Mak-mak Bila Rasa Kecil Hati, Marah Pada Anak-anak, Bacalah Doa Ini
Anak terasa hati dengan mak? Bolehkah seorang anak memusuhi ibunya? Ini perkongsian penuh makna dari Ustazah Norhafizah Musa.
“Kita sebagai anak jangan sesekali bermusuh. Saya berpegang kaedah ini. Kadang-kadang sebagai ibu, sebagai anak, kita mudah berasa hati. Ada mak cepat terasa hati dengan anak, ada anak berasa hati dengan mak. Tapi jangan dibiarkan. Jangan dibiarkan larut dalam rasa sakit, rasa terluka.
“Kadang-kadang suami terluka dengan isteri. Isteri terluka dengan suami. Bagi ustazah ia adalah perasaan-perasaan yang akan menjerat, yang akan menyempitkan kehidupan kita. Jadi apa kita nak buat? Kita keluar daripada perasaan itu. Kita jangan layan. Dunia ini luas. Banyak lagi tempat yang kita boleh pandang, sudut pandang yang kita boleh pandang.
“Senang. Minta ampun terus. Untuk kita dan anak kita. Untuk kita dengan orang yang kita terluka. Sebab dia pun buat salah, kita pun buat salah. Dan kasihanilah kami, kasihanilah dia kerana dia telah menyakitkan hati saya. Kasihanilah sebab saya terasa hati dengan dia.
“Kita sama-sama perlu dikasihani oleh Allah. (Watubalaina) dan terimalah taubat kami. Bukan maksud terima taubat, tetapi maksud terima taubat ini adalah kita berharap agar Allah memperbaiki diri kita semula. Anak kita sakitkan hati kita, mudah-mudahan Allah baiki dia. Kita sakitkan hati suami kita, mudah-mudahan Allah perbaiki kita.
“Jadi bila kita baca doa ini, alhamdulillah, tidak panjang, tidak melarat-larat, kecil hati sampai hendak bermusuh. Cepat ingat pada Allah. Amalkan doa ini.
Setiap bulan kita berkira-kira bila dapat gaji. Kalau boleh nak selesaikan komitmen yang wajib bayar. Selebihnya baru fikir untuk keluarga dan diri sendiri. Kadang-kadang, kita terlupa nak ketepikan untuk mak ayah.
Dalam kita mencari keberkatan pada duit gaji itu, jangan sesekali lupa utnuk berikan pada mak ayah. Mungkin mak ayah tak harapkan tapi sebagai anak, itulah yang patut kita dahulukan.
Tak kisah sedikit atau banyak tapi prioriti kena no satu bagi pada mak ayah bila dapat gaji dari hasil titik peluh kita. Ini antara ulasan yang diberikan oleh Ustaz Wadi Anuar. Moga bermanfaat.
Dalam perkongsian dalam sebuah video di media sosial, antara apa yang dikatakan ialah:
Dalam senarai untuk bayar komitmen bulanan kita, nak bagi kat mak ayah kita letak no 12, no 9. Sedangkan no 1 untuk hutang rumah, kereta, medical kad. Akhir sekali dengan baki RM50 untuk mak ayah.
Rugi dan salah. Kaedah hidup bila dapat gaji, no satu adalah beri pada mak ayah.
Jangan sesekali jadikan prioriti memberi wang bulanan pada mak ayah no 6-7, nescaya Allah akan bagi no 6-7 dalam permintaan kita.
Sesiapa yang menjadikan kepentingan dan keperluan mak ayah yang pertama, Allah akan jadikan dia yang pertama apabila dia memohon pada Allah.
Anak-anak soleh berbakti pada mak ayah sampai kaya. Sedangkan anak yang tidak soleh tunggu sampai kaya baru nak berbakti pada mak ayah.
Mingguan Wanita : Jadikan amalan wajib tiap-tiap bulan. Mak ayah tak minta tapi bila kita berikan setiap bulan, rasa bersalah dan ralatnya. Hati pun tak tenang kan. Wallahu’alam.
Selalu hati sendiri akan memberontak bila diri mula berasa dianiaya oleh orang yang sangat kita percayai. Sakitnya hati bila bertemu dengan orang yang salah. Kesannya, sehingga mahu membalas perbuatan yang dilakukan itu.
Nasihat pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun ini bagus untuk anda hadamkan baik-baik. Ada hikmah dalam setiap ujian getir bertemu dengan orang yang salah ini.
Tuhan bukan saja-saja menguji, tentunya ujian ini adalah untuk kita kembali kepadaNya. Hadamkan.
Ada Sebab Tuhan Temukan Dengan Orang Yang Salah
Allah menemukan kita dengan manusia yang mengecewakan, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia tempat berharap. Allah menemukan kita dengan manusia yang menyakitkan hati, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang menyembuhkan. Allah menemukan kita dengan manusia yang mengambil haq kita, kerana Dia ingin kita faham bahawa tiada apapun milik kita. Allah menemukan kita dengan manusia yang menzalimi, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang Maha Adil. Allah menemukan kita dengan manusia yang tidak menghargai, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang memberi ganjaran. Belajarlah mengikuti sebagaimana perkataan para Nabi dan orang yang ikhlas:
ﻭَﻣَﺎ ﺃَﺳْﺄَﻟُﻜُﻢْ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻣِﻦْ ﺃَﺟْﺮٍ ۖ ﺇِﻥْ ﺃَﺟْﺮِﻱَ ﺇِﻟَّﺎ ﻋَﻠَﻰٰ ﺭَﺏِّ ﺍﻟْﻌَﺎﻟَﻤِﻴﻦَ “Dan aku sekali-kali tidak minta upah/balasan kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Rabb semesta alam.” [asy-Syu’ara’:164] Muhasabah jauh ke dalam diri, boleh jadi kitalah orang yang menzalimi, menyakiti, mengkhianati dan mengecewakan ?
Allahu Akbar. Teruskan jadi baik, jangan merasa sudah baik, lebih baik rasa masih kurang baik, lalu sentiasalah buat baik. Moga hidup dan mati baik dan Syurgalah sebaik-baik tempat kembali.
MW : Ringkas pesanan ustazah Asma, namun setiap baik katanya menusuk hingga ke dasar hati. Wahai hati yang sedang berduka, bangkitlah dan ingatlah bahawa setiap ujian itu, Allah beri kerana dia sayang. Mahu hambanya dekat dan ingat padaNya.
Tak dinafikan sekarang ini, ramai perempuan sudah pandai cari duit poket. Baik yang belum kahwin mahupun sudah berkahwin. Mereka pencari nafkah untuk membantu pasangan atau keluarga sendiri.
Boleh dikatakan banyak cara untuk perempuan pencari nafkah ini. Lebih-lebih lagi jualan melalui media sosial seperti produk kosmetik, makanan, pakaian dan sebagainya.
Cuma, ada segelintir pencari nafkfkah ini menggunakan cara yang salah dengan mengambil jalan singkat untuk lariskan produk sehingga sanggup lakukan perkara yang memalukan diri sendiri.
Teguran Siti Nur Madihah dala perkongsiannya tentang perempuan pencari nafkah agar menjaga adab. Jangan sanggup melakukan keletah atau aksi yang memalukan sendiri demi untuk lariskan jualan.
Kehidupan ini tidak seringkas yang orang lihat, bukan? Kau, wanita cekal yang membesarkan anak sendirian. Kau, gadis bujang yang berjuang meneruskan kelangsungan hidup di kota metropolitan. Kau, perempuan pencari nafkah di penghujung zaman.
Tulisan ini untuk kau; yang saban malam dan siang, bergelut dengan ombak dan badai yang tak mengenal kasihan.
Kalau dulu, para lelaki segan membiar wanita-wanitanya berhempas pulas membanting tulang. Hari ini, banyak keadaan yang telah serba terbalik dan sengaja dibuat songsang.
Hari ini, para wanita harus memaksa diri ke depan. Kadangkala, bukanlah kerana kesanggupan, tetapi lebih kepada kerana ranjau hidup yang mencengkam. Dan tidak ada yang cuba meringan beban, meskipun di kelilingnya, masih punya wali-wali lelaki yang seharusnya menjaga keperluan.
Tetapi dunia sudah semakin pekak dan kabur pandangan. Apa lagi yang boleh diharapkan dari kejahilan manusia dalam memahami aturan Tuhan?
Jaga Kehormatan DIri
Bahawa kita, para perempuan perlu memelihara kehormatan dan melindungi rahim yang mengandungkan zuriat keturunan. Namun, keadaan yang mendesak telah memaksa seorang ibu dan bakal ibu berjuang di jalanan. Tidak peduli lagi soal keselamatan, tidak mampu lagi memikirkan soal maruah dan kesopanan.
Tuhan melihat setiap kesukaran yang kau pendam.
Pun begitu, setiap perkara yang kita lakukan ada adab dan garis panduan. Sebab kita bukan ternakan tanpa akal dan pertimbangan.
Walau apa pun alasan, jangan gadaikan harga diri dan kemuliaan yang diberikan oleh Tuhan.
Jangan tewas oleh kehendak pasaran. Demi melariskan jualan, kau sampai sanggup mempertayang diri dengan aksi dan keletah mencuit hati dan emosi para pelanggan.
Demi menaikkan tontonan, kau sampai sanggup hasilkan konten-konten sampah yang sia-sia asalkan menghiburkan. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara, teman.
Demi Mencari Rezeki
Bertahanlah, di medan mencari nafkah ini, dengan cara yang terpuji dan terpelihara dari sebarang bentuk aktiviti yang dicela oleh Tuhan. Kerana Tuhanlah yang mencukupkan rezeki, terutamanya ketika semua orang meninggalkan atau buat-buat tidak perasan.
Peganglah kisah dua orang anak perempuan Nabi Syuaib ‘alaihissalam, yang keluar berdua untuk mendapatkan air di tempat awam. Belajarlah bagaimana mereka teguh menjaga kesucian dalam proses memenuhi keperluan.
Lalu Tuhan mentakdirkan Nabi Musa a.s untuk menyaksikan dan menghulur pertolongan. Nabi Musa a.s, pemuda perkasa lagi jujur, Al-Qawiy Al-Amin, berkredibiliti dan berintegriti, akhirnya menjadi sebahagian dari keluarga mereka.
Kita barangkali tidak akan bertemu lelaki era kini yang berusaha mencontohi Nabi Musa, tetapi jangan berhenti berusaha mencontohi dua anak perempuan Nabi Syuaib.
Sebab tujuan kita adalah Akhirat yang abadi, bukan dunia yang tak pasti.
Dan untuk para lelaki yang sewajarnya melindungi, sebelum gigih menuding jari dan ketawa mengeji apabila melihat para perempuan melakukan perkara-perkara bodoh bagi mencari rezeki, tanya diri dahulu, apa yang dah kau lakukan untuk memberdaya sesama sendiri?
Menjawablah para suami, bapa, abang, adik lelaki, bapa saudara, di mahkamah Tuhan kelak, apabila ada dalam kalangan wanita mereka yang sampai terpaksa melakukan apa sahaja demi sesuap nasi.