KPM bertindak tempatkan Pengetua, HEM & Warden di JPN Negeri, susulan pelajar jatuh bangunan asrama. Isu seorang pelajar tingkatan tiga yang jatuh dari bangunan asrama sekolah di Sabak Bernam yang didakwa dibuli, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertindak pantas menempatkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan Warden asrama sekolah berkenaan ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi membolehkan siasatan dalaman dilakukan.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, satu siasatan dalaman diadakan bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah terlibat.
Memetik kenyataan di facebook miliknya @fadhlina Sidek, dirinya mengambil perhatian kemalangan yang melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.
Jelasnya, pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazi Kahar, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan rakan sekelilingnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shazeli berkata, ketika ini polis sedang mengumpulkan keterangan daripada saksi dan individu berkaitan.
“Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujudnya unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan,” katanya.
Pelajar Tingkatan Tiga kritikal, keluarga khuatir jadi mangsa buli
Dalam pada itu, SINAR HARIAN melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Bapa saudara mangsa Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Menurutnya, keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya kepada Sinar Harian.
Susulan itu, Muhammad Aidi berkata, keluarga sudah membuat laporan polis pada jam 5 pagi tadi di Balai Polis Sabak Bernam.
Pada masa sama, keluarga turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.
“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku jam 2 pagi,” katanya.
Tambahnya, pihak keluarga juga dimaklumkan lima pelajar telah ditahan polis untuk membantu siasatan, namun setakat ini masing-masing enggan memberikan keterangan.