Anak-anak dalam lingkungan dua hingga empat tahun memang sukar nak difahami. Datang mood baik, memanglah mak,ayah ikutkan saja perangai mereka. Tetapi kalau melampau mulalah mak,ayah rasa nak melenting dengan sikap anak kecil yang kerap meragam.
Pantang tak dituruti pasti anak mengamuk. Disebabkan marah dan tak faham psikologi anak-anak, kita selamba saja cop anak itu degil. Padahal kita yang tak fahami jiwa anak-anak yang makin membesar. Ikuti perkongsian Dr Ahmad Luqman Bukhari ini baik-baik:
Kita yang tak berapa faham psikologi anak, lepas itu selamba saja cakap budak itu degil.
Saya dulu hampir jadi macam tu jugak.
Kadang itu nak suruh anak saya pergi pakai pakaian lepas mandi saja pun tapi tak selesai-selesai sebab dia asyik meragam.
Ada saja benda tak kena.
Mulanya pening kepala jugak kenapalah susah sangat dia ni nak dengar cakap. Rupanya saya ni yang bermasalah sebab saya tak nampak fitrah anak kecil yang sebenar.
Ads
Kalau ikutkan lingkungan umur setahun setengah hingga 4 tahun ni, tengah dalam fasa Ego-centric lagi. Anak kita tu duduk rasa dialah decision maker yang paling bijak. Paling genius.
Adakalanya kalau dia rasa dipaksa-paksa, memang dia akan meragam dan tak nak buat benda tu.
Sebab tu kita mak ayahlah kena jadi lebih hebat dan kreatif. Ini saya nak kongsi tip paling mudah untuk kita berdepan kerenah macam tu.
1. Kita buatkan si kecil tu rasa seolah-olah dia yang berkuasa untuk buat keputusan, dengan cara kita berikan dia pilihan. Contohnya kita tanya dia, “Adik nak pakai baju merah ni ke atau baju biru tu?”
2. Sebenarnya kita dah tentukan pilihan tu daripada awal. Jadi tak apalah kalau dia pilih pakaian yang mana pun sebab tujuan asal kita memang nak dia pakai baju.
Ads
3. Yang tak bagusnya bila kita asyik memaksa saja. Lagi tak best bila sampai ke tahap tinggikan suara. Itu yang buatkan anak memberontak.
4. Namun bila kita sudah berjaya tawan hati si kecil dengan cara yang betul, jangan terkejut kalau makin lama dia makin kurang meragam.
Tolong #kongsikan tips penting ni dengan mak ayah yang lain jugak ye. Mak ayah yang bijak dia tahu apa nak buat untuk jadikan anak lebih tenang dan tak mudah meragam.
Didik anak bukan satu tugas mudah. Kejadian demi kejadian yang berlaku dalam masa terdekat ini memberi tamparan hebat kepada institusi pendidikan dan kekeluargaan.
Dalam tidak sedar, generasi yang kita lahirkan semakin tenat. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap soal pendidikan anak-anak terutamanya soal agama dan akhlak, sudah tiba masanya untuk kita merenung sejenak adakah kita sudah berjaya melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik? Jika tidak, ini masanya untuk melakukan anjakan paradigma.
Tanggungjawab dan amanah ini hakikatnya amat berat dan harus dipandang serius dalam kehidupan. Ini kerana, amanah ini akan diaudit di akhirat kelak. Ini kerana, kehidupan yang kita lalui tidak berhenti di sini sahaja malah kita akan lalui yang kekal abadi di sana nanti. Oleh yang demikian, sebagai muslim, tasawur kehidupan kita harus benar-benar jelas agar kita tidak tersasar dalam meletakkan prioriti.
Dalam soal mendidik anak, yang paling penting adalah memastikan wujud rasa percaya dalam perhubungan kekeluargaan yang sedang kita bina. Unsur ini amat penting bagi memastikan kelestarian perhubungan yang positif sesama ahli keluarga. Usah silap dalam meletakkan percaturan.
Kita mungkin percaya bahawa apabila sudah menjadi keluarga jadi rasa percaya akan wujud secara semula jadi. Perkara ini mungkin betul dari satu segi namun masih banyak harus dilihat kembali.
Rasa percaya tidak hadir dengan sendiri tanpa dibenihkan dengan kasih sayang yang dapat dirasakan. Bukti kepercayaan menebal dalam perhubungan adalah rasa kebersamaan yang kuat sesama ahli keluarga. Sewaktu anak-anak kita masih kecil, mereka amat bergantung kepada kita selaku orang dewasa kerana pada waktu itu mereka masih belum boleh berdikari.
Namun setelah semakin dewasa mereka semakin boleh berdikari secara fizikal dan pada waktu ini ikatan kasih sayang dan kepercayaan yang mengikat mereka untuk kembali dan sentiasa wujud bersama ibu bapa dan keluarga.
Rasa kepercayaan boleh diwujudkan atau diperkukuhkan dengan kasih sayang yang boleh dirasai oleh anak-anak. Mereka harus dapat merasakan bahawa ibu dan ayah amat menyayangi mereka sama ada dengan ucapan atau pun perbuatan. Tanda sayang bukan sahaja terhad dengan material namun lebih lagi dengan sokongan emosi dan dukungan spiritual yang kita berikan kepada anak-anak.
Mereka harus dapat melihat prioriti yang jelas dalam kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya. Kefahaman ini membantu mereka untuk menghayati kehidupan dan tanggungjawab dalam keluarga. Selain daripada itu, masa yang diperuntukkan untuk bersama dengan anak-anak juga merupakan kunci kepercayaan. Apabila ibu dan ayah ada masa untuk mendengar keluhan dan kegembiraan anak-anak maka mereka akan mengiktiraf kita sebagai sahabat mereka yang akrab.
Kita juga akan menjadi orang kepercayaan mereka dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka kelak. Amatlah beruntung ibu ayah yang mendapat kepercayaan ini daripada anak-anak mereka.
Mengapa? Ini kerana apabila kepercayaan ini sudah diperoleh, mudah bagi kita untuk memberikan panduan yang baik kepada anak-anak. Saya pasti tiada ibu ayah yang menginginkan yang tidak baik untuk anak mereka.
Ini berbeza jika, anak-anak lebih percaya kepada rakan-rakan atau orang luar sebagai penasihat peribadi. Sudah tentu cakap kita, nasihat kita menjadi secondary untuk diri mereka. Malah kita mungkin kita dapat mendengar keluhan dan masalah mereka langsung kerana rasa ingin bercerita itu tertutup untuk kita. Nauzubillah. Inilah kegagalan kita dalam mendidik.
Oleh yang demikian, biarkan anak bercakap sewaktu kecilnya dan layanlah mereka dengan baik kerana waktu itu, mereka sedang membina persepsi dan kepercayaan tentang perhubungannya dengan kita. Insya-Allah sewaktu kita perlu mendengar daripada mereka kelak, mereka akan datang tanpa menunggu arahan kita kerana kita pada waktu itu telah pun menjadi orang kepercayaan mereka. Wallahualam.
Normal sekiranya terbit rasa cinta di hati antara pasangan dara dan teruna. Anak-anak remaja zaman sekarang, susah nak halang mereka daripada bercinta sebelum nikah. Mereka ingin memilih sendiri pasangan hidup mereka dan tidak mahu mak ayah yang carikan.
Jika begini keadaannya, mak ayah wajib pantau siapakah jejaka/gadis pilihan hati anak agar hubungan yang terjalin itu patuh syariah.
Namun, ada juga mak ayah yang sangat tegas dalam soal ini. Anak-anak terutamanya anak gadis tak dibenarkan bercinta sebelum nikah dan mereka berhasrat untuk mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka kelak. Normal bagi mak ayah yang takut anak-anak terjerumus dalam perkara yang tak elok jika diizinkan bercinta.
Berpasangan sebagai kekasih sebelum kahwin itu haram! Bercinta selepas nikah itu sunnah! Betulkah pandangan sebegini?
Bagaimana jika proses berkenalan itu belum sempurna, terburu-buru, tidak selidik betul-betul bakal suami atau isteri? Biasanya disebabkan sangka baik yang terlalu baik akhirnya kecundang jua. Tudung labuh serban besar bukan jaminan yang memakainya memiliki iman sempurna dan akhlak mulia. Tiada siapa tahu rahsia yang disembunyi, aib yang sengaja ditutupi dan kemunafikan yang dihias indah!
Malang sungguh, disebabkan mahu menjaga diri dari berpacaran yang tidak patuh syariah maka seorang anak dara patuh suruhan ayahnya untuk menerima pinangan lelaki yang tidak dikenal. Tak sampai setahun bercerai walaupun lelaki itu berkelulusan agama dan warak kononnya tapi rupa-rupanya menyimpan syaitan dalam jubahnya. Kaki pukul, tak bagi nafkah batin, seorang gay yang sengaja mahu menyembunyikan seksualitinya yang sebenar.
Demi mengaburi mata masyarakat ramai lelaki gay yang sengaja kahwin untuk menutupi identiti asli mereka. Akhirnya yang merana adalah wanita-wanita yang masih dara lagi harus menjadi janda.
Lagi teruk kisah isteri yang terpaksa bersaing dengan lelaki yang ‘diminati’ suami, suami biseksual yang tak nampak kepondanannya tapi mempunyai kelaian seks yang teruk, kenapakah mereka tidak mencium kelainan suami sebelum bernikah lagi? Apakah ini bahana cinta sebelum nikah?
Kita tidak nafikan dalil-dalil dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w tentang haramnya bergaul bebas tetapi ia bukan bermakna langsung tiada pergaulan dalam urusan proses sebelum kahwin. Sehinggakan menutup mata terhadap segala kelemahan dan aib manusia yang mungkin disembunyikan bakal pengantin.
Sangka baik itu dituntut dalam agama tapi selepas ikhtiar meneliti asal usul dan keperibadian sebenar sebagaimana yang diketahui orang-orang rapat kepada bakal pengantin. Bukankah Ummul Mukminin khadijah RA mengutuskan sahabatnya, Nafisah binti Muniyyah untuk menjadi ‘mata dan hatinya’ mencari maklumat yang cukup sempurna tentang Muhammad s.a.w.
Bercinta selepas nikah kadang dicampuri unsur riak, mahu menunjuk suci walaupun ia perbuatan hati yang tiada seorang boleh menilainya selain Allah tetapi perlu diteliti apa niat sebenar orang yang mengabaikan asal usul bakal suami atau isterinya itu. Padahal agama menyuruh seorang lelaki melihat wanita yang akan dinikahinya .
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:“Jika salah seorang di antara kalian melamar seorang wanita, maka jika kamu mampu untuk melihat apa yang bisa membuat tertarik untuk menikahinya maka hendaknya dia lakukan”. Jabir berkata, “Maka sayapun melamar seorang wanita lalu saya melihatnya dengan sembunyi-sembunyi (tanpa sepengetahuannya) sampai akhirnya saya melihat darinya apa yang membuat saya tertarik untuk menikahinya maka sayapun menikahinya”. (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan)
Tidak bermakna bercinta selepas nikah itu tidak mengikut syariat bahkan jika kedua bakal pengantin telah meneliti latar belakang dan akhlak kemudian menjalani proses pergaulan patuh syariah sebenarnya ia lebih menepati keadaan masyarakat sekarang.
Kita hidup dalam sistem maklumat dan komunikasi paling canggih yang memudahkan pergaulan yang halal ini dilakukan secara tanggungjawab. Selagia tidak berdua-duaan, tidak menyentuh, tidak merayu dengan suara yang memikat, tidak memandang dengan syahwat maka pergaulan cara Islam ini dihalalkan.
Pada pokok pangkalnya jangan abaikan latar belakang bakal pasangan, minat dan sikap, sumber pendapatan dan harta bendanya, latar belakang keluarga dan pendidikanya, kawan-kawan karib dan hobinya, sifat dan tabiat negatifnya, semua ini kerja besar yang perlukan pertolongan spy profesional.
Malang jika rasa cinta yang membuak-buak boleh menutupi segala kejahatan yang sudah pun nampak di mata. Hati kata sayang maka mata jadi buta, cinta buat mabuk kepayang! Namun beitu jangan pula terlalu cerewet memilih dan menyusah-nyusahkan proses perkahwinan kerana terlalu fobia, bukankah dalam setiap ikhtiar itu ada satu kewajipan untuk tawakkal kepada Allah SWT?
Mengapa gerakan cinta selepas nikah ini menjadi trending? Apakah disebabkan masyarakat sudah marah melihat kemaksiatan yang mengotori pergaulan lelaki dan wanita sehingga mereka yang menyokongnya bersungguh-sungguh mengamalkan proses pernikahan sebegini.
Pergaulan sebelum menikah itu halal, jangan haramkan apa yang tidak diharamkan Allah, ia sama seperti merosakkan kuasa veto Tuhan. Jangan pula mengambil kesempatan dengan melambat-lambatkan proses pernikahan padahal sebenarnya tidak berniat mahu menikah. Pergaulan yang disyariatkan adalah pergaulan yang berakhir dengan matlamat pernikahan bukan untuk main-main cinta.
Cinta selepas nikah memang indah dilafaz tapi terlalu berat dipikul. Bukan mudah untuk memahami orang yang tidak pernah bercakap dan melihat satu sama lain. Apatah lagi jika mereka ada masalah komunikasi, masalah moral yang sebelumnya tidak diketahui, masalah kewangan seperti isteri terpaksa membayar hutang suami sewaktu bujang, masalah penyakit, masalah keluarga mentua dan pelbagai cabaran lainnya.
Wahai wanita, perkahwinan adalah ujian maka eloklah bersedia melihat kejutan yang tak dijangka!
Artikel ini telah dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam dan juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/juanda.jaya.9
Bila cakap luang masa bersama anak je, ramai yang fikir kena pergi bercuti baru dapat bahagiakan anak-anak. Sebenarnya itu yang mak ayah fikir, kita yang ajar anak-anak begitu. Walhal banyak je aktiviti best yang boleh dibuat di rumah.
Lagipun tak semua mak ayah mampu membawa anak-anak bercuti. Ada keluarga yang cukup makan sahaja. Jadi jangan bataskan fikiran kita hanya kerana tidak mampu dari segi pendapatan.
Ada banyak cara kreatif yang boleh kita lakukan untuk luangkan masa bersama yang tersayang. Cipta momen indah ini di rumah kita, tak perlu berjalan jauh untuk bahagiakan anak-anak.
1. Kita ajak anak-anak merancang aktiviti yang mereka ingin lakukan. Antara acara menarik, menonton cerita kegemaran mereka, ibu dan ayah pun kenalah sporting. Selain itu, kita juga boleh berkelah dengan anak-anak di luar rumah, masak menu yang anak-anak suka. Selitkan dengan acara seperti karaoke mahupun games. Barulah suasana meriah!
2. Daripada anak asyik mengadap game, lebih baik ajar anak-anak berbudi pada tanah. Ajar mereka berkebun, pasti anak-anak happy bila pokok yang ditanam hidup subur dan dapat dituai. Banyak pengajaran dalam aktiviti riadah seperti ini.
3. Bagi yang ada sedikit bajet, boleh membeli kolam renang atau khemah. Anak-anak pasti teruja bermain air, silap-silap mereka boleh ‘melayan’ aktiviti ini seharian. Pada sebelah malam, kita juga boleh ajak anak berkhemah di luar rumah.
4. Nak lagi best, BBQ bersama anak-anak sambil berbual dengan mereka. Pasti momen ini antara yang paling anak-anak ingat. Ingat ye, bukan lokasi yang menjadi isu tetapi memori yang kita cipta bersama anak-anak jauh lebih berharga.
5. Mak ayah janganlah memberi alasan sibuk dan tidak mampu. Banyak yang boleh kita lakukan untuk bahagiaakan anak-anak. Paling penting, keberadaan kita di samping anak-anak, itu sudah cukup membuatkan mereka tersenyum lebar.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Penemuan mayat wanita dalam beg di sebuah rumah kosong di Pedas dipercayai berkaitan kehilangan Suri sejak 15 Disember. Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti identiti dan suspek terlibat.