
Masakkan Bekal
Semalam tular isu masakkan bekal di media sosial, asalnya seorang lelaki memuat naik video sedang makan mi goreng dibekalkan ibunya berserta kapsyen hasratnya bertemu bakal isteri yang boleh menyediakan bekal kepadanya.
Hantaran yang dibuat oleh pemuda 30-an itu sekadar suka-suka, namun tiba-tiba tular sehingga mendapat pelbagai respons daripada pengguna Threads sehinggalah ke platform media sosial yang lain.
Menerusi perkongsian Kosmo!, pemuda itu juga menerima pelbagai komen positif terutama daripada golongan wanita dan ibu bekerja yang gembira menyediakan bekalan untuk suaminya di tempat kerja.
“Saya tengok ada komen menarik, lelaki ini kongsi isteri dia masakkan untuk bekal di tempat kerja. Ada itu suami isteri bekerja, walaupun bekerja boleh sediakan bekal untuk suami.
“Saya rasa okey lah kan, jadi saya pun nak macam ni. Kawan di tempat kerja pun, ada yang menyediakan bekal juga (untuk pasangan),” katanya.
Muhammad Amrullah berkata, dia menerima mesej pada aplikasi WhatsApp daripada kawan-kawan berhubung hantarannya pada Threads yang tular ketika ini.
“Semalam tak ada, hari ini tiba-tiba WhatsApp daripada kawan-kawan. Saya pun dah penat menjawab sebab hantaran tu pun dah satu juta lebih view (tontonan). Mestilah mereka tahu.
“Kawan cakap, ‘ni sebab kau lah ni, penuh dengan cekodok’. Saya pun ketawa saja, semua post (hantaran) kat media sosial termasuk Facebook pun penuh cekodok mereka cakap,”
katanya.Muhammad Amrullah yang juga penjawat awam berkata, dia tidak memberikan sebarang maklum balas setiap komen diterima dan hanya membacanya serta mengambil pendekatan berdiam diri.
“Saya tak balas, diam dan tengok saja. Jadi silent reader (pembaca senyap). Saya tak ambil hati, okey je. Orang kata diam lebih baik, jadi saya pilih diam. Kalau layan, makin meleret-leret,” katanya.
Sementara itu, dia berkata, tidak serik untuk menggunakan Threads, tetapi buat masa ini mahu berdiam dahulu serta tidak memuat naik sebarang hantaran pada akaunnya.
Sehingga kini video itu mendapat lebih 53, 000 tanda suka serta 13, 800 komen daripada netizen. Nampak gayanya, laku keras pisang dan jualan cekodok bulan ini! Ternyata gurauan lelaki ini sebenarnya membawa rezeki yang tidak disangka-sangka, ya?
Alhamdulillah.