“Mak siap selfie dan hantar gambar dalam grup WhatsApp keluarga. Waktu tu, kami semua tahu dia sangat teruja. Pertama kali dia nak naik helikopter sepanjang bertugas dalam pasukan polis.” — Mohamad Hariz Akmal.
Kegembiraan kecil itu bertukar duka. Keceriaan seorang ibu yang teruja hendak menaiki helikopter buat pertama kalinya menjadi detik terakhir dia dilihat keluarga dalam keadaan sihat dan sempurna.
Sarjan Siti Latipa Khairuddin, 54 tahun, anggota polis berdedikasi yang menjadi antara kru helikopter AS355N yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Khamis lalu, kini bertarung pulih dari kecederaan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Anak bongsu beliau, Mohamad Hariz Akmal Mohd Jais, 21 tahun, pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Pasir Gudang, masih terbayang kegirangan ibunya sehari sebelum kejadian.
“Mak bercerita yang dia akan naik helikopter. Waktu pagi sebelum bertugas, dia kirim gambar dari dalam helikopter. Kami balas dengan emoji seronok. Tapi setengah jam selepas itu, anggota polis datang ketuk pintu rumah kami di kuarters Balai Polis Tanjung Kupang.”
Jarak antara kuarters dengan lokasi kejadian hanyalah 10 minit. Hariz, bersama abang dan ayahnya yang ketika itu berada di rumah, segera bergerak ke Hospital Sultanah Aminah — satu perjalanan yang terasa panjang dan mencemaskan.
Hariz memaklumkan bahawa keadaan ibunya kini bertambah baik. Walaupun mengalami kecederaan patah di kedua-dua buku lali, retakan di pinggul kiri, luka dan lebam, namun ibunya masih mampu berbual dan menjawab soalan dengan baik.
“Mak sekarang hanya dibenarkan minum air kosong dan susu. Tapi dia masih kuat, boleh senyum dan bercakap. Kami sangat bersyukur.”
Dalam wajah tenang Hariz, ada sejuta gundah yang tidak terluah. Namun dia tetap tabah dan percaya bahawa ibunya akan kembali sembuh.
“Kami redha dengan ujian ini. Tapi kami juga tak putus berdoa agar mak kembali sihat dan ceria seperti dulu.”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.