Kes Zara Qairina: Bapa nafi anak terlibat, sudah berhenti sejak awal tahun. Keluarga kepada seorang pelajar yang gambarnya tular di media sosial kerana dikaitkan dengan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menegaskan anaknya tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Menurut kenyataan dipercayai dimuat naik oleh bapa pelajar berkenaan di Facebook, anaknya telah meninggalkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar sejak awal tahun ini.
Dalam hantaran tersebut, beliau turut berkongsi salinan laporan polis dan sijil pemberhentian sekolah sebagai bukti bahawa anaknya meninggalkan sekolah berkenaan selepas menerima tawaran melanjutkan pengajian di sebuah kolej vokasional.
Bapa pelajar itu menjelaskan anaknya hanya menuntut di sekolah tersebut dari tahun 2022 hingga 2024, dan pada waktu insiden yang membabitkan Zara Qairina berlaku, anaknya sudah pun tidak bersekolah di situ.
Beliau memaklumkan, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lahad Datu pada Jumaat lalu bagi menolak dakwaan yang tular dalam bentuk video dan gambar, selain bimbang akan keselamatan keluarga.
Bapa berkenaan turut menegaskan akan mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana pihak yang terus mengaitkan anaknya dengan kes berkenaan.
“Untuk makluman, laporan polis sudah dibuat untuk sebuah akaun TikTok kerana memuat naik video anak saya di dalam akaun mereka.
“Walaupun mereka sudah memohon maaf dan memadam video itu, masih ada beberapa individu yang masih menyebarkan berita palsu itu,” katanya.
Sumber: Harian Metro dan Berita Harian
Baca artikel lain juga: Kes Zara Qairina: Polis Perketat Kawalan Di Tanah Perkuburan
Peguam Sahkan Wujud Kecederaan Pada Tubuh Allahyarham Zara Qairina – Ada Patah, Memang Ada Cedera”
Kes Zara Qairina: Laporan Forensik Mungkin Ambil Masa Sehingga Dua Bulan- Peguam
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE