Kes Zara Qairina: Polis perketat kawalan di tanah perkuburan. Polis meningkatkan kawalan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol bagi memastikan privasi dan keselamatan penduduk sekitar sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand memaklumkan, langkah itu merangkumi pemasangan garisan polis serta pelantikan penduduk kampung sebagai pengawas komuniti di kawasan berkenaan.
“Selama seminggu, kita akan memasang garisan polis pada jarak 100 meter dari kawasan pengebumian.
“Akan ada rondaan berkala oleh anggota polis di kawasan itu, dengan bantuan penduduk kampung sebagai penjaga di dalam kawasan perkuburan,” katanya.
Awang turut menyeru orang ramai, khususnya pencipta kandungan, supaya menjaga privasi penduduk yang tinggal berhampiran tanah perkuburan tersebut.
Tindakan ini diambil selepas tanah perkuburan itu menjadi tumpuan susulan proses penggalian dan pengebumian semula pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Zara Qairina Mahathir, yang kesnya masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Jenazah remaja berusia 13 tahun itu dikebumikan semula malam tadi selepas menjalani proses bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Pengebumian semula tersebut berlangsung kira-kira 30 minit dan selesai sekitar jam 1 pagi.
Zara Qairina sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Dr Khairul Anuar Zainun, Ketuai Bedah Siasat Jenazah Zara Qairina Bukan Kaleng-kaleng Orangnya
Kes Zara Qairina: Laporan Forensik Mungkin Ambil Masa Sehingga Dua Bulan- Peguam
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE