Lori alami masalah brek, bayi lelaki maut dalam kemalangan empat kenderaan. Seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan maut manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah lori merempuh tiga kenderaan lain di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk), pada Sabtu.
Lori Alami Masalah Brek, Bayi Lelaki Maut Dalam Kemalangan Empat Kenderaan
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 10.50 pagi itu melibatkan lori dari arah Semenyih yang dalam perjalanan menuju ke Putrajaya.
“Pemandu lori berusia 42 tahun gagal mengawal kenderaan selepas brek tidak berfungsi sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke Plaza Tol Bukit Kajang.
Akibat pelanggaran itu, bayi terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ads
Menurut beliau, pemandu lori berkenaan telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah, dua rekod berkaitan kes dadah serta empat saman lampau,” jelasnya.
Tambah Naazron, kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil membantu siasatan.
Ads
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502,” ujarnya.
Datin Shahida pesan pada anak-anak. Sebagai ibu bapa, nasihat yang berkesan kepada anak merangkumi aspek agama dan duniawi seperti mendidik akhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa, menjaga adab, mengajar tanggungjawab, menyokong minat dan bakat anak, memberi kepercayaan, serta menjadi contoh terbaik melalui perbuatan. Penting juga untuk membina bonding yang kuat, bersabar dalam proses mendidik, dan memilih masa serta cara yang tepat untuk memberi nasihat agar ia meresap ke dalam diri anak.
Begitu jugalah yang diamalkan pasangan pempengaruh dan juga ahli perniagaan berjaya Dato’ Seri Aliff Syukri dan isterinya Datin Seri Shahida. Sebagai ibu dan ayah banyak yang dipesan. Malah biasanya seusai solat mereka akan memberi tazkirah pada anak-anak.
Benarlah bukan mudah untuk mendidik anak-anak namun cara Datin Shaheda dan Dato’ Aliff boleh dijadikan contoh buat ibu bapa di luar sana. Sememangnya kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Terbaru video Dato’ Aliff Syukri menyampaikan tazkirah penuh kasih sayang kepada anak-anak meraih perhatian warganet. Ramai terkejut kerana jarang melihat sisi lembut dan mendalam seorang bapa yang ada dalam dirinya.
Kata-kata nasihat yang lahir dari hati itu bukan sahaja menyentuh anak-anak, malah turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian di TikTok yang berjaya mencuri perhatian ramai hingga meraih lebih 2.1 juta tanda suka dan lebih 5 ribu komen itu, terserlah detik penuh keberkatan apabila Datuk Aliff bersama isteri menyampaikan nasihat dan amanat, ketika duduk berhimpun selepas solat Maghrib berjemaah.
Dalam suasana tenang itu, lahirlah tazkirah seorang ayah yang sarat dengan kasih sayang dan nasihat bernilai.
Tatkala itu juga isi hati seorang ayah yang mahu melihat anak-anaknya membesar dengan jiwa yang kuat, hati yang lembut, serta menjadikan agama sebagai pedoman hidup.
Ramai netizen mengakui tersentuh dengan pengakuan tersebut, rata-rata menyifatkan ia sebagai sisi berbeza Dato’ Aliff yang jarang ditonjolkan.
Ada yang mendoakan beliau terus istiqamah membimbing keluarga dengan nilai agama, malah tidak kurang juga yang berkongsi kerinduan terhadap arwah ayah dan ibu masing-masing setelah menonton momen tersebut.
“Mungkin, inilah watak sebenar Dato’ yang anak dia selalu cakap,”
“Kepada ibu bapa luar sana, kaya atau miskin.. ini satu contoh yang perlu ada pada setiap keluarga, kena ada sesi untuk deep talk, tazkirah dan lain-lain.. buatlah setiap bulan ke, 3 bulan sekali ke, 6 bulan sekali ke.
“Bagus Dato’ Aliff motivasikan anak-anaknya ke jalan Allah. Semoga dirahmati Allah selalu dan dimurahkan rezeki,”
Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan agar anak-anak bukan sekadar berjaya dalam pelajaran atau kerjaya, tetapi juga cemerlang di akhirat.
Anak yang mampu berdikari, berperibadi mulia, serta menjaga maruah keluarga adalah doa yang tak pernah putus daripada setiap ayah dan ibu.
Bagi Dato’ Aliff Syukri, ukuran kejayaan tidak hanya terletak pada wang ringgit atau kemewahan hidup. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila beliau dapat membentuk zuriatnya menjadi anak-anak soleh dan solehah, berilmu, berdisiplin, serta tahu menjaga nama baik keluarga.
“Kekayaan mungkin boleh diwarisi, tetapi bukan iman, kerana itulah abah sentiasa ingatkan anak-anak abah untuk jadi anak yang beriman, soleh dan solehah,”katanya.
Menurut bapa asal Kuala Lipis, Pahang itu, beliau menegaskan, kejayaan dunia hanyalah pinjaman, tetapi kejayaan akhirat adalah bekalan yang kekal abadi.
“Solat jangan ditinggal, jangan tunggu disuruh baru nak buat. Ingat, bila abah dah tiada nanti, semua ini jadi kenangan. Keluarga itu satu amanah. Amayan sebagai anak sulung perlu belajar jadi pemimpin, bertanggungjawab, menjaga adik-adik dan perniagaan keluarga. Jadilah seorang yang tegas, bijak, berfikiran luas dan berjiwa besar,” pesan beliau.
Menurutnya lagi, beliau sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak — termasuk memberikan pendidikan terbaik dan keselesaan hidup.
Namun, hanya Allah yang mampu menjadikan seseorang itu anak soleh dan beriman.
“Sebab itu doa abah tak pernah putus, semoga kamu semua jadi insan yang hebat, beragama, dan mendengar kata. Satu hari nanti, bila abah sudah tiada, kamu jugalah yang akan solatkan dan uruskan jenazah abah,” katanya penuh sebak.
Beliau turut berpesan agar anak-anak menjauhi cinta remaja yang melalaikan, pergaulan bebas dan amalan yang boleh merosakkan masa depan.
“Abah tak kisah anak nak berkawan atau keluar ke mana, asalkan jangan tipu. Ingat, orang bahagia adalah orang yang hidup dengan kasih sayang, bukan dengan kebohongan.”
Tentang soal jodoh, beliau menegaskan pilihan pasangan bukan kerana harta atau pangkat, tetapi kerana budi pekerti dan keturunan yang baik.
“Abah dan mama pernah melalui zaman remaja, memang masa tu hati memberontak. Tapi bila dah meningkat usia, baru kita faham bahawa nasihat orang tua semuanya demi kebaikan,” katanya lagi.
Mahu Anak-Anak Jadi Insan Berguna
Inilah percaturan seorang ayah dan ibu, setiap nasihat, doa dan teguran yang diucapkan hanyalah untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang baik, berakhlak mulia, berjaya di dunia serta mulia di sisi Allah di akhirat kelak.
Detik itu akan menjadi satu contoh bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Pakar Patologi tolak kemungkinan Zara Qairina ditolak atau diserang dalam inkues. Memasuki hari kedua perbicaraan menentukan cara kematian arwah Zara Qairina, di Mahkamah Koroner hari ini Dr Jessie Hiu yang bertugas di Hospital Queen Elizebeth (HQE) menolak menolak kemungkinan Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditolak atau diserang hingga jatuh dari tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan pada awal pagi, 16 Julai lalu.
Pakar patologi ini menolak kedua-dua andaian ini selepas mengambil kira hasil pemeriksaan di lokasi arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di tempat kejadian.
Dalam keterangan hari ini juga, Dr Jessie berkata, besar kemungkinan Allahyarham melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama,” katanya ketika menjawap pertanyaan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad selaku Pegawai Pengendali inkues kematian arwah Zara Qairina.
Pegawai Pengendali: Berdasarkan keterangan bertulis di perenggan 32, boleh Dr terangkan mengenai tidak mungkin jatuh secara tidak sengaja atau ditolak?
Dr Jessie: Berdasarkan pengukuran yang dijalankan di lokasi, tidak mungkin sebab palang besi di tembok koridor asrama begitu tinggi, dia tidak mungkin jatuh sebab palang itu tinggi. Jika ditolak, palang besi akan menghalang daripada jatuh.
Pegawai Pengendali: Apa kemungkinan terbaik?
Dr Jessie: Seperti yang saya terangkan dan demonstrasi dibuat di lokasi, dia (arwah) mungkin berdiri di atas tembok konkrit dan sama ada melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut dari jeriji tergantung.
Pegawai Pengendali: Boleh saya katakan tiada serangan dan punca kematian adalah jatuh dari tempat tinggi?
Dr Jessie: Berdasarkan pemeriksaan lokasi, ya.
Pegawai Pengendali: Boleh sahkan si mati melompat atau menghayunkan diri?
Dr Jessie: Berdasarkan maklumat mengenai posisi dan lokasi si mati pada 16 Julai, dia sama ada melompat atau menghayunkan diri.
Memetik laporan Sinar Harian, pada prosiding hari ini, Dr Jessie turut menjelaskan beberapa gambar yang diambil ketika pemeriksaan lokasi dan demonstrasi yang dibuat bersama pegawai perubatan dari HQE bagi mendapatkan gambaran mengenai bagaimana arwah Zara jatuh.
Katanya, pemeriksaan juga bagi mengenal pasti bagaimana arwah jatuh, berdasarkan kecederaan dan keadaan tubuh arwah ketika ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan pada awal pagi 16 Julai lalu.
Terdahulu, beliau berkata pemeriksaan di lokasi dibuat pada 2 Ogos lalu dengan dibantu pegawai perubatan dari HQE bersama tiga anggota polis dan beberapa kakitangan sekolah.
Ketika prosiding di Mahkamah Koroner, hari ini, Dr Jessie turut menunjukkan bagaimana arwah Zara Qairina mungkin jatuh dengan kaki terlebih dahulu mencecah tanah sebelum badannya rebah dalam keadaan terbaring dengan wajah menghadap ke atas.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ancam pakar patologi saksi inkues Zara Qairina, bekas guru besar didakwa. Seorang bekas guru besar yang didakwa membuat hantaran berbaur ancaman terhadap pakar patologi forensik yang juga saksi prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, Dr Jessie Hiu, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.
Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Terdahulu media melaporkan tindakan seorang bekas guru menggunakan nama profile “Amung Kamaruddin” mengugut mahu mengupah individu melanggar Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama memberi keterangan dalam inkues mencari punca kematian Zara Qairina bermula dari 3 September lalu membawa padah apabila ditahan oleh pihak polis semalam.
Tindakan “Amung Kamaruddin” yang menulis “Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal. Bila dia kerja. Upah bah..mau langgar lari membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa selepas Dr Jessie membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth ada ugutan dibuat terhadapnya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan lelaki berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 pagi susulan kenyataannya termasuk merampas telefon bimbit digunakan lelaki berkenaan.
Hasil semakan terhadap gajet tersebut mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik kandungan di media sosial, selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat.
Memetik perkongsian dari FB Public Health Malaysia masyarakat digesa menghentikan buli atau ugutan di media sosial jika tidak bersetuju dengan pendapat seseorang.
Dr Jessie Hiu bukan nama kecil dalam dunia perubatan. Beliau ialah seorang pakar forensik patologi dengan pengalaman luas, terlibat dalam ratusan bedah siasat, kes jenayah berprofil tinggi, serta menjadi rujukan dalam bidangnya.
Di kalangan rakan sejawatan, beliau dikenali kerana ketelitian, keberanian bersuara, dan komitmen menjaga integriti ilmu.
Bukan sekadar pakar, beliau juga seorang pendidik. Ramai pelajar perubatan dan pegawai muda pernah berguru daripadanya, belajar bagaimana mencari kebenaran melalui sains, bukan sekadar cerita.
Namun hari ini, seorang doktor yang begitu dihormati sedang menjadi mangsa buli netizen.
Hanya kerana penemuan beliau tidak selari dengan “skrip sinetron” yang diinginkan, beliau dihentam tanpa belas kasihan. Ditohmah mengambil wang, dikatakan menjadi alat VIP, malah dihina dengan kata-kata yang langsung tidak mencerminkan adab.
Inilah titik paling rendah apabila seorang profesional yang memikul amanah mencari kebenaran dipijak hanya kerana fakta yang dibawa tidak memuaskan hati sesetengah pihak.
Tarikh Raya 2026 mula menjadi perbualan hangat selepas satu perkongsian di media sosial mendakwa kemungkinan Syawal diumumkan lebih awal seperti yang pernah berlaku pada tahun 2022.