Tak susah sebenarnya, para suami nak hiburkan dan bahagiakan hati isteri yang dah bertungkus lumus berkhidmat untuk keluarga. Isteri tak mengharapkan wang berjuta dan harta benda, cukup bagi dirinya memiliki suami yang memahami dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan.
Pasti bahagia rasa hati seorang isteri apabila membaca coretan yang dikongsikan oleh Abu Hurairah Asifa ini. Inilah sebenarnya antara tip mudah yang para suami boleh lakukan bagi menghiburkan dan membahagiakan hati para isteri.
Jemput baca perkongsian yang beliau kongsikan;
Bila hantar isteri setiap pagi ke tempat kerja, kadang rasa kesian sangat.Sepatutnya, bukan dia yang memikul tanggungjawab dan mencari rezeki ni.Tapi, isteri tetap mahu membantu meringankan beban dalam setiap usaha dan kerja hari-hari.
Kadang, melihat para isteri yang bekerja ni, yang sedari awal pagi bangun dan siapkan anak-anak, pastikan sarapan suami walau secawan kopi, petang pula berlari berhimpit dalam lrt, meredah hujan dan panas lagi,
Betapa kuatnya wanita hari ini hidup dan terus hidup lagi.
Maka, sebagai suami, ada cara untuk kita bantu dan hiburkan para isteri. Yang membuatkan mereka akan terus hidup dan akan membahagiakan diri serta anak-anak kita nanti.
Ads
Ini tipsnya.
1. Kadang kita takde duit minyak pergi kerja. Isteri faham tu. Dia akan tanya dan kadang akan hulurkan RM50 untuk kita.Ucapkan terima kasih dan bila kita ada lebihan rezeki, pulangkan semula duit isteri tu. Walau mereka tak minta, tapi moga dengan kita beri, rezeki kita akan berkat kembali.
2. Tengah sibuk, tengah serabut, tengah kelam kelibut, jangan minta isteri melayani kita. Buatkan air, tolong urutkan badan, tolong gembirakan, tolong puaskan kita. Tengok isteri penat baru balik kerja, anak tiba-tiba nak susu, kita bangunlah buatkan. Sibuk pagi-pagi, kita tolong isteri siapkan baju anak-anak ke taska dan sekolah.
3. Isteri kalau penat, semua benda dia nak marah. Semua benda dia nak baling. Semua benda dia nak hangin. Cara bantu mereka adalah dengan sabar. Diam je. Pergilah siram bunga ke, betulkan meja makan ke, suap anak biskut ke. Tapi kalau dia rimas dan suruh kita berhenti buat apa-apa, bertukarlah jadi tiang. Yang kekal tegak berdiri.
Ads
4. Kalau isteri tunjuk bil, bagitahu perbelanjaan dan kewangan, itu yang paling isteri risau dan pening. Kalau kita tak mampu bantu, kita dengar dan bagi idea dan ingatkan isteri, tentang rezeki yang Allah nak beri. Kuatkan keyakinan dia. Ajak isteri berusaha lagi dan kita akan terus kuat untuk rumahtangga ini.
5. Hiburan isteri, satu sahaja dalam hidup ni. Suami! Ya! Suami adalah hiburan utama pada isteri. Kita kalau tidak menjadi sumber hiburan isteri, maka isteri akan mencari hiburan yang lain. Maka, hiburkanlah isteri. Jadilah seorang penyanyi. Seorang pelawak. Seorang penyair. Seorang penjual shawl.
6. Kalau isteri penat, peluklah dia. Letakkan bahu supaya dia boleh bersandar. Doakan isteri kita. Selawat dan ciumlah dahinya. Kita pun bukan suami romantik sangat, tapi apa yang kita buat ni, demi amanah yang Allah beri.
Hari ni,kita sebagai suami dan isteri, bukan lagi pasangan yang biasa.Kita di uji dan di sakiti hari-hari. Dengan tekanan dan sara hidup yang gila, dengan ujian di tempat kerja, soal anak yang hari-hari menambah sakit kepala, dan soal pasangan kita yang berubah dan menyakiti hati dengan sikapnya.
Ads
Jadi, apakah jalan keluarnya?
Apa sikap dan cara kita mendepaninya?
Hanya dengan kembali menjadi hamba. Hamba yang banyak memberi dari meminta. Yang terus berjuang dari mengeluarkan pedang dan ajak berperang.
Rumahtangga itu tempat untuk kita mengusahakan bahagia.
Panggillah Allah membela rumahtangga kita.
Panggillah Rasulullah memberkati rumahtangga kita.
Ingatlah, dosa kita, yang menjarakkan kita.
Dosa itu, lebih besar dari salah dan silap pasangan kita.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.Para suami boleh lah amalkan tip yang dikongsikan ini demi bahagiakan para suri hati.
Pernahkah suami menyatakan betapa dia amat mencintai anda? Apakah suami malu mengakui kegilaannya kepada anda di hadapan kawan-kawannya? Sesungguhnya agama kita menyuruh untuk membesarkan dan mengagungkan cinta kepada isteri.
Sehinggakan Rasulullah s.a.w tidak malu menyatakan betapa baginda mencintai Aisyah RA dengan pengakuan yang membanggakan. Rasulullah s.a.w ditanya oleh seorang sahabat: “Siapakah orang yang paling engkau cintai? Baginda bersabda: Aisyah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Cinta terunggul akan wujud apabila bersatu rasa kagum, hormat, setia, tergila-gila, taat, ikhlas yang diadun dalam rasa kasihan belas dan cinta berahi yang gelora. Sebagai isteri jangan hanya menunggu untuk dicintai tanpa berusaha menambat hati suami. Bagaimana cara agar anda dan pasangan saling mengilai satu sama lain?
Mencintai pasangan adalah ibadah yang paling panjang, tiada ibadah lain selama dan sepanjang sebuah perkahwinan. Semua perbuatan kita dikira sebagai pahala dari yang amat ringan semanis senyuman hingga yang amat berat saat menjaga hati pasangan.
Segala ibadah itu berkumpul daripada sekecil-kecil perkataan yang baik, memuji dan memuliakan pasangan, menasihati dengan kasih sayang, sehinggalah sebesar-besar perjuangan memberi makan dan pakaian, mengurus rumah tangga, mendidik akhlak dan menanam roh agama.
Segalanya dikira ibadah walau mengelap debu-debu dalam rumah sehinggalah menahan sabar ketika dilayan dengan kebencian. Semua itu jika dilakukan secara ikhlas akan melahirkan rasa belas kasihan yang berpanjangan, jauh lebih bermakna dari berahinya cinta semusim.
Ikhtiar untuk mengekalkan cinta kepada suami merupakan ibadah, mengkaji dan menuntut ilmu tentangnya juga ibadah. Cinta yang tumbuh dalam rumah kita bergantung dengan seberapa besar cinta kita kepada Allah dan benci yang merebak dalam rumah tangga juga berkait rapat dengan dosa dan maksiat yang dilakukan.
Oleh itu perjuangan mencintai suami anggaplah jihad yang paling berat timbangan pahalanya di akhirat, supaya jika isteri letih dengan kerja seharian masih sudi bangun bila suami bangunkan untuk meminta khidmatnya.
Betapa berat melayan suami dalam keadaan emosi yang tidak stabil, jika isteri niatkannya untuk mendapat pahala sabar maka Allah limpahkan kepadanya pahala itu.
Suami pula terpaksa akur dengan kerenah isteri demi menjaga komunikasi sentiasa harmoni, begitu mudah pahala didapati dengan hanya diam bila isteri cuba buat provokasi. Hubungan sebegini terus dijalinkan bertahun lamanya demi mendapat pahala ibadah berumah tangga.
Sehinggalah mereka terbiasa dengan ujian cinta dan meyakini bahawa pasangan mereka itu adalah ladang pahala, ia akan kemarau jika rasa cinta keduanya kekeringan.
Dengarkanlah suara-suara mereka yang mengagumi suami anda, menghormatinya di tempat kerja dan memujinya sebagai insan mulia dengan sederet jasa-jasa dalam keluarga dan masyarakat.
Jangan tumpukan perhatian anda pada aibnya, kelemahannya dan dosa-dosa yang anda lihat di dalam rumah. Tiada siapa yang sempurna, dia bukan malaikat dan apalah bezanya dengan diri anda yang juga kekurangan? Raikanlah rasa bertuah mendapat pasangan yang Allah pilihkan.
Bukankah suami adalah ‘tanda kebesaran Allah’ kepada diri anda yang lemah? Sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Rum ayat 31: “Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Jika timbul rasa marah cuba sejukkan dengan melihat wajah suami yang merupakan tanda kebesaran Allah yang mesti anda syukuri. Suami pula jangan kasari isteri jika dia tidak taat tapi hadirkan rasa bertuah kerana wajah isteri itu merupakan tanda kebesaran Allah agar suami mendapat pahala sabar dalam pergaulan rumah tangga.
Mengapa Rasulullah s.a.w masih mengingati ummul mukminin Khadijah sebagai cinta pertamanya ketika berada dalam bilik Aisyah RA? Rasulullah s.a.w bersabda: “Dialah wanita yang pertama beriman kepadaku pada saat orang-orang di sekelilingku kafir. Dialah wanita pertama yang membenarkanku pada saat manusia ramai mendustaiku. Dialah satu-satunya wanita yang mengorbankan harta bendanya untukku pada saat manusia enggan menolongku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Cinta pertama yang tak mungkin dilupakan, membekas hingga ke lubuk hati yang paling dalam. Mungkinkah anda mampu menambat hati suami sebagaimana Ummul mukminin Khadijah merantai hati
Rasulullah s.a.w? Pengorbanan apa yang sudah kita lakukan untuk pasangan padahal mulut kita asyik mengaibkannya dan mengeluhkan kekurangannya?
Cinta hendaklah dikawal dengan keikhlasan, jika isteri mencinta suaminya kerana Allah dan membenci kerana Allah maka inilah segila-gila cinta yang diredai-Nya. Bermohonlah agar anda dan suami sentiasa dihidupkan dengan mata air cinta yang diceduk daripada kisah para hamba pencinta Allah SWT.
Penulis : Dato’ Dr Haji Juanda Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam
Kredit foto : Budiey.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Empat tahun membesarkan tiga orang anak sendirian, penyanyi Syura Badron, 32 mengakui ia bukan suatu tugas yang mudah buatnya. Namun segala usahanya hari ini adalah semata-mata untuk kesenangan hidup anak-anaknya kelak.
Ternyata rezeki peserta Gegar Vaganza 4 dan juga Juara Masterchef Selebriti musim kedua ini tidak pernah putus. Berkongsi perkembangan terbaru dirinya, menurut Syura selain aktif dalam seni khususnya nyanyian, dia juga kini mengeluarkan tudungnya sendiri hasil kolaborasi bersama jenama tudung Bonasera.
“Alhamdullilah, mungkin ini rezeki anak-anak saya. Selain aktif dalam bidang seni saya juga sekarang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Baru-baru ini saya berkolaborasi bersama jenama tudung Bonasera mengeluarkan tudung bawal yang saya namakan Syura Badron Exclusive X Bonasera.
“Saya keluarkan tudung bawal dengan 20 warna dan rekaan menggunakan satin violet. Ini adalah pertama kali buat saya kerana ketika menjadi peserta GV4 saya memang memakai tudung jenama ini. Dari situ timbul idea untuk membuat kolaborasi bersama Bonasera.
“Selain perniagaan tudung yang baru saya ceburi itu, saya juga turut menjadi wajah untuk beberapa klinik dan juga produk kecantikan. Ada juga butik-butik yang menggunakan khidmat saya sebagai model mereka dan sebagainya.
“Dalam kerjaya seni pula, Insya-Allah saya akan keluarkan single saya tidak lama lagi hasil kolaborasi bersama Zarimi atau Zimi The Majistret. Untuk single kali ini, apa yang istimewanya adalah kerana lirik lagu saya tulis sendiri. Genre yang akan Syura ketengahkan kali ini juga sangat berbeza dengan genre lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini,”ujarnya.
Ketika menyertai GV4, menurut Syura dia banyak bereksperimen dengan genre-genre lain. Dari situ dia ingin mencuba sesuatu yang baru. Jelasnya lagi, lagu yang ditulisnya sendiri yang berjudul Ego itu bergenrekan muzik pop pasti akan memberi kelainan dari lagu-lagunya sebelum ini.
Anak Jadi Keutamaan
Empat tahun hidup sendiri bersama tiga orang cahaya mata yang comel, ibu kepada Nurul Nadia Irdina, 11, Nurul Qaisara Sofea, 9, dan Muhammad Irfan Aryan, 7, mengakui ada yang cuba mendekatinya.
Namun hatinya masih belum terbuka untuk menerima sesiapa buat masa kini. Baginya anak-anak menjadi keutamaan dalam hidupnya.
“Bukan tiada yang cuba dekat dengan saya, tapi buat masa sekarang saya nak tumpukan perhatian kepada anak-anak saya terlebih dahulu. Mereka semua sedang membesar dan memerlukan kasih sayang saya.
“Jadi keutamaan saya buat masa sekarang adalah anak-anak. Memang tak dinafikan bila terpaksa membesarkan anak-anak sendirian, saya tak punya banyak masa bersama mereka, tapi mereka faham keadaan kerja saya. Saya bersyukur punya anak-anak yang baik dan faham dengan keadaan saya,”ujar pelantun lagu Nazam Berkasih ini.
Dapat Sambutan Hangat
Syura yang merupakan bekas juara Selebriti Masterchef musim kedua tidak sia-siakan gelaran yang ada dengan menjalankan perniagaan tart nanas istimewa resipinya sendiri. Sejak menjuarai pertandingan tersebut, menurut Syura, setiap kali Ramadan dia akan mulakan perniagaan tart nanas.
“Setiap kali Ramadan, saya jual tart nanas. Bisnes ni bermula sejak saya jadi juara Selebriti Masterchef. Alhamdullilah sambutan yang diberikan amat menggalakkan, rezeki anak-anak nak raya,”kata Syura yang amat mementingkan kualiti dalam penghasilan produknya.
Bercerita mengenai rutin berpuasa bersama anak-anaknya, jelas Syura waktu bersama anak-anak agak terhad ketika bulan Ramadan. Ini kerana bisnes tart yang dijalankan memerlukan Syura berada di booth-booth jualan sepanjang bulan tersebut. Namun penyanyi ini akan memastikan dia ada masa berkualiti bersama anak-anak sama ada ketika waktu berbuka atau ketika bersahur.
“Kalau bulan puasa memang saya sibuk dengan bisnes tart. Masa dengan anak-anak agak terhad sikit. Tapi saya akan pastikan saya ada masa untuk mereka sama ada ketika berbuka atau waktu sahur. Alhamdullilah mereka faham keadaan saya, merungut itu biasalah kan budak-budak, tapi saya akan terangkan dekat mereka kenapa saya sibuk,”cerita Syura.
Gayakan Baju Sedondon
Setiap tahun Syura akan pastikan dia dan anak-anak memakai baju sedondon di pagi hari raya. walaupun sibuk dengan urusan perniagaan dalam bulan Ramadan, Syura tetap pulang beraya di kampung halaman tercinta yang terletak di Kempas, Johor.
“Persiapan hari raya saya seperti juga tahun-tahun sebelumnya. Biasanya saya akan siapkan baju raya untuk kami sekeluarga dengan warna dan rekaan baju yang sedondon. Saya dah bertungkus lumus berniaga untuk anak-anak, bila raya nak la pakai baju yang sama dengan mereka.
“Syura biasanya akan balik ke kampung pada malam raya. Anak-anak akan ikut bekas suami dahulu pulang ke kampung. Kampung saya dengan kampung bekas suami tidaklah jauh, jadi dalam perjalanan saya akan singgah ambil anak-anak saya untuk pulang ke rumah ibu saya di Kempas, Johor.
“Rutin saya yang biasa setiap kali tiba hari raya adalah jadi chef dekat kampung. Kalau sebelum ini, selalu emak sahaja yang masak. Masa rayalah nak balas budi mak masak, jadi saya pula turun ke dapaur. Kalau raya kat kampung memang meriah, adik-beradik saya sahaja sembilan orang.
“Malam raya, sampai sahaja di kampung, tukar uniform terus ke dapur untuk masak. Bahan-bahan selalunya mak dan adik-beradik yang lain dah sediakan , saya masak sahaja. Antara juadah yang wajib ada setiap kali hari raya adalah sambal goreng jawa, rendang ayam cili api, masak lodeh dan beberapa lagi hidangan raya yang lain,” ujar Syura bercerita tentang malam raya di kampung.
Momen Bermaafan Menyentuh Hati
Tambah Syura lagi, seperti juga masyarakat Melayu yang lain, pagi raya adalah masa untuk mereka sekeluarga bermaaf-maafan antara satu sama lain sementara menunggu tetamu datang beraya. Kemeriahan hari raya tetap dirasai walaupun diri kini mempunyai tiga cahaya mata yang semakin membesar. Bagi Syura apa yang buatkan dirinya syahdu setiap kali hari raya adalah apabila melihat anak-anak bersalam-salaman meminta ampun dan maaf di pagi raya.
“Apa yang buat saya rasa syahdu bila bermaaf-maafan dengan anak-anak. Tengok mereka dah besar dan semakin matang buat hati rasa sebak. Saya dengan anak-anak memang sentimental sikit, kami memang cepat tersentuh. Walaupun jodoh saya tidak panjang tapi saya bersyukur Allah kurniakan anak-anak yang baik,”akhirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam saat-saat akhir sebelum tibanya Hari Raya, ramai mak ayah yang merebut peluang keluar membeli belah bersama anak-anak. Bila bawa anak-anak kecil membeli belah ni, faham-faham je lah mak ayah memang perlukan kesabaran yang tinggi dalam melayan ragam dan kerenah mereka. Tak habis lagi, beli belah anak dah meragam buat perangai, sudahnya apa pun tak dapat dibeli.
Sebenarnya mak ayah kena faham, ada 6 perkara yang menjadi punca kenapa anak meragam ketika membeli belah.Berikut merupakan perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect sebagai panduan;
Kelmarin di pusat membeli-belah,
“Mama, nak yang ni!” Anak kecil berusia lingkungan 4 tahun menunjukkan t-shirt bercetak kartun kegemaran kepada ibunya. “Kita tak nak beli baju ni adik. Kita nak beli baju Raya,” balas si ibu yang kelihatan keletihan “Adik tak nak baju Raya, adik nak yang ini. Adik tak nak baju Raya!”
Dan bermulalah drama antara dua-beranak itu.
Di celah-celah gantungan baju dan seluar, anak-anak kecil berlari-lari sambal bersembunyi. Ada juga anak yang menari-nari sambal bernyanyi-nyanyi. Tergambar wajah-wajah kegembiraan anak dan tergambar juga wajah-wajah kegusaran ayah dan ibu yang cuba membahagikan pandangan antara anak dan pakaian yang perlu dipilih.
Dari satu sudut yang lain kedengaran tangisan kanak-kanak yang kuat. Si ayah dengan wajah tanpa perasaan dan tanpa berkata apa-apa laju menyorong keluar anak yang menjerit-jerit itu keluar dari pasaraya. Beginilah suasana di pusat membeli-belah yang meriah dengan kanak-kanak terutamanya menjelang Hari Raya dan apa saja musim perayaan.
Ada yang membawa anak kecil untuk meluangkan masa kualiti dengan anak. Ada yang membawa anak kecil supaya saiz pakaian yang dipilih bersesuaian dengan anak. Ada yang membawa anak kecil kerana tiada siapa yang boleh tengok-tengokkan anak jika ditinggalkan di rumah.
Walau apa pun sebab anda membawa anak-anak untuk membeli-belah,
1) Tumpuan dan keceriaan anak-anak ada hadnya.
2) Kesabaran dan kudrat ibubapa ada hadnya.
Jangan biarkan kedua-dua perkara ini sampai ke tahap maksima sehingga merosakkan ‘mood’ kedua-dua pihak dan mencetuskan konfrantasi. Inilah masa terbaik untuk belajar menghormati had masing-masing.
“Nampaknya adik dah letih. Ayah pun dah letih. Jom kita balik.”
Sebelum anak meragam dan mengamuk, sebelum ayah atau ibu turut lesu dengan kerenah anak, eloklah ditamatkan aktiviti membeli-belah atau tunda ke lain kali saja.
Janganlah membeli-belah pada waktu yang tidak sesuai dengan rutin biasa anak. Kita mungkin suka dan selesa memborong pada lewat malam di gudang yang buka selama 24 jam di musim perayaan ini tetapi adakah waktu tersebut adalah waktu terbaik untuk anak? Salah anakkah jika dia meragam?
Sebelum tiba ke destinasi, beritahu anak tingkah laku yang bagaimana yang anda harapkan daripada anak. Anak kecil tidak suka diberi kejutan. Dia juga perlu persediaan emosi dan mental sebelum sampai ke tempat yang penuh sesak dengan manusia di musim perayaan ini.
Jangan lupa berikan taklimat santai tentang keselamatan. Dalam kelam kabut bersesak-sesak itu keselamatan anak paling utama. Pesan kepada anak perlunya anak sentiasa memegang tangan ayah, ibu atau abang kakak yang lebih dewasa.
Pernahkah anak anda ‘hilang’ di pusat membeli-belah?
Positifkan ‘mood’ anak sebelum sampai. Minta anak tolong anda mencari barang-barang yang hendak dibeli. Kanak-kanak suka menolong dan kanak-kanak suka tugasan dan cabaran. Mereka akan sedia membantu. Apabila anak tahu apa yang kita harapkan daripada mereka, anak akan lebih mudah bekerjasama dengan kita kerana mereka tahu apa had dan batasan mereka terlebih dahulu.
Cuba ukur panjang kaki kita dan panjang kaki anak. Ingatlah satu langkah kita bersamaan dengan 2 atau 3 langkah anak kecil, oleh itu anak berkemungkinan besar untuk lebih letih berbanding dengan orang dewasa.
“Eh! tapi kenapa bila main banyak saja tenaga dia? Sampai tak nak mandi Sampai tak nak tidur?”
Bukankah bermain itu kerja budak-budak. Mereka ada banyak objektif dan motivasi untuk bermain tetapi mereka tidak nampak apa objektif mereka membeli-belah. Selalunya apabila dapat saja apa yang mereka mahu mereka akan terus ajak kita balik dan mula meragam. Ketika membeli-belah, kudrat kita masih banyak kerana kita ada matlamat yang hendak dicapai tetapi anak kecil sudah mula letih, dan mengantuk jika mengambil masa terlalu lama. Kenal pasti isyarat dan bunyi tangisan yang menggambarkan anak yang mengantuk, lapar, letih, bosan, marah, dan sebagainya.
Janganlah di’puasa’kan anak kecil juga bersama-sama kita yang berpuasa. Kenyangkan anak sebelum memulakan perjalanan. Bawalah makanan dan minuman sebagai bekal jika kita merasa segan hendak memasuki mana-mana premis makanan di pusat membeli-belah. Anak-anak yang aktif pada mulanya akan mula kehilangan tenaga dan mula terasa lapar.
Ini adalah salah satu punca anak meragam.
Adakah ‘stroller’ anak anda selesa? Adakah anak perlu juga diberi peluang berjalan sendiri supaya kaki kecil anak boleh bebas seketika? Adakah anak terlampau letih berjalan? Adakah anak kecil lebih selamat dan selesa dengan ‘baby carrier’ berbanding ‘stroller’? Adakah anak panas ataupun sejuk?
Keselesaan anak perlu diambil kira. Janganlah dilabel anak mengada-ngada apabila mereka meragam kerana tidak selesa. Semua ini adalah keperluan asas yang seharusnya difikirkan terlebih dahulu jika anda inginkan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan bersama-sama anak. Jika anak sudah mula menunjukkan rasa tidak selesa, pendekkan eksplorasi anda di pusat membeli-belah tersebut.
Ingatlah anak kecil sangat ‘curious’ sifatnya. Ada anak yang belajar dan meneroka dengan lebih efektif melalui sentuhan. Semua benda hendak disentuh, dipegang, ditarik dan dirasa. Bila berada di tempat barangan kaca atau pinggan mangkuk perlulah diingatkan anak. Bukan salah anak jika mereka menarik apa yang dilihat didepan mata. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk pesan dan pantau anak-anak di tempat awam.
Dulu anak kecil saya menjadi tidak keruan apabila melihat sebarang suis atau soket. Dia tidak dapat mengawal dirinya dari menekan suis-suis yang dilihat. Saya dan suami perlu lebihkan pantauan dari sudut itu kerana bimbang dia akan menimbulkan huru-hara di tempat awam. Tambahan lagi ia membahayakan anak dan orang ramai.
Jika anak anda kuat kecenderungannya terhadap sesuatu objek seperti anak saya, maka persediaan dan kawalan perlu dilakukan. Kadang-kadang halangan secara mendadak akan menjadi punca anak meragam.
Ada anak yang tidak suka berada di tempat yang penuh sesak dengan manusia. Ada anak yang cemas berada di tempat yang terlampau luas, hingar-bingar, terang benderang dan bingit dengan muzik yang kuat. Keadaan sebegitu menakutkan bagi mereka. Jangan membuat andaian mereka ok hanya kerana anda ok.
Jika anak dari awal lagi sudah mula meragam, itu tandanya mereka cemas berada di kalangan ramai manusia. Ada yang risau kiranya mereka terpisah daripada anda atau kiranya anda tidak memberi tumpuan kepada mereka. Anda perlu kenal temperament atau sifat semulajadi anak anda dan cari keseimbangan supaya masing-masing merasa selesa berada dalam situasi yang sebegitu.
Elakkan ruang-ruang yang akan memberi stimulasi berlebihan kepada anak contohnya ruang permainan kanak-kanak yang terlalu luas kerana anak mudah meragam jika diajak pergi. Semakin kurang godaan kepada anak semakin mudah untuk anak bertingkahlaku sebaiknya.
Emosi dan mood ibubapa juga akan terkesan apabila terpaksa bersesak dan beratur panjang di kaunter pembayaran. Ingatlah mood anda juga akan mempengaruhi mood anak-anak.
Jika sepanjang masa anda sekeluarga hanya berada di ruangan pakaian dan keperluan rumah, tentulah bosan anak dibuatnya. Janganlah disuruh anak yang sudah lama bersabar untuk terus bersabar. Keceriaan anak ada hadnya. Bawalah juga anak ke kedai atau ruangan yang disukai anak dan boleh menggembirakannya untuk menghilangkan kebosanan.Tambahkan humor dan ‘fun’ ketika membeli-belah untuk mengambil hati anak yang kebosanan.
Mempunyai ‘shopping list’ yang dikongsi dengan anak-anak juga boleh mengelakkan anak-anak dari merasa bosan. Beri peranan aktif kepada anak untuk turut sama membantu mencari barang keperluan tersebut. Anak-anak akan lebih tenang jika mereka mempunyai matlamat.
‘Shopping list’ ini juga dapat melatih anak dan diri anda juga untuk berbelanja mengikut keperluan. Jika anak inginkan sesuatu yang tidak ada dalam shopping list beritahu anak barangan tersebut boleh dimasukkan ke dalam senarai membeli belah yang seterusnya. Jadikan ini peluang untuk mengajar anak tentang nilai wang.
Ini adalah latihan yang baik untuk mengajar anak tentang ‘delayed gratification’ atau bersabar untuk menerima ganjaran, yang didapati semakin menipis di kalangan anak-anak zaman sekarang yang penuh dengan kemewahan.
Jika anak berkelakuan sebaiknya sepanjang berada di pusat membeli-belah, pujilah anak atau berilah ganjaran yang setimpal kepada anak. Ganjaran yang mengejutkan anak akan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan terhadap tingkah laku anak.
Ingatlah apabila membeli-belah di musim perayaan atau bila-bila saja dengan anak, kita perlu lebih peka dengan keperluan anak. Adakah anak letih, lapar, tidak selesa dengan bunyi yang kuat, keliru, perlukan udara segar, perlu lebih bergerak atau perlu lebih pelukan dan pujian.
Dan ingatlah kesabaran dan kudrat kita juga ada hadnya.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah yang nak bawa anak-anak pergi membeli belah nanti,boleh jadikan tip ini sebagai panduan. OK!
Gara-gara gagal membayar hutang perkahwinan kepada bekas isteri sejak tiga tahun lalu, seorang penceramah bebas kontroversi, Farid Abu Auliya dijatuhi hukuman penjara 10 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.