan, sebab opah tak tido hotel. Jaga atok malam tu. Sebelum ni pun mama Aqil selalu cakap, Aqil tak makan dah banyak hari. Selalu Aqil paling suka makan. Kalau tengok Aqil makan, selera bukan main lagi. Pagi tu nak sarapan aqil jumpa atok. Atok cakap dengan Aqil
“Aqil duduk sini dengan atok eh.” Aqil bawak opah sarapan. Pagi Tu Aqil makan roti canai suku je. Mama tanya
“Aqil nak makan tak?”
“Tak nak mama”
“Aqil nak minum ais kosong je”
Selalu Aqil minum Milo ais, pagi tu Minta ais kosong je.
Semua dah excited tunggu Aqil balik hotel balik lepas sarapan. Sebab nak mandi kolam renang sama sama. Aqil balik hotel, Rizqi, Rifai, Rafanda Aleesya semua dah turun bawah dulu.
Cuma Aqil dengan papa je lambat. Aqil cakap dengan papa nak buang air besar dulu, baru turun mandi. Lepas tu Aqil turun bawah dalam keadaan sangat gembira tak sabar nak mandi dan bermain. Aku pun join sama mandi. Aqil memang sentiasa di jaga oleh papa Aqil.
Mana saja Aqil pergi papa dia akan ikut. Lepas je kami semua main di kolam kanak kanak yang ada playground. Kami dah tak nampak Aqil dengan papa aqil. Aqil pergi bermain jauh sikit dari kami. Masa tu papa Aqil masih lagi ikut Aqil. Lebih kurang sejam kami mandi.
Dan masa tu tiba tiba pulak kami semua pergi ke kolam sebelah. Yang takda cuma Aqil dengan papa Aqil je. Aqil masih bermain dengan papa Aqil. Lebih kurang 20 minit tu, bibik aku datang dan terus bagitahu.
“Puan Aqil lemas, ada di sana.“ Aku dalam keadaan tergesa gesa terus berlari ke arah yang bibik tunjuk. Sambil aku jerit panggil nama Aqil.
Ads
Orang Ramai Dah Mula Keliling Aqil Yang Terbaring Lembik
Lebih kurang pukul 11.30 pagi sampai aku ketempat Aqil, aku tengok ramai orang keliling Aqil sambil Aqil terbaring lembik tanpa sedar dan badan Aqil serta merta biru. Orang semua sibuk beri bantuan pada Aqil. Kebetulan masa tu ada sorang hamba Allah ni nampak Aqil terapung dan dia yang tolong tarik Aqil ke tepi untuk tolong Aqil sambil tanya, “Anak siapa ni? “Anak siapa ni?”
Lepas tu kebetulan yang tolong buat CPR pada Aqil adalah 2 orang doktor yang memang bercuti di hotel yang sama. Doranglah yang bantu Aqil sebelum sampainya ambulans dan paramedik lain.
Aku lihat, mereka bersungguh sungguh tolong Aqil. Ramai orang menjerit dan cuba bacakan ayat ayat al Quran dikeliling Aqil. Semua orang bersungguh tolong Aqil sayang.
Mulut kami semua tak henti semoga Allah beri keajaiban kepada Aqil. Tengok pada gambar, itulah tempat kolam Aqil lemas. Aqil lemas di kolam orang dewasa. Tak sampai beberapa minit pun sebenarnya.
Aqil dikejarkan ke hospital untuk dapatkan rawatan kritikal, doktor cuba sedaya upaya untuk selamanya Aqil. Doktor bagitahu keadaan Aqil masih tidak beri respond. Aqil masih bergantung pada mesin sebenarnya. Tepat jam 12 malam doktor bagitahu mama dengan mama Aqil, kalau terjadi apa apa kena tabah dan redha. Mama dengan papa Aqil dah mula redha kalau terjadi apa apa. Jam 12.30 tengah pagi doktor dah bagitahu Aqil masih tak respond dan terpaksa habiskan ubat dan cabut segala wayar pada badan Aqil.
Aqil disahkan tiada jam 12 tengah malam.
Bahagian forensik menjalankan kerjanya.
Wanginya.. Ya Allah!
Aqil disahkan tiada, Kami redha dengan pemergian Aqil. Aqil pergi dengan keadaan sangat tenang. Muka Aqil Indah, senyum, wangi nya ya Allah!
Jam 3 pagi aqil sampai rumah opah dengan atok. Sedihnya, atok sambut Aqil sayang. Kebetulan atok discharge semalam juga. Atok singgah tengok Aqil pulak kat hospital sebelum atok balik rumah. Sebelum tu atok bacakan yaasin untuk Aqil di rumah lepas atok sampai rumah. Atok dengan harapan Aqil sedar. Allah maha menentukan segalanya rupanya.
Perjalanan Akhir Aqil Pulang Ke Kampung Abadi
Sebak tengok gambar ni, mama dengan papa Aqil tido dengan Aqil buat kali terakhir dari jam 3.30 pagi sehingga ke subuh. Kami semua tido dengan Aqil terakhir pagi tadi. Masih terngiang lagi suara Aqil ya Allah.
Adalah gambar perjalanan Aqil ke syurga. Allah sayang Aqil, Aqil budak baik. Hari hari sembahyang, mengaji. Semua sayang aqil, kalau pergi rumah Aqil mesti tengok Aqil tengah mengaji dengan papa dia. Allahhu. Patutlah Allah ambil aqil, sebab Aqil budak baik. Aqil ada bagitahu mama sebelum ni,
“Mama, aqil nak pergi syurga tau”
Betul jadi kenyataan untuk Aqil. Perjalanan Aqil ke syurga semua orang cemburu qil. Indahnya hidup Aqil sekarang. Kami semua rindu Aqil tau. Aqil tunggu acik dan semua datang sana ya. Takda dah nak dengar Aqil gado dengan Rifai, Rizqi Rafanda.
Sebelum ke launching outlet
Gambar last masa launching outlet minggu lepas — with Siti Juliana Mhd Halil.
Semoga tenang di sana anak syurga, kamu dah di syurga sayang. Indah sangat tempat Aqil. Aqil pergi buat selamanya. Baru je kita gembira semalam. Atok yang sakit, tapi Aqil yang pergi. Aqil ganti atok ya sayang. Sentiasa rindukan Aqil tau. Aqil yang montel, last semalam acik mandi dengan aqil.
Acik peluk aqil, acik picit badan badan aqil sebab Aqil montel sangat. Dah tak dapat nak tepuk tepuk badan Aqil lagi lepas ni. Allah kuat kan mental Kami semua. Terima kasih bagi pinjam Aqil 5 tahun. Minggu depan harijadi aqil. Video harijadi Aqil tu tahun lepas. Rindunya ya Allah.
Terima kasih ramai mendoakan Aqil sejak semalam. Moga Allah SWT balas kebaikan pada semua. Marilah kita semua sedekah Al fatihah kepada Aqil anak syurga.
Al fatihah Aqil sayang
MW : Semoga allahyarham Aqil, anak yang baik ini ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Musim demam influenza sekarang ini. Terbaru, seorang kanak-kanak orang kurang upaya OKU meninggal dunia semalam, disyaki dijangkiti Influenza A selepas demam sejak Jumaat lalu.
Demam Influenza ini bukan demam selesema biasa ya mak ayah. Ia demam yang disertai dengan selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala malah sakit badan.
Ibu ini, Anizon Hussin berkongsi bagaimana dia yang mulanya sangkakan cuma demam biasa, rupa-rupanya sudah diserang virus demam Influenza.
Bukan Selesema Biasa, Rupanya Positif Influenza
Baru sahaja terdengar virus ni sedang merebak rupanya virus ini sudah ada dalam tubuh badan.
Pengalaman ngeri sangat menjadi pesakit influenza.
5 HARI yang MENGGETIRKAN.
Bermula dari serangan selesema yang tiba-tiba. Rasa pelik kerana tak pernah terkena selesema seperti ini.
Air hidung tak berenti mengalir. Mata rasa panas. Kepala berat.
Tapi biasalah rasa diri masih ok, gagahkan diri ke kelas, siap selfie macam-macam ‘angle’ dalam kelas. Masa ni, hidung dah kemain merah.
Dah telan panadol pun masih sama. Minta balik kelas awal. Sampai rumah telan ubat lagi. Paksa diri tidur seketika.
Biasa kalau migrain, tidur seketika, bangun mesti ok. Rupanya masih sama.
.
Eh.. Simptom-simptom Tu Macam Influenza
Paksa lagi untuk baring. Dapat wasap dari Fazieda Danisha, poster simptom influenza. Teliti, ehhhh, macam hampir. Takut.
Jam 2 pagi, tak larat. Tak boleh tidur. Sakit badan macam kena denggi. Dulu pernah kena denggi.
Rasa badan macam dicucuk-cucuk. Tak mampu nak tahan dah, terus ke hospital.
Sampai hopsital dari temubual, doktor dah agak. Doktor buat dulu test amik sample kat hidung.
Hampir sejam menunggu result.
Masa menunggu, muka dah cuak takut kena virus itu. Aduhai, tak boleh nak bayang macam mana.
Barulah sibuk google cari info penyakit. Nampak doktor menghampiri.
Aduhai, harap doktor kata, demam awak amik antibiotiok, esok lusa sembuh. Dan awak boleh balik.
Oh, usah mengharap jika sendiri pun rasa pelik dengan selesema yang air hidung ‘non stop’.
Positif Influenza, Kena Rawat, Kena Kuarantin
Ya Allah, terbayang wajah mek abah kat rumah dan Aludra yang ibu belum settle beli barang asrama dan Ajda yang ibu asyik sana sini, lupa nak luang masa.
Fikir risiko untuk Ajda dan fikir risiko untuk orang tua seperti mek dah abah. Masuk wad.
Perlu menunggu di rumah kerana katil penuh.
Selama 11 jam menunggu di rumah, mata tak boleh bukak langsung.
Penatnya rasa, sakit badan, hanya Allah yang tahu. Kepala langsung tak boleh angkat.
Nak minta bantuan takut berjangkit dengan orang di rumah.
Paksa diri untuk bangun, step by step untuk bersihkan diri dan solat. Gerak sikit termenung, gerak sikit termenung. Termenung sebab tak larat.
Paksa diri untuk makan. Telan walau tiada rasa. Takut nanti gastrik pula.
Masuk hospital dan mula dirawat. Demam tinggi.
Demam Sudah Hilang, Masih Batuk, Kahak Hijau Pekat
Malam pertama tak boleh tidur, badan mengigil. Siangnya pening, gerak sikit pening. Dr kata ini kesan dari virus.
Dr dah mula rawat dengan antibiotik. Macam-macam antibiotik.
Terima jer, dengan harapan segera sembuh. Allah sudah tarik nikmat sihat, nikmat tidur dan nikmat solat dengan sempurna.
Kesihatan makin ok, cuma masih lemah. Demam sudah hilang. Masih batuk, kahak warna hijau pekat.
Malam seterusnya tak boleh tidur kerana batuk. Dr X-ray untuk check jika ada jangkitan lain.
Hari seterusnya buat rawatan nebulizer untuk cairkan kahak. Dan rawatan dengan tepukan di belakang badan. Masa tepuk ni, tekak akan rasa gatal dan kita akan batuk.
Jaga Diri Semua
Hari ke 5, Alhamdulillah, dah semakin sihat. Lemah tu masih ada tetapi semangat perlu kuat. Cari semangat.
Satu pengalaman ngeri juga dalam hidup menghadapi virus influenza ni. Jagalah diri, di musim ini elak berada di tempat ramai orang.
Virus ini mungkin berjangkit semasa saya ulang alik ke hospital uruskan mek. Seingat saya, itulah tempat ramai orang yang saya pergi.
Tapi, mungkin juga ketika beli ayam di Econsave.
Tak per, ujian sakit ni kita ambil secara positif. Ruang untuk kita bersendirian hanya kita dan Allah.
Terima kasih pada yang mendoakan. Moga kita sentiasa dalam jagaanNya.
MW : Jika ibu yang dewasa pun begini sukar pengalamannya, bagaimanalah dengan anak-anak kecil. Mak ayah, jika ada anak-anak yang disahkan ada simptom influenza, kena lah kuarantin.
Sebolehnya, mak ayah pun hadkan masa keluar dari rumah. Semoga cepat sembuh mana-mana pesakit yang diuji itu.
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring kaku, bertarung antara hidup dan mati.
Dalam linangan air mata, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, hanya mampu menadah tangan, memohon keajaiban buat anaknya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, yang kini kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah di Sabak Bernam.
“Doakan yang terbaik untuk anak saya…”. Hanya itu ungkapan ringkas lahir daripada jiwa seorang ibu yang hampir kehilangan kata-kata. Antara sedar dan tidak, dirinya merayu kepada orang ramai agar mendoakan hayat anak lelakinya terus panjang dan kembali sihat seperti sedia kala seperti dahulu.
Memetik laporan Sinar Harian, itulah luahan penuh harapan Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, ibu kepada seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang kini berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah.
Mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, kini sedang dirawat di hospital dan berada di bawah pemantauan rapi pakar perubatan.
Menurut Siti Muhaini, keluarganya amat memerlukan doa orang ramai ketika anaknya sedang melalui detik genting ini.
“Anak saya masih dalam pemantauan doktor, keadaan dia kritikal. Sekarang saya tidak mampu berkata-kata tetapi harapan kami biarlah dia selamat,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut memaklumkan bahawa kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keadaan Ahmad Irfan yang kritikal dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu separuh gila cari anak hilang setahun, saat ditemui sedang nazak dijangkiti AIDS. Ujian buat seorang ibu apabila anak tunggalnya menghilangkan diri selama setahun. Namun apabila ditemui dalam keadaan nazak akibat dijangkiti Aids.
Di media sosial, tular satu perkongsian dari seorang individu yang tidak bernama anonymaus di @iiumc.com yang berkongsi nasib anak saudaranya, seorang pelajar fesyen yang dari kecil dijaga penuh kasih sayang oleh mereka selepas kematian abang.
Namun ketika anak saudaranya meningkat remaja dan dapat tawaran belajar di sebuah kolej, sesuatu mengejutkan terjadi bila mana anak saudara kesayangan ramai ini tiba-tiba menghilangkan diri setahun ketika masih belajar.
Selepas setahun menghilang, suatu hari keluarga mereka dihubungi oleh doktor tempat anaknya dirawat. Mengejutkan, ketika nazak itulah, mereka sekeluarga dimaklum bahawa anak saudara dijangkiti Aids.
Hasil penyiasat pensendirian yang diupah, mengesahkan bahawa pensyarah tempat anaknya belajar ada HIV dan didakwa mempunyai hubungan dengan anak saudaranya ini. Bahkan anak saudaranya menghilang diri setahun kerana malu enggan berkongsi penyakit dihidapinya. Namun nyawa anak saudaranya tidak panjang dan akhirnya meninggal. Moga kisah ini menjadi pengajaran buat semua.
Ibu Separuh Gila Cari Anak Hilang Setahun
Assalamualaikum, saya amat berharap tulisan ini akan tular demi untuk kemaslahatana anak bangsa kita.
Saya M, seorang lelaki berumur lewat 30-an dan sudah berumah tangga. Saya merupakan anak bongsu dari 5 beradik dan atas saya semua abang. Keluarga kami berasal dari Kedah dan saya merupakan satu-satunya yang merantau keluar dari negeri kami.
Abang sulung saya meninggal pada tahun 2018 dan meninggalkan seorang anak lelaki yang muda 10 tahun dari saya. Pemergian beliau adalah amat tidak kami jangka oleh sebab kemalangan jalan raya.
Kakak ipar kami memilih untuk tinggal di rumah yang dibina arwah di tanah keluarga kami. Dan kami adik-beradik amat menjaga anak saudara kami yang seorang ini. Saya namakan anak saudara saya L.
L seorang kanak-kanak lelaki yang amat comel sebelum membesar menjadi remaja yang ‘ada rupa’. Saya masih ingat cerita – cerita L mengenai kanak – kanak perempuan yang ‘crush’ kan beliau seawal darjah 3. Penuh meja L dengan coklat dan susu kotak RMT yang dijadikan hadiah.
Disebabkan ibu L bekerja pejabat, kami bapa – bapa saudaralah yang selalu mengambil L pulang dari sekolah setiap tengah hari.
Kami hantar ke rumah keluarga kami untuk L duduk bersama atuk dan neneknya sementara menunggu ibu L habis kerja pukul 5. Jadi L memang rapat dengan kami, terutamanya dengan saya kerana sayalah yang paling banyak masa di rumah.
L budak yang baik, berbudi bahasa dan amat lucu persis arwah abang sulung kami. Ada sahaja celotehnya tiap hari. Dia ringan tulang membantu opahnya membuat kerja-kerja rumah. Seingat saya, tidak pernah ada sebarang kelakuannya yang pernah menimbulkan amarah kami.
Namun L tidak cemerlang dalam akademik. Pelajarannya sederhana sahaja dan dalam subjek matematik, L amat susah faham walaupun diajar berulang kali. Keputusan SPM L cukup – cukup makan sahaja.
Jadi ibunya berbincang dengan kami semua termasuklah ibu dan ayah saya, sebelum kami membuat keputusan untuk menghantar L ke aliran TVET. L sendiri memohon untuk tidak disuruh mengambil STPM ataupun mengambil diploma dalam bidang-bidang yang memerlukannya banyak membaca.
Jadi kami sebulat suara bersetuju untuk menghantar L ke sebuah K**** K******i di utara semenanjung. L berminat untuk belajar fesyen.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa anak saudara saya bukan p**d*n atau apa – apa jenis makhluk yang banyak abjad tu. Dia cuma suka menjahit dan mereka baju. Arwah abang saya memiliki kedai pakaian dan kami fikir mungkin L ingin meneruskan legasi ayahnya.
Semester pertama L di kolej tersebut, dia amat gembira. Setiap kali kami berkunjung melawat, dia petah bercerita berkenaan apa yang dia belajar. Dia siap janji untuk menjahit baju melayu buat kami semua, pak cik – pak ciknya.
Sewaktu lawatan kedua, L cerita perihal salah seorang tenaga pengajar di situ Cikgu R yang amat friendly dan ambil berat akan L. Katanya cikgu tersebut seorang yang alim, suka bersedekah dan suka belanja L makan dan belikan barang-barang untuknya selepas mengetahui L adalah anak yatim.
Kami lega mendengar cerita L, kerana sekurang-kurangnya ada orang dewasa yang boleh tengok-tengokkan L di situ.
Tak lama selepas tu, FB Cikgu R lalu di recommended friendlist saya. Mungkin sebab L mutual friend kami. Saya tak nak add, tapi tergerak hati untuk stalk FB cikgu tersebut. Cikgu R nampak seperti seorang lelaki yang berpewatakan feminin dari gambar – gambarnya.
Pakaiannya lelaki tetapi gaya beliau bergambar, dengan angkat kakinya, muncung bibirnya, saya bagitau kepada ibu saya yang “kenapa cikgu si L ni nampak macam ‘squid’”. Ibu saya marah saya, tak baik katanya, Cikgu R tu kan cikgu si L. Lagi pula dalam bidang fesyen, memang kebanyakan lelaki nampak lembut, tak semestinya mereka ‘squid’ ataupun g#y.
Saya pun iakan saja. Tambah pula bila saya stalk lagi dan nampak gambar – gambar cikgu R yang sudah ke Mekah dan rajin menjamu makan pelajar – pelajar tahfiz di kampungnya. Saya marah dengan diri sendiri sebab bersangka buruk dengan beliau.
Saya ringkaskan cerita, masuk minggu keempat sem kedua L, ibu beliau datang ke rumah kami menangis – nangis. Katanya L tak dapat dihubungi. Kami pergi ke kolej tersebut, pihak pengurusan mengatakan L tidak mendaftar pun untuk semester kedua. Nombor telefonnya tidak aktif langsung.
Kami ingin bertanyakan kawan – kawan L, kemudiannya barulah kami sedar yang L tidak pernah bercerita tentang kawan – kawannya. Adalah pernah disebut sekali dua, tetapi kami tak pasti nama betul mereka.
Cikgu R sakit…
Kemudian kakak iparku berkata mungkin Cikgu R tahu. Kami kembali semula ke kolej untuk mencari Cikgu R. Namun kami hampa sekali lagi kerana Cikgu R rupanya bercuti lama, atas sebab kesihatan.
Aku bukak Facebook Cikgu R dan aku perasan dia pun sudah lama tak update sedangkan sebelum itu beliau cukup aktif di media sosial. Post terakhirnya 2 bulan lepas gambar tangan dicucuk branula. Jadi aku fikir oh betul lah Cikgu R sakit, tak mungkin dia tahu ke mana L pergi.
Kami buat laporan polis namun polis mengatakan L sudah dewasa, umurnya 19 tahun, dan tiada sebarang unsur – unsur mencurigakan untuk mereka melancarkan siasatan orang hilang.
Namun mereka sarankan kami sebarkan berita kehilangan tersebut di media – media sosial. Itulah yang kami buat hampir setahun. Ibu L separuh gila mencari anak tunggalnya. Sampai dia dibuang kerja dan perlu makan ubat penenang. Kami fikir L sudah tiada.
Satu semenanjung kami tawaf mencari L. Kami angkut bersama ayah dan ibu yang telah tua. Mereka nak ikut, tak betah di rumah selagi L tak dijumpai. Abang kedua saya masuk ke Thailand bersama rakan – takan ridernya mencari L.
Kakak ipar saya (isteri abang ketiga) terjemahkan poster pencarian ke tulisan vietnam untuk disebarkan sebab takut L termasuk dalam kartel job scammer. Saya putus tunang sebab rungsing mencari L.
Sampai la cukup setahun, kami dapat panggilan dari sebuah hospital di pantai timur. L dah nazak dan mahu berjumpa kami buat kali terakhir. Allah. Allah.
Kalau kalian masih ingat kes pembunuhan adik Amir yang didera oleh ibu kandungnya sampai mati, sebagaimana ibu angkatnya meraung dan merintih sewaktu mendapat panggilan telefon kematian beliau, begitu jugalah nenek dan ibu L sewaktu melihat L di hospital.
L dah nazak, organnya semua dah rosak, dah ditidurkan sekali, sedar semula, ditidurkan sekali lagi, dan bila sedar kali ketiga, doktor buat keputusan untuk panggil keluarga secepat mungkin.
L ada AIDS. Doktor cakap kalau L makan ubat awal, dia tak akan jadi sampai macam ni. Tapi L tak dapatkan rawatan. Kami terkejut. Kenapa L, apa kau buat, mana kau dapat penyakit ni.
Dalam sedar tak sedar L bagitahu kami Cikgu R lah puncanya. Kami tak tahu cerita panjangnya sebab L dah nazak sangat waktu tu. Katanya Cikgu R ajak dia keluar waktu outing, L ikut dengan gembira.
Tapi dalam kereta Cikgu R psiko L untuk buat hubungan terlarang, Cikgu R kata dia boleh gagalkan L kalau dia enggan mengikut kehendak Cikgu R kerana pemarkahan subjek fesyen yang subjektif. Sekali itu sahaja mereka buat.
Namun sewaktu cuti sem, L diberitahu yang Cikgu R masuk hospital kerana ‘sakit misteri’. Kemudian tersebar desas – desus yang Cikgu R ada HIV.
L takut kalau dia pun dapat penyakit tu selepas berhubungan dengan Cikgu R. Dia malu kalau orang tahu dia pernah buat hubungan terlarang sesama lelaki. Jadi dia ambil jalan yang paling mudah di fikirannya, dia lari. Lari ke pantai timur, menumpang teduh membantu nelayan-nelayan dengan upah harian, demam dan sakit L cuma beli ubat di farmasi.
Aku pun tak tahu dan tak faham kenapa pendek benar akal fikirannya waktu tu. Kalaulah dia terus ke hospital, ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. Pasti L masih akan hidup sekarang, sama seperti Cikgu R.
Ya anak saudara yang aku sayang dari kecil, L, satu-satunya zuriat arwah abang sulung aku, meninggal di usia yang amat muda sebab perbuatan Cikgu R. Tapi syaitan tu masih hidup sejahtera sebab mendapatkan rawatan awal.
Cikgu R juga positif HIV, aku tahu sebab kami adik – beradik upah PI untuk mengumpul bukti. Kami dapat tahu yang Cikgu R positif HIV dan masih mendapatkan rawatan bulanan di hospital negeri, tapi kami tak ada bukti yang dia yang menjangkiti L dengan penyakit tu.
Aku sebenarnya masih mencuba untuk redha dengan semua yang berlaku. Tapi bila aku lihat Cikgu R masih seronok memuatnaik gambar berjubah putihnya, dengan ayat – ayat agama, dengan pelajar – pelajarnya, dengan cikgu – cikgu kolej tersebut, dengan budak-budak tahfiz, aku takut.
Aku takut benda yang berlaku kepada L akan berulang keatas anak – anak orang lain. Aku jadi marah dan geram.
Jadi aku menulis di sini, lewat malam ini, dengan harapan supaya kementerian – kementerian yang ada kaitan dengan anak-anak seperti kementerian pendidikan, pengajian tinggi dan kesihatan untuk mengadakan saringan HIV wajib kepada semuabstaf-staf mereka.
Dan tolong, tolonglah jangan bagi mereka ini ada hubungan terus dengan anak-anak muda yang masih belum matang akal fikiran.
Persetankan diskriminikasi dan kesamarataan hak semua itu, anak saudara aku mati sebab mereka ini. Aku tak nak anak – anak kau orang semua pula yang jadi mangsa.
Tolonglah, selamatkan anak-anak kita..CRPemangsa (Bukan nama sebenar).
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI :-
“Biarlah hukuman mati itu dikekalkan. Tak ada kekhilafan dalam hukuman sebelum ini. 8 tahun kami sekeluarga menderita menantikan keenam-enam tertuduh melalui detik itu.
Demikian luah Hawa Osman ibu kepada arwah Zulfarhan yang didera kejam ditekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali termasuk di kemaluan.
“Penderitaan yang kami tanggung hanya Allah maha mengetahuiNya. Sangat perit. Paling saya kesalkan dan jadi tertanya-tanya siapa yang menekap seterika di kemaluan anak saya. Pertanyaan itu sentiasa bermain-main di fikiran.
“Ada dua keluarga tertuduh datang jumpa saya minta maaf pada saya dan mahu saya lupakan semua dendam tapi itu tak mungkin kerana jauh di sudut hati rasa terkilan itu ada.
“Suami sendiri sanggup tak jalani pembedahan jantung kerana mahu menunggu keputusan dari Mahkamah mengenai kes ini,”luah Hawa ketika dihubungi Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seorang lelaki Malaysia maut ditembak 18 das di Sungai Golok oleh dua suspek yang juga sepupu isterinya. Isteri mangsa, Wan Fatihah, menyaksikan sendiri kejadian tragis itu di depan mata.