Lans Koperal Damarrulan Jaga Isteri Strok, 3 Anak Tiri – “Dia Hanya Ayah Tiri, Tapi Jaga Kami Macam Anak Sendiri” ujar Qaidah Thaqifah Mohd Yuslee, 23, mengenang figura bapa tiri yang amat disayanginya, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif.
Lans Koperal Damarrulan merupakan salah seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan.
Qaidah Thaqifah dan dua adiknya, Qamarina Batrisyia, 21, serta Qarisya Safea, 17, membesar dengan kasih sayang lelaki yang mereka panggil “pakcik” itu, seakan-akan ayah kandung sendiri.
“Arwah jaga kami tiga beradik dan mak yang menghidap strok sejak lapan tahun lalu tanpa pernah merungut. Takkan ada pengganti seperti dia,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kuarters FRU Unit 5, Sungai Senam, selepas menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Qaidah turut berkongsi detik akhir sebelum berpisah dengan insan yang dianggap ayah itu. Arwah membelikannya ayam gepuk, makanan kegemarannya, sebelum dia kembali ke kampus.
“Walau sibuk, arwah tetap luangkan masa hantar adik saya Qarisya ke latihan angkat berat setiap minggu. Itu antara pengorbanan yang kami tak akan lupa,” tambahnya sebak.
Ibu mereka, Haswati Rosdi, 44, yang berumah tangga dengan Damarrulan sejak lapan tahun lalu, turut menzahirkan kesedihan yang amat mendalam atas pemergian suami tercinta.
“Sejak saya diserang strok pada 2018, dialah yang beri kekuatan dan jaga saya sepenuh hati. Dengan beza usia 11 tahun, dia tetap bertanggungjawab jaga saya dan anak-anak. Kami memang bergantung penuh padanya,” katanya dalam nada pilu.
Menurut Haswati, arwah menunjukkan kelakuan luar biasa sehari sebelum tragedi berlaku. Dia enggan mencium dahinya seperti kebiasaan sewaktu keluar bertugas.
“Kami sempat bersarapan berdua. Tengah hari tu, dia keluar untuk tugasan. Katanya nak balik semula jam 8.30 pagi keesokan hari, tapi 15 minit selepas itu, saya terima khabar duka,” katanya sayu.
Bagi ibu Haswati, Zamilah Mohd Nor, 65, menantunya itu tidak pernah berkira dan banyak berkorban demi keluarga.
“Dia bukan saja jaga Along (Haswati) yang sakit, tapi juga jaga cucu-cucu saya. Dia menantu yang baik, saya sangat terasa kehilangannya,” ujarnya.
Sumber: Berita Harian
Kredit foto (top image): Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Nahas FRU, Anak Umur 12 Tahun Imamkan Solat Jenazah Bapa
Anak Istimewa Sarjan Mohd Roslan Runtun Hati Warga Maya, Muhd Raqin Rapat, Tidur Bersama Bapanya
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE