Bila bercakap tentang mak ayah, mesti ramai anak-anak mula ras asebak dan sedih. Maklum saja, bila ingat zaman muda-muda, banyak perkara yang membuatkan mak ayah marah dengan perangai anak-anaknya.
Mungkin tanggapan anak, kalau mak ayah marah sebab dia tak sayangkan kita. Malah, mulalah merasakan mak ayah tidak adil, lebih-lebih lagi kalau ada salah seorang adik beradik yang mereka sayang.
Namun, bila kita meningkat dewasa, berumahtangga dan mempunyai anak sendiri, barulah kita tahu apa yang mak ayah kita lakukan selama ini.
Mak ayah marah kita itulah membuatkan kita menjadi orang dan manusia berjaya. Apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan kita juga.
Sebab itu, kalau mak ayah marah, kita sebagai anak tak perlu sentap atau terasa sebab akhirnya, pada dialah kita merujuk kembali untuk meminta nasihat.
Perkongsian daripada Khairul Hakimin Muhammad cukup menarik dan boleh dijadikan panduan buat anak-anak di luar sana.
Saya ada prinsip yang super kuat tentang emak ayah. Jenis anak yang tak boleh ada dengar sesiapa burukkan mereka. Cepat melenting juga saya cepat naik angin.
Tak kiralah dia adik beradik atau sesiapa sahaja, ia memang tak boleh berlaku di hadapan saya. Saya akan sangat laju mengamuk.
Boleh tanya sesiapa sahaja. Saya tak boleh dengar langsung.
Malah jika kalian cuba burukkan emak ayah kalian dengan saya, itu adalah sebuah kesilapan yang amat besar. Saya akan pandang kalian sebagai anak tak sedar diri, tak malu dan perbuatan itu satu dosa besar menggunung yang saya tak mahu sertai.
Kadang-kadang, benar, emak ayah kita buat silap. Namun saya tetap dengan prinsip saya iaitu “kita takkan lebih besar dari emak ayah.”
Terima sahaja kesilapan mereka, selagi tak berkaitan dengan jenayah atau kesalahan agama, tak perlu nak ambil hati.
Tak Lebih Dari Mak Ayah
Pelajaran saya, ya saya lebih tinggi.
Kemajuan bisnes saya, ya saya lebih perform.
Cara saya berfikir, kaedah selesaikan masalah, ya emak abah suka rujuk, namun saya takkan lebih besar dari emak abah saya.
Sekiranya saya kena tegur, saya bersyukur. Nak merajuk, takkan lama. Pergilah tanya emak abah saya, mereka akan cerita, tanya orang rumah saya, beliau akan cakap.
Emak saya memang garang ya amat. Beliau nak marah, marah ja. Saya selalu kena.
Namun dalam kurang 10 minit saya dah boleh duduk dengan emak semula seperti biasa.
Marahlah macam mana pun, saya akan tetap begitu. Saya ok tak pernah simpan apa-apa dalam hati.
Itulah emak abah yang saya ada.
Ads
Hargai Kata-kata
Lebih saya bersyukur apabila saya kena marah. Itu tanda emak abah sangat sayangkan saya.
Saya pegang yang itu.
Kita ini sebagai anak, kena belajar-belajar hargai setiap apa yang keluar dari mulut ibu bapa. Kena letak dalam kepala setiap teguran itu adalah untuk kebaikan.
Kita pandai, hebat dan bijak sekarang adalah dari didikan emak abah kita.
Apabila kita rasa kita besar, maka berlakulah kebodohan dalam hubungan. Emak cakap, kita bangkang. Bila emak tegur, kita tak nak terima dan emak panggil, kita tak peduli.
Doakan Kebahagiaan Mereka
Kawan-kawan, itu bukan anak yang baik. Kalau nanti kalian dah ada anak, percayalah apa yang kalian buat kepada emak ayah kalian hari ini, anak akan buat balik kepada kalian 10 kali lebih teruk dari itu.
Nak murah rezeki, nak tenang, nak bahagia,
Kalau kena marah, lekas minta maaf.
Malah, kalau kena tegur, lekas minta maaf.
Kalau emak ayah kita lebih pentingkan adik beradik lain, doakan emak ayah kita dapat teruskan hal itu. Mereka lebih tahu anak mana yang utama nak dibantu. Itu kebahagiaan mereka, jangan cuba-cuba sentap benda itu dari mereka.
Itu semua emak ayah kita punya kepandaian. Mereka lebih besar dari kita.
Kecil Hati Dengan Mak
Saya pernah dapat PM itu hari, seorang anak mengadu dia berniaga masakan dari rumah.
Ibunya tinggal dengannya.
Setiap hari, ibunya akan cuba tukar resipi. Kata kena tambah itu, kena tambah ini. Nak beri lagi sedap dan sebagainya.
Si anak ini berasa hati dan apabila dah tak tahan, dia akhirnya tegur emak dia supaya jangan cuba-cuba tambah apa-apa yang dia masak untuk berniaga. Dia lagi pandai dan emaknya tak tahu apa-apa.
Ads
Akhirnya emaknya keluar pulang ke kampung. Berasa hati. Nak jadi cerita, bisnesnya semakin tak menjadi selepas itu.
Kemudian barulah dia perasan, dia tahu yang dia buat silap. Sepatutnya dia bersyukur dia pandai berniaga, dan dia ada emak yang pandai memasak. Dia takkan lebih besar dari emaknya dalam berbuat apa-apa. Sentuhan emaknya itu adalah syurga buatnya.
Sayangi Mak Ayah
Kawan-kawan,
Berhenti rasa diri kita itu lebih besar dari emak ayah. Sekiranya rezeki kalian dapat ibu yang memang hari-hari suka tegur, hadap sahaja. Sayangi sahaja. Bergurau sahaja.
Sekiranya dapat emak yang tak berhenti tegur cara kita masak, hadap sahaja. Enjoy dan jangan berasa hati. Terus jadikan ia sebagai benda bahagia untuk bergurau senda.
Sekiranya dapat ayah yang garang ya amat, nak bersembang pun takut, banyak-banyak kasi hadiah, dia akan rindu suara anak dia selalu.
Kawan-kawan,
Dah ada anak nanti, kalian tahu perasaan ini. Kita memang sentiasa ada rasa nak tegur, nak nasihat, nak beritahu itu ini kepada mereka.
Boleh jadi mereka tak suka, namun itulah kita sebagai emak ayah.
Waktu itu, seandainya anak kita buat perangai dia cuba-cuba jadi lebih besar dari kita, boleh jadi Allah campakkan ingatan kepada kita apa yang kita pernah buat kepada emak ayah kita dulu.
Waktu itu, menyesal pun dah tak berguna. Hadap sahaja. Mana yang masih ada ibu bapa, hargai sahaja keberadaan mereka.
Sayangi dan bahagiakan mereka.
Mereka berdua tetap lebih besar dari kita.
Begitulah.
MW: Mungkin masa kita kecil, bila kita marah, last-last pada di kita pergi. Tapi, anak sekarang bila mak ayah yang dah berusia marah terus merajuk dan tak pulang ke kampung. Ingat, hidup kita ini atas keberkatan doa mereka.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
https://t.me/bangkitwanitaMW
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Tujuh Pilihan Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Nak maju jangan tunggu. Peluang pun datang bukan selalu apatah lagi sekarang ini kita sedang lalui kehidupan sukar berbanding dahulu. Daripada asyik termenung dan meratap pilu, elok mengorak langkah mulakan bisnes baru. Sampai bila nak tengok orang lain maju dan kita masih lagi kaku?
Tiada idea, tak ada kemahiran dan arah nak tuju? Mingguan Wanita (MW) sebagai teman setia wanita sedia membantu dan tahu apa yang anda perlu.
Terkini, selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.
Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik, kursus-kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini.
Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Antara kursus-kursus asas yang dijangka mampu melahirkan peserta yang berkemahiran dan boleh terus dipraktik dalam perniagaan ialah:
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI. Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 12 Jun dan 26 Jun 2021. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti.
Cookies Viral Legend. Jual cookies Paling Masyuk! Orang Malaysia meang suka makan. Cookies atau biskut tidak lagi laris hanya menjelang hari raya. Permintaan cookies memang tinggi dan belajar membuat cookies popular atau sedang trending ketika ini merupakan langkah bijak. Kursus diadakan pada dua pilihan tarikh iaitu 10 Julai dan 24 Julai 2021.
Betapa dalam kehidupan kita berhadapan dengan pelbagai perkara dan situasi baik negatif mahupun positif. Adalah amat penting kita sebagai mak ayah, menyerap hanya perkara yang baik-baik dan mengabaikan aura negatif dalam kehidupan seharian. Jangan jadikan diri kita sebagai ‘Lori Sampah’ yang mempu memberi kesan mendalam pada anak-anak dan rumahtangga.
Berikut perkongsian daripada Puan Najibah Mustaffa mengenai ‘Lori Sampah’ yang boleh dijadikan panduan.
IBU AYAH. JANGAN JADI LORI SAMPAH.
“Law of the garbage truck.”
Pertama kali saya mengetahui istilah ini adalah beberapa bulan lepas. Rupa-rupanya istilah ini datangnya daripada sebuah tajuk buku yang ditulis oleh David J.Pollay di mana ia sangat popular dan memberi kesan mendalam kepada kehidupan ramai orang.
Saya ‘search’ tentang perkara ini untuk mengetahui lebih mendalam lagi, terjumpa page rasmi The Law of the Garbage Truck. Taglinenya adalah
“Spread Gratitude. Not Garbage”.
Sebarkan kesyukuran. Bukannya sampah.
Masyaallah. Kempen yang sangat baik. Dan ia bermula di negara barat.
Definisi ‘Lori Sampah’ Dalam Kehidupan
Lori sampah. Betapa inilah realiti kehidupan kita hari ini. Setiap hari kita bertemu dengan ramainya manusia dan berhadapan dengan banyaknya situasi.Manusia negatif, peristiwa negatif diibaratkan sebagai sampah. Dan kita ini adalah sebuah lori atau trak.
Ada orang yang kerjanya setiap hari mengutip sampah sampah ini dan memenuhkan lorinya dengan segala yang busuk dan meloyakan itu.Dan sampai satu masa, sampah itu telah penuh. Dia terpaksa membuang sampah itu kepada insan sekelilingnya.
Saya terfikir. Betapa ada di kalangan kita ini – ibu ayah selalu sangat jadi seperti lori sampah ini. Tanpa kita sedari.Kita keluar rumah untuk bekerja atau apa jua urusan. Kita bertemu dengan macam macam orang dan keadaan.
Traffic jammed. Merungut.
Di jalanraya, ada pemandu lain memotong dan beri lampu tinggi, terhamburlah sumpah seranah.
Di kedai makan, hidangan lambat sampai. Terus marah marah
Di pejabat, bos tegur itu ini, kita pun terkesan sama, jadi bad mood dan naik angin.
Banyak lagi situasi dan orang sampah yang kita jumpa. Kita kutip dan kutip. Kita benarkan perasaan dalaman kita ditentukan oleh luaran.Sampah ini kita kumpulkan dalam lori kita. Hari demi hari, minggu berganti bulan. Ianya penuh dan membusuk.
Bawa ‘Sampah’ Pulang Ke Rumah
Kita bawa sampah ini pulang ke rumah. Sedihnya, bila sampah ini mulai penuh dan melimpah. Kita hamburkan kepada pasangan dan anak-anak.
Kita pulang dari kerja. Tiada segaris senyum atau wajah ceria. Kita bawa wajah yang sarat dengan beban dan masalah.
Anak-anak bising. Kita marah.
Anak-anak buat sepah. Kita tengking.
Anak-anak datang kepada kita mahu perhatian, kita abaikan.
Begitu juga dengan pasangan. Perli, marah, penderaan emosi jadi perhiasan rumahtangga kita.
Kita buka handphone. Baca berita negatif. Hal bertelagah tak sudah, membawang, gosip itu ini.
Kita kutip sampah lagi.
Kesan Kutip ‘Sampah’
Tenaga emosi kita menjadi sangat rendah. Dalam rumahtangga kita aura nya juga jadi negatif.Dan lagi sedih, pasangan dan anak-anak yang menerima sampah ini boleh menjadi penyumbang dan pengutip sampah juga.Pasangan. Tidak didamaikan emosinya. Lalu dilepaskan kepada anak-anak.
Anak-anak terpinga-pinga. Keliru. Mereka belum mengerti, namun emosi yang koyak rabak itu membentuk mereka jadi keras, kasar, suka bergaduh terbawa bawa ke sekolah. Ada yang jadi pasif. Ramai juga yang kemurungan dan membawa kepada masalah mental yang lainnya.
Allahu. Teruknya kesan sebuah sampah ni kan. Berantai rantai.
Ramai kita tak sedar perkara ini. Saya pun! Dan sangat sebak ketika menulis catatan ini. Sebab teringat kenangan dulu dulu. Waktu saya selalu menjadi pengutip sampah. Semua perkara yang berlaku di luar mudah sangat beri kesan kepada ketenangan diri. Teruk sungguh rasanya.
Pilih Yang Baik-Baik
Setahun dua ini minat saya kepada ilmu keibubapaan membawa saya menerokai banyak ilmu berkaitan psikologi anak-anak. Dan saya perlahan lahan memperbaiki salah dan silap dulu. Semoga anak-anak lupa, tak simpan dalam memori – perihal sampah yang saya kutip dan hamburkan kepada mereka dulu.
Ibu ayah. Semakin kurang kita mengutip sampah iaitu mengizinkan perkara negatif masuk dalam diri kita. Semakin besar sebenarnya ruang dan peluang untuk kita hidup penuh cinta, saling menghargai dan berkasih sayang.
Ya. kehidupan ini sangat sukar. The struggle is real. Namun kita masih boleh memilih yang baik-baik. Dengan mohon kekuatan daripada Allah.
Jangan Jadi Lori Sampah
Mulai hari ini kita katakan pada diri. Jangan jadi seperti lori sampah. Jika ada orang mahu berikan sampahnya kepada kita. Kita jangan ambil. Kita tolak, senyum dan berlalu pergi.
Katakan pada diri. Kita ibu ayah yang keluarnya mencari rezeki buat keluarga. Pulangnya nanti, saat anak isteri menyambut di muka pintu, yang kita mahu bawa bersama adalah kebaikan, wangian, keindahan dan keceriaan.
Ini semua tenaga emosi yang tinggi frekuensinya. Yang insyaallah berupaya menarik lagi banyak perkara best dan indah dalam hidup. Seisi keluarga pastinya bergembira. Lalu turunlah rahmat dan berkat daripada Allah. Jadi lah rumahtangga kita sejuk dan mendamaikan. Syurga sebelum syurga. Insyaallah.
Ibu ayah. Kita cuba ya!
Najibah Mustaffa
Sedang belajar berhenti jadi lori sampah.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah serapkanlah dalam diri hanya aura positif dan perkara yang baik-baik untuk anak-anak. Semoga kita dalam membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah dalam persekitaran yang harmoni.
Mungkin atas faktor ekonomi keluarga mahupun mematuhi dasar kerajaan, sesetengah pasangan seperti di negara Singapura dan China, menghadkan bilangan jumlah anak-anak yang dilahirkan, sejak sekian lama. Kini, kesan tindakan ini mula dirasai di negara tersebut apabila penurunan kadar kelahiran bayi semakin membimbangkan.
Laporan Hindustan Times menyatakan, China menghapuskan dasar satu anak pada 2016, semenjak dasar tersebut dilaksanakan dari tahun lewat 1970-an lagi.Jika sebelum ini, China mengenakan penalti atau ‘Sosial Maintenance Fees’ bagi mereka yang mempunyai lebih 3 orang anak.Kewujudan penalti tersebut memberi tanggapan rakyat bahawa kelahiran boleh menggangu kemajuan negara dan demografi.
Terbaru, China yang bimbang dengan penurunan kadar kelahiran telah menjanjikan subsidi kewangan, perubatan dan cuti bersalin bergaji lebih panjang bagi menggalakkan pasangan suami isteri memiliki anak kedua.
Naikkan Cuti Bersalin
Semua 31 wilayah, daerah dan perbandaran, hampir keseluruhan China, menaikkan mandat 98 hari cuti bersalin kepada antara 138 dan 158 hari, lapor laman web thepaper.com.
Elaun kewangan dan perkhidmatan perubatan juga dimasukkan sebagai insentif bagi pasangan di beberapa daerah.
“Ibu turut dibayar gaji sepanjang cuti bersalin manakala bapa diberi kelayakan mendapat cuti daripada 15 hingga 30 hari secara purata.
“Di bandar raya Shihezi di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, ibu yang mempunyai anak kedua ditawarkan subsidi sehingga 1,000 yuan (RM599) selain membekalkan mereka dengan subsidi susu formula bayi sehingga tiga tahun,” menurut laporan.
Pada masa sama, bandar raya Xiantao di wilayah Hubei juga memberikan subsidi perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada ibu yang melahirkan anak kedua.Bagaimanapun, pakar menyifatkan ia tidak mencukupi kerana kadar kesuburan di China pada 2016 cuma 1.7, yang dianggap rendah.
Menarik sungguh insentif yang ditawarkan oleh Negara China buat rakyatnya agar menambah kelahiran.Setiap anak itu memberi rezeki, namun mak ayah juga perlu membuat perancangan yang terbaik dalam membesarkan mereka serta keperluan mereka pada negara.
Dalam rumah tangga, suami isteri mengharapkan dan impikan keluarga yang bahagia. Bahagia bukan hanya sentiasa berkasih sayang atau romantik sepanjang masa tetapi sebuah keluarga bahagia apabila suami isteri tahu tanggungjawab masing-masing.
Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga turut berkongsi pendapat tentang perkara ini. Katanya, keluarga bahagia yang dianggap oleh masyarakat adalah berdasarkan kepada:
Bebas daripada krisis kesihatan.
Bebas daripada krisis kewangan.
Miliki pengangkutan yang berkualiti.
Saiz rumah dan lokasi rumah yang bagus.
Mempunyai jiran tetangga yang berpekerti mulia.
Budaya bercakap seisi keluarga yang harmoni.
Miliki perolehan sumber kewangan yang mampan.
Jadi, kunci utama bagi membina keluarga yang harmoni, aman, bahagia serta bebas daripada sakit poket dan sakit penyakit ialah rahmat rezeki yang berkat. Terdapat juga pandangan kalangan bijak pandai yang berkata bahawa rezeki yang berkat itu bersifat “Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan”.
Rezeki Yang Diberkati
Salah satu perkara yang suami isteri tahu dalam memastikan punca rezeki jadi berkat, mudah bertambah dan cukup dari semasa ke semasa adalah dengan membudayakan sikap suka bersedekah.
Kalau ada sikap kedekut, memakan riba, memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli, mencuri harta orang lain dan memakan harta anak yatim akan menjadikan seseorang itu rezekinya tidak berkat.
Kena ingat, bila rezeki tidak berkat, macam-macam perkara akan timbul seperti penyakit tekanan emosi, mudah stres, ditimpa pelbagai krisis hidup dan wajahnya akan kelihatan masam, menakutkan dan tidak dipercayai oleh orang kebanyakan.
Antara tanda-tanda hidup orang yang rezekinya tidak berkat ialah:
Ada kerja tetapi kerjanya tidak pernah siap
Ada tindak usaha tetapi hasilnya tidak berbaloi.
Ada duit banyak namun terlalu cepat sangat habis.
Ada banyak masa tetapi sentiasa terlepas begitu sahaja.
Ada banyak kawan tetapi tidak seorang pun sudi membantunya.
Ada bakat istimewa tetapi tidak boleh di manfaat oleh diri sendiri dan orang lain.
Raih Rezeki Berkat
Bagi memastikan rezeki kita berkat, pastikan perkara yang berhubung latar belakang, sebab musabab dan perkara penting berkaitan rezeki yang kita usaha dan miliki iaitu dari segi;
Barang
Sumber
Proses
Bahan
Pilihan
Cara
Ini adalah kerana, rezeki (duit, makanan, pakaian, kenderaan, rumah kediaman dan seumpamanya) akan diguna, dimakan dan dinikmati bukan sahaja untuk diri sendiri malah juga buat pasangan dan anak-anak sendiri.
Jangan ambil mudah berhubung halal dan haram dalam mencari rezeki. Pentas hidup setiap kita di dunia ini adalah untuk dinilai, diuji dan diambil peduli oleh setiap ummah.
Jenis Rezeki Berkat
Setiap pasangan yang beriman, mesti menyedari bahawa untuk mendapat rezeki yang berkat, kita mesti tahu apa jenisnya. Ia bagi membantu pemikiran dan hati kita agar sedar hala tuju dan fokus diri berhubung setiap tindakan yang kita lakukan.
Dari segi psikologi, fitrah setiap manusia ingin rezekinya berkat dan mendapat reda Allah. Berikut adalah jenis-jenis keberkatan menurut perspektif Islam;
Keberkatan zahir: Kekayaan fizikal atau materi berupa harta benda seperti kenderaan, rumah dan peralatan elektronik yang membantu memudahkan seseorang itu beribadat dan menjadi hamba Allah yang soleh.
Keberkatan tersembunyi: Seseorang yang memiliki akal yang cerdas, kesihatan yang baik dan tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh mengganggu kebahagiaan dan keharmonian hidupnya.
Keberkatan akhirat: Seseorang yang tergerak hatinya untuk beribadat kepada Allah (solat sunat, mengaji al-Quran dan bersedekah di masjid) bertujuan untuk mendapat keredaan Allah.
Rezeki Berkat & Keluarga Sihat
Jika suami atau isteri memberi makan minum, pakaian dan rumah tempat tinggal hatta kereta motor yang digunakan bersumber rezeki haram, akan menghadapi krisis-krisis rumah tangga. Contohnya:
Ada kereta, tetapi kereta asyik rosak.
Ada kawan, tetapi kawan makan kawan.
Ada jiran, tetapi jiran tak hormati hak jiran.
Ada pekerjaan, tetapi asyik tukar-tukar pekerjaan.
Ada isteri, tetapi isteri tidak taat kepada perintah isteri.
Ada kemahuan untuk berjaya, tetapi susah nak bertindak dan mencuba jaya.
Ada anak tetapi anak mengalami kecelaruan mental (Mental Illness Disorder)
Biarlah kita bersusah dahulu dan bersenang kemudian. Biarlah hidup kita patuh syariat dengan tujuan terhindar daripada masalah hidup yang berat, tidak bernoktah dan dipandang hina oleh masyarakat. Dengan adanya rezeki yang berkat, keluarga jadi sihat dan mudahlah masalah diatasi secara muafakat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...