Ketua Pemuda Umno Maran Dihempap Pokok, Sayu Hati Melihat Wajah Anak Kecil Kehilangan Insan Tersayang

Share

Tragedi di Bentong, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, antara empat sekeluarga yang disahkan meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang.

Ketua Pemuda Umno Maran Dihempap Pokok

​Insiden yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu turut meragut nyawa isteri beliau, Nuriani Mohammad Jafri, 36; adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35; serta seorang daripada anak kembar pasangan berkenaan, Muhammad Rizz Hazim, yang berusia lima tahun.

​Seorang lagi anak kembar mereka, Muhammad Rizz Haziq, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan intensif di Hospital Temerloh selepas diberikan rawatan awal di Hospital Bentong.

Kenderaan jenis Ford Raptor yang dinaiki lima sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Bentong menuju ke Janda Baik sebelum dihempap sebatang pokok yang tumbang secara tiba-tiba.

Kerja-kerja menyelamat mengambil masa lebih satu jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.

Pegawai perubatan di lokasi mengesahkan empat daripada penumpang telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat impak kecederaan.

​Kesemua jasad mangsa yang terkorban telah dipindahkan dari lokasi kejadian untuk tindakan susulan pihak berkuasa. ​Mayat keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh bagi menjalani proses bedah siasat.

Sayu Hati Melihat Wajah Anak Kecil Kehilangan Insan Tersayang

​Mangsa yang selamat namun berstatus parah terus dipantau secara rapi oleh pakar perubatan di Hospital Temerloh. Sayu dan pilu melihat raut wajah insan kerdil yang kehilangan insan tersayang sekelip mata dalam tragedi menyayat hati.

Sedih dengan ujian yang menimpa ahli keluarga ini, semoga roh Allahyarham dan ahli keluarga yang turut terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Al Fatihah.

Gambar: Media Sosial

 

Published by
Nadia Mohamad