
Berita penting buat bakal-bakal jemaah haji dan ahli keluarga yang akan menghantar para jemaah ke tanah suci, penerbangan pertama jemaah haji 1439H/2018 dijadual berlepas dari tanah air ke tanah suci pada 14 Julai ini, manakala penerbangan terakhir pada 14 Ogos.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata ia membabitkan lapan lapangan terbang utama iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.
Katanya, kuota haji bagi tahun ini masih kekal seperti tahun lalu iaitu 30,200 jemaah.
Beliau menjelaskan bagi operasi haji tahun ini sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan membabitkan 40 pesawat Malaysia Airlines Berhad dan 41 pesawat Flynas.
“Penerbangan balik bermula 29 Ogos sehingga 25 September ini,” katanya pada Sesi Taklimat Operasi Haji 1439H/2018 di Movenpick Hotel and Convention Center, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH merangkap Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Selain itu, katanya buat pertama kalinya bagi tahun ini, jemaah haji dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya akan berlepas dari Kompleks TH Sepang yang sebelum ini dilakukan dari Kompleks TH Kelana Jaya.
Semoga para bakal jemaah haji, mengambil tahu setiap perkembangan yang dilaporkan, bagi memudahkan segala urusan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Syarikat Di UK Jual Udara Segar Pesisir Pantai RM430 Sebotol!

Zaman sekarang ni segala benda boleh dijual untuk dijadikan pendapatan. Hatta udara yang disedut secara percuma juga kini boleh dijual, mendapat permintaan serta hasil yang lumayan. Mungkin agak tidak masuk akal menjual udara segar, namun itulah hakikatnya.
Botol Kaca Isi Udara Segar
Sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom (UK) mencipta kontroversi di dalam talian menerusi jualan botol kaca berisi udara segar dari pesisir pantai dengan harga AS$105 (kira kira RM430) setiap satu.
Oddity Central melaporkan syarikat Coast Capture Air pada mulanya menyasarkan jualan kepada mereka yang berminat menjadikannya cenderahati selain memberi kesedaran mengenai kepentingan udara bersih.
Permintaan Meningkat
Namun, permintaan diterima meningkat hingga menarik perhatian ramai individu terutama dari kawasan tercemar yang sanggup membelinya untuk mendapat kesegaran harian.
Coast Capture Air dalam kenyataan memaklumkan kakitangannya berusaha keras memastikan mereka hanya membekalkan botol udara pantai terbaik di seluruh Cornwall.
“Setiap botol kaca khas Coast Capture Air berisi udara pesisir segar terus dari garis pantai semula jadi dan semula jadi di Great Britain.
“Lokasi pengambilan udara pilihan kami di luar bandar iaitu kawasan tidak tercemar oleh manusia atau jentera, terpencil dan sukar dijejaki.
“Jadi, produk kami sangat berkualiti dan luar biasa kerana sumbernya dari Hartland Point, Pantai Cornish, Great Britain.
“Kami menempuh jarak panjang di Great Britain dan mengunjungi kawasan terpencil dengan keindahan semula jadi luar biasa. Daripada situ, kita dapat mengambil udara paling bersih,” katanya.
Perbezaan Syarikat Lain
Coast Capture Air turut memaklumkan banyak faktor membezakan syarikatnya dengan yang lain.
“Kami memantau dan mengukur setiap botol digunakan.
“Kami guna peralatan sangat sensitif untuk memastikan kebersihan dan kualiti udara dalam setiap botol,” katanya.
Baca Lagi Di Sini:
TUAH Pengutip Sampah, Jumpa ‘Batu’ Wangi Tepi Pantai Bernilai RM2.9 Juta!
MW: Tak sangka mendapat pemintaan tinggi, walupun dara yang dijual ini agak mahal hargnya. Orang memang sanggup membeli udara bersih dan segar, apatah lagi jika sekian lama tinggal dikawasan udara yang tercemar. Namun paling penting, kena ada kesedaran untuk kita menjaga bumi ini, elakkan pencemaran demi mengekalkan udara bersih untuk kita terus bernafas.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Tak Nak Berkerak Dan Berbau Masam, Mak-mak Kena Cuci Botol Susu Cara Ini

Kadang sebab penat dan nak cepat, mak-mak suka biarkan botol susu yang sudah diguna tak berbasuh. Kalau di rumah ada banyak botol susu spare, lagilah lama maknya biarkan botol susu tak basuh sampai keesokan harinya,
Inilah yang salah dan mak-mak yang baru beranak kecil kena tahu botol susu itulah segala tempat bakteria akan melekat kalau tidak dijaga dengan betul.
Jadi untuk selamatkan anak-anak dari peringkat awal, mak-mak kena rajin dan ikut beberapa cara ini…
1. Terus basuh, kalau malas bilas air
Ini memang kena buat! Kalau dah nampak anak habis minum susu, terus ambil botol dan goncang dengan air dulu. Lagi elok, rendam dengan air suam. Kalau pun malas sangat, pastikan bilas air. Nak basuh esok hari pun, tak kisahlah. Janji susu tak terbiar dalam botol lama sangat. Itu yang boleh berkerak!
2. Sabun khas
Nak basuh botol susu ni tak bolehlah guna pencuci pinggan mangkuk yang sedia ada. Bahaya! Mak-mak perlu sediakan cecair khas untuk mencuci botol bayi. nak jimat, cari yang murah. Janji selamat dan tak ada kesan pada bayi.
3. Leraikan satu-satu
Janganlah cuci botol anak dengan puting melekat pada bekasnya. Leraikan satu-satu dan rendam air panas.
4. Guna berus khas
Berus khas senang untuk ibu basuh bahagian dalam. Senang menghilangkan saki baki susu yang melekat. Teliti sedikit di bahagian puting susu agar ketulan susu tertanggal.
5. Garam
Sedikit sukar untuk cuci bahagian puting susu. Jadi ambil garam dan sapu di bahagian dalam puting susu. Gerakkan ke sekeliling dengan cara memicit dan mengurut hujungnya. Letakkan juga ke dalam botol susu yang kotor dan goncang dengan air. Ini dapat hilangkan saki baki susu dan bau masam susu.
6. Guna jarum
Basuh botol susu dan peralatan lain dengan sempurna di bawah air mengalir. Guna jarum untuk membersihkan lubang-lubang pada puting susu.
7. Sterilkan botol susu anak
Setiap kali selepas cuci, anda kena sterilkan botol susu anak, cara ini untuk bunuh semua bakteria yang mungkin masih ada di dalam botol susu. Rendamkan dalam air panas selama 10 minit selepas dicuci dengan pencuci khas.
8. Jangan basah
Botol yang lembap boleh undang bakteria lebih cepat, jadi seeloknya pastikan botol susu anak kering. Kalau puting susu anak dah berkerak, tukar baru! Nak cepat kering, belilah tempat letak botol susu. Apa salahnya sediakan untuk jaga kesihatan anak.
BARANG PERLU ADA BILA ANAK HISAP SUSU BOTOL
1. Berus khas cuci botol susu anak
2. Sabun pencuci botol anak.
3. Tempat keringkan botol.
Macam Mana Nak Cuci Kalau Botol Dah Berkerak
Sediakan bahan:
Gunakan air panas untuk hasil yang lebih berkesan
Sedikit garam dan beras
Caranya:
1. Masukkan beras ke dalam botol dan isi air panas.
2. Tutup botol dengan penutup dan goncang sampai kerak tak ada.
3. Bilas dengan air sampai cuci.
4. Ulang langkah yang sama untuk garam. Dan kalau nak lebih bersih, mak-mak boleh guna berus botol.
5. Untuk puting pun sama, masukkan beras dan air panas kemudian picit sampai hilang kerak.
Ok, itu sahaja tip penting buat ibu yang baru ada anak, moga bermanfaat buat semua!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Peguam Syarie Kongsi Isteri Kena Penjara 7 Hari, “Lebih 80 Kali Sengaja Ubah Tempat Pertemuan Bekas Suami & Anak”

Peguam syarie kongsi isteri kena penjara 7 hari, “lebih 80 kali sengaja ubah tempat pertemuan bekas suami & anak. Kes seorang ibu yang di penjara oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana dengan sengaja tidak beri kebenaran kepada bekas suami bertemu anak agak memeranjatkan.
Ini kerana kita biasa mendengar ada lelaki yang di penjara kerana gagal membayar nafkah anak tetapi kali ini ia melibatkan seorang isteri yang didapati lebih 80 kali dengan sengaja mengubah tempat pertemuan anak dan bapanya.
Peguam Syarie Kongsi Isteri Kena Penjara 7 Hari
Ikuti perkongsian dari peguam syarie, Fahmi Ramli dari Tetuan Khairul Fahmi & Associates mengenai hal ini.
Penjara kerana anak
Pada asalnya, saya bercadang untuk kunci mulut terlebih dahulu sehinggalah ada fakta kes yang jelas diketahui. Sebab keadilan ini mesti datang dengan keterangan dan pembuktian.
Ramai orang kecoh dan menghentam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah apabila memenjarakan seorang ibu yang telah melanggar perintah Mahkamah berkaitan dengan hak jagaan anak.
Ramai yang mencemuh katanya mahkamah zalim, bapa zalim dan sampai satu tahap ada yang mengkritik Islam itu zalim. Nauzubillah.
Percayalah, Islam tak pernah zalim.
Yang zalim apabila kita tidak mengikut apa yang telah ditentukan syarak dan undang-undang serta tidak meletakkan sesuatu perkara betul pada tempatnya.
Saya menyeru untuk semua follower yang membaca untuk bertenang, dan nilaikan sendiri dengan akal yang waras.
Apakah perintah asal berkaitan jagaan anak?
Bagi suami isteri yang bercerai, salah satu isu yang bakal timbul di Mahkamah adalah berkaitan dengan hak jagaan anak. Semua orang yang selalu saya terangkan akan faham, saya selalu cakap, bab jagaan anak adalah bab kebajikan anak.
Dan keutamaan biasanya diberikan kepada ibu kerana hak jagaan disisi undang-undang dan syarak akan diutamakan kepada ibu mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Tapi, yang paling baik bila ada pertikaian berkaitan hak jagaan anak adalah diputuskan melalui Persetujuan. Kes pihak-pihak adalah Perintah Jagaan yang diputuskan bukan melalui paksaan Mahkamah, tetapi melalui Persetujuan pihak-pihak.
Maka, bekas suami dan isteri, sangat perlu menghormati perjanjian apatah lagi bila ia melibatkan Perintah Mahkamah.
- Bolehkah mengubah atau melanggar perintah ikut suka?
Apabila sesuatu perkara itu telah menjadi Perintah Persetujuan ia tetap dikira perintah Mahkamah. Setiap pihak-pihak yang terlibat sangat perlu mematuhi perintah.
Jika salah satu pihak melanggar perintah, ia boleh dianggap sebagai satu kesalahan. Dan pihak yang dianiaya tersebut, berhak, untuk memohon supaya perintah tersebut dikuatkuasakan.
Jika, bekas isteri atau suami rasa terbeban dengan perintah tersebut, mereka sepatutnya boleh membuat tuntutan Ubah Perintah di Mahkamah yang sama keluarkan perintah tersebut.
- Adakah Mahkamah akan terus perintah penjara?
Tidak. Mahkamah Syariahlah yang paling kurang bagi penjara meskipun melibatkan kes-kes jenayah syariah yang walaupun dah termaktub setiap kesalahan yang ada hukuman penjara.
Apatah lagi nak hukum penjara keatas wanita yang bergelar ibu dan isu yang berkaitan dengan Perintah Hak Jagaan Anak.
Permulaan kepada kes Komital (Hukuman Penjara) perlu bermula dengan satu Permohonan di Mahkamah Syariah. Ia mesti dibuktikan sekeras-kerasnya apakah pelanggaran yang berlaku.
- Apakah wujud pelanggaran dalam kes tersebut?
Mengikut fakta, si bapa ini diperintahkan untuk berjumpa di Kuala Lumpur, tapi si ibu dengan sengaja mengubah lokasi ke Kajang iaitu satu tempat yang bertentangan dengan perintah yang mereka persetujui.
Ini bukan kali pertama. Lebih daripada 80 kali perkara tersebut berlaku seorang bapa dinafikan haknya untuk berjumpa dengan anak-anak.
Mahkamah tidak zalim. Mahkamah beri peluang kepada si ibu untuk bela diri kenapa berbuat demikian apabila mengeluarkan satu Notis Tunjuk Sebab pada 17 Januari 2019. Lebih daripada 20 orang Peguam Syarie bertukar ganti untuk bela si ibu.
Melalui perbicaraan dan keputusan Yang Arif Hakim, pihak si ibu telah gagal membuktikan alasan yang munasabah dan ada pengakuan sendiri si ibu yang dia ingkar perintah tersebut dengan alasan yang tidak munasabah.
Pengalaman kes saya sendiri?
Dahulu, saya ada satu kes yang lebih teruk berlaku kepada si ibu. Mahkamah Tinggi Syariah telah putuskan hak jagaan kepada si ibu dan si bapa diberikan hak untuk melawat pada bila-bila masa yang munasabah.
Tapi, perintah ini jadi sia-sia apabila anak-anak dibawa lari dan disembunyikan tanpa jejak. Jenuh saya naik turun Mahkamah untuk dapatkan pula Perintah Penguatkuasaan untuk dapatkan kerjasama pihak berkuasa.
Tapi, masih lagi belum berjaya.
Hinggalah ke peringkat Akhir, kita dapat menjejaki si bapa, saya segera dapatkan Notis Tunjuk Sebab namun banyak halangan yang masih dilalui hanya untuk dapatkan keadilan serta jagaan anak tersebut.
Kes ini makan masa lebih daripada 3 tahun. Si ibu dinafikan haknya di Mahkamah.
Namun, pada tahun keempat, akhirnya berjaya dibawa si bapa ke Mahkamah dan kuasa Allah pada ketika itu, anak-anak juga dibawa ke Mahkamah.
Adakah Mahkamah terus jatuhkan hukuman penjara? Tidak. Mahkamah tegaskan dan berikan amaran sekeras-kerasnya kepada si bapa supaya Jangan Hina Perintah Mahkamah.
Dan si ibu juga memaafkan peristiwa lalu. Si bapa akhirnya dilepaskan dari segala waran tangkap sebab keadilan telah diperoleh.
Kesimpulan,
Masih kejamkah Mahkamah Syariah apabila memerintahkan penjara 7 hari kerana pelanggaran perintah melalui perbuatan sendiri?
Saya selalu berpesan, seorang bapa, jika jahat atau teruk macam mana sekalipun, selagi dia adalah Bapa Kandung, selagi itu, dia berhak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Begitu juga dengan si ibu, teruk macam mana sekalipun, bab jagaan anak, ibu tetap ada hak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Islam tidak pernah zalim. Islam diturunkan untuk membela hak Lelaki dan Wanita. Penjara bukan untuk lelaki sahaja. Hukuman dalam Islam juga bukan untuk lelaki semata-mata.
Berlapang dada. Fahamkan dahulu asas kes sesuatu. Baru menilai. Hormatilah undang-undang, apatah lagi perjanjian yang kita lakukan sendiri.
Islam Adil Untuk Semua.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Terkahwin Sesama Adik Beradik, Peguam Syarie Dedah Anak Dalam Kandungan Dikategorikan Anak Sah Taraf Tetapi…
Lelaki Kalau Ajak Poligami Tapi Nak Nikah Di Siam, Peguam Syarie Nasihat Wanita Tinggalkan Dia
Suami Panas Baran, Isteri Jangan Berdiam Diri, Peguam Syarie Beri Saranan Apa Nak Buat
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI