Khairy Jamaluddin Puji Gula Cakery, Arieni Inspirasi Wanita Usahawan Malaysia

Share

Nama Gula Cakery kian harum sebagai jenama F&B tempatan, seiring dengan perjalanan luar biasa pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal . Dari sekadar simpanan kecil dan oven di rumah keluarga, beliau kini berdiri megah mengemudi sebuah empayar pencuci mulut dengan jualan mencecah RM4 juta sebulan.

Baru-baru ini, usaha gigih itu turut mendapat perhatian dan pujian daripada bekas Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin. Katanya, Gula Cakery adalah bukti nyata bagaimana impian, disulami kerja keras dan konsistensi, mampu mencipta keajaiban.

“Saya rasa sangat terharu apabila YB Khairy Jamaluddin puji usaha kami. Beliau memang seorang pemimpin yang saya hormati. Pada masa yang sama, pujian itu buat saya rasa saya perlu buat lebih baik lagi supaya Gula Cakery terus kekal kukuh dan berkembang,” kongsi Arieni, penuh rendah hati.

Dari Dapur Rumah Ke Empayar Jutaan Ringgit

Kisah Gula Cakery bermula dengan modal RM20,000, hasil simpanan sendiri. Setiap keuntungan disimpan semula untuk membuka cawangan baharu, malah Arieni berani menyertai pertandingan demi meraih modal tambahan dan peluang bimbingan.

Apa yang membuatnya kekal relevan hingga hari ini? Rahsianya terletak pada inovasi berterusan, keberanian mendengar maklum balas pelanggan, serta pasukan yang konsisten.

“Prinsip saya mudah, never stop learning. Saya belajar resipi baharu, operasi dan kepimpinan. Mindset ini buat saya berani ambil peluang dan sentiasa perbaiki diri serta bisnes,” jelasnya.

Cabaran F&B: Bertahan Dengan Konsistensi

Mengemudi perniagaan F&B bukan jalan mudah. Industri yang kompetitif menuntut Gula Cakery sentiasa mencipta kelainan, menjaga kualiti, dan memperbaiki pengalaman pelanggan.

“Cabaran paling besar adalah untuk terus relevan. Kami atasi dengan inovasi berterusan, tingkatkan pengalaman pelanggan, serta pastikan servis dan kualiti sentiasa konsisten,” katanya lagi.

Baginya, kejayaan bukan sekadar soal resipi sedap, tetapi misi yang jelas untuk membawa nama jenama tempatan berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa.

Pesan Buat Anak Muda: Jangan Tunggu Sempurna

Arieni juga menitipkan nasihat buat anak muda yang masih ragu-ragu memulakan langkah dalam dunia bisnes.

“Jangan tunggu semua sempurna. Saya pun mula dengan modal kecil dan pengalaman terhad. Passion itu penting tetapi tak cukup, perlu ada konsistensi dan disiplin untuk bertahan. Mulakan langkah pertama dan belajar dari setiap cabaran, di situ letaknya kekuatan sebenar,” ujarnya penuh semangat.

Nilai Yang Kekal Sama: Kejujuran & Kualiti

Walau kini bergelar usahawan berjaya, prinsip yang dipegang Arieni tetap utuh. Jujur dan menjaga kualiti.

“Setiap kek mesti rasa sedap sama seperti hari pertama. Pelanggan mesti rasa dihargai. Itu yang buat orang percaya dan kembali lagi,” katanya.

Impian Lebih Besar: Gula Cakery Ikon F&B Malaysia

Melihat ke hadapan, Arieni mahu menjadikan Gula Cakery sebagai jenama F&B tempatan terbaik dan pusat sehenti untuk kek, makanan serta pencuci mulut.

“Kami mahu membuka lebih banyak outlet di setiap negeri. Biar bila orang fikir tentang sambutan atau perayaan, nama Gula Cakery terus jadi pilihan pertama,” katanya penuh keyakinan.

Sokongan Keluarga, Rahsia Kekuatan Seorang Wanita

Tidak lengkap kejayaan seorang wanita tanpa sokongan dan dorongan dari keluarga sebagai penguat semangat untuk berjaya. Bagi ibu kepada tiga cahayamata ini, keluarga adalah tunggak utama yang mendorong kejayaannya ini.

“Mereka kata, sokongan terbaik dalam hidup datang daripada keluarga. Dan itulah yang saya rasakan setiap hari. Sejak mula melangkah dalam dunia perniagaan, ibu adalah insan pertama yang menjadi tulang belakang.

Beliau sentiasa meletakkan anak-anak sebagai keutamaan, malah pernah menjadi “washer” saya pada hari-hari awal ketika saya membakar tanpa henti. Hari-hari memasak, hari-hari juga ibu yang mencuci periuk dan kuali.

Ayah pula, meskipun bekerja jauh di luar negara dan terkenal dengan sikap tegasnya, tidak pernah sekali pun berkata “tidak”. Diam-diam beliau sentiasa menyokong, menjadi contoh teladan sebenar buat saya.

Dan tentunya, insan paling istimewa, suami yang paling menyokong dalam setiap langkah. Tidak perlu lagi diperkenalkan. Sikapnya yang berlawanan dengan saya menjadikan kami saling melengkapi. Sentiasa ada di sisi, memberi sorakan dan semangat dalam setiap pengembaraan baharu.

Sungguh, tanpa keluarga, tidak mungkin saya mampu berdiri seteguh hari ini. Kerana di sebalik setiap kejayaan seorang wanita, ada doa, kasih, dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus,”ujar Arieni mengakhiri bicara.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu