Kes Zara Qairina: Datuk Ram Singh wakili 1 daripada 5 tertuduh. Pasukan peguam yang diketuai oleh Hamid Ismail, mewakili Noraidah Lamat iaitu ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dilihat berada di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu hari ini bagi mengikuti prosiding pertuduhan melibatkan lima remaja di Mahkamah Kanak-Kanak.
Kes Zara Qairina: Datuk Ram Singh Wakili 1 Daripada 5 Tertuduh
Menurut Hamid ketika ditemui media, pihaknya bercadang untuk mengemukakan permohonan penangguhan terhadap prosiding pendakwaan berkenaan.
Dalam masa sama, kelihatan juga barisan peguam bela diketuai Datuk Ram Singh yang difahamkan mewakili salah seorang remaja yang berdepan pertuduhan tersebut.
Ads
Prosiding dijangka berlangsung pada bila-bila masa di bilik Mahkamah Kanak-Kanak, manakala kawasan sekitar mahkamah turut menjadi tumpuan media yang hadir bagi membuat liputan kes berprofil tinggi ini.
Ads
Bagaimanapun, pengamal media tidak dibenarkan untuk mengikuti perjalanan prosiding dari dalam bilik mahkamah selaras dengan ketetapan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Jasad Syamsul Haris dalam keadaan baik, bedah siasat kedua esok. Proses bedah siasat kedua ke atas jasad pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, akan dijalankan pada esok pagi.
Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh memaklumkan bahawa kerja penggalian semula kubur dilaksanakan oleh empat penggali bermula jam 8.45 pagi tadi, sebelum jasad berjaya dikeluarkan pada jam 9.22 pagi.
“Jasad dalam keadaan baik dan dibungkus dengan bungkusan khas disediakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Beberapa prosedur akan dijalankan petang ini, manakala proses bedah siasat akan diadakan jam 9 pagi esok,” katanya ketika ditemui di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, hari ini.
Menurutnya lagi, pihak keluarga berpuas hati dengan kelancaran proses penggalian semula yang turut disaksikan oleh tiga pakar forensik IPFN HKL serta wakil pakar forensik keluarga, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh.
Naran Singh turut menegaskan bahawa terdapat percanggahan kenyataan mengenai kecederaan yang dialami Allahyarham.
“Sebelum ini, ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, ada melihat kecederaan pada mata, hidung berdarah, dada yang luka serta kesan lebam pada anaknya.
“Bagaimana Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) boleh maklumkan bahawa tiada kecederaan dialaminya (Syamsul Haris).
“Pastinya seorang ibu akan rasa sedih dan akan meneruskan perjuangn hingga mencapai keadilan,” katanya sambil menjelaskan pihaknya belum dapat mengesahkan tempoh masa yang diperlukan bagi melengkapkan bedah siasat kedua.
Menjawab spekulasi mengenai perkhidmatannya yang didakwa mahal, beliau menegaskan bahawa kes ini diambil secara percuma.
“Ada banyak khabar angin mengenai khidmat saya yang dikatakan mahal. Harus diingat bahawa saya lakukan ini (perkhidmatan mewakili keluarga Syamsul Haris) adalah secara pro bono (percuma).
“Ia adalah demi keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama,” katanya.
Sementara itu, Ummu Haiman turut menyatakan rasa syukur kerana proses pagi tadi berjalan lancar.
“Alhamdulillah proses ini sudah selesai dan saya berpuas hati. Terima kasih atas sokongan orang ramai yang hadir dengan memberikan motivasi, tenaga serta doa.
“Selepas ini, proses bedah siasat akan dilakukan dan kita tunggu sahaja keputusan (bedah siasat kedua) nanti,” katanya.
Maut dirempuh kereta, peserta Rumah Ngaji rebah dalam keadaan memeluk Al-Quran. “Allahyarhamah Hamizah rebah dalam keadaan masih mendakap al-Quran yang diterimanya.”
Demikian kata Rohana Husin, 58, sahabat rapat kepada Hamizah Ahmad, 55, yang meninggal dunia selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika melintas di simpang tiga Felda Air Tawar 4, awal pagi Rabu.
Kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi, sejurus arwah tiba di Felda Air Tawar bersama rombongan Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor (PPRNNJ). Mereka baru pulang daripada menghadiri Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 1.0 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan pada Selasa.
Menurut Rohana, sepanjang menghadiri konvensyen tersebut, arwah dikenali sebagai seorang yang sentiasa ceria dan bersemangat. Malah, arwah sempat menghafal surah As-Saff serta turut bersama rombongan membaca surah Al-Mulk pada malam terakhir sebelum kembali ke rumahnya di Felda Air Tawar 5.
“Allahyarhamah dilihat memeluk al-Quran yang diberikan pihak penganjur dengan penuh rasa syukur dan gembira.
“Kejadian menimpa Allahyarhamah Hamizah dirempuh kereta itu turut disaksikan suaminya sendiri yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian,” jelas Rohana.
Tambahnya lagi, arwah merupakan seorang yang sangat aktif mengikuti majlis ilmu dan begitu teruja menyertai rombongan PPRNNJ ke konvensyen tersebut.
“Hamizah cukup bersemangat untuk ke Konvensyen Rumah Ngaji walaupun baru pulang dari Hari Peneroka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Ahad.
“Dia dan suami tiba di Air Tawar 5 pada tengah malam Ahad dan Hamizah bertolak menaiki bas bersama peserta lain ke Konvensyen Rumah Ngaji pada jam 7.30 pagi, Isnin.
“Walaupun rakan-rakan sudah cadangkan Hamizah untuk tidak sertai kami dan seeloknya berehat, namun dia tetap hendak ke Konvensyen Rumah Ngaji,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Penyelaras PPRNNJ, Rodziah Kamal, menyifatkan pemergian Hamizah sebagai kehilangan besar kerana arwah merupakan antara ahli yang aktif dalam program Rumah Ngaji, khususnya di kawasan Felda di Kota Tinggi.
Tukang masak didakwa tikam duda, mangsa ada hubungan sulit dengan isteri suspek. Seorang tukang masak berusia 31 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa atas pertuduhan menikam seorang duda sehingga meninggal dunia dalam kejadian pada 11 Ogos lalu.
Tertuduh, Zulazren Zakariah, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli. Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, Zulazren didakwa menikam dada Muhammad Amirul Rashid Mohd Niza, 28, sehingga menyebabkan kematian mangsa. Insiden itu berlaku kira-kira jam 6.50 petang di sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang, Seremban pada tarikh kejadian.
Kes tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati. Jika tidak dijatuhkan hukuman gantung, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun, selain tidak kurang daripada 12 sebatan.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nor Aqilah Syarfa Nik Zaidi, memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh bagi laporan kimia, DNA serta bedah siasat, di samping tiada tawaran jaminan diberikan. Mahkamah kemudian menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berstatus duda maut akibat ditikam di bahagian dada di hadapan kediaman keluarganya di Taman Seri Pagi pada 11 Ogos. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 7.28 malam.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, dilaporkan berkata suspek bertindak menikam mangsa kerana berang selepas mengetahui isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki terbabit.
Siapa sangka, selepas hampir 10 tahun mendiami mahligai serba mewah, Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya membuat keputusan besar rumah agamnya bakal dicat semula sepenuhnya buat pertama kali!