Lelaki berstatus suami orang ditangkap berkhalwat di rumah janda. Seorang wanita berstatus janda dan teman lelakinya yang juga merupakan suami orang ditahan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah kediaman di daerah ini awal pagi tadi.
Lelaki Berstatus Suami Orang Ditangkap Berkhalwat Di Rumah Janda
Serbuan dilakukan kira-kira jam 1.20 pagi susulan aduan orang awam yang memaklumkan kehadiran seorang lelaki ke rumah wanita terbabit.
Menurut kenyataan rasmi JAINJ, pihaknya menemui sebuah kenderaan yang diletakkan berhampiran kediaman wanita berumur 48 tahun itu sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Hasil pemeriksaan dalam rumah mendapati terdapat seorang lelaki berusia 59 tahun yang merupakan suami orang. Ketika diminta, dia gagal mengemukakan bukti hubungan mahram atau dokumen perkahwinan yang sah dengan wanita berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Ads
Penguatkuasa menyerbu rumah didiami janda selepas disyaki berdua-duaan dengan suami orang. Foto Ihsan JAINJ
Difahamkan, lelaki terbabit tinggal berdekatan dan dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan isterinya dengan alasan kononnya mahu memancing atau bertemu rakan di restoran.
Kedua-dua mereka telah dibawa ke Balai Polis Kluang bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.
Wajah seiras, nama panggilan sama dengan anak kandung, wanita teruja bertemu dengan Qisya, anak sulung mangsa Sungai Korok. Sekali pandang, ramai yang terkesima melihat wajah Nureen Keisya Adelea Mohamad Yazid yang seiras dengan arwah Puteri Qisya Nur Izzat, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut dalam tragedi menyayat hati enam sekeluarga di Sungai Korok, Jitra.
Bukan hanya wajah yang hampir sama, kedua-dua kanak-kanak ini juga berkongsi nama panggilan yang serupa serta umur yang sama iaitu 12 tahun.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita bernama Nurul Hidayah Ab Basir, 38 tahun, menerusi satu hantaran yang meraih perhatian ramai di TikTok.
Menurut penjawat awam dari Alor Setar ini, perasaan sebaknya tidak dapat dibendung apabila melihat sendiri wajah Puteri Qisya Nur Izzat buat pertama kali. Pertemuan itu berlaku selepas beliau terdorong untuk menziarahi kanak-kanak tersebut sebaik mengetahui kisah tragis yang menimpa keluarganya.
“Apabila saya melihat wajah Putri Qisya, saya terkenangkan anak saya. Memang serupa dari segi paras rupa, warna kulit, ketinggian dan nama. Saya rasa macam dia anak saya.
“Selain nama panggilan mereka sama, nama saya juga sama dengan Allahyarham ibunya, Nurul Hidayah dan saya kata kepadanya, dia boleh panggil saya ‘mummy’.
“Ini percaturan ALLAH yang tidak terjangka,” katanya.
Tambah beliau lagi, pertemuan itu telah membuka pintu hatinya untuk terus menjalin hubungan dengan Puteri Qisya, malah beliau berharap agar anak itu dapat bersekolah di tempat yang sama dengan anaknya pada tahun hadapan.
Secara tidak langsung, Nurul Hidayah dapat memantau perkembangan Puteri Qisya dengan lebih dekat.
“Seorang wanita tidak lari dengan sifat keibuan, apatah lagi melihat seorang anak kehilangan tempat berpaut.
“Saya tumpang bersedih dengan kejadian yang berlaku kepada dia dan mendoakan anak ini sentiasa berada dalam lindungan dan jagaan orang baik,” katanya lagi.
Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan insiden tragis membabitkan enam sekeluarga yang hilang selepas menginap di rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman pada 5 Julai lalu. Kesemua mereka ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah Proton Saga Iswara yang tenggelam di Sungai Korok.
Mangsa tragedi tersebut ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat orang anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar. Kesemua jenazah telah disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor, Karang, Jerlun sekitar jam 11.50 malam pada hari Isnin.
Campak bayi baru lahir dari tingkap apartmen, wanita menangis teresak-esak di mahkamah. Keputusan akhir melibatkan seorang wanita muda yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh bayi perempuannya lima tahun lalu ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Hakim Rofiah Mohamad menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh baharu untuk menyampaikan keputusan, bagi memberi ruang kepada mahkamah meneliti secara menyeluruh laporan sosial tertuduh, hujahan daripada pihak pendakwaan serta rayuan oleh barisan peguam bela.
“Selepas mendengar rayuan, laporan sosial tertuduh serta hujah daripada pihak pendakwaan, mahkamah mendapati adalah amat susah untuk membuat keputusan terhadap kes ini.
“Oleh demikian, mahkamah memerlukan masa untuk meneliti kesemuanya iaitu laporan sosial, rayuan dan hujah pendakwaan sebelum membuat keputusan terhadap kes ini.
“Maka, saya menetapkan mahkamah akan bersidang semula pada 8 Ogos ini untuk keputusan akhir kes,” kata beliau ketika prosiding berlangsung pada Jumaat.
Sesi mahkamah pada awalnya ditangguhkan seketika apabila tertuduh, M Santhiea, 23, tidak dapat menahan perasaan sejurus gambar bayi dan barang-barang bukti dikemukakan. Dia kelihatan menangis teresak-esak dan ditenangkan oleh peguamnya, RSN Rayer, serta ibunya sebelum prosiding disambung semula.
Dalam pembelaannya, Rayer memohon agar mahkamah mempertimbangkan latar belakang tertuduh yang ketika kejadian baru berusia 18 tahun dan masih menuntut di sebuah kolej swasta.
“Tertuduh telah ditahan reman selama empat bulan di penjara dan hukuman itu telah memberi satu pengajaran kepada tertuduh dan keluarga.
“Selain itu, ketika kejadian, tertuduh cuba membunuh diri selepas melahirkan bayinya kerana takut untuk menghadapi keluarganya terutama ibu bapa.
“Oleh itu, saya mohon mahkamah menggantikan hukuman penjara kepada bon berkelakuan baik berikutan tertuduh merupakan seorang pesalah muda dan telah menghadapi ‘living in hell’ akibat perbuatannya itu,” hujah Rayer.
Namun begitu, pihak pendakwaan berpendirian bahawa kepentingan awam tidak boleh diketepikan dalam kes ini, memandangkan ia melibatkan kematian seorang bayi yang baru dilahirkan.
“Bayi tersebut disahkan masih hidup sewaktu dilahirkan. Dalam mempertimbangkan kes ini, pihak pendakwaan ingin menegaskan bahawa faktor kepentingan awam perlu diberi keutamaan, memandangkan mangsa ialah seorang bayi yang tidak mampu bersuara atau mempertahankan diri.
“Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan mesti mencerminkan betapa seriusnya kesalahan ini, agar menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat serta pencegahan kepada mana-mana pihak daripada mengulangi kesalahan yang sama.
“Mahkamah telah diarahkan untuk meneliti sebab kematian bayi serta faktor-faktor yang menyumbang kepada kes ini. Tertuduh didapati telah membuang bayi tersebut dengan cara yang tidak berperikemanusiaan, melemparkan bayi melalui tingkat bangunan. Sekiranya bayi tersebut dibiarkan hidup, dia kini berusia lima tahun,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiah Dahalaan.
Kes ini berpunca daripada kejadian pada 10 Julai 2020, apabila tertuduh didakwa membuang bayi perempuannya dari tingkap sebuah unit kediaman di Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru Air Itam, sekitar jam 8.25 pagi. Ketika itu, dia baru sahaja melahirkan anak dan dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat komplikasi serta kehilangan darah serius.
Pada awalnya, M Santhiea didakwa mengikut pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan itu digugurkan dan diganti dengan Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang merangkumi kesalahan infantisid iaitu membunuh anak yang baru dilahirkan ketika mengalami gangguan fikiran akibat perubahan hormon selepas bersalin.
Jika disabit kesalahan di bawah seksyen ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Sepanjang tempoh siasatan, tertuduh ditahan reman selama empat bulan kerana tidak dibenarkan ikat jamin. Namun selepas permohonan dibawa ke Mahkamah Rayuan, dia dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM90,000 serta tertakluk kepada beberapa syarat ketat seperti larangan meninggalkan negeri dan perintah berkurung selama 12 jam setiap hari.
Mahkamah akan menyambung semula prosiding bagi keputusan muktamad pada 8 Ogos ini.
Penunggang motosikal meninggal dunia tercampak dalam parit, kemalangan babit dua motosikal. Seorang lelaki berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia selepas tercampak ke dalam parit dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Parit Buntar ke Sungai Bogak, pagi Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 pagi. Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal iaitu Yamaha LC dan Honda EX5 yang dipercayai bertembung.
“Penunggang Yamaha LC, lelaki berumur 58 tahun, tercampak ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Manakala, seorang lagi penunggang motosikal Honda EX5, lelaki berusia 44 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.
Tambah Sabarodzi, ketua operasi membuat penilaian awal di lokasi sebelum mengarahkan pemberian rawatan awal kepada kedua-dua mangsa.
Jenazah mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dibawa ke Hospital Parit Buntar menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan susulan.
Operasi yang melibatkan lapan anggota, satu jentera bomba dan satu unit EMRS itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.00 pagi.
Seronok melihat perkembangan Alana Dunsmore, seorang pempengaruh yang lebih dikenali sebagai alanaspinktravels seorang gadis dari Scotland yang bertemu jodoh dengan pelakon tempatan, Abbas Mahmood di Malaysia.